Friday, August 21, 2015

Kedudukan Wang Haram

WANG RASUAH adalah wang haram (wang tidak patuh syariah), dan oleh itu tidak boleh di gunakan untuk urusan peribadi. Imam Al-Nawawi menyelesaikan harta haram dengan menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mesti diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan pula untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserahkan (dibelanjakan) untuk tujuan maslahah umum seperti membiayai pembinaan jambatan, jalan raya, membaiki longka ng pecah, pondok bas rosak, tandas awam dan sebagainya. Ia boleh diberikan kepada fakir miskin bukan niat sedekah.
Manakala Syeikh Atiyyah Saqar, mantan Ketua Lajnah Fatwa Al-Azhar menyatakan kaedah melupuskan harta haram ketika bertaubat adalah dengan memulangkan kembali harta itu kepada si pemilik asal atau waris pemilik. Jika tidak diketahui pemilik asal, harta tersebut hendaklah diserahkan kepada fakir miskin bagi memisahkan dirinya daripada harta haram yang diperolehinya. Penyerahan harta tersebut kepada fakir miskin bukanlah untuk mendapatkan pahala daripada serahan tersebut. Hal di atas bersandarkan kepada hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang menzalimi kehormatan atau apa sahaja harta saudaranya hendaklah ia meminta halal daripadanya pada hari ini sehingga jangan berbaki satu dinar atau dirham. Jika tidak, sekiranya dia mempunyai amal soleh, maka akan diambil amal solehnya dengan kadar kezaliman yang dilakukannya, dan kiranya tiada lagi kebaikan, maka akan dipertanggungjawabkan kejahatan orang yang dizaliminya itu pula.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).
Berkenaan dengan kedudukan WANG FAEDAH, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam kitabnya "Fatawa Mu’asirah" memutuskan wang faedah yang diperolehi secara haram adalah haram secara yakin untuk ditinggalkan begitu sahaja di bank-bank konvensional. Ia seolah-olah seperti menolong bank-bank konvensional yang akan menggunakan wang-wang faedah yang ditinggalkan itu untuk tujuan yang bertentangan dengan hukum syarak. Tidak harus seseorang menggunakan wang faedah tersebut kerana ia termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan sebagainya.
Menurut Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga, sesuatu yang haram itu tidak boleh dimiliki. Sebaliknya ia menjadi milik maslahah umum seperti dibelanjakan kepada perkara kebajikan seperti membantu anak-anak yatim, perkembangan dakwah Islam, pembinaan masjid dan pusat Islam, penyediaan para pendakwah, penerbitan kitab-kitab agama dan seumpamanya yang bersifat kebajikan.
Timbul persoalan sekiranya wang yang halal dan wang yang haram bercampuraduk dan tidak dapat dibezakan, contoh, wang simpanan yang halal di dalam bank bercampur dengan wang faedah yang haram dalam akaun yang sama. Menurut kaedah fiqh, apabila berkumpul perkara yang halal dengan perkara yang haram, maka ia dikira haram. Dalam konteks ini, sesuatu yang halal (wang pokok) boleh digunakan manakala yang haram itu (faedah) dilupuskan dengan menyerahkannya kepada pihak Baitulmal bagi tujuan maslahah umum. Namun sekiranya nilai yang halal dan haram itu tidak dapat dipastikan, maka kaedah berijtihad nilai (al-ihtiyath) boleh digunakan bagi menentukan pembahagian yang betul antara kedua-duanya.Dengan cara ini, perkara yang halal dapat diasingkan daripada perkara yang haram dan masih dapat dimanfaatkan walaupun telah berlaku campur aduk antara kedua-duanya.[Hairul Nizam Ijam]

No comments:

Post a Comment