Thursday, April 30, 2015

Matematik Sedekah

Bersedekah menjadikan harta kita semakin banyak. Ini matematik sedekah yang telah Allah janjikan. ---10-1= 19.Pertambahan ya? Bukan pengurangan? Kenapa begitu? Ketika dikurangi hasilnya lebih besar? Kenapa bukan 10 – 1 = 9? Inilah matematik sedekah. Ketika kita memberi dari apa yang kita ada, Allah akan mengembalikan lebih banyak lagi. Matematik ini diambil dari Surah Al – An’am ayat 160 ketika Allah menjanjikan balasan 10 kali lipat bagi mereka yang berbuat baik-----“Barang siapa membawa amal baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya ; dan barang siapa yang membawa perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dianiaya (dirugikan)."
Jadi, ketika kita ada 10, lalu kita sedekahkan 1 di antara yang sepuluh itu, maka hasil akhirnya bukan 9, melainkan 19. Sebab yang satu yang kita keluarkan dikembalikan Allah sepuluh kali lipat.Hasil akhir atau jumlah akhir bagi mereka yang bersedekah tentu akan lebih banyak lagi, bergantung pada kehendak Allah yang menjanjikan balasan berkali – kali lipat lebih dari sekadar sepuluh kali lipat. Dalam Surah Al – Baqarah ayat 261, Allah menjanjikan 700 kali lipat.---“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang – orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap – tiap bulir ada seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Yasin ayat 58 7 X 7 Niat

Membaca Surah YASIIN sepenuhnya dan pada ayat ke 58 surah SALAAMUN QAULAMMIR RABBIN RAHIM “ diulang sebanyak 7 kali untuk 7 niat yang baik, Insyallah dengan izin yang maha esa dan maha kuasa, mudah-mudahan semua hajat tersebut akan dikabulkan. Caranya begini: 1) YA-ALLAH YA-RAHIM, Ampunkan dosa-dosaku dan saudara-maraku. 2) YA-ALLAH YA-RAHMAN, Kurniakan aku isteri,suami,anak-anak yang dan mencintai islam. 3) YA-ALLAH YA-RAZZAK, Kurniakan aku rezeki yang berkat,kerja yang baik dan berjaya didunia dan akhirat. 4) YA-ALLAH YA-JABBAR, Makbulkan penghantar maklumat yang aku dapat ini 5) YA-ALLAH YA-MUTAQABBIR, Jauhkan aku dari sifat khianat dan munafiq dan miskin. 6) YA-ALLAH YA-WADUUD, Kurniakan aku dan seluruh umat muhammad yang beriman kesihatan zahir batin. 7) YA-ALLAH YA-ZALJALA LIWAL IKRAM, Makbulkanlah semua hajatku, dan AMINNNNN.

Dapatkan Keberkatan Kenderaan

Kenderaan adalah salah satu nikmat Allah SWT yang dapat memudahkab Muslim untuk melakukan ketaatan, tetapi juga dapat memudah manusia melakukan kemaksiatan. Agar kenderaan mendatangkan berkat, sebaiknya Muslim menghadirkan niat baik, menyedari kenderaan itu nikmat Allah SWT yang harus disyukuri.Apabila telah duduk di atas kenderaan, hendaklah bertakbir tiga kali (Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar), kemudian membaca doa, “Subhanalladzi sakhoro lanaa haadza wamaa kunna lahu muqriniin. Wa innaa ilaa rabbinaa lamunqalibuun.”

Melunaskan Hutang

Hutang adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, sama ada jumlah kecil atau besar. Untuk melunaskan hutang, buatlah daftar semua hutang kita, diurutkan dari yang terbesar hingga yang terkecil. Bayar hutang yang terkecil dahulu. Lunaskan sehingga tidak menjadi beban lanjutan bagi kita. Bayar secara minimum hutang yang lebih besar. Jika hutang kecil selesai, lanjutkan ke hutang yang lebih besar. Pakar kewangan menyarankan kita membayar dua kali pembayaran minimum sehingga hutang selesai kurang dari tiga tahun. Jangan bayar hutang lampau menggunakan kad kredit. Jagi tutup lubang dengan menggali lubang baru. Bila hutang sudah lunas jangan buat hutang lagi. Bayar setiap hutang tepat pada waktunya.

Khasiat Beras Perang

Beras perang kurang digemari ramai kerana rasanya yang kurang enak namun khasiatnya amat bernilai berbanding beras putih. Dinamakan beras perang kerana ia tidak diproses seperti beras putih yang dibuang kulitnya.Bahagian yang dibuang itu mengandungi pelbagai nutrisi penting untuk kesihatan seperti serat, protein, magnesium, mangan dan zink. Beras perang cepat mengenyangkan menyebabkan kita kurang mengambil makanan lain. Seratnya memudahkan proses penghadaman. Beras perang beras menstabilkan kandungan gula dalam darah pesakit diabetes. Ia membebaskan gula secara perlahan-lahan berbanding beras putih. Serat yang tinggi membantu mencegah penyakit kanser usus, dan menghalang toksin daripada melekat pada usus.

Bakti Pada Ibu Bapa Yang Wafat

DOA merupakan cara berbakti kepada ibu bapa yang wafat yang dapat dilakukan oleh seorang anak. Sudahkah disisipkan doa untuk mereka berdua yang sudah meninggal di setiap sujud, solat malam dan waktu-waktu yang mustajab dikabulkannya doa? Jika belum, biasakan diri untuk melakukannya. Bukankah kita ingin membantu agar mereka mendapatkan kebaikan di akhirat kelak?
NAZAR adalah janji seseorang yang wajib dipenuhi. Jika seseorang tidak sempat memenuhi nazarnya, maka kebaikan bagi ahli warisnya, atau anaknya adalah memenuhi nazar yang belum dipenuhi oleh ibu atau bapa.
SEDEKAH dan WAQAF merupakan salah satu ibadah yang pahalanya amat besar. Jika ibu bapa telah meninggal, salah satu cara berbakti kepada orang tua yang sudah meninggal adalah dengan berinfak untuk mereka.

Nabi s.a.w. Disihir

Diriwayatkan dari Aisyah Ra bahawa Baginda Rasulullah saw pernah terkena sihir dari Bani Zuraiq yang bernama Labid bin Al A’sham sehingga baginda merasa seolah olah melakukan sesuatu yang tidak di lakukan. Pada satu malam Baginda berdoa dan terus berdoa untuk kesembuhan Kemudian baginda bertanya kepada Aisyah,"Apakah engkau merasa Allah akan memberikan petunjuk pada apa yang aku tanyakan kepada Nya?" Lalu datanglah 2 malaikat. Seorang duduk di samping kepala baginda dan yang satu lagi duduk di samping kaki baginda. Malaikat yang berada di sisi kepala baginda berkata kepada yang satu lagi."Apakah penyakitnya?" Lalu di jawab malaikat yang berada di samping kakinya: "Tersihir dari Labid bin Al-A’sham." Lalu ditanya lagi, "Di manakah sihir itu di tempatkan?" Dijawab, "Di kepalanya. Beberapa helai rambutnya telah diikat dengan pundi-pundi yang dibuat dari mayang korma jantan." Ditanya lagi, "Di manakah benda itu di letakkan?" Dijawab, "Di dalam perigi Zu Arwan."
Kemudian keesokan harinya Baginda pun bangkit dan pergi ke perigi tersebut bersama beberapa sahabat. Dilihatnya air di dalam telaga itu berwarna kuning kemerah-merahan dan pohon kurma yang ada di situ kelihatan bagaikan kepala-kepala syaitan. Seorang sahabat bertanya kepada baginda, "Apakah tidak ingin mengeluarkannya dari perigi ini?" Baginda menjawab, "Allah telah menyembuhkanku tetapi aku tidak senang dengan keburukannya yang akan berpengaruh kepada manusia. Baginda pun mengeluarkan pundi-pundi tersebut dan ditanamnya.
Berikut adalah Ruqyah yang digunakan Jibril waktu menyembuhkan Baginda Rasulullah s.a.w..dibacakan 3 kali berturut-turut ----- بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ، مِنْ كل شئ يُؤْذِيكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أو عَيْنٍ حاسِدٍ، اللَّهُ يَشْفِيكَ، بِسْمِ اللَّهِ أرْقِيكَ -----Bismillahi arqii-ka, min kulli syai-in yuk-dziika min syarri kulli nafsin aw ainin haasidin, Allahu yasyfii-ka, bismillaahi arqii-ka---"Dengan nama Allah, aku meruqyah-mu, dari semua yang menyakitimu, dari kejahatan setiap jiwa dan mata hasad, semoga Allah menyembuhkanmu, Dengan nama Allah, aku meruqyah-mu. " [Ustazah Siti Nurbaya Usman]

Wednesday, April 29, 2015

Wanita Penghuni Syurga VS Bidadari

Dari Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha, dia berkata, “Saya bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?" ”Nabi Muhammad shallallahu’‘alaihi wa sallam menjawab,“Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.”Saya bertanya, “Kenapa wanita dunia lebih utama dari pada mereka?" ”Beliau menjawab, “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah.Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka adalah kain sutera, kulitnya putih bersih, pakaiannya berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sisirnya terbuat dari emas. Mereka berkata, ‘Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.’.” (HR. Ath Thabrani)
Subhanallah. Betapa indahnya perkataan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebuah perkataan yang seharusnya membuat kita, wanita dunia, menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita solehah.Berusaha untuk menjadi sebaik-baik perhiasan. Berusaha keras untuk menjadi wanita penghuni syurga.(Mukhtashor Hadil al-Arwah ila Bilad al-Afrah (Temasya ke Syurga)
Kata orang tua-tua, suami itu macam nyawa isteri. Apa-apa yang kita hendak buat dan ke mana kita hendak pergi perlu ada suami, baru rasa selamat dan bahagia. Kalau berjauhan dengan suami terasa hilang semangat. Demikian jugalah perasaan yang sepatutnya ada dalam hati suami terhadap isterinya. Perasaan saling ingat mengingati antara suami dengan isteri itu akan menyemarakkan lagi rasa cinta dan kebahagiaan rumah tangga.[Prof Muhaya Mohamad]

Pahala Bagi Pemegang Sunnah Nabi s.a.w.

Nabi s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya di belakang kalian ada hari-hari kesabaran, kesabaran di hari itu seperti menggenggam bara api, bagi yang beramal (dengan Sunnah Nabi) pada saat itu akan mendapatkan pahala lima puluh.” Seseorang bertanya: “Limapuluh dari mereka wahai Rasulullah” Rasulullah menjawab: “Pahala limapuluh dari kalian.” (Shahih, HR Abu Dawud, At Tirmidzi lihat Silsilah Ash Shahihah no. 494)
Nabi s.a.w. bersabda:“Sesungguhnya Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana awalnya maka bergembiralah bagi orang-orang yang asing.” Rasulullah ditanya: “Siapa mereka wahai Rasulullah?” Jawab beliau: “Iaitu yang melakukan kebaikan ketika manusia melakukan kerosakan.” (Shahih HR Abu Amr Ad Dani dari sahabat Ibnu Mas’ud, lihat Silsilah Ash Shahihah no. 1273)
Selama seseorang berada di atas Sunnah Nabi maka dia tetap berada di atas istiqamah. Sebaliknya, jika tidak demikian bererti ia telah melencong dari jalan yang lurus sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Umar: “Manusia tetap berada di atas jalan yang lurus selama mereka mengikuti jejak Nabi.” ( Riwayat Al Baihaqi, lihat Miftahul Jannah no.197).
Abdulah bin ad-Dailami berkata: “Sesungguhnya awal hilangnya agama adalah ditinggalkannya sunnah, Islam akan berkurang satu sunnah demi satu sunnah seperti putusnya tali satu kekuatan demi satu kekuatan”. (Lamu ad-Duuril Mantsur Minal Qaulil Ma’tsur, hal. 21)

Tangisan Taqwa

Menangislah kerana air mata itu indah, sihat, dan simbol kejujuran. Menangis kerana Khalik adalah positif. Orang yang mudah berderai air matanya ketika mengingat dan merindukan Tuhannya, air mata itu akan melicinkannya menembusi syurga. Air mata yang tumpah kerana menangisi dosa masa masa lalu akan memadamkan api neraka. Hal ini sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW:‘‘Ada mata yang diharamkan masuk neraka, yaitu mata yang tidak tidur semalaman dalam perjuangan fisabilillah dan mata yang menangis kerana takut kepada Allah SWT.’’ (HR. Muslim)
Seorang sufi pernah mengatakan, jika seseorang tidak pernah menangis, dikhuatiri hatinya gersang. Salah satu kebiasaan para sufi ialah menangis. Tuhan memuji orang menangis: ‘‘Dan, mereka menyungkurkan wajah sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk...!!!’’ (QS Al-Isra' [17]:109). Nabi Muhammad SAW bersabda:‘‘Jika kalian hendak selamat, jagalah lidahmu dan tangisilah dosa-dosamu’’ (HR. Muslim)

Tuesday, April 28, 2015

IS Malaysia - Jihad Tersalah Letak!

Pihak Special Branch (SB) PDRM berjaya menangkap 12 lelaki yang disyaki sedang merancang meletupkan beberapa kawasan strategik termasuk Putrajaya dalam siri serbuan di kaki Gunung Nuang. Ramai yang menyindir, memperleceh malah tidak kurang juga yang menuduh pihak Special Branch melalui unit elit mereka di Bahagian Counter Terrorism hanya mengada-adakan cerita untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu semasa ketika ini. Mereka ini memang berfikiran sempit, mata hati sudah dibutakan oleh pegangan politik jumud yang tidak lagi mengenal baik buruk sesuatu perkara.
Ramai yang lupa peristiwa 18 Mei 2001 di Southern Bank Petaling Special Jaya, di mana pengawal keselamatan bank tersebut, Abdullah Mahmood berjaya menggagalkan cubaan rompakan di bank itu dengan menembak mati salah seorang daripada empat perompak. Dua parah dan salah seorang yang parah mati seminggu kemudian. Perompak yang ditembak itu ialah Adnan Mohd Daud, seorang graduan kejuruteraan dari Universiti Texas, USA. Rakan keempat yang menunggu di luar bank tersebut berjaya melarikan diri tetapi dapat ditangkap di rumah keluarganya di Temerloh beberapa hari kemudian. Rupanya mereka menganggap rompakan itu 'halal' kerana tujuan mereka semata-mata untuk mengumpul dana bagi tujuan 'jihad'! Maklumat Bukit Aman menunjukkan Adnan sendiri merupakan orang yang disyaki turut terlibat dalam pembunuhan ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas, Joe Fernandez pada 4 November 2000. ----- "Ahli politik beragama Kristian itu dibunuh di dalam keretanya di satu simpang oleh lelaki bermotosikal yang bersenjatakan pistol. Lelaki itu melepaskan tiga das tembakan di kepala dan badan Joe Fernandez. Kematian Adnan dan penangkapan rakan-rakannya telah membongkar kewujudan sebuah pertubuhan pengganas Islam yang dipanggil Kumpulan Militan Mujahidin Malaysia (KMM). Dua minggu selepas kes di Southern Bank, polis mengumumkan kumpulan itu mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan pengganas antarabangsa. Ahli-ahli kumpulan itu yang aktif menjual minyak wangi dari Timur Tengah mengambil kesempatan daripada urusan mengimport haruman tersebut untuk berhubung dengan pertubuhan pengganas antarabangsa. Siasatan polis menjumpai selaras raifel automatik M16, sejumlah besar bahan letupan, peluru dan pelbagai peralatan tentera serta bahan kimia di sebuah rumah di kawasan Puchong, Selangor. -----
Tidak ada rakyat Malaysia yang RASIONAL mahu peristiwa menggerunkan di Lahad Datu kembali berulang di Kuala Lumpur atau Putrajaya. Kita tidak mahu menerima nasib malang seperti SYRIA.Tidakkah mereka sedar sebenarnya IS itu tidak pernah sekali pun menyerang negara musuh Islam, seperti Israel ataupun berusaha menentang tentera Basyar, pemimpin penganut SYIAH yang MAHA ZALIM? Sebabnya, pemimpin Kumpulan IS itu sendiri pernah dilatih oleh kumpulan perisik MOSSAD Israel!!! Abu Bakar al Baghdadi mempergunakan pengetahuannya yang mendalam mengenai Islam untuk memusnahkan Islam dari dalam. Taktik ini disalin daripada pengasas Syiah zaman dahulu. Inilah yang berlaku bila ilmu agama yang benar tidak dipelajari dan perhalusi.Bandingkan perjuangan yang Rasulullah s.a.w lakukan dahulu dengan apa yang IS lakukan sekarang, membunuh mujahidin Syria yang menentang kezaliman Basyar semata-mata kerana mereka tidak setuju dengan tindakan IS. Allah beri kita akal untuk berfikir dan bukannya untuk mengagungkan sentimen dan persepsi. Bom dan peluru tak bermata, Nauzubillah!

Halo Matahari

Tengah hari semalam (28 April) kira-kira jam 1.30 hingga 2.30 telah berlaku halo matahari. Ramai yang tidak faham tentang fenomena alam ini. Di sini diperturunkan penjelasannya.
HALO adalah fenomena semulajadi yang berupa lingkaran cahaya di sekitar Matahari atau Bulan, dan kadang-kadang juga boleh berlaku pada sumber cahaya lain seperti lampu jalan. Ada berbagai jenis halo tetapi secara umumnya halo muncul disebabkan oleh kristal ais pada awan cirrus yang sejuk yang berada pada ketinggian 5 hingga 10 kilometer di lapisan atas troposfera. Bergantung kepada bentuk dan arah kristal ais, cahaya matahari dipantul dan dibiaskan oleh permukaan ais yang berbentuk prisma sehingga sinaran matahari menjadi terpecah kepada beberapa warna kerana kesan sebaran udara dan dipantulkan ke arah tertentu, sama seperti kejadian pelangi.
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati apabila ingin melihat atau merakamkan gambar halo secara terus tanpa menselindungkan matahari itu sendiri kerana ia akan memberi kesan yang berbahaya kepada mata.

Tiket Perjalanan Ke Negeri Jauh

Hidup ini sebenarnya seperti sebuah penantian untuk melakukan perjalanan panjang kita selalu menghindari..Dan TIKET perjalanan yang tanpa kita pesan ini sudah ditempah dengan PERCUMA. Mahu tidak mahu kita mesti mengikuti perjalanan tersebut. Berikut ini TIKET yang telah ditempah buat kita: INFO PERJALANAN MANUSIA ---▶ IDENTITI PENUMPANG :✅ Nama : Manusia ✅ Tempat Asal : Tanah ✅ Alamat : Planet Bumi ▶ KETERANGAN PERJALANAN :✅ Terminal Berangkat : Dunia ✅ Transit : Alam Kubur ✅ Terminal Sampai : Padang Mahsyar ✅ Tujuan Akhir : Syurga / Neraka ✅ Masa Berangkat : 'Surprise'.--- "Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati." (QS Lukman : 34)
✅ Check In : Oleh Malaikat Izrail---"Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. (QS. Qaaf:19) ✅ Bagasi yang dibenarkan :1⃣ Kain kafan 2⃣ Iman 3⃣ Amal Soleh ✅ Bagasi yang boleh menyusul :1⃣ Sedekah jariyah 2⃣ Ilmu yang bermanafaat 3⃣ Doa dari anak yang soleh ▶ TIP PERJALANAN YANG MENYENANGKAN :✅ Tujuan akhir di Syurga atau di Neraka ditentukan oleh diri sendiri dalam mengikuti tip perjalanan ini. ✅ Perjalanan akan jadi mudah, menyenangkan, tidak takut dan tidak sedih apabila sebelum perjalanan ini, ketika di dunia kita telah mengikuti petunjuk kehidupan dari-Nya. "Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada ketakutan atas mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati." (QS Al Baqarah : 38) ✅ Dalam perjalanan kita akan mendapat kelas EXECUTIVE dengan fasiliti super NIKMAT apabila termasuk orang yang TERPILIH! ---"Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin. Dan mereka itulah teman sebaik-baiknya." (QS An Nisa: 69)
✅ Kita akan selalu dihibur oleh malaikat dan selalu bahagia apabila kita mengakui hanya Allah sebagai tuhannya dan berISTIQOMAH dalam kehidupan. ---"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut Dan janganlah merasa sedih! Dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu. Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat.Di dalamnya kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh (pula) di dalamnya apa yang kamu minta." (QS As Fushilat 30-31)
CATATAN : ✅ Sebelum berangkat diharapkan untuk selalu membaca, mempelajari, menghafal dan mengamalkan BUKU PETUNJUK KEHIDUPAN AL QURAN. ✅ Sebelum berangkat juga diminta untuk selalu berhubungan dengan Allah dengan solat 5 kali sehari. Puasa Ramadhan, Membayar zakat dan Haji bila mampu.
AMARAN PENTING : Hati-hati dengan tipudaya Syaitan yang selalu menawarkan tiket ke Neraka !--- يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِي ----“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya. Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” (Al Baqarah : 208)
TIPS PERSEDIAAN TERAKHIR : ✅ Sila cetak TIKET perjalanan ini dan tampal di dinding sebagai pengingat. ✅ Semoga PERJALANAN nanti akan MENYENANGKAN! Dan sampai di Negeri yang sesuai dengan HARAPAN kita. Negeri yang penuh dengan kenikmatan, tidak ada kesusahan dan tidak akan ada penyesalan. SELAMAT BERLEPAS KE NEGARA JAUH. Wallahua'lam....[Mutiara Haty]

Melaka Haramkan Penggunaan Polisterin

Kerajaan Melaka akan mengharamkan penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polisterin di semua kafe di bangunan kerajaan, premis makanan pihak berkuasa tempatan dan sekolah di negeri ini, mulai 15 Mei depan.Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah berkata, langkah itu merupakan fasa pertama program 'Melaka Tanpa Polisterin' bertujuan mengurangkan penggunaan bahan polisterin yang sukar diurai dan menjejaskan alam sekitar.Fasa berkenaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula September tahun ini sebelum diperluaskan ke semua premis makanan di seluruh Melaka termasuk di bangunan swasta. Tindakan tegas akan diambil antaranya lesen perniagaan tidak akan diperbaharui sekiranya peniaga ingkar untuk mematuhi arahan ini." Program 'Go Green Together' bertujuan memupuk semangat cintakan kehijauan dalam kalangan rakyat.Usaha itu perlu dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh bagi memastikan rakyat negeri itu selamat daripada penyakit berbahaya kerana penggunaan bekas makanan polisterin boleh meracuni makanan. Peniaga dan orang ramai digalak menggunakan bekas makanan jenis biodegradasi atau mudah diurai seperti yang diperbuat daripada hampas tebu dan jagung.Pihak Perbadanan Teknologi Hijau akan mengeluarkan senarai nama pengeluar bekas makanan biodegradasi yang boleh didapati di sekitar negeri Melaka melalui media massa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan produk berkenaan dengan mudah. Usaha itu selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau dan mendidik rakyat menjaga alam sekitar. [Bernama]

Monday, April 27, 2015

Buku Israel di Pesta Buku

Sebuah gerai yang dibuka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 (PBAKL) kali ini mengejutkan pengunjung kerana gerai berkenaan mempamerkan buku-buku yang mempromosikan negara Israel dan agama Kristian dalam bahasa Melayu.Sebuah rak di gerai buku itu secara terang-terangan mempamerkan ayat yang boleh mencetuskan kontroversi iaitu ‘Kasih dan Rahsia Tersembunyi Tuhan untuk Akhir Zaman, Bangkitlah Israel’. Judul buku yang dijual di gerai itu telah diterjemahkan dalam bahasa Melayu antaranya, Bangkitlah Israel, Pesanan Salib dan Neraka hasil tulisan seorang paderi terkemuka yang berasal dari Korea Selatan, Dr. Jaerock Lee.Dua nashkah yang diterjemahkan itu dijualkan dengan harga RM45.Jaerock merupakan seorang paderi yang telah menjalankan 123 misi mubaligh di seluruh dunia antaranya di Kenya, Jerman, Israel, China dan termasuklah Amerika Syarikat.Buku hasil tulisannya iaitu Pesanan Salib telah diterjemahkan ke dalam 76 bahasa dan diedarkan di gereja di seluruh dunia termasuklah di Johor baru-baru ini. Pesta buku berkenaan akan berakhir pada 3 Mei nanti. Berhati-hatilah semoga tidak terbeli. [Kosmo]

Amanah Dalam Kerjaya

Bila kehidupan dijalani untuk memenuhi keperluan, sesiapapun boleh mendapatnya, TETAPI TUJUAN HIDUP TIDAK DAPAT DICAPAI. Manusia dilahirkan ke dunia ini untuk MENJADI HAMBA ALLAH. Sebagai hamba, tidak harus ada soalan-soalan seperti, “Mengapa saya mesti solat?” … “Mengapa saya mesti tutup aurat?” Tujuan kedua, untuk MENJADI KHALIFAH di muka bumi, bagi memimpin diri dan juga orang di bawah jagaan. Tujuan ketiga, untuk MENGIMARAHKAN DUNIA MENGIKUT HUKUM ALLAH.
Jika bekerja tanpa mengikut lunas-lunas ditetapkan Allah, contoh pekerja wanita memakai uniform yang tidak menutup aurat, bekerja di tempat yang menjual minuman atau benda-benda haram, melakukan perbuatan buruk semasa bekerja seperti curi tulang, main Facebook, guna telefon pejabat untuk perniagaan sendiri, dan lain-lain, bererti sudah mengingkari amanah kepada Allah. Oleh itu jangan kesal kalau hidup sentiasa dilanda musibah. Kualiti kerja yang diberi tidak sama dengan imbuhan (gaji) yang dibayar. Lebihan imbuhan itu ditarik balik oleh Allah melalui kesulitan hidup yang sentiasa sahaja timbul … selalu sakit dan kena bayar kos perubatan, rumah dimasuki pencuri, kereta rosak, anak-anak nakal, hidup tidak bahagia. Allah yang menentukan kita hanya boleh dapat nilai yang kita beri. Pun begitu, jika seseorang itu mendapat imbuhan lebih rendah namun dengan rela hati dia memberikan nilai kerja yang lebih tinggi, in sya Allah lebihan nilai itu akan Allah gantikan dengan keberkatan dalam kehidupan. Pendapatan nampak macam sedikit, tetapi tetap mencukupi, malah masih dapat disedekahkan kepada makhluk Allah yang lain. Untuk menentukan kejayaan, sama ada di tempat kerja ataupun dalam rumahtangga, tiga prinsip utama mesti diberi tumpuan. Prinsip pertama, INTEGRITI iaitu APA YANG DICAKAP SAMA DENGAN YANG DIBUAT. Jangan cakap lain tetapi buat lain. Kedua, MELAYAN ORANG LEBIH BAIK DARIPADA KITA INGIN DILAYAN. Dengan demikian tidak akan ada penganiayaan.
Sebagai contoh, jika masih ada lagi orang yang perlu dilayan di kaunter, janganlah ditutup kaunter itu semata-mata kerana hendak keluar makan tengah hari. Fikirkanlah, mungkin orang itu datang dari jauh dan tidak mudah untuknya menunggu, atau datang semula selepas kaunter dibuka pada jam 2.00 petang. Atau mungkin orang itu sudah lanjut usia, dan tidak boleh menunggu lebih lama atas faktor kesihatan. Selesaikan dahulu urusan orang itu, kemudian barulah berhenti makan. Tidak ada orang mati kerana kuat kerja tetapi lebih ramai yang mati kerana kuat makan. Orang jarang berkira dalam bab makan tetapi sangat berkira dalam soal kerja. Percayalah, orang tidak amanah dalam kerja bakal hidup merana. Kadang-kadang Allah turunkan balasan bukan di akhirat tetapi semasa di dunia lagi. Kalau pun kesusahan itu tidak menimpa diri sendiri, ia mungkin terkena kepada ahli keluarga. Prinsip ketiga, buat lebih dari yang patut. Seboleh mungkin, MASUKKAN KONSEP KETUHANAN DALAM KERJAYA. Hidup pasti lebih bahagia. Lihat sahaja para sukarelawan, sibuk menolong orang dan tidak banyak mendapat sakit. ORANG BANYAK PENYAKIT SUKA BERCAKAP TENTANG DIRI SENDIRI, “saya itu, saya ini, saya begitu, saya begini”. Setiap kali berjumpa asyik menunjukkan ubat-ubatnya. Dia tidak peduli tentang orang lain. Orang yang amanah memanfaatkan setiap waktu bekerja, kurang merungut atau mengurus hal-hal peribadi. Solat zohor ditunaikan tepat pada waktunya, bukan pada jam 2.00 ketika sudah masuk waktu bekerja. Waktu makan tengah hari benar-benar diguna untuk makan, bukan bersukaria atau berlepak.
Kebanyakan orang bekerja untuk mengejar cita-cita yang dapat dilihat oleh manusia lain. Namun, orang yang bekerja untuk mencari makna kehidupan, niat dan usahanya dilihat oleh Allah. Dia menjadikan kerjayanya sebagai ladang untuk menanam kebaikan yang hendak dibawa ke negeri akhirat. Dia menyayangi diri sendiri dan orang di sekeliling. Sebagai contoh, anak-anak yang dihargai dan disayangi bakal menjadi manusia yang ceria. Sebaliknya, anak yang sering dimarahi kerana kesilapan-kesilapan kecil akan sentiasa murung dan tidak menyayangi diri. Dia melakukan perkara-perkara yang merosakkan seperti menghisap rokok, melanggar disiplin, bergaul bebas, malas belajar. Sebaik-baiknya, bangunkanlah imej dan kekuatan dalamannya supaya bersikap positif dan tidak mengharapkan pujian dan motivasi dari orang. Dengan cara itu dia akan membesar menjadi hamba Allah yang amanah.
Ingatlah, tanpa matlamat hidup, amanah dalam kerjaya tidak pula dijaga, maka kebahagiaan tidak akan dicapai. Jadilah orang yang PROAKTIF UNTUK MENJADI AMANAH. Kenalilah diri sendiri, dalam hati rasa akan kehadiran Allah, lakukan sesuatu mengikut hukum yang ditetapkan-Nya. Setiap makhluk akan berjumpa Allah, oleh itu muhasabah di atas kesilapan yang dilakukan dan mengambil iktibar darinya, mencari inspirasi dalam diri sendiri dan bersyukur kepada-Nya setiap hari, memastikan kesihatan berada di tahap yang baik, membina hubungan dengan Allah dan sesama makhluk ciptaan-Nya, mencari wang yang halal dan berbelanja secara berhemah, perkara negatif ditangani sebaik mungkin. Bila semua ini dijaga, in sya Allah, kita akan menjadi seorang yang sangat menjaga amanah.

Sunday, April 26, 2015

Kategori Kerja Sebagai Ibadah

1.APABILA BEKERJA UNTUK KEPERLUAN DIRI. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; “ Jika seseorang di antara kamu pada tengah hari mengambil kayu di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta maka yang demikian adAlah lebih baik baginya dari meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, mulailah daripada yang terdekat”.
2.BEKERJA UNTUK KEPERLUAN KELUARGA. Rasulullah SAW bersabda bermaksud; “ Sesungguhnya Allah sangat cintakan kepada orang mukmin yang bekerja”.
3.BEKERJA UNTUK KEPERLUAN MASYARAKAT. Tidak semua manusia mempunyai kepakaran dalam semua bidang. Untuk itu kemahiran individu dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat yang diklasifikasikan sebagai tuntutan fardhu kifayah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud “ Bertanyalah pada orang yang lebih tahu jika kamu tidak mengetahui”An-Nahl Ayat 43.
4.BEKERJA UNTUK MEMAKMURKAN BUMI ALLAH. Pekerjaan yang kita lakukan mempunyai hubung kait yang rapat dengan unsur kehidupan manusia di dunia selain memelihara segala nikmat Allah yang dikurniakan di muka bumi ini.
CIRI-CIRI KERJA DIANGGAP IBADAH. 1.Niat kerana Allah.2. Berteraskan iman dan taqwa.3. Tidak meninggalkan yang wajib.4. Mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat. KERJA DIANGGAP IBADAH APABILA....Pekerjaan itu adalah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak. Pekerjaan yang disertakan dengan niat dan diredhai Allah. Pekerjaan yang dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh. Pekerjaan berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab. Menghasilkan kerja yang berkualiti. [Sumber: Prof Dr Muhaya Mohamed]
Jangan lakukan kerja semata-mata kerana tiada pilihan lain, kerana yang terhasil adalah dari usaha sambil lewa. Itu tidak adil bagi majikan dan diri sendiri. Sebaik-baik jalan ialah menukar kerja atau berpindah ke jabatan lain yang lebih sesuai dengan minat. Tidak patut kita terima upah hasil dari kerja yang ala kadar sahaja. Jika berhadapan dengan kegagalan, usah menuding jari ke sana sini. Sebaliknya carilah puncanya dan perbaiki. Allah akan memberikan rezeki penuh barakah jika kita berusaha memberikan yang terbaik melalui sebaran taqwa di tempat kerja, bersilaturahim sesama rakan sekerja, mengajak mereka melakukan kebaikan dan mengamalkan nilai-nilai budaya Islam menerusi akhlak yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Allah berfirman: "Beramallah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu lakukan, kamu akan dikembalikan kepada Yang Maha Mengetahui perkara-perkara tersembunyi dan yang nyata, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan." Surah At Taubah ayat 105.

Mutiara Kata


HARTA boleh menjadi 'hamba' yang baik, namun ia adalah 'tuan' yang buruk. Ia akan menjadi HAMBA apabila kamu mengumpul dan menafkahkannya di jalan benar dan halal, tetapi ia menjadi TUAN apabila kamu mengumpulnya ke dalam hati, lalu menjadi bakhil, tamak serta tiada menghirau yang haram. Tatkala itu berlaku, ia bakal menyakitimu dan mendukacitakanmu kerana ia telah menjadikanmu sebagai 'HAMBA'.


Jangan beribadah kepada Allah SWT kerana inginkan ganjaran keduniaan namun beribadahlah kepada-Nya agar diredhaiNya, kerana mereka yang diredhaiNya akan dkejutkan dengan pelbagai pemberian dan ganjaran.Nikmat tidak akan berterusan dianugerahi Allah swt kiranya kita asyik mengingkari kewujudannya. Sedarlah nikmat Allah kepada kita. Jangan asyik mengeluh dan rasa tertekan kerana menginginkan apa yang tidak diperolehi, nescaya hidup lebih tenang.


Apabila seseorang mampu melihat kebaikan pada orang lain dan kata-katanya, maka itulah antara tanda wujudnya kebaikan dalam dirinya juga. Demikian juga sebaliknya...Namun tidak menafikan perlunya berhati-hati pada tempatnya.


Ketidaksempurnaan adalah ciri penting dalam kehidupan manusia agar mereka saling boleh berusaha membuat amal, membuka ruang interaksi, sinergi, nasihat menasihati dan menghargai satu sama lain. Namun apabila ketidaksempurnaan menjadi punca pergaduhan melampau penuh kebencian, ia bakal mencipta musibah dan bencana. Mereka tidak pernah nampak ketidaksempurnaan itu pada diri sendiri, hanya nampak pada diri orang lainn, tidak mahu mengaku kelemahan dan kekurangan diri, malas bermuhasabah..telunjuk lurus kelingking berkait.


Indah bunga kerana warnanya, manis bunga kerana madunya,cantik bunga kerana bentuknya, daya tarikan pada wanginya. Namun .... indah hamba Allah pada tutur bicaranya, manis hamba Allah pada imannya, cantik hamba Allah pada akhlaknya,daya tarikan hamba Allah pada cahaya terpancar kerana ketenangan jiwa yang disulam keimanan pada Allah Yang Esa. Bunga yang indah mekar mewangi, cantik dipandang mata, menawan warnanya, pasti gugur jua bila tiba masa. Begitu jua hamba Allah. Segala nikmat dunia pasti hilang saat tiba kematian. Dunia hanya persinggahan sementara.


Jika mata telah terbuka, kepalsuan melampaui batas akan terlihat. Jika telinga hati telah terbuka, kebenaran yang tersembunyi akan terdengar di sebalik kata-kata yang diucap.