Tuesday, August 11, 2015

Bersederhana Ketika Makan

Apa sahaja yang kita suapkan ke mulut, datang dari penat jerih nelayan, petani, penternak yang menggunakan kudrat dari tulang empat kerat mereka. Usah makan penuh gelak ketawa, atau meninggalkan banyak makanan yang tersisa. Tidak kurang juga yang mencaci makanan: makanan hampas, tak ada rasa dan macam-macam lagi. Contohi Nabi s.a.w.. Kalau Baginda tidak suka, ditinggalkannya sahaja.
Dalam kita tertawa ria di hadapan makanan, orang-orang yang menyebabkan makanan itu tersaji di hadapan kita, kadang-kadang terpaksa mengikat perut kerana kurang kecukupan. Bersederhanalah. Kelangsungan hidup kita bergantung pada orang lain juga. Usah menyombong mendabik dada: "Aku ada duit, boleh beli apa saja yang aku suka".
Akan tiba suatu masa bila duit bersepah di sana sini dan tidak laku lagi, sebabnya - sumber makanan semakin menyusut sedangkan penduduk dunia meningkat melambung. Laut kepupusan ikan, tanah kontang dek kemarau, haiwan ternakan mati bergelimpangan. Oleh itu bersyukurlah kerana kita masih ada makanan. Alhamdulillah, Ya Allah!

No comments:

Post a Comment