Monday, November 30, 2015

Peringatan Ketika Masih Hidup

Panggilan yang perlu disambut sepanjang hidup iaitu Panggilan Azan, Panggilan Haji, Panggilan Ajal. Pandai macam mana pun kita dalam ilmu pengetahuan matematik, kita masih tidak dapat mengira jumlah dosa dan pahala. Salah satu cara hati hendak khusyuk dalam Islam ialah apabila dengar azan hati berbisik "Allah sedang panggil aku".
Salah satu cara hendak khusyuk dalam solat, haruslah khusyuk dahulu wuduknya.Bila dilahirkan, kita diazankan tanpa solat. Bila dimatikan, kita disolatkan tanpa azan. Semasa hidup tidak mendatangi masjid, Bila sudah mati baru hendak datang. Kedatangan itu pun terbaring depan Imam.Kalimah masjid disebut sebanyak 27 kali di dalam Al Quran. Dan sebanyak 15 daripada itu dikhususkan dengan menyebut nama masjidnya.
Rukun wuduk ada 6, 2 kering dan 4 basah. Yang kering adalah Niat dan Tertib. Yang basah pula adalah muka, tangan, rambut dan kaki. Bila kita hendak telefon, tertinggal 1 digit agak mustahil untuk kita membuat panggilan. Begitu juga dengan solat, bila kita tertinggal 1 fardhu, akan terputus panggilan kita dengan Allah S.W.T. Hendak tahu keputusan bola sepak, kita mestilah tengok pada minit ke 90, bukannya minit pertama. Begitu juga dengan kebaikan hidup seseorang. Kita haruslah tengok minit terakhirnya dan bukannya tengok minit permulaan dan pertengahannya.
Ingin terang, lapang dan berteman di dalam kubur, berdampinglah dengan Al-Quran. Yang bisu ingin membaca Al Quran. Yang Tuli ingin mendengarkannya.Yang buta ingin melihatnya. Tetapi yang sihat kebanyakannya lalai dengan gajet. Allahu...

Menangis

Dalam Islam, menangis sangat dianjurkan. Kerana menangis itu menunjukkan hati seseorang itu lemah lembut tidak keras.Allah S.W.T. berfirman:“Dan mereka bersujud sambil menangis dan maka bertambahlah atas mereka perasaan khusyuk’” (Surah Al-Isra' ayat109). "Apakah kerana keterangan ini kamu merasa hairan, lalu tertawa dan tidak menangis?". (Surah An-Najmi ayat59-60). “…Apabila dibacakan ayat-ayat Allah yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis.” (Surah Maryam ayat 58).
Dalam Hadis telah diceritakan dari Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah bersabda kepadaku: “Bacakanlah kepadaku Al Qur’an." Aku menjawab, “Ya Rasulullah bagaimana aku akan membacakan Al Qur’an kepadamu, padahal kepadamulah Al Qur’an itu telah diturunkan." Rasulullah bersabda: “Aku suka mendengar Al Qur’an itu dibaca oleh orang lain." Maka aku membaca surat An Nisa’ sampai kepada ayat: فكيف إذا جئنا من كل أمة بشهيد وجئنا بك علي هؤلاء شهيدا ..."(bagaimanakah bila Kami telah mendatangkan engkau (Rasulullah) sebagai saksi atas semua mereka itu?)." Rasulullah bersabda, “ Cukuplah bacaanmu itu wahai Ibnu Mas’ud." Ibnu Mas’ud berkata, “Aku menoleh pada Nabi dan kulihat mata Nabi berlinang basah oleh air mata." (HR. Bukhari Muslim).

Sunday, November 29, 2015

Erti Kawan Bagi Imam Al-Ghazali

Bila berdamping dengan KAWAN YANG ADA ILMU, dan dia sentiasa BERBAHAGI ILMU DAN MENASIHATI kita, Imam Al-Ghazali kata jangan lepaskan kawan ini. Berkawanlah dengannya kerana banyak kebaikan boleh diperolehi. Kalau kawan TIADA ILMU, tetapi kita ada ilmu dan DIA TERIMA ILMU serta nasihat agama yang kita sampaikan kepadanya, berkawanlah dengan dia kerana dengan ilmu yang kita sampaikan dan nasihatkan, dia dapat melaksanakan perintah Allah SWT. Kita dapat pahala juga. Kalau kawan itu TAK ADA ILMU, dan kita pula ada ilmu tetapi bila disampaikan dan dinasihatkan kepadanya, dia TIDAK MAHU TERIMA dengan memberi macam-macam alasan, Imam Al- Ghazali kata jangan berkawan dengan orang macam ini kerana tiada manfaat kepada kita dan dia. Dikhuatiri kita pula terikut-ikut dengan cara dan tingkah lakunya yang boleh membawa kita kepada kehancuran.

Thursday, November 26, 2015

Jumaat - Penghulu Segala Hari

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya hari JUMAAT ADALAH PENGHULU SEGALA HARI dan hari yang paling besar di sisi Allah, iaitu hari yang lebih besar daripada Hari Raya Aidil-Adha dan Hari Raya Aidil-Fitri. Pada hari Jumaat itu terdapat lima kejadian, iaitu hari yang dijadikan Adam dan beliau diturunkan dari Syurga ke muka bumi dan pada hari itu juga wafatnya Adam, Allah mengurniakan satu saat doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat dan pada hari Jumaat juga terjadi hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Sujud Syukur

Sifat orang mukmin akan sentiasa bersyukur dengan nikmat dan rezeki daripada Allah S.W.T. Salah satu tanda syukur apabila mendengar atau mendapat sesuatu yang mengembirakan adalah dengan bersujud syukur dan memuji dan memuja kebesaran Allah S.W.T. dengan ucapan ALHAMDULILLAH.
SUJUD SYUKUR dilakukan secara SPONTAN ketika mendapat nikmat atau menerima berita menggembirakan. Sujud syukur sama seperti yang dilakukan di dalam solat. Cuma perkara yang tidak disyaratkan dalam sujud syukur ialah mengenai wuduk, menghadap kiblat, pakaian yang bersih daripada najis, atau tempat-tempat tertentu seperti masjid/surau. Ia BOLEH DILAKUKAN DI MANA SAHAJA --- di tepi jalan, di pasar, di kebun, di kilang, di tepi pantai, di dalam kereta dan sebagainya, ASALKAN BUKAN TEMPAT KOTOR seperti tandas. TIDAK ADA BACAAN KHUSUS pada waktu melakukan sujud syukur. Menurut penjelasan Jumhur ulama, cara melakukannya ialah dengan mengucapkan TAKBIR LEBIH DAHULU, KEMUDIAN SUJUD. Sesudah itu bangkit dari sujud dan terus memberi SALAM. Ada juga sebahagian ulama yang berpendapat bahawa sujud syukur tidak perlu dimulakan dengan takbir dan disudahkan dengan salam, tetapi CUKUP DENGAN BERSUJUD sahaja, kemudian bangkit dan duduk kembali. Oleh itu, marilah kita ikuti amalan yang biasa dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai tanda kasih kita pada Zat yang memberi nikmat.

Tuesday, November 24, 2015

Adab Ketika Dihina

"Jika ada seseorang yang menghinamu dan memalukanmu dengan sesuatu yang dia ketahui ada padamu, maka janganlah engkau membalasnya dengan sesuatu yang engkau ketahui ada padanya. Akibat buruk biarlah dia yang menanggungnya.” (HR. Abu Daud no. 4084 dan Tirmidzi no. 2722. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahawa sanad hadis ini shahih. Al Hafizh Ibnu Hajar juga menyatakan bahawa hadis ini shahih).

Bakti Kepada Ibu Tua

Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya. Lelaki itu seorang penjual daging di pasar. Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamunya beberapa hari. Lelaki itu bersetuju menerimanya.Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apa amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di syurga kelak, namun merahsiakan tujuannya.
Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkannya di atas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging ke mulut wanita tua tersebut sehingga dia kenyang. Kemudian pakaian wanita tua yang kotor terkena sup ditukar dan dibasuhnya di sebuah telaga berhampiran rumahnya. Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya, "Siapakah perempuan tua itu?"
Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya. Sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi." Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya Syurga di akhirat kelak.'
Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan berkata, "Saya datang ke sini kerana ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah menjadikan saudara teman saya di Syurga kelak." Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya hingga ke akhir hayat.
Begitulah pahala dan kebahagiaan yang diterima oleh seorang anak yang soleh, yang mana Allah menjanjikan syurga kepada hamba-Nya yang mengasihi ibu bapa dan menabur bakti kepada mereka berdua sehingga akhir hayat. Rasulullah s.a.w. mengajar kita untuk mendoakan kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup atau pun telah meninggal dunia, "Ya Allah, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihani diriku sewaktu aku kecil dahulu. Amin yarabbal 'alamin."

Kacang Lupakan Kulit


Manusia sering mengejar kekayaan dan kemewahan.Kekayaan yang tidak mengikut jalur agama tidak boleh menjadi tiket ke syurga. Bahkan kekayaan itu akan menyebabkan pemiliknya terseksa di akhirat dengan hisab yang panjang, setara dengan harta yang diperolehi.Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya orang miskin (yang bertaqwa) akan memasuki syurga 500 tahun lebih awal berbanding orang kaya." (HR Al-Tirmizi). Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Akan datang sesudah kamu kaum yang MAKAN MAKANAN TERLAZAT, MENUNGGANG KUDA YANG TERELOK, MENGAHWINI WANITA TERCANTIK, namun perut mereka TIDAK PERNAH KENYANG, NAFSU MEREKA TIDAK PERNAH PUAS. Mereka memburu dunia pagi dan petang. Mereka jadikan dunia sebagai tuhan. Lalu mereka patuhi perintah (dunia) dan mereka turutkan keinginannya."


Mata zahir pemuja dunia sering terpesona dengan rupa luaran menyebabkan mata hati sukar melihat jalan ke akhirat. Telinganya tuli daripada mendengar ZIKRULLAH dan KALAMULLAH. Senario zaman ini memuja nafsu dan kebendaan. Terlupa pada Zat yang memiliki JASAD DAN ROH manusia itu sendiri. Wallahu a'lam.

Monday, November 23, 2015

Sakit Itu Kurnia

Hebatnya kasih Allah. Sakit yang diberi-Nya berupa penghapusan dosa. Sakit yang diberi-Nya menjadi petanda perhatian-Nya ke atas kita. Sakit yang diberi-Nya berupa penambahan pahala, jika kita bersabar.Pahala bersabar pula tidak ada had. Ia berterusan mengalir.Sakit membuatkan kita lebih berfikir tentang keinsafan dan kebaikan. Sakit membuatkan kita berasa sangat rapat dengan-Nya.Para nabi juga jatuh sakit. Para wali juga pernah tidak sihat. Bukan kita sahaja yang dirundung ketidakselesaan.Tanpa sakit, kita mungkin sudah lama melupakan Allah, kita mungkin semakin hanyut dari laluan, kita mungkin semakin tenggelam dalam lautan kealpaan.Sungguh Allah Maha Hebat...

Ketentuan Tuhan Bukan Kebetulan

Setiap yang berlaku dalam kehidupan adalah KETENTUAN TUHAN, BUKAN KEBETULAN. Berusahalah untuk menerima walaupun berat. Tidak ada KETENTUAN BURUK di sisi Allah. Setiap suatu mempunyai hikmah. Bila ditimpa musibah, baru manusia tersedar akan kelalaian mensyukuri setiap nikmat.Betapa manusia terlalu mementingkan diri kerana sentiasa MEMINTA PERHATIAN DARI-NYA, sedangkan manusia itu TIDAK MEMBERI PERHATIAN KEPADA-NYA.
Mari kita hayati apa yang dituturkan oleh Imam Hasan a-Basri. "Aku tahu rezekiku tak mungkin diambil orang lain, kerananya hatiku tenang.Aku tahu amal-amalku tak mungkin dilakukan orang lain, maka aku sibukkan diriku untuk beramal.Aku tahu Allah selalu melihatku, kerananya aku malu bila Allah mendapatiku melakukan maksiat. Aku tahu kematian menantiku, maka kupersiapkan bekal untuk berjumpa dengan Rabbku."
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, “Tidakkah kamu lihat Allah membuat perumpamaan; kalimah yang baik umpama pokok yang baik, akarnya kukuh (di dalam bumi) dan dahannya menjulang tinggi ke langit. Menghasilkan buah setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan ini untuk manusia supaya mereka mengerti. Dan perumpamaan kalimah yang buruk ialah pokok yang buruk, akarnya terbongkar dari bumi, dan tidak dapat berdiri tegak.” (Surah Ibrahim ayat 24-26)

Sunday, November 22, 2015

Kembali Sesuci Kain Putih

Seorang yang kaya lagi pemurah meminjamkan pinggannya yang cantik, bersih dan berseri kepada 3 orang peminjam. Tidak lama kemudian ketiga-tiganya memulangkan pinggan masing-masing.Orang pertama memulangkan pinggannya dalam keadaan BERSIH, WANGI DAN BERSERI seperti asal. Dengan penuh ceria, orang kaya itu meletakkan pinggan tersebut ke TEMPAT YANG BAIK.Orang kedua memulangkan pinggannya dalam keadaan yang TIDAK BERSIH. Orang kaya itu MEMBERSIHKANNYA DAHULU SEBELUM DISIMPAN DI TEMPAT YANG BAIK.Orang ketiga memulangkan pinggannya dalam keadaan SUDAH PECAH dan tidak serupa pinggan lagi. Dengan rasa MARAH DAN TIADA PILIHAN, orang kaya itu MEMBUANG PINGGAN PECAH YANG TIDAK BOLEH DIGUNAKAN LAGI KE DALAM TONG SAMPAH.
MORALNYA: Diri kita ini dari zahir dan batin adalah pinjaman Allah S.W.T. Maka apabila kita kembali kepada-Nya, sepatutnya kita kembali dalam keadaan cantik dan bersih dari sebarang dosa … SESUCI KAIN PUTIH, seperti kita mula-mula dilahirkan ke dunia dahulu. Syurga-Nya pasti menantikan kedatangan kita. Janganlah kita kembali kepada-Nya dalam keadaan kurang bersih, tercemar dengan dosa-dosa yang tidak sempat memohon taubat. Lalu Allah S.W.T. memasukkan kita ke neraka selama ribuan tahun. Setelah bersih, barulahlah kita ditempatkan di syurga-Nya. Janganlah kita kembali dalam keadaan sangat buruk sehingga Allah S.W.T. mencampakkan kita ke neraka buat selama-lamanya. Semuanya kerana amalan kita yang rosak dan berkecai akibat tidak menjaga iman, tidak menjaga diri dari perkara mungkar dan maksiat serta syirik. Wallahu a’lam.

Friday, November 20, 2015

Hari Yang Pergi Takkan Kembali

Peringatan buat manusia yang lalai dan terlupa saat-saat denyutan jantung mulai perlahan dan akhirnya terhenti.
"Tidaklah datang suatu hari daripada hari-hari di dunia ini melainkan ia berkata: 'Wahai manusia! Sesungguhnya AKU ADALAH HARI YANG BARU, dan sesungguhnya AKU AKAN MENJADI SAKSI (di hadapan Allah) atas apa-apa yang kalian lakukan kepadaku.Apabila matahari terbenam, maka AKU AKAN PERGI meninggalkan kalian dan TAKKAN PERNAH KEMBALI LAGI hingga hari kiamat." (Imam Hasan al Basri).
"Ya Allah, perbaikilah agamaku yang merupakan penentu (kebaikan) semua urusanku, dan perbaikilah (urusan) duniaku yang merupakan tempat hidupku, serta perbaikilah akhiratku yang merupakan tempat kembaliku (selamanya), jadikanlah (masa) hidupku sebagai penambah kebaikan bagiku, dan (jadikanlah) kematianku sebagai penghalang bagiku dari semua keburukan," (HR Muslim).
Anas r.a. dari Rasulullah s.a.w. beliau bersabda, "Yang mengikuti mayat itu ada tiga, iaitu keluarga, harta benda, dan amal perbuatannya. Yang dua kembali dan yang satu tetap bersamanya iaitu keluarga dan harta bendanya kembali dan amal perbuatannya tetap bersamanya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Thursday, November 19, 2015

Teruskan Menanam Bakti

Ketika menanam padi, rumput pun ikut tumbuh tetapi bila menanam rumput, tidak pernah padi tumbuh. Begitulah ibaratnya, dalam kita "berbakti" kadang-kadang hal yang "buruk" turut menyertai. Namun, ketika melakukan "keburukan", tidak ada "bakti" datang bersama. Jangan bosan untuk berbuat "baik" meskipun kadang-kadang tidak sempurna. Manusia menjadi sempurna kerana memiliki "kekurangan" di samping "kelebihan".

Rumah Luas Dengan Bacaan Al Quran

Sabda Nabi s.a.w. "Sesungguhnya rumah akan terasa luas bagi penghuninya bila didatangi malaikat, dijauhi syaitan dan akan membanjir pula kebaikan di dalamnya, jika dibacakan al Quran di dalamnya. Sebaliknya rumah itu akan terasa sempit bagi penghuninya, akan dijauhi malaikat dan akan didatangi syaitan serta tidak banyak kebaikan di dalamnya jika tidak dibacakan al Quran" (HR Ad-Darimi)

Waktu Afdal Berselawat

Masa paling afdhal berselawat ialah 1. Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w. 2. Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan. 3.Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.4. Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa. 5.Di akhir qunut dalam solat. 6. Di dalam solat jenazah.7. Ketika masuk dan keluar dari masjid. 8. Setiap waktu pagi dan petang. 9. Hari Khamis malam Jumaat. 10. Sepanjang hari Jumaat. 11. Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.
Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a : “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (HR Bukhari dan Muslim)

Keutamaan Mengkhatam Al Quran

Dari Ibnu Abbas r.a. beliau mengatakan ada seseorang yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Baginda menjawab, “Al-hal wal murtahal.” Orang ini bertanya lagi, “Apa itu al-hal wal murtahal, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Iaitu membaca Al-Qur’an dari awal hingga akhir. Setiap kali selesai dia mengulanginya lagi dari awal.” (HR. Tirmidzi).
Dari Abu Qilabah, Rasulullah s.a.w. mengatakan, “Barangsiapa yang menyaksikan (mengikuti) bacaan Al-Quran ketika dibuka (dimulai), maka seakan-akan dia mengikuti kemenangan (futuh) fi sabilillah. Dan barangsiapa yang mengikuti pengkhataman Al-Quran maka seakan-akan dia mengikuti pembahagian ghanimah.” (HR. Addarimi).
Dari Mus’ab bin Sa’d, dari Sa’d bin Abi Waqas, beliau mengatakan, “Apabila Al-Quran dikhatamkan bertepatan pada permulaan malam, maka malaikat akan berselawat (berdoa) untuknya hingga subuh. Dan apabila khatam bertepatan pada akhir malam, maka malaikat akan berselawat/ berdoa untuknya hingga petang.” (HR. Addarimi.)
Dari Abdullah bin Amru bin Ash, beliau berkata, “Wahai Rasulullah s.a.w., 'Berapa lama aku sebaiknya membaca Al-Qur’an?' Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam satu bulan.” Aku berkata lagi, “Sungguh aku mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam dua puluh hari.” Aku berkata lagi, “Aku masih mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima belas hari.” “Aku masih lebih mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam sepuluh hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Baginda menjawab, “Khatamkanlah dalam lima hari.” Aku menjawab, “Aku masih lebih mampu lagi, wahai Rasulullah.” Namun baginda tidak memberikan izin bagiku. (HR. Tirmidzi)
Dari Abdullah bin Amru bin Ash, dari Rasulullah SAW., beliau berkata, “Puasalah tiga hari dalam satu bulan.” Aku berkata, “Aku mampu untuk lebih banyak dari itu, wahai Rasulullah.” Namun beliau tetap melarang, hingga akhirnya beliau mengatakan, “Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan bacalah Al-Quran (khatamkanlah) dalam sebulan.” Aku berkata, “Aku mampu lebih dari itu, wahai Rasulullah?” Beliau terus malarang hingga batas tiga hari. (HR. Bukhari).
Dari Abdullah bin Amru, beliau mengatakan bahwa Rasulullah SAW. bersabda, “Tidak akan dapat memahami/menghayati Al-Quran, orang yang membacanya kurang dari tiga hari.” (HR. Abu Daud). Dari Aisyah ra, beliau mengatakan, “Aku tidak pernah tahu Rasulullah s.a.w. mengkhatamkan Al-Quran secara keseluruhan pada malam hingga fajar.” (HR. Ibnu Majah).
Dari Tsabit al-Bunnani, beliau mengatakan bahawa Anas bin Malik jika sudah mendekati dalam mengkhatamkan Al-Qur’an pada malam hari, beliau menyisakan sedikit dari Al-Qur’an, hingga ketika subuh hari beliau mengumpulkan keluarganya dan mengkhatamkannya bersama mereka. (HR. Darimi).
Hikmah yang dapat dipetik dari hadis Anas di atas, ketika khatam Al-Quran merupakan waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah. Dengan mengumpulkan seluruh anggota keluarga, semuanya berdoa secara bersama kepada Allah mengharapkan rahmat dan barakah dari-Nya.

Jangan Kutuk Diri Sendiri

Bila kecewa dengan prestasi diri, jangan sesekali mencela diri dengan kata-kata negatif, anggap diri kurang berguna, mengutuk diri sebagai bodoh dan sebagainya, kerana Malaikat mendoakan kata-kata kita. Cukuplah dengan berdoa supaya Allah menambahkan prestasi kita. Nabi s.a.w bersabda: لَا تَدْعُوا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلَّا بِخَيْرٍ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ يُؤَمِّنُونَ عَلَى مَا تَقُولُونَ ---bermaksud "Janganlah kamu mendoakan dirimu kecuali dengan baik kerana sesungguhnya Malaikat meng'aamiin'kan apa yang kamu katakan." (HR Sohih Muslim)

Wednesday, November 18, 2015

Masuk Rumah Baru

Bila pindah ke rumah baru, panjatkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Ingatlah ketika Tuhanmu mengumumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim ayat 7). Nikmat itu bukan hasil usaha sendiri semata-mata. Pujilah Allah atas nikmat yang telah Dia anugerahkan. Gunakan nikmat itu untuk kegiatan yang Allah redhai, dan bukan untuk sesuatu yang terlarang.
Sebagai bentuk menyempurnakan rasa syukur itu, kita dianjurkan untuk mengadakan jamuan untuk saudara-mara, rakan, dan jiran. Walimah ini diistilahkan dengan Al-Wakirah. Al-Imam As-Syafii mengatakan tentang Al-Wakirah:“Di antara bentuk walimah adalah Al-Wakirah. Saya tidak memberi kelonggoran untuk meninggalkannya.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, 8/207).
Masuklah rumah baru dengan mambaca MASYAA-ALLAH, LAA QUWWATA ILLAA BILLAAH. Bacaan ini terdapat dalam firman Allah di surat Al-Kahfi yang bermaksud: “Mengapa kamu tidak mengatakan waktu kamu memasuki kebunmu “Masya Allah, laa quwwata illaa billaah (sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu anggap aku lebih sedikit darimu dalam hal harta dan keturunan.” (Surah Al-Kahfi ayat 39). Ketika membahas ayat ini, Ibnul Qayim mengatakan, “Selayaknya bagi orang yang memasuki kebunnya, atau rumahnya, atau terasa hairan terhadap harta dan keluarganya, hendaklah dia segera membaca kalimat ini. Kerana dia tidak akan melihat sesuatu yang buruk terhadap nikmat itu.” (Al-Wabilus Shayyib, hlm. 165).
Hal kecil yang mungkin perlu dibiasakan adalah memulai segala yang penting dengan doa atau zikir. Salah satunya, ketika kita masuk rumah. Meskipun kelihatanya remeh, namun hasilnya luar biasa.Dari Jabir bin Abdillah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda: “Apabila ada orang yang masuk rumah, kemudian dia mengingat Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan mengatakan (kepada temannya): ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam.’ Namun, jika dia tidak mengingat Allah (bismillah dan jangan lupa ucapkan salam) ketika masuk, maka syaitan mengatakan: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.” (HR. Muslim 2018, Abu Daud 3765 dan yang lainnya)
Dari Jabir bin Abdillah radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam memberikan banyak saran agar kita tidak diganggu syaitan. Salah satunya: “Tutuplah pintu, dan sebutlah nama Allah. Kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup (yang disebut nama Allah).” (HR. Bukhari 3304, Muslim 2012 dan yang lainnya).
Satu doa ketika keluar rumah. Ringkas, mudah dihafal, tetapi khasiatnya besar: BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALALLAAH, LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLAA BILLAAH (Dengan nama Allah aku bertawakkal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.) Dalam hadis dinyatakan, siapa yang keluar rumah kemudian dia membaca doa ini, maka disampaikan kepadanya petunjuk, dicukupi dan dilindungi. Maka syaitan kemudian berteriak: “Bagaimana kalian boleh mengganggu orang yang sudah diberi hidayah, dicukupi, dan dilindungi.” (HR. Abu Daud 5095, Turmudzi 3426 dan dishahihkan al-Albani).
Selain zikir, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam juga mengajarkan kepada umatnya untuk melakukan sikap tertentu agar rumahnya dimasuki malaikat dan dihindari syaitan. Di antaranya adalah tidak menyimpan gambar makhluk bernyawa. Siapa tahu entahkan gambar makhluk bernyawa itu boleh menyebabkan jin kafir dan syaitan semakin suka tinggal di rumah kita. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:“Sesungguhnya malaikat tidak akan memasuki rumah yang di dalamnya ada gambar (gambar makhluk bernyawa).” (HR. Bukhari 3224, Nasai 5348 dan yang lainnya). Ketika malaikat penebar rahmat tidak memasuki rumah kita, di saat itulah makhluk lain, yang juga tidak kelihatan, akan menggantikan posisi mereka. Foto keluarga, gambar binatang dan seterusnya boleh jadi membuat rumah kita makin indah bagi syaitan.
Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam menyebutnya “mizmarus syaithan” (muzik syaitan). Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam berkata tentang lonceng: muzik syaitan. (HR. Abu Daud 2556). Malaikat penebar rahmat menghindari rumah yang dipenuhi dengan muzik. Dari Ummu Salamah radhiallahu ‘anha, Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda:“Sesungguhnya malaikat tidak akan menyertai rombongan yang di sana ada loceng.” (HR. Thabrani dalam al-Mu’jam al-Kabir, 1001).