Thursday, September 30, 2010

TAKNAK DVT

Pernah mendengar mengenai penyakit DVT?

Ia adalah penyakit yang digelar “sindrom kelas ekonomi” kerana dialami oleh penumpang yang menaiki pesawat kelas ekonomi. Nama sebenarnya ialah venous thromboembolism (VTE), yang termasuk juga  deep vein thrombosis (DVT) dan pulmonary embolism (PE). 

DVT adalah pembentukan kempal darah (blood clot) yang berlaku jauh dalam vena tubuh, lazimnya di vena kaki. Kempal yang dinamakan  thrombus itu menyekat aliran darah menerusi vena secara separa atau menyeluruh. Vena dalam kaki terletak berhampiran dengan tulang dan dibaluti oleh otot-otot kaki yang kuat. 70-80% DVT berlaku dalam vena popliteal di lutut dan vena superficial femoral dalam peha. Sementara itu 20-30% lagi berlaku di betis iaitu dalam vena anterior tibia dan vena peroneal serta  posterior tibia.   

Terdapat dua kumpulan faktor yang membawa risiko. Pertama, faktor pesakit dan kedua, faktor luaran seperti pembedahan.

Pesakit berusia lebih 60 tahun dengan indeks jisim tubuh (BMI) melebihi 30kg/m2 serta pernah mengidap VTE mempunyai risiko lebih tinggi. Turut berisiko tinggi ialah pesakit kardiovaskular serta pesakit vena varikos. Ia juga menyerang mereka yang mewarisi penyakit thrombophilia (sekumpulan penyakit genetik yang diwarisi sebahagian atau seluruhnya), perokok, serta mereka yang mempunyai darah mudah berkempal  

Pesakit kanser, sama ada yang pernah menjalani pembedahan atau hanya menjalani rawatan kimoterapi turut tidak terkecuali. Oleh kerana itu, kanser merupakan petunjuk kukuh terhadap risiko DVT.  

Penumpang yang membuat perjalanan udara yang jauh melebihi tiga jam dengan pergerakan yang terhad dalam ruang yang sempit, serta kurang minum air tetapi mengambil pula alkohol adalah amat berisiko. Ini diburukkan lagi dengan altitud tinggi yang mengurangkan penyerapan oksigen ke dalam darah.  

Serangan jantung, angin ahmar, kegagalan jantung, kegagalan respiratori, sindrom nefrotik dan penyakit radang bowel adalah beberapa penyakit di mana pesakit diketahui mempunyai risiko lebih tinggi terhadap DVT, sama ada sebelum atau selepas pembedahan. 

Selain itu terdapat juga risiko khusus bagi wanita, seperti terapi penggantian hormon (HRT), pengambilan pil perancang keluarga dan kehamilan. Wanita yang mempunyai indeks jisim tubuh melebihi 35, mengidap hipertensi dan pernah mengalami VTE mempunyai risiko paling tinggi dan tidak harus mengambil pil perancang keluarga.   
DVT adalah penyakit yang menyerang secara senyap. 40% hingga 50% sukar dikesan awal. Simtom hanya muncul setelah penyakit menjadi teruk. Ketika itu agak terlewat untuk bertindak. Di antara simtomnya ialah rasa sakit di kaki terutama di bahagian betis, kaki bengkak dan merah serta terasa panas, kulit menjadi kebiru-biruan, dan rasa tidak selesa bila kaki ditarik ke atas.  

DVT boleh membawa akibat yang serius. Kempal darah dalam DVT lazimnya tetap terlekat pada dinding saluran darah. Komplikasi yang mungkin berlaku ialah pulmonari embolisme (PE), sindrom pasca-trombotik dan hipertensi pulmonari. Pesakit pulmonari embolisme akan mati mendadak jika tidak dirawat segera. 

Kira-kira 3.8% pesakit DVT mengalami hipertensi pulmonari selepas dua tahun. Bagaimanapun, petunjuk risiko boleh diramal jika digabungkan semua tanda dan simtom yang ada pada pesakit yang disyaki mengidap DVT. Berpandukan itu pengamal perubatan boleh menguruskan pesakit dengan menggunakan langkah-langkah pencegahan “thromboprophylaxis tools” yang betul.    

Langkah thromboprophylaxis paling lazim digunakan ialah mechanical prophylaxis, di mana pilihannya adalah di antara stoking tekanan bergred, peranti tekanan pneumatik yang tidak terus menerus, peranti impuls kaki dan rangsangan elektrik. Jika digunakan dengan betul semua peranti ini boleh mengurangkan DVT sebanyak 44%.  
Kaedah ubat-ubatan melibatkan penggunaan aspirin, heparin serta antikempalan oral seperti warfarin. Bagaimanapun, heparin paling banyak dipreskripsi kerana lebih selamat, mudah diguna dan dipantau serta mempunyai kemujaraban yang setanding. Bila diguna dalam keadaan yang sesuai, ia mengurangkan DVT kira-kira 68% hingga 76%.  

Pengamal perubatan dan pesakit patut bekerjasama untuk mengelakkan risiko DVT dengan cara menangani penyakit ini sebaik yang boleh.

Tuesday, September 28, 2010

TAKNAK Reput Tulang

Salah satu lirik lagu Tan Sri P. Ramlee berbunyi: Kerja berat takut reput tulang. Sememangnya tulang yang reput bukan setakat tidak dapat diguna melakukan kerja kerat, malah untuk menjalani hidup seharian pun akan membawa masalah besar. Segala-galanya terpaksa bergantung pada tulang dan kudrat orang lain.  

Tulang yang reput dan rapuh adalah akibat osteoporosis. Kita tentu pernah melihat orang yang berjalan dalam keadaan bongkok sabut. Ini salah satu tanda penyakit tersebut. Penyakit senyap ini boleh berlaku pada wanita menopos dan lelaki atau wanita yang mempunyai jisim tulang rendah (osteopenia).
Di antara 2-4% tulang kerangka manusia dibina semula setiap tahun. Ini bererti kalsium dan mineral penting lain keluar dari tulang dalam satu proses dinamakan resorption, Tulang itu kemudiannya dibina semula atau digantikan.

Osteoporosis mesti dicegah atau dirawat. Jika dibiar berlarutan tulang pesakit boleh retak atau patah jika terjatuh. Walaupun boleh menjejaskan mana-mana tulang, namun keretakan atau kepatahan di pinggul dan tulang belakang menyebabkan pesakit memerlukan pembedahan. Tanpa pembedahan dan rawatan yang betul pesakit mungkin tidak boleh bergerak langsung.
  
Di antara penyebab osteoporosis ialah usia tua, kurang berat badan, sejarah keluarga yang pernah mengalami osteoporosis sama ada ibu, bapa atau adik beradik, merokok, mengambil alkohol berlebihan, kurang hormon seks (dialami oleh wanita menopos), pengambilan atau penyerapan kalsium dan vitamin D yang rendah, gaya hidup sedentari, pernah mengalami keretakan tulang terutama selepas usia 50 tahun, mengambil ubat-ubatan seperti prednisolone, pengambilan heparin (ubat penipisan darah), ubat penentang sawan dan penyakit tertentu yang boleh menjejaskan tulang seperti gangguan endokrina, penyakit Cushing dan rheumatoid arthritis.     
Lelaki mengidap osteoporosis kerana tabiat merokok. Perokok yang kurus dan kurang minum susu atau tidak mengambil suplemen Calcium Plus memang berisiko tinggi. 

Osteoporosis ditentukan dengan menjalani satu ujian yang mengukur ketumpatan mineral tulang (BMD) di berbagai bahagian tubuh seperti tulang belakang dan pinggul. Ujian ini dinamakan Dual Energy X-ray Absorptiometry (DXA). Pesakit tidak perlu bimbang kerana Sinar-X yang digunakan mempunyai kadar radiasi sangat rendah.     
 
Di pasaran terdapat banyak ubat yang diguna untuk mencegah dan merawat osteoporosis. Contoh: Vitamin D Diaktifkan bermanfaat bagi pesakit buah pinggang mengurangkan keretakan vertebra, Bisphosphonate membantu memperlahankan kehilangan tulang dan mengurangkan keretakan, Calcitonin pula adalah semburan hidung atau suntikan di bawah kulit.  

Bagi wanita terdapat Terapi Penggantian Hormon di mana hormon estrogen sahaja atau dalam kombinasi dengan hormon progestin diguna untuk mengurangkan risiko.  

Bagaimanapun, wanita menopos harus meminta nasihat doktor untuk memastikan terapi penggantian hormon sesuai atau tidak. Terdapat kesan sampingan yang berbahaya berkaitan terapi ini. Contohnya kombinasi estrogen dengan progestin berupaya meningkatkan risiko kanser payudara, angin ahmar, serangan jantung dan kempal darah (blood clot). Estrogen sahaja pula boleh meningkatkan risiko angin ahmar.

Ubat lain seperti Selective Oestrogen Receptor Modulator (SERM) meniru efek baik estrogen ke atas tulang tanpa kesan sampingan serius seperti kanser payudara. Raloxifene mengurangkan keretakan tulang belakang pesakit wanita.  Strontium ranelate dapat mengurangkan risiko keretakan bagi wanita pasca menopos. Namun disebabkan peningkatan risiko kempal darah ia mesti diguna secara berhati-hati oleh wanita yang mempunyai sejarah vena trombosis atau pulmonari embolisme. Teriparatide yang disuntik di bawah kulit membantu merangsang pembentukan tulang. Ia disediakan untuk pengidap osteoporosis yang teruk. 

Perubahan gaya hidup merupakan cara terbaik untuk mencegah osteoporosis. Bagi mengekalkan kesihatan tulang, diet kita mesti mengandungi susu rendah lemak berkalsium tinggi, ikan dan sayur-sayuran berdaun hijau tua seperti brokoli.

Bagi yang tidak boleh minum susu kerana kurang toleransi ke atas laktosa boleh mengambil suplemen yang mengandungi mineral tertentu. Ia harus mengandungi 1000mg kalsium dan 400-800IU vitamin D. Vitamin D memastikan penyerapan kalsium yang baik. Tanpa Vitamin D, tulang akan menjadi lembut  (osteomalacia).
Magnesium sebanyak 400mg berfungsi menggerakkan kalsium di dalam tulang. Mangan  sebanyak 2mg sehari mensintesis tisu-tisu penyambung yang membentuk matriks di mana enapan mineral berlaku. Boron mengaktifkan vitamin D. Ketiadaannya menjejaskan metabolisme kalsium dan pembentukan tulang. Zink menyokong pembentukan tulang dan strukturnya dengan meningkatkan tindakan vitamin D. Kupram membentuk blok binaan tulang. Tanpanya enapan tulang menjadi tidak normal. 

Pengambilan harian kalsium yang disyorkan oleh US RDA ialah: 
·         Dewasa dan remaja – 800 hingga 1200mg sehari. 
·         Wanita hamil dan menyusukan bayi – 1200mg sehari.
·         Kanak-kanak berumur 4 hingga 10 tahun – 800mg sehari.
·         Bayi baru lahir hingga berumur 3 tahun – 400 hingga 800mg sehari. 

Untuk tulang yang sihat, tabiat merokok dan pengambilan alkohol berlebihan mesti dihentikan. Bersenam secara kerap dengan menggunakan pemberat (dumbbell). Rawat semua keadaan yang boleh menyebabkan osteoporosis. Kurangkan atau tukar ubat yang boleh menyebabkan osteoporosis. Jangan berhenti mengambil ubat disyorkan doktor tanpa meminta nasihatnya terlebih dahulu.  

Osteoporosis boleh menyebabkan hilang keupayaan berjalan. Pencegahan patut dilakukan sejak zaman kanak-kanak untuk memastikan tulang dapat tumbuh dan berkembang secara normal bagi memaksimumkan kekuatannya.

Terapi Berkebun


Cuba tanam beberapa batang anak pokok. Percayalah, dalam masa singkat banyak manfaat yang boleh diraih. Pakar-pakar perubatan memang menyarankan berkebun sebagai salah satu cabang terapi.

Apabila seseorang didedahkan pada tumbuhan, terdapat perubahan di segi fisiologi dan emosi. Sebagaimana semua orang tahu, dalam hidup ini ada banyak perkara yang di luar daripada kemampuan kita untuk mengawalnya. Namun dalam hal bercucuk tanam, seseorang itu bukan sahaja memperoleh tubuh yang sihat, dia juga berasa puas kerana dapat mengawal keadaan pertumbuhan tanamannya.      

Orang yang sayangkan tanaman, umumnya kurang mengalami tekanan darah tinggi atau diserang sakit jantung berbanding mereka yang terburu ke sana ke mari sehingga tidak sempat menoleh ke arah bunga yang sedang berkembang, apa lagi untuk menikmati keindahannya. Bukan itu sahaja, berkebun boleh melegakan tekanan yang dihadapi dalam hidup seharian.

Bagi wanita yang berada di ambang menopos, berkebun adalah satu cara untuk menguatkan tulang daripada bahana osteoporosis. Masakan tidak, perbuatan mencabut rumput rampai, menghayun cangkul, mengangkat pasu dan baja akan meletakkan bebanan ke atas tulang, justeru menguatkannya.

Orang yang berkebun pasti berasa gembira apabila hasil titik peluhnya bakal menambah hidangan lazat di meja makan. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menambah khasiat dalam diet dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh daripada serangan penyakit.    

Tidakkah semua perangsang ini sudah cukup untuk kita mula menghayun cangkul? Jika kita rajin, kita bakal menjadi Mamat dan Minah yang sihat, sasa, dan cantik!

Nota kaki:

Jangan biarkan daun, ranting, dan rumput kering diangkut oleh lori Alam Flora dan kontraktor pengutip sisa pepejal yang lain ke tempat pelupusan sampah. Semua ini boleh dimanfaatkan sebagai kompos untuk tanaman kita. Begini caranya:

1. Dapatkan sebuah bekas berukuran tiga meter tinggi dan tiga meter panjang /lebar.
2. Isikan ke dalamnya satu lapis sisa kebun (daun dan rumput) serta sisa dapur (kulit buah-buahan,
    sayur-sayuran).
3. Kemudian isikan lapisan berikutnya dengan tanah.
4. Ulang langkah 2 dan 3 hingga bekas itu ¾ penuh.
5. Buat dua hingga tiga lubang untuk mengalirkan udara dan air.
6. Bila haba yang dihasilkan oleh bahan-bahan yang mereput itu sudah berkurangan (bergantung
    pada jenis bahan, ia mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga minggu), balik-balikkan
    seluruh bekas itu kerana lapisan bawah sudah pasti lebih reput berbanding lapisan atas. Ini
    akan menyeimbangkan pereputannya..
7. Biarkan selama tiga bulan.
8. Hasilnya ialah tanah kompos yang berkualiti tinggi.



Monday, September 27, 2010

TAKNAK Senak di Benak


MALAYSIA ialah sebuah negara yang mewah dengan makanan. Tiba sahaja hari perayaan, tidak kira Hari Raya, Hari Krismas, Hari Deepavali dan juga Tahun Baru Cina, terdapat majlis-majlis rumah terbuka di mana makanan yang dihidangkan memang banyak. Ketika ini ramai yang makan berlebihan, kononnya hendak mengambil hati tuan rumah dan meraikan hari yang istimewa itu.

Menggembirakan tuan rumah dan meraikan hari istimewa memang sangat digalakkan. Tetapi makan berlebihan itu yang salah. Ia menyebabkan perut membuncit hingga tidak keruan.

Berpuasa boleh mengurangkan kapasiti perut sehingga 30% dalam sebulan. Tetapi kesan ini hanya dapat bertahan selagi kandungan kalori dihadkan.

Saiz perut yang kosong hanya sebesar penumbuk. Ia mampu menyimpan kira-kira 950 gram makanan dan minuman. Kalau makan lebih daripada itu, ramai yang berasa senak dan tidak selesa. 

Makanan yang berada di dalam perut dibasahi oleh asid hidroklorik yang sangat berkuasa untuk menghancurkan semua jenis makanan sebelum menghantarnya ke usus kecil, di mana ia selanjutnya dihadamkan dan diserap.

Bagaimanapun lapisan perut kita terselamat daripada aktiviti penghancuran kerana ia dilindungi oleh mukus yang dihasilkan oleh perut sendiri. Sendawa  menunjukkan anda telah makan banyak.

Makan menyebabkan paras hormon selera menurun dan menghantarkan isyarat kenyang ke otak.

Lebih banyak hormon dihasilkan ketika makanan bergerak masuk ke usus kecil untuk mengurangkan selera, memperlahankan pengosongan perut dan mengisyaratkan kepada organ-organ lain, termasuk pundi hempedu supaya membebaskan hempedu bagi mencairkan lemak.

Ketika makanan bergerak dari usus kecil ke usus besar, banyak angin yang terjadi dan rasa kembung pun terhasil disebabkan oleh penguraian makanan yang tidak dicerna oleh bakteria baik, terutama di dalam kolon. Purata angin yang dihasilkan ialah kira-kira satu hingga dua liter sehari.

Pencernaan makanan berkalori tinggi meletakkan beban berat ke atas saluran gastrousus. Cuba elakkan berbaring atau tidur selepas makan. Ini hanya akan menimbulkan rasa pedih hulu hati kerana meletakkan tekanan tambahan ke atas persimpangan di antara perut dan aesofagus.

Senaman intensif juga kurang baik. Selepas makan, aliran darah ke saluran usus meningkat. Senaman yang giat mengalihkan aliran darah itu ke otot, yang kemudiannya memperlahankan masa pergerakan makanan menerusi saluran gastrousus.

Yang terbaik ialah berjalan secara santai. Ia mengekalkan aliran darah tanpa meletak tekanan ke atas mana-mana sistem tubuh.

Dalam pada itu cuba kita fikirkan sebentar. Kalau tidak makan banyak, masakan perut akan senak. Betul tak?

Thursday, September 23, 2010

NAK Bersilaturrahim


Sebelum kita dilahirkan iaitu ketika masih berada di alam barzakh, rezeki, jodoh, ajal dan sebagainya telah ditentukan oleh Allah.

Kita tidak akan tahu jika pada suatu hari nanti, salah seorang daripada kita tiba-tiba menerima  rezeki yang murah daripada Allah. Kita mesti bijak mengendalikan perasaan dan hubungan dengan orang-orang di sekeliling seperti keluarga, saudara-mara atau rakan taulan.

Andaikata seseorang dalam lingkungan anda tiba-tiba mendapat durian runtuh, dan kedudukan barunya itu merenggangkan sedikit hubungan yang selama ini cukup erat. Apa yang harus dilakukan?

Pertama, kaji secara mendalam perasaan anda sendiri dalam hal-hal yang membabitkan wang, kedudukan dan kejayaan. Apa yang menyebabkan anda berasa iri hati? Dalam hidup anda pernahkah berlaku sesuatu sehingga menyebabkan anda membentuk nilai, perasaan dan matlamat seperti itu? 

Cuba bercakap secara terbuka dan lemah lembut pada individu berkenaan tentang kekayaan barunya itu menjejaskan sedikit hubungan anda berdua. Beritahu dia bahawa anda bukan orang yang menyanjung kekayaan material. Tekankan padanya bahawa silaturrahim lebih berharga daripada semua itu.

Iri hati memang sifat semula jadi. Namun, uruskan ia dengan baik dan gunakannya untuk mengkaji keutamaan dan matlamat diri anda sendiri.

Andaikata, anda yang memperoleh durian runtuh. Bagaimana pula keadaannya?

Peka dengan perasaan orang keliling bahawa sikap dermawan anda itu bukan untuk menunjuk-nunjuk, berlagak atau cuba membelenggu.

Jika mereka berasa kekok, beritahu secara terbuka betapa anda lebih menghargai silaturrahim. Wang dan harta bergudang-gudang tidak akan mengubahnya.

Usah hentikan aktiviti yang membentuk kemesraan anda dengan mereka selama ini. Lambat laun  mereka akan menerima anda seperti sediakala.

Biarkan malaikat yang mendampingi kita menuliskan sesuatu yang positif di dalam catatan amalan. Dengan demikian kita akan memperoleh keberkatan di dunia dan akhirat.





Tuesday, September 21, 2010

NAK Minum Jus Sedap




                                       
SEMUA orang kenal pokok bunga ini. Sejak ia dijadikan sebagai “Bunga Kebangsaan”, sebahagian besar Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya di Malaysia menanam pokok ini di sepanjang jalan, di taman-taman dan tidak kurang juga orang perseorangan yang menanam di persekitaran rumah masing-masing.

Bunga Raya terdapat dalam beberapa varieti: merah, kuning, jingga, putih, ungu, berkelopak besar, berkelopak kecil, berkelopak kerinting dan macam-macam lagi.

Cara menanamnya mudah. Hanya menggunakan keratan batang. Jika dibaja dan dijaga secukupnya, ia akan menghasilkan bunga yang banyak. Ada bunga raya yang digunakan dalam perubatan, seperti bunga raya putih. Namun, di antara varieti bunga raya, jenis yang berwarna merah mempunyai paras antioksidan paling tinggi.

Antioksidan sangat diperlukan oleh tubuh untuk menentang radikal bebas. Sungguhpun radikal bebas adalah kesan sampingan yang berlaku secara semula jadi dalam tubuh, ia memang  membawa banyak kerosakan dalaman dan luaran (kulit). Untuk “menang” dalam peperangan menentang radikal bebas, kita mesti mengambil makanan dan minuman yang mengandungi antioksidan. Dan Jus Bunga Raya adalah salah satu daripadanya.

Kita boleh membuat sendiri jus bunga raya. Ia lebih “best” sebab segar dan tanpa pengawet. Ikuti cara di bawah ini:  

Jus Bunga Raya

Bahan-bahan:
Bunga raya segar
Air secukupnya
Air limau nipis
Gula merah yang telah dilarutkan

Cara membuatnya:

  1. Petik bunga raya yang segar pada waktu petang. Pastikan bunga itu tidak disembur racun serangga, dan tidak mengandungi sebarang serangga di dalamnya.
  2. Cuci bunga-bunga itu dengan air bersih dan masukkan ke dalam periuk.
  3. Isikan air hingga ke paras bunga dan hidupkan api dapur.
  4. Apabila air telah mendidih, matikan api dan biarkan ia semalaman di dalam periuk.
  5. Pada pagi esoknya, tapis air tersebut.
  6. Masukkan sedikit air limau nipis ke dalamnya. Warnanya akan berubah daripada merah jambu menjadi merah mawar.
  7. Maniskan dengan larutan gula merah.
  8. Sejukkan dalam peti sejuk sebelum diminum.