Saturday, August 29, 2015

Pemimpin Dan Pengampu

Pemimpin sesebuah organisasi atau masyarakat yang baik adalah pemimpin yang minta ditegur bila melakukan kesilapan, bukan yang gilakan pujian. Pemimpin yang suka mendengar kata-kata manis belaka tidak berada dalam alam nyata. Dia tidak dapat membezakan antara ampu dengan setia. Lazimnya dia dikelilingi oleh pembantu yang mengampu demi kepentingan diri, menipu kerana inginkan pangkat dan kedudukan. Segala nasihat yang diluahkan tidak membantu, malah membuntu. Sokongan daripada pengampu hanya membawa rebah. Pujian membutakan pemimpin itu daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri, lantas merasakan begitu hebat sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan.Dia berbelanja boros hingga hutang menimbun kerana merasakan darjatnya terletak pada kekayaan.Padahal bila semua itu tiada lagi, dia hanya orang kecil yang berdiri di bawah bayang-bayang kekayaannya. Dia bukan pemimpin hebat yang prihatin dengan nasib rakyat.
Rakyat menjadi mangsa pembantu yang mengampu. Penderitaan rakyat, kelemahan dasar dan sistem penyampaian yang lemah serta berbagai perkara negatif lain tidak sampai ke pengetahuan pemimpin sebab ditapis terlebih dahulu oleh pengampu. Pemimpin dimaklumkan hanya berita yang manis-manis, bersalut bahan dan perisa palsu. Akhirnya pemimpin sendiri jadi mangsa tembakan panah beracun yang berterbangan di udara dari rakyat yang tidak tahan lagi menanggung derita.Orang yang baik dan berilmu tidak berani menegur lantaran takut hilang jawatan dan kedudukan. Lalu mereka menjadi "syaitan bisu" yang membiarkan pemimpin semakin jauh tersasar dan terus disuburkan oleh pembantu tidak bertanggungjawab. Kemusnahan akhirnya akan berlaku, sama ada cepat atau lambat.
Orang yang setia tidak suka bermuka-muka, hanya berpegang kepada prinsip kebenaran belaka. Itulah setia yang sebenar. Pemimpin akan kehilangan orang yang setia jika setiap teguran dan kritikannya dicap sebagai ‘menderhaka’. Kepimpinan yang berjaya sejak zaman para rasul dan Khulafa’ ArRsyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka dengan teguran. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa takut dan segan silu. Menegur bukan kerana benci, tetapi kerana sayang.
Pada masa sekarang orang yang jujur terpaksa membayar kejujurannya dengan harga yang sangat mahal. Pun begitu, kejujuran harus ditegakkan agar orang bawahan tidak berterusan menderita akibat penindasan para pembantu yang terus mengampu.[Solusi #83]

No comments:

Post a Comment