Thursday, August 20, 2015

Pulang Haji Sesuci Bayi

Pada 2011 Ustazah Siti Nurbaya Usman bertemu seorang warga tua berusia 85 bernama, Asma Anas. Dia meminta ustazah memberikannya nasihat tentang perjalanan haji. Walau usianya sudah terlalu lanjut namun semangatnya kuat untuk berangkat haji. Dengan bersusah payah dia mencukupkan wang untuk berangkat haji pada tahun itu. Ustazah Siti Nurbaya bersyukur kerana dia telah mendapat undangan rasmi ke Baitullah menjadi tetamu Allah. Lalu ustazah mengajarkan supaya dia mengamalkan bacaan Talbiyah haji seberapa yang mampu mulai dari rumah supaya panggilan hajinya dipermudahkan. Waktu bertemu dengannya itu baru bulan Rejab. Dia langsung mengulangi bacaan talbiyah haji semampu yang boleh. Akhirnya dia selamat berangkat menunaikan fardu haji.
Subhanallah… sepanjang berada di tanah suci dengan usia begitu lanjut dia tidak pernah sakit, bahkan batuk pun tidak. Dia giat melakukan tawaf setiap hari sebelum ramai tamu haji mendatangi Baitullah.Setiap hari dia sempat membaca 50 ayat Al Quran. Akhirnya tibalah di Padang Arafah, di hari kemuncak perlaksanaan haji. Di sana pun dia tetap kuat. Setelah melontar dia kembali ke Makkah dan menunggu waktu pulang ke tanah air.
Setelah mendengar dia selamat pulang, ustazah pun berkunjung ke rumahnya. Alhamdulillah ustazah mendapat kurma madinah dan juga air zamzam. Dibelikannya juga Al Quran. Dia kelihatan semakin sihat dan bertenaga setelah pulang dari haji. Di dalam perbualan yang sangat mesra, dia mengucapkan terima kasih atas nasihat supaya bertalbiyah sejak dari rumah. Kandungan ayat "labaikallahumma labaik" bermakna menyambut seruan Allah. Dia sangat berterima kasih. Yang ustazah ajarkan adalah membaca talbiyah semampu mungkin setiap solat dan juga jika ada kelapangan. Sungguh bahagia melihat dia gembira dan sihat. Akhirnya dia membuka rahsia bahawa dia tidak hanya membaca talbiyah setelah setiap solat sejak bulan Rejab bahkan dia mengamalkan membacanya sebanyak 1000 kali setiap hari. Subhanallah….Sungguh kuat sekali semangatnya.
Kini pada usia 89 tahun dia masih mengamalkan membaca talbiyah tetapi tidak sebanyak 1000 kali seperti dahulu kerana talbiyah sudah sebati dengan jiwanya.Lalu ustazah bertanya adakah dengan bertalbiyah ini dia berkeinginan untuk berangkat haji lagi. Katanya tidak. Cukup sekali sahaja kerana hanya itulah saja kemampuannya. Lantas ustazah bertanya, "Apakah niat dan impian terus membaca talbiyah lagi?” Dengan titisan air mata dia menjawab, "Aku membaca talbiyah ..Ya Allah aku menyambut seruan-Mu berulangkali tidak lain adalah kerana aku menunggu panggilan Allah untuk bertemu dengan-Nya di alam barzakh kerana aku sudah bersih sesuci bayi setelah pulang haji.”
Perlahan-perlahan, air mata ustazah juga mengalir menghormati betapa mulianya hati insan di hadapannya. “Ya Rabb….Ingin Kupenuhi Panggilan-Mu. Masjidil Haram… Selalu ada rindu untuk kembali bermunajat di dalamnya. Selalu ada keinsafan di negeri yang abadi setelah dunia. Semoga ada seruan untuk bertamu lagi ke Rumah Allah. لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ. لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ. اِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلمُلْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ ---Aku datang memenuhi panggilan-Mu Ya Allah. Aku datang memenuhi panggilan-Mu. Aku datang memenuhi panggilan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu. Aku datang memenuhi panggilan-Mu, sesungguhnya segala puji, nikmat dan segenap kekuasaan milik-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.

No comments:

Post a Comment