Saturday, August 22, 2015

Syirik Bidaah Khurafat Membawa Sesat

Musim haji telah bermula. Sana-sini orang sibuk menyediakan persiapan bagi menunaikan rukun kelima. Sama ada sedar atau tidak, terdapat sesetengah orang telah melakukan beberapa perkara khurafat. Contoh, bila sudah berada dalam kenderaan dan didapati ada barang yang tertinggal di rumah, mereka tidak mahu berpatah balik untuk mengambilnya kerana takut meninggal dunia di Makkah dan tidak pulang ke rumah lagi. Padahal berapa ramai orang yang asyik buat umrah berulangkali semata-mata kerana ingin mati di Makkah, tempat yang suci!!! Ada pula yang mengadakan upacara khas “bawa turun ke Makkah” sebelum berangkat ke haji, sedangkan Nabi s.a.w dan para sahabat yang berangkat dari Madinah ke Makkah hanya mengamalkan doa dan adab-adab musafir.Jemaah haji dari sesetengah negara dilihat mengusap batu, bukit dan apa sahaja binaan di Makkah dan Madinah yang menimbulkan kekaguman dalam jiwanya. Ada pula yang semasa tawaf cuba mengoyak kelambu Kiswah Kaabah untuk disimpan kerana kononnya ada keajaiban. Padahal kelambu tersebut adalah tenunan masa kini dan sering ditukar ganti. Mencuri kelambu atau apa sahaja harta awam adalah berdosa dan merosakkan ibadah haji yang sedang dikerjakan.
Pada masa ini syirik, khurafat dan bidaah dibungkus dan dilariskan atas jenama agama sehingga orang awam tidak dapat mengesan bahawa ia adalah kemungkaran yang wajar dijauhi. Mudarat yang dibawa oleh syirik dan bidaah jauh lebih besar berbanding maksiat seperti rasuah, judi, arak, zina dan sebagainya. Pelaku maksiat yang memiliki akidah yang sejahtera dan ibadah yang menepati sunnah Nabi yang sahih memiliki masa depan yang cerah untuk mendapatkan keredhaan Allah sekaligus memasuki syurga-Nya, berbanding mereka yang giat beribadah dan menjauhi maksiat namun akidah sarat dengan najis syirik dan ibadah berlumuran dengan lumpur bidaah. Ahli bidaah tidak menyenangi ilmu hadis dan amat fobia dengan Firman Allah, dan sabda Nabi s.a.w. Mereka memusuhi dan memperlekah ahli hadis serta ulama yang tutur katanya dihiasi “Firman Allah, dan sabda Nabi s.a.w.”. Ahli hadis dan ulama adalah benteng kemurnian ajaran Islam. Mereka melabelkan Ahli Sunnah dengan pelbagai gelaran dan menuduh Ahli Sunnah "wahabi".
Mereka mempunyai kepercayaan melampau yang sangat ditegah dalam Al-Quran dan Sunnah. Ajaran tarekat dan mendewakan malah mempertuhankan segala unsur yang mereka kagumi, termasuk guru-guru dan imam-imam. Ada sesetengah ajaran tarekat, gurunya secara terang-terangan mengaku bahawa dia adalah Wali Allah dan ditambah lagi dengan kelebihan lain seperti dilantik sebagai Wakil Allah. Oleh kerana ajaran Quran dan Sunnah tidak mungkin memihak kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat, mereka terpaksa mencari helah lain bagi mengaburi mata para pengikut, seperti berhujah dengan mimpi gurunya!!!
Saudara yang dikasihi, dalam apa jua ibadah, fahamilah akidah dengan sebenar-benarnya supaya tidak tersasar. Alangkah rugi segala masa dan amalan jika semua itu melanggar syariat yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. lalu berakhir di Jahannam. Na’uzubillah min zalik!!!

No comments:

Post a Comment