Wednesday, August 5, 2015

Waspada Memegang Amanah Kuasa

AMANAH kepimpinan bukan boleh dianggap remeh. Ia menentukan kebahagiaan atau penderitaan hidup manusia yang dipimpin di dunia dan juga di akhirat. ‎Pesan‬ Nabi kepada Abu Zar: يَا أَبَا ذَرٍّ ! إِنَّكَ ضَعِيفٌ ، وَإِنَّهَا أَمَانَةٌ ، وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْىٌ وَنَدَامَةٌ إِلاَّ مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا ، وَأَدَّى الَّذِى عَلَيْهِ فِيهَا - رواه مسلم ---"Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau lemah sedangkan jawatan itu adalah suatu amanah dan pada hari kiamat kelak ia merupakan kehinaan dan penyeksaan yg akan menimpa (mereka yg berjawatan) kecuali mereka yang telah mengambilnya dengan hak serta menunaikan setiap tanggungjawabnya".
Ketika Khalifah Harun ar-Rasyid menunaikan ibadah haji di Makkah, dia telah terlihat seorang Ulama yang sedang mengembala kambing di atas Jabal Rahmah berhampiran padang Arafah. Ulama itu berkata, “Wahai Harun ar-Rasyid! Aku ini hanya seorang pengembala kambing, maka aku sudah pasti akan ditanya oleh Allah tentang diriku dan kambing-kambing peliharaanku sahaja di akhirat nanti, sedangkan engkau yang dilantik menjadi khalifah maka engkau bukan sahaja akan ditanya di akhirat nanti tentang rakyat yang sedang berada di bumi Arafah pada hari ini, malah seluruh rakyat yang berada di bawah pemerintahanmu. Jika engkau berjaya menunaikan amanah kepimpinan dengan adil maka berjaya dan berbahagialah engkau di sana. Tetapi sebaliknya, jika engkau mengkhianati amanah ini dan melakukan kezaliman terhadap rakyatmu maka celaka dan menderitalah engkau di dalam neraka Allah”.
Jujurlah dalam perbuatan, agar amanah dan kepercayaan seiring berjalan. Jika amanah dan kejujuran telah terkoyak, amat sukar untuk ditampal walau bagaimana caranya sekalipun, kerana pasti ia tidak akan sama seperti sediakala.

No comments:

Post a Comment