Wednesday, May 31, 2017

Hukum Orang Kafir Masuk Masjid






Para ulama berbeza pendapat tentang orang kafir masuk ke masjid.
Hal ini kerana mereka berbeza tafsiran pada ayat al Quran;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis. Kerana itu, janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini (tahun 9 H).” (At-Taubah: 28)
1. Imam al-Syafie (wafat 204 H) berpendapat orang kafir boleh masuk masjid kecuali masjid al haram. Hal yang sama dipegang oleh fuqaha mazhab Hanafi yang berpendapat keharaman masuk masjid bagi orang kafir cuma berlaku pada masjid al haram di Mekah.
2. Imam Ahmad (wafat 241H) melarang orang kafir masuk ke dalam masjid walaupun bukan masjid al haram kecuali ada maslahat atau kerana mahu memperbaiki bangunan dan sebagainya. Hal yang sama dipegang oleh fuqaha Madinah yang bermazhab Maliki yang melarang orang kafir memasuki masjid.
Qadhi Abu Ya'la (wafat 458 H) yang bermazhab Hambali dan beberapa orang fuqaha yang lain seperti Imam Al-Nawawi (wafat 676 H) berpendapat bahawa orang yang kafir boleh masuk ke dalam masjid kecuali masjid al haram dengan syarat mendapat keizinan kaum muslimin.
Ringkasannya, orang kafir boleh masuk ke dalam masjid selain masjid al haram dan sewajarnya dibenarkan bagi mengembangkan dakwah Islam dan supaya orang kafir boleh mendapat manfaat kelas-kelas pengajian di masjid.
Bahkan dalam hadis-hadis yang sahih nabi salallahualaihiwassalam pernah membenarkan orang-orang kafir daripada Taif untuk bermalam di Masjid Nabawi, begitu juga kisah orang-orang Kristian daripada Najran yang memgunjungi Nabi salallahualaihiwassalam di dalam masjid Nabawi pada tahun ke 10 Hijrah dan bermalam di dalamnya.
Semoga kita berlapang dada dan tidak terlalu menyempitkan kefahaman Islam sehingga membawa fitnah kepada agama.
[ Ustaz Emran Ahmad ]

Bermesra Ketika Berpuasa




Soalan: 
Bolehkah seseorang yang berpuasa berciuman dan bermesra dengan isterinya yang biasanya dilakukan sebelum persetubuhan tetapi tidak sampai bersetubuh?
Jawapan: 
1. Seorang yang berpuasa boleh untuk mencium dan bermesraan dengan isterinya selagi dia tidak melakukan persetubuhan. Jika dia tahu dia bahawa dia tidak mampu mengawal diri maka hendaklah dia mengelakkan cium dan 'kemesraan yang lain'.
2. Kata 'Aishah:
يُقَبِّلُ وَيُبَاشِرُ وَهُوَ صَائِمٌ، وَكَانَ أَمْلَكَكُمْ لِإِرْبِهِ
"Nabi s.a.w mencium dan bermesraan dengan isteri sedangkan baginda berpuasa. Baginda itu paling dapat mengawal kemaluannya" (Riwayat al-Bukhari)
3. Kata Masruq:
سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا يَحِلُّ لِلرَّجُلِ مِنَ امْرَأَتِهِ صَائِمًا؟ قَالَتْ: كُلُّ شَيْءٍ إِلَّا الْجِمَاعَ
Aku pernah bertanya A’ishah: "Apakah yang halal untuk lelaki lakukan kepada isterinya semasa berpuasa?". Jawab 'Aishah: "Semua perkara kecuali persetubuhan" (Riwayat 'Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih).

[Jawapan dari Dr MAZA]

Saturday, May 27, 2017

Istiqamah Di Jalan Allah



Jom ISTIQAMAH di jalan ALLAH dengan cara:

1. Memperbanyakkan doa dan memohon kekuatan dari ALLAH supaya dapat beribadah dan memperbaiki ibadah, berzikir untuk terus mengingati-Nya, bersyukur dengan segala nikmat dan ujian-Nya.

2. Menjauhi perkara-perkara yang tidak diredhai ALLAH, apa jua bentuknya, walau sekecil apapun.

3. Berusaha menghadirkan hati dalam setiap ibadah kepada ALLAH, ketika bersolat, bersedekah jariah, atau membantu makhluk ALLAH yang lain, supaya diberi rahmat dan keberkatan.

4. Mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi akhlak Baginda.

Friday, May 26, 2017

Kebaikan Buat Pesakit



Semoga hamba Allah yang sakit diberi kesembuhan.

Semoga dosa hamba Allah yang sakit gugur bercucuran.

Semoga kebaikan hamba Allah yang sakit menjadi dakwah.

Semoga dakwah hamba Allah yang sakit membimbing orang yang kembali ke fitrah.

Semoga ibadah hamba Allah yang sakit menjadi panduan orang yang hijrah.

Aamiin aamiin Ya Rabbul Alamin.

#RamadhanKareem

Thursday, May 25, 2017

Peringatan Hari Akhirat



Kehidupan dunia selalu berubah-ubah mengikut ujian yang diberikan-Nya bagi menguji amalan manusia. Hari ini seorang hamba Allah kuat, mungkin esok dia lemah. Hari ini dia kaya, mungkin esok dia miskin. Segala sesuatu di dunia ini berubah dan berganti-ganti.
Dia menjadikan perubahan ini untuk menyatakan bahawa Dia berkuasa di atas segala sesuatu yang semuanya berasal dari-Nya. Kita sebagai hamba tidak memiliki apa-apa. Kekayaan, kesihatan, kepintaran, bahkan tempoh kita berada di dunia pun Allahlah yang tentukan.
Lalu jangan sia-siakan masa itu. Kita harus tunduk kepada-Nya, dan bertasbih kepada-Nya, sebagaimana tunduknya matahari, bulan, lautan, udara, haiwan, tumbuhan dan segala ciptaan-Nya yang lain.
Allah S.W.T. berfirman:
"Katakanlah (wahai Muhammad) Mahukah Kami khabarkan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi amal perbuatannya?
(Iaitu ) ORANG-ORANG YANG TELAH SIA-SIA AMAL PERBUATANNYA DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI, SEDANGKAN MEREKA MENYANGKA BAHAWA MEREKA SENTIASA BETUL DAN BAIK PADA APA SAJA YANG MEREKA LAKUKAN.
Mereka itulah orang-orang yang mengingkari akan ayat-ayat Tuhan mereka dan (tidak percaya terhadap) pertemuan dengan-Nya, maka sia-sialah amalan mereka, dan Kami tidak akan memberikan sebarang timbangan dan penilaian bagi (amalan) mereka pada hari Kiamat." (Surah Al Kahfi ayat 103-105).
("Peringatan Hari Akhirat" oleh Syeikh Mutawalli Sya'rawi).

Rasailah kebahagiaan menyambut kedatangan RAMADHAN AL MUBARAK.
#JomSelawatBanyak2

Wednesday, May 24, 2017

Waktu Dalam Kelalaian





Antara petunjuk hati sedang jauh dari rahmat Allah ialah apabila dibacakan kalam Allah atau apa-apa yang membawa kepada Allah dan hari akhirat, seseorang itu merasa jemu, mengantuk atau tidak peduli.

Namun, apabila disaji dengan hiburan melalaikan, dengan penuh BERSEMANGAT, tubuhnya bergerak mengikut rentak sambil mulut menyanyikan lirik lagu tersebut.

Inilah keadaan yang Allah Firmankan:

"Dan apabila yang disebut hanya nama Allah, kesal sekali hati orang yang tidak beriman kepada akhirat. Namun apabila nama-nama sembahan selain Allah yang disebut, tiba-tiba mereka menjadi gembira." (surah Az-Zumar ayat 45.)

Mari bermuhasabah. Rahmat Allah SWT masih terbuka untuk sesiapa saja yang mahu kembali ke jalan yang benar dan bertaubat..sebelum roh berada di kerongkong.

Kesatuan Dalam Perbezaan



Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Neraka dan syurga saling berdebat, lalu neraka berkata, 'Aku dimasuki oleh orang-orang yang suka menindas dan sombong.'
Syurga berkata, 'Aku dimasuki oleh orang-orang yang lemah dan miskin.'
Lalu Allah berfirman kepada Neraka, 'Kamu adalah seksa-Ku, Aku menyeksa denganmu siapa yang Aku kehendaki.' (Atau Allah berFirman? Aku menimpakan bencana denganmu siapa yang Aku kehendaki).'
Dan Allah berfirman kepada Syurga, 'Kamu adalah rahmat-Ku. Aku limpahkan rahmat berupa kamu kepada siapa yang Aku kehendaki.' Dan masing-masing kamu memiliki penghuni sampai penuh." (HR Muslim No. 5081).
Kesimpulannya:
Ternyata Allah tidak suka perdebatan. Sikap suka berkeras bakal mengakibatkan perpecahan dan kehancuran.
Bila ada perselisihan pendapat, jalan terbaik ialah perbincangan. Jika masih tiada kata sepakat, berlapang dadalah.
Perbezaan itulah keindahan dalam kepelbagaian. Umpama bunga yang bermacam rupa, warna dan baunya.
Imam keempat-empat mazhab Ahlil Sunnah Wal Jamaah saling menghormati pandangan masing-masing. Walau berbeza pendapat namun tetap bersatu memegang tali Allah.
Jika mereka mampu bersatu, mengapa pengikut pula tidak?

Tuesday, May 23, 2017

Pengorbanan Cikgu Ahmad Saidin


Setiap hari, seawal 5 pagi,dengan beg sandang, seluar jean lusuh, kemeja berlengan panjang dibasahi peluh dan kasut berselut, Cikgu Ahmad Saidin Mohd Idris bermotosikal kapcai meredah jalan sejauh 130km pergi dan balik dari rumahnya di Kuala Medang ke Sekolah Kebangsaan Lenjang, Lipis, Pahang. Sekolah itu menjadi tumpuan 456 pelajar Orang Asli keturunan Semai dari kawasan  berdekatan.
Sudah lebih tiga tahun Cikgu Saidin mengajar di sana, beliau pernah jatuh ketika melalui jalan yang tidak rata, juga pernah terserempak dengan binatang liar, namun tekadnya tetap teguh untuk menjalankan kewajipan sebaik mungkin.

SK Lenjang mempunyai 25 orang guru dan kebanyakan mereka boleh bertutur bahasa Semai. Mereka yang tinggal di kuarters tidak jauh dari sekolah, mengambil inisiatif melatih  pelajar-pelajar Tahun Enam pada waktu malam. Mereka biasanya datang ke kuarters berkenaan pada hari Ahad dan pulang ke rumah masing-masing pada petang hari Jumaat. 
Mereka dan kakitangan sekolah yang terdiri daripada pengawal keselamatan, bagaikan sebuah keluarga besar. Keadaan mereka lebih meriah ketika Hari Sukan diadakan. Walaupun anak-anak Semai agak pemalu tetapi mereka amat meminati sukan.



Fitnah Itu Membunuh


Suatu masa dahulu di Tanah Arab:

Isteri saudagar:
Saya rasa sunyi setiap kali abang keluar berdagang. Abang carikanlah seorang jariyah yang boleh menemankan saya masa abang tak ada dan tolong saya buat kerja-kerja rumah.

Saudagar:
Baiklah sayang, sekejap lagi abang ke pasar.

Suasana pasar riuh rendah. Saudagar kaya berjalan pantas ke tempat hamba abdi sedang dilelong.

Pelelong:
Lelong, lelong, mari, mari....Sila pilih. Hitam, putih, kuning, lelaki, perempuan, semua ada.

Saudagar:
Saya nak beli seorang jariyah. Saya pilih yang di hujung sana.

Pelelong:
Boleh, boleh. Dia rajin kerja. Dia dilelong di sini sebab tuan dia yang dulu tak tahan dengan perangai dia yang suka pok pek pok pek.

Saudagar:
Tak apa. Tu perkara kecik. Yang penting, dia rajin.

Kepulangan saudagar kaya bersama jariyah disambut gembira oleh isterinya.

Hari demi hari jariyah semakin rapat dengan isteri saudagar. Dia memang pandai mereka-reka cerita yang menghiburkan hati. Pada suatu hari:....

Jariyah:
Puan, saya dengar orang cakap tuan nak kahwin lagi.

Isteri saudagar:
(Rasa terkejut) Betul ke ni?

Jariyah:
Tak tahulah. Mungkin betul kot. Tapi puan jangan risau. Puan boleh gagalkan perkahwinan tu dengan ubat guna-guna. Puan ambil beberapa helai bulu roma di leher tuan masa dia tidur. Kena gunakan pisau paling tajam supaya tuan tak rasa sakit.

Tanpa berfikir secara rasional, isteri saudagar setuju dengan rancangan si jariyah.

Pada hujung minggu saudagar kaya pulang dari berdagang. Belum sempat saudagar menjejakkan kaki ke pintu, jariyah segera mendapatkannya.

Jariyah:
Tuan kena hati-hati. Puan dah gila. Dia nak sembelih tuan masa tuan tidur. Kalau tak percaya tuan pura-pura tidur dan tengoklah sendiri.

Kepulangan saudagar disambut oleh isterinya. Saudagar membalas dengan senyuman kelat.

Saudagar:
Saya letih, nak berehat di bilik tidur sekejap.

Benarlah seperti kata jariyah. Isteri saudagar masuk ke bilik dengan pisau tajam. Ketika terasa lehernya dipegang, saudagar itu bingkas bangun lalu merampas pisau dan membunuh isterinya.

Keesokan harinya, terjadi lebih banyak pembunuhan apabila keluarga si mati datang menuntut bela.

PENGAJARAN:

Benarlah Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 191:
"...dan (ingatlah bahawa angkara) FITNAH itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan...:

Rasululullah s.a.w. juga bersabda:
"Akan muncul suatu zaman yang ilmu Islam dihapuskan, muncul berbagai-bagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut, dan banyak berlaku jenayah." (HR Muslim).

Membunuh hanya melibatkan orang tertentu, namun implikasi fitnah jauh lebih besar, boleh menjatuhkan maruah, kredibiliti dan seterusnya menimbulkan perpecahan, perbalahan serta kemusnahan harta juga nyawa dalam jangka masa panjang dan sukar disekat.

Begitulah akibatnya apabila kesopanan, kesantunan dan ikatan persaudaraan sesuatu kelompok manusia mulai longgar dan identitinya berubah. Lalu pelbagai amalan negatif menular dan berleluasa "from top to bottom."

Subhanallah!...Astaghfirullah!....Semoga kita dan generasi kita yang akan datang dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT dari bahaya dahsyat ini. Aamiin.


Monday, May 22, 2017

Ugutan Si Pengutip Hutang


Coretan Peguam HASIF HASAN (Siri 166).
Pada satu hari:
'Peguam Ali":
Hello nama saya Ali. Saya seorang peguam. Saya dari pejabat peguam ABC dan boleh saya bercakap dengan Encik Ramli (bukan nama sebenar)
Ramli: 
Ya saya. Ada apa encik?
'Peguam Ali": 
Encik ada hutang dengan syarikat XYZ dan berdasarkan rekod kami, encik berhutang sebanyak RMXXX.
Bila encik mahu bayar?

Encik Ramli akan memberi apa sahaja alasan sama ada;
-tidak pernah berhutang,
-hutang sudah habis dibayar
-tidak mampu membayar hutang
-atau nama beliau telah digunakan oleh orang lain untuk membuat pinjaman
Namun apa jua alasan Encik Ramli, 'Peguam Ali" tidak berminat dengan jawapan yang diberikan. Dia hanya mahu penghutang membayar hutang.

"Peguam Ali":
Encik Ramli mesti bayar hutang sebanyak RMXXX dalam masa XX hari. Selepas encik membuat bayaran ke dalam akaun Bank EFG dengan nombor akaun XXXXXXX, encik kena telefon pihak kami. Jika encik gagal bayar maka kami akan/telah mendapat perintah untuk;
-menyita rumah encik,
-melelong harta di dalamnya,
-menyenaraihitam nama encik
-encik tidak boleh ke luar negara
-macam macam lagi kami akan buat supaya encik membayar hutang.

Lagi teruk ada kes, 'peguam' akan mengugut untuk penghutang membayar hutang pada hari yang sama atau keesokkan harinya, jika tidak, rumah akan disita dan harta dilelong, seolah olah sudah ada penghakiman dari mahkamah. 
Encik Ramli akan 'sakit kepala' dan cuba mendapatkan wang bagi membayar hutang tersebut.
Hakikatnya jika Encik Ramli masih gagal membayar hutang, 'Peguam Ali' akan menelefon beliau lagi tidak kira waktu, siang malam pagi atau petang. Beliau tidak segan silu akan memarahi Encik Ramli dan memberi amaran supaya membayar hutang. Beliau juga akan marah jika Encik Ramli bertanyakan hal identiti beliau sebagai 'Peguam Ali'.
Mungkin Ramli akan membayar hutang kerana tidak tahan dengan gangguan 'peguam' yang sangat kejam. 'Peguam Ali' tersenyum lebar jika hutang dibayar.
Misi berjaya.
________
Ramai yang pernah mengalami mimpi ngeri begini, diganggu 'peguam palsu'.
Apabila rakan saya mengadu diganggu 'peguam' maka saya merasakan saya perlu menulis supaya masyarakat faham bagaimana tugas kami peguam mengendalikan kes hutang. Peguam bukan gengster.
Apabila kami dilantik oleh anakguam iaitu Pemiutang (pihak yang memberi hutang) maka satu 'warrant to act' atau kuasa untuk bertindak bagi anakguam akan dikeluarkan yang ditandatangani oleh anakguam.
Kelazimannya Peguam akan mengeluarkan satu notis tuntutan atau 'letter of demand' supaya penghutang (pihak yang berhutang) membayar hutang/tuntutan dalam satu tempoh yang dipersetujui anakguam seperti contoh 14 hari.
Apabila berakhir tempoh tersebut maka peguam perlu mendapatkan arahan lanjut dari Pemiutang (anakguam) sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah (jika penghutang enggan/gagal membayar hutang tersebut) atau,
berhenti setakat ini sahaja terutama jika penghutang telah membayar hutang sebagaimana surat tuntutan.
__________
Di sini perlu dijelaskan bahawa:
-Peguam tidak akan menelefon penghutang supaya membayar hutang.
-Peguam tidak akan menganggu penghutang sama ada mengunakan telefon atau surat menyurat yang berbau ugutan.
-Peguam tidak akan menakut nakutkan penghutang dengan cara ugutan.
-Peguam tidak akan mendapat sebarang komission atau saguhati dari jumlah tuntutan sekiranya penghutang membayar tuntutan tersebut.
-Peguam hanya akan dibayar kos penyediaan surat tuntutan sahaja.
Kerana itu saya menegaskan bahawa peguam tidak perlu bersusah payah menelefon penghutang kerana kami hanya menjalankan tugas menghantar surat tuntutan dan sama ada penghutang membayar atau tidak jumlah tuntutan, peguam tetap akan mendapat kos penyediaan surat tuntutan tersebut.
Peguam mempunyai etika dan code of conduct yang perlu diikuti.
__________
Mungkin cara akan berbeza jika syarikat pengutip hutang yang mengendalikan kes ini kerana mungkin mereka akan mendapat bayaran atau komisyen berdasarkan jumlah hutang yang dipungut.
Justeru itu tidak keterlaluan ada pengutip hutang mengaku sebagai 'peguam' atau 'kakitangan mahkamah' dan akan mengugut dan memaki hamun penghutang sekiranya gagal membayar hutang sebagaimana yang dikehendaki.
Secara tidak langsung nama dan profesion peguam akan sedikit sebanyak tercalar dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab mereka ini.
____________
Tindakan peguam;
Pemiutang atau Pemberi hutang seperti Bank, Koperasi, Syarikat atau individu akan melantik atau mengarahkan peguam bagi menyediakan dan memfailkan WRIT SAMAN.
(Writ disediakan setelah penghutang gagal membuat bayaran sebagaimana dinyatakan di dalam surat tuntutan atau letter of demand)
Setelah Writ Saman dikeluarkan oleh Mahkamah, peguam dikehendaki menyerahkan Writ tersebut kepada penghutang (Defendan) secara serahan tangan atau secara pos berdaftar ke alamat terakhir yang diketahui pemiutang.
Kerana itu penting bagi penghutang sentiasa mengemaskini alamat terkini kepada pemiutang.
Sekiranya Writ gagal diserahkan kepada defendan maka Plaintif boleh memohon kepada Mahkamah untuk melaksanakan menyerahkan saman secara penyampaian ganti.
Ini bermaksud plaintif akan mengiklankan di dalam akhbar tempatan.
(plaintif bermaksud penuntut manakala defendan bermaksud yang dituntut)
Plaintif juga akan menampalkan Writ di papan notis mahkamah dan juga di alamat terakhir Defendan.
Apabila writ telah diserahkan samada secara kediri, melalui pos atau penyampaian ganti maka Defendan hendaklah memfailkan MEMORANDUM KEHADIRAN di Mahkamah.
Memorandum Kehadiran hendaklah diserahkan salinannya kepada Plaintif dalam masa 14 hari dari tarikh Writ diterima.
Sekiranya defendan gagal untuk memfailkan Memorandum Kehadiran, Plaintif boleh merekodkan PENGHAKIMAN INGKAR KEHADIRAN.
Sekiranya Penghakiman Ingkar Kehadiran tidak dicabar dan segala tuntutan Plaintif tidak dibantah maka ianya boleh dianggap bahawa tuntutan tersebut telah diakui oleh defendan dan Plaintif berhak mendapatkan tuntutan tersebut.
Seterusnya setelah mendapat penghakiman ingkar maka plantif boleh melaksanakan penghakiman tersebut.
Pemiutang boleh memilih kaedah perlaksanaan (execution) penghakiman dan yang lazim dilakukan ialah membuat permohonan bagi membankrupkan defendan, menyita harta defendan atau apa tindakan yang difikirkan wajar oleh plaintif.
Perlu sekali lagi ditegaskan bahawa plaintif apabila sudah mendapat penghakiman barulah boleh membankrapkan atau menyita harta benda seseorang.
____________
SEBAB KHIDMAT PENGUTIP HUTANG DIKEHENDAKI
Mungkin terdapat sebab yang munasabah bagi pemuitang membuat demikian antaranya;
-jumlah hutang yang sedikit yang berkemungkinan kos guaman lebih banyak dari tuntutan.
-mengelakkan kos guaman ditanggung pemuitang dan mungkin pengutip hutang akan mendapat komisyen dari hutang yang berjaya dituntut. Kerana itu tidak keterlaluan ada pengutip akan berkerja 24 jam menelefon penghutang demi mengejar komisyen tersebut.
-kos guaman peguam lebih mahal dari agen pengutip hutang.
-mungkin kesilapan pemuitang yang 'terlepas pandang' di mana tiada tindakan telah dibuat bagi mendapatkan hutang selepas berakhirnya tempoh 6 tahun dari tarikh yang dijanjikan penghutang bagi membayar hutang ( 'cause of action accrued' )
-mungkin dokumen perjanjian atau suratcara pemuitang tidak dibuat atau hilang yang menyebabkan bukti tidak dapat dikemukakan di mahkamah kelak.
SITAAN BARANG WALAUPUN TIADA ARAHAN MAHKAMAH
Sebenarnya mereka hanya "mengugut" supaya penghutang takut harta beliau disita lalu membuat bayaran hutang walaupun tiada sebarang penghakiman atau arahan dari mahkamah telah diperolehi.
KESIMPULAN
Tidak ganjil bagi seorang agen pengutip hutang akan terus menelefon memperkenalkan diri sebagai "peguam" atau "kakitangan" mahkamah dan mengugut penghutang.
Sekali lagi ditegaskan bahawa peguam atau kakitangan mahkamah tidak pernah menggunakan pendekatan ala gangster atau mafia bagi mendapatkan hutang yang tertunggak.
Ingin saya tegaskan ialah jika kita berhutang, sememangnya hutang wajib dibayar walaupun tidak dituntut namun cara agen pengutip hutang yang melakukan kerja yang tidak professional atau menyamar sebagai pihak lain yang tidak wajar dilakukan.
Nasihat saya jika masih diganggu oleh panggilan sebegini, maklumkan kepada pihak pemanggil bahawa jika mereka masih berterusan mengganggu maka penghutang akan membuat laporan polis kerana bukan cara 'gangster atau mafia' untuk mana mana pihak mengutip hutang kerana kita ada undang undang dan mahkamah bagi keadilan bagi pemuitang (plaintif) dan penghutang (defendan).
Mana mana pihak juga boleh membuat pengesahan mengenai 'kewujudan seseorang peguam' dengan melayari laman sesawang Majlis Peguam Malaysia.
Terdapat maklumat kesemua peguam yang beramal di Malaysia. Jadi isu peguam palsu akan selesai.
Jadi jika tuan puan pernah mengalami keadaan ini, anggaplah tuan puan sudah terkena "panggilan hangit"
Sekian.



Bermaafan Demi Silaturahim




Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"SELURUH AMAL MANUSIA DIHADAPKAN KEPADA ALLAH S.W.T. dalam seminggu (seJumaat) dua kali, iaitu PADA HARI ISNIN dan KHAMIS.

Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan: Tinggalkanlah mereka berdua dahulu sampai mereka berdamai."
(Shahih Muslim no.2196.).

Bila manusia bersatu hati, tanah kuning menjadi emas. (pepatah Cina).

Atas nama silaturahimi, tangan dihulur kepada kerabat dan sahabat, jauh dan dekat, memohon berbanyak kemaafaan jika tulisan menyebabkan gurisan di hati kalian.

Hajat di hati hanya sekadar berkongsi kebaikan yang dituntut Ilahi. Terima kasih kerana sudi respons dan sudi menjadi 'silent readers'. Semoga kesudian kalian dicatat sebagai amalan kebaikan yang bakal diangkat ke hadapan Al Rahman WAKTU ASAR hari ini nanti. Aamiin Aamiin Aamiin Ya Rabbul Alamin.

Diri ini umpama semut halus yang qiam di planet kecil bernama bumi dari kalangan sekalian cakerawala milik-Nya di alam semesta, mengharapkan keredhaan agar Dia sudi memandang dan menyapa ketika bertemu di sana nanti. InsyaAllah.

Sunday, May 21, 2017

Khadijah binti Khuwalid - Srikandi Islam Pertama


Khadijah binti Khuwalid r.a. adalah wanita pertama menerima Islam. 

Menjelang ajalnya, beliau berkata kepada Nabi SAW, " Ya Rasululah, maafkan aku kalau aku sebagai isterimu belum berbakti kepadamu."

Nabi SAW jawab, "Jauh dari itu, ya Khadijah. Engkau telah mendukung da’wah Islam sepenuhnya."

Lalu Khadijah memanggil anaknya Fatimah Azzahra dan berbisik, "Fatimah puteriku, aku yakin ajalku segera mendatang. Yang ku takutkan adalah seksa kubur. Tolong mintakan kepada ayahmu. Aku malu dan takut memintanya sendiri. Mintalah padanya agar beliau memberikan serbannya yang digunakan untuk menerima wahyu untuk dijadikan kain kafanku."

Subhanallah. Padahal segala kekayaan Khadijah telah diserah untuk perjuangan agama. Dua pertiga kekayaan kota Makkah milik Khadijah. Alangkah sedihnya menjelang ajalnya beliau tidak ada kain kafan pun untuk jasadnya.

Mendengar itu, Nabi SAW menjawab, "Ya, Khadijah, Allah SWT menitipkan salam kepadamu dan telah menyiapkan tempatmu di Syurga."

Malaikat Jibril pun turun dari langit membawa lima kain kafan.

Baginda bertanya, "Untuk siapakah ini, ya Jibril?"

Jibril jawab, " Untuk Khadijah, untukmu, Fatimah, Ali dan Hasan (cucu-cucu baginda)."

Demikian keikhlasan insan kamil yang berjuang demi agama Allah. Cintailah mereka sebagaimana Rasulullah SAW mencintai kita semua.

(Catatan Ustazah Dr. Siti Nurbaya Usman, Damsyik, Syria)

(Kredit foto: Maideen Packer)

Saturday, May 20, 2017

Mendidik Diri



Allah berfirman dalam surah al Lail ayat 4-12.
Maksudnya:

Ayat 4: Sesungguhnya, usahamu (di dunia) beraneka macam.
Ayat 5: Maka sesiapa yang sentiasa memberi sedekah, dialah orang yang bertaqwa.
Ayat 6: Dan dia mengakui segala kebaikan (al Quran).
Ayat 7: Maka akan kami mudahkannya jalan kebahagiaan.
Ayat 8: Maka sesiapa yang kedekut (kikir dengan apa yang diterima), dan merasa dirinya sudah 
            cukup, tidak perlu lagi pertolongan.
Ayat 9: Mendustakan dan menafikan rezeki Allah kepadanya.
Ayat 10: Maka Kami (Allah) akan memudahkan menjadi susah (miskin) hina.
Ayat 11: Dan hartanya tidak lagi boleh digunakan, apabila sudah kembali susah. 
Ayat 12: Kerana, Kamilah (Allah) yang memberikan mereka petunjuk/jalan yang benar dan salah).

Pengajaran:

Bersedekah jariah tidak akan menyebabkan seseorang hamba jatuh miskin. Sebaliknya ia adalah pintu kebahagiaan, keberkatan, kesihatan dan perlindungan dari segala musibah.

Lebih banyak kita memberi, semakin banyak pula yang kita dapat. Sebab, apa yang kita beri itu akan kembali kepada diri kita sendiri.

Tidak perlu infak banyak. Boleh mula dengan jumlah yang kecil. RM1 yang disumbang ke tabung masjid setiap kali kaki melangkah masuk ke rumah Allah itu lama kelamaan akan melimpah-mewahkan saham akhirat kita nanti. InsyaAllah.

#JomDidikDiri


Macam-macam Pe'el Status Di FB

 :
Contoh Pertama:
Pergi ke hospital, tangkap gambar dan tulis ayat sedih sendu mengalahkan skrip sinetron meminta pembaca doakan anak, suami, datuk, nenek, pakcik, makcik, kalau boleh semualah... padahal sengaja nak beritahu check in di Prince Court Hospital.. Si pesakit cuma demam manja je.. 
Kalaulah masuk ward di HKL, mati hidup balik takkan 'check in' status FB, tweeter, instagram dll tu.
Contoh Kedua :
Tangkah gambar anak dalam rumah dengan kapsyen 'Alahai anak mama ni bla bla bla..'.. Padahal nak tunjuk sofa, tv, perabot baru atau objek lain di latar belakangnya.. Yelah.. Kalau tak buat macam tu mana orang tahu kan?.. Nak jemput semua orang datang ke rumah pun setahun sekali je.. Lambat.. 
Contoh Ketiga :
Syukur tak henti-henti.. 'Alhamdulillah rezeki yang semakin melimpah ruah, makin masyuk..bla bla bla'.. Alhamdulillah itu dan ini.. Padahal nak orang tahu betapa kayanya dan mewahnya dia sekarang (sebenarnya tak kaya mana pun).. 

Kalau betul ikhlas nak bersyukur, terus sujud atas tikar sejadah kepada Allah S.W.T... Jadikan amalan sedekah berterusan supaya dilipat gandakan rezeki.. Sesungguhnya Allah S.W.T. itu Maha Pemurah, Maha Mengetahui.. Tak perlu guna Facebook  sebagai orang tengah!
Contoh Keempat :
Tangkap gambar dalam kereta.. Eh, pastinya nampak stereng sekali.. Kapsyen, ... 'Ala, jam la jalan'.. 'Good morning semua'.. 'Letih la hari ni'.. bla bla bla.. Padahal, motifnya cuma nak tunjuk lambang kereta tu yang penting.. 
Hello! pak cik dan mak cik yang pakai Mercedes,Lamborghini, Porche pun tak buat macam tu tau..
Contoh Kelima :
Akak-akak yang selalu tawaf shopping mall.. Check in kat shopping mall dengan status 'shopping untuk hilangkan stress' atau 'ahh hari-hari shopping habislah duit I'.. atau 'Hmm, I kalau shopping macam ni lah..susah nak berhenti.. hahaha.. kelakarkan?'... Sebenarnya nak beritahu dia mampu beli barangan jenama Gucci,Prada,Louis Vuitton dan sewaktu dengannya.. Siap tayang paper bag dan tanda harga lagi tau.. kau ado?!
Contoh Keenam :
Sifat mak yang terlalu sayangkan anak-anak.. 24/7 update pasal anak dia.. anak dialah yang paling cerdik, anak dialah yang paling comel, anak dia pandai buat tu pandai buat ni.. Macam orang lain tak ada anak.. Peliknya tak pun sibuk update pasal suami dia yang tercinta.. Suami dia yang paling kaya, Suami dia yang paling penyayang, selalu tolong kemas rumah, jaga anak.. 'Bersyukur dapat suami soleh, penyayang, rajin.. love abang'.. ... Memanglah itu Facebook awak, tapi awak bukan Kate Middleton atau Diva Siti Nurhaliza. Orang tak nak tahu pun setiap hal rumahtangga awak..
Akhir sekali :
Gejala selfie muncung itik.. Tangkap swafoto sendiri.. Mulut muncung ke depan, herot kiri kanan, dengan kapsyen 'mukaku tanpa mekap'... 'mata panda letih tak cukup tidur'..bla bla bla... dengan harapan ada orang lain komen.. 'Eh u still nampak comel'..'Nampak muda dari umur sebenar'.. etc etc.. hmm Lu pikir lah sendiri... bak kata Nabil
[Petikan Sehinggit]

Istighfar Dalam Semua Suasana


Imam Hasan al-Basri kerap didatangi ramai orang yang mengeluh tentang segala macam perkara - hal kemarau panjang, fakir rezeki, gagal mendapat zuriat dan kegagalan usaha pertanian.

Kepada mereka semua, nasihat yang beliau berikan berulang kali ialah beristighfar dan memohon keampunan atas dosa-dosa. 

Beliau kemudian ditanya, “Kenapa setiap orang yang datang menemuimu dan mengadu hal masing-masing kau nasihatkan supaya beristighfar dan memohon ampun dari dosa-dosa?"

Jawab Imam Hasan al Basri, "Itu bukan datang dari aku sendiri. Sesungguhnya itu adalah perintah dari Allah:
“Maka Aku katakan kepada mereka, ‘Mohonlah ampun kepada Rabb kalian, kerana sesungguhnya Dia adalah Yang Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan lebat kepada kalian. Dan membanyakkan harta serta anak-anak kalian. Dan mengadakan kebun-kebun untuk kalian, serta mengadakan (pula di dalamnya) untuk kalian sungai-sungai."
[Surah Nuh ayat 10-12].

Nabi s.a.w. juga pernah bersabda:
"Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah lebih dari 70 kali dalam sehari.” [HR. Bukhari, no. 6307]

Baginda turut berpesan:
"Barangsiapa memperbanyak istighfar, nescaya Allah mengubah setiap kesedihan menjadi kegembiraan; Allah Azza wa Jalla memberikan jalan keluar dari setiap kesempitan (kesulitan), dan Allah anugerahkan rezeki dari jalan yang tiada disangka-sangka." [HR. Ahmad dan al-Hakim]

Rasa benci akan meragut tenaga dan keceriaan dalam hidup. Namun siapalah kita yang dapat menolak setiap kali kebencian datang. Lalu setiap kali rasa benci itu tiba, istighfarlah untuk diri kita dan juga diri dia!

Hadiah terbaik untuk 'musuh' kita ialah istighfar!

Ujian Harta

Suatu pagi di sebuah restoran di Kuantan:

Alias:
Bagus juga makanan di sini. Rasa sedap, harga berpatutan, layanan pantas. Pandai kau pilih tempat.

Basir:
Tengok kakilah....Eh, kau nampak tak keluarga yang duduk kat sudut kanan pintu masuk tu? Aku rasa lelaki tu pemilik Syarikat XYZ. Nampak mesra sangat. Macam BAPA MITHALI...

Alias:
Alah, jangan asyik tengok orang lain yang bahagia. Kau tu bila nak kahwin?

Basir:
Bila jumpa calon sesuai, aku kahwinlah.



Lewat petang di lobi sebuah hotel di Kuantan:

Alias:
Selesai satu bab kerja kita. Dah dekat maghrib ni. Jom naik ke bilik dan berkemas. Lepas solat kita keluar makan. Esok kena bertolak balik ke KL awal pagi.

Basir:
(Tiba-tiba mendengus) ...Main wayang! Kesian anak isteri dia.

(Alias mengekori pandangan Basir dan terkedu melihat "Bapa Mithali" melintas di hadapan mereka sambil berkepit kiri kanan dengan dua wanita pakai baju tak cukup kain!!!).

$$$$$$$

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesungguhnya setiap umat memiliki ujian, dan ujian umatku adalah harta." (Sunan at-Tirmidzi, Musnad Ahmad dan Ibnu Hibban).

Ujian harta sangat berat, boleh menimpa sesiapa jua, Islam atau belum Islam, miskin mahupun kaya. Kerana harta, orang sanggup menggadai maruah, membelakangkan agama, memutus silaturahim, menzalimi golongan lemah, berbohong, menipu, memperdaya malah membunuh.

Yang benar-benar beriman dan beramal soleh sedar bahawa harta adalah pinjaman untuk dijadikan modal berniaga dengan Allah. Penyata untung ruginya bakal dibentangkan di Mahsyar nanti.

Orang bijak memaksimumkan masa dan harta untuk meraih laba terbesar di akhirat sana. ITULAH ORANG-ORANG YANG BERUNTUNG.

Wednesday, May 17, 2017

Indah Sujud Di Sepertiga Malam



Pada waktu malam yang hening, si ibu bangun dan melihat wajah anaknya dengan penuh kasih sayang. Ibu rasa puas dapat membisikkan kata-kata lembut, meskipun si anak mungkin tidak mendengarnya.

Begitulah pandangan kasih sayang Maha Pencipta saat Dia melihat hamba-Nya yang tawaduk, bangun menghampiri-Nya di keheningan dinihari, ketika insan-insan lain lena diulit mimpi.

SI hamba yang suci hati, sujud menekurkan wajah ke bumi, bermunajat dan memohon segala kebaikan duniawi dan ukhrawi kepada Rabbnya Yang Maha Agung.

Rasa hati yang dibisikkannya di lantai bumi, bergema di atas langit. Dan, setiap kebaikan yang dipohon oleh si hamba untuk saudara-saudara yang lain, turut dipohon dan diaminkan oleh para malaikat yang suci bersih.

ADUHAI, BETAPA INDAH SUJUD DI SEPERTIGA MALAM!!!

Nikmat Syurga



Imam Ahmad meriwayatkan daripada Utbah bin Abidin al-Sulaimi berkata : Seorang Arab telah berjumpa dengan Nabi S.A.W. lalu bertanya tentang nikmat-nikmat syurga. Akhirnya beliau bertanya, "Adakah terdapat buah-buahan di dalam syurga itu?"

Jawab Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Ada sejenis pokok yang dinamakan sebagai Tuuba (kebaikan)".

Orang Arab itu bertanya lagi, "Adakah pokok itu menyerupai mana-mana pokok di tempat kita ini?"

Jawab Nabi S.A.W, "Tidak, di negeri Syam terdapat sejenis pokok yang dikenali sebagai al-Jauzah. Pokok yang rendang itu sangat menyerupai pohon syurga."

Orang Arab Badwi itu bertanya lagi, "Bagaimana besarnya setangkai buahnya?"

Jawab Nabi S.A.W, "Setangkai daripadanya jika dianggarkan dengan jarak, sama seperti sebulan perjalanan terbang seekor burung gagak."

Dia bertanya lagi, "Bagaimana pula luasnya perdu pokok itu, wahai Nabi S.A.W.?

Jawab Nabi, "Jika binatang ternak kamu yang masih muda dan kuat mengelilinginya, nescaya tidak dapat ia mengelilinginya sehingga ia tua dan patah tengkuknya."

Arab itu bertanya lagi, "Bagaimanakah saiz sebiji buahnya?"

Jawab Nabi S.A.W, "Pernahkah kamu melihat ayahmu menyembelih kambing daripada kambing-kambing peliharaannya yang gemuk?"

Jawabnya, "Pernah, wahai Nabi."

Nabi S.A.W. bersabda lagi, "Ayahmu akan melapah dagingnya lalu disuruh ibumu membawa bekas untuk diletakkan daging-daging itu."

Arab itu berkata, "Tentulah daging yang banyak itu akan mengenyangkan kami sekeluarga, wahai Nabi!"

Jawab Nabi S.A.W, "Demikianlah sebiji buah itu mampu mengenyangkan semua keluarga kamu!"

MasyaAllah !!!

Itulah syurga yang keindahan serta kehebatannya tidak terjangkau di fikiran.

Bagaimana cara hendak ke sana?

TAATI PERINTAH ALLAH S.W.T. DAN TURUTI AJARAN RASULULLAH S.A.W.

Maafkan Saudaramu




Rasulullah s.a.w. pernah bercerita tentang dua orang insan iaitu Fulan A dan Fulan B yang berlutut di hadapan Allah S.W.T.

Fulan A menuntut haknya kerana dianiaya oleh Fulan B. Allah S.W.T. menyuruh Fulan B mengembalikan hak Fulan A. Tetapi Fulan B sudah tidak ada apapun kebaikan dirinya untuk dikembalikan kepada Fulan A. Lalu Fulan A memaksa Fulan B menanggung dosa-dosanya.

Tiba-tiba Rasulullah s.a.w. terhenti bercerita dan menangis. Kemudian Baginda bersabda, "Sesungguhnya itulah hari yang paling mengerikan kerana SETIAP ORANG INGIN AGAR ORANG LAIN DAPAT MENANGGUNG DOSANYA. "

Selepas seketika Baginda meneruskan cerita bahawa Allah S.W.T. memerintahkan Fulan A mendongakkan kepala dan memerhatikan syurga-syurgaNya.

Fulan A:
Ya, Tuhanku! Aku melihat beberapa kota yang diperbuat daripada perak. Dan aku nampak gedung-gedung diperbuat daripada emas bertaburan mutiara. Untuk siapakah itu, wahai Tuhanku? Untuk nabi atau orang siddiq (orang-orang yang jujur dan teguh pendirian agama) atau untuk orang syahid yang manakah?

Allah S.W.T:
Semua ini untuk setiap orang yang mampu membelinya.

Fulan A:
Wahai Tuhanku, siapakah yang mampu membelinya?

Allah S.W.T:
KAMU YANG MAMPU MEMBELINYA.

Fulan A:
(seakan tidak percaya) Dengan apa dapat aku membelinya?

Allah S.W.T:
DENGAN MEMAAFKAN SAUDARAMU.

Fulan A:
Wahai Tuhanku, aku telah memaafkannya.

Allah S.W.T:
Kalau begitu genggamlah tangan saudaramu dan masuklah kamu berdua ke dalam syurga.

Kemudian Rasulullah s.a.w. membaca Firman Allah:
"... Kerana itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaiki hubungan di antara sesama kamu..." (Surah al Anfal #1).

Saturday, May 13, 2017

Tiada Tuhan Melainkan ALLAH




Tiada Tuhan melainkan Allah
Jangan sesekali engkau mempersekutukan Tuhanmu walau dengan suatu apa pun jua

Tiada Tuhan melainkan Allah
Tiada yang berilmu melainkan Allah
Tiada yang hidup melainkan Allah
Tiada yang berkudrat melainkan Allah
Tiada yang berkehendak melainkan Allah
Tiada yang mendengar melainkan Allah
Tiada yang melihat melainkan Allah
Tiada yang berkalam melainkan Allah
Tiada yang berwujud melainkan Allah
Tiada yang memerintah melainkan Allah

Perhatikanlah alam kebesaran milik Allah ini
Apakah ada campurtangan dari mana-mana kuasa selain Dia yang mentadbir akan sekelian hakNya ini?

Dia yang menurunkan hujan dari langit
Dia yang menghantar angin sebagai rahmat
Dia yang menerangi bumi dengan cahaya kasih-Nya
Dia yang menumbuhkan tanam-tanaman sebagai rezeki kepemurahanNya
Dia mempermudahkan perjalanan darat, laut dan udara
Dia yang mengajarkanmu ilmu buat engkau membeza dan menjalankan segala usaha

Apakah ada Tuhan yang lebih Perkasa dan Maha Pengasih selain dari Allah,Tuhan yang memerintah sekalian Alam ini?

Dan siapa yang memberikanmu nyawa sehingga boleh melihat indahnya dunia?
Siapa yang memberikan selimut untukmu membalut tubuh di kedinginan malam?
Siapa yang mempermudahkan jalan kehidupanmu sehingga engkau selesa berdiam atas bumi-Nya?

Lalu apa alasanmu enggan taat akan segala titah perintah-Nya?
Berbuat durhaka dalam asyik dan leka mengejar pelangi dunia yang fana ini
Tidakkah engkau pernah diberi peringatan sehingga engkau menjadi lupa dan hidup dalam kelalaian?

Berhentilah dari melayan gelora nafsu yang tidak pernah puas dan kembalilah ke jalan kebenaran

Esakan Tuhanmu dengan sebenar pengesaan
Cintai Tuhanmu dengan sepenuh kecintaan
Ingatilah akan Tuhanmu dengan sepenuh ingatan di setiap masa dan keadaan
Hambakan dirimu dengan sebenar kehambaan hanya kepada Tuhan
Bergantung haraplah hanya kepada-Nya dengan sepenuh pengharapan
Pasrahkan dirimu dengan sepenuh kepasrahan
Dan redhakan diri menerima segala apa yang telah ditakdirkan atasmu sama ada engkau suka atau tidak suka, kerana bukan engkau yang menyurati suratan takdir hidupmu

Taatilah akan segala suruh dan tegah-Nya supaya hidupmu beroleh kejayaan di dunia dan di hari kebangkitan.

[Sumber: FB Debu Alam]


Sayyidina ‘Abdullah bin Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Tiga golongan orang yang tidak akan menghadapi ketakutan pada hari kiamat yang dahsyat dan mereka tidak akan dihisab. Mereka bergembira di atas timbunan kasturi sehingga semua makhluk selesai dihisab.
Pertama, seorang yang membaca al-Quran semata-mata mencari keredhaan Allah dan dia mengimami orang ramai dan mereka suka dengannya.
Kedua, seseorang yang menyeru (manusia) kepada solat semata-mata kerana mencari keredhaan Allah.
Ketiga, seseorang hamba Allah yang berlaku baik kepada tuannya dan kepada orang-orang bawahannya."
(H.R Tirmizi, Tabarani: Majma‘ uz-Zawa’id)

[Petikan Kitab Mutakab Hadis hal.132]

Buah-buahan Syurga




Imam Ahmad meriwayatkan daripada Utbah bin Abidin al-Sulaimi berkata:

Seorang Arab telah berjumpa dengan Nabi S.A.W. lalu bertanya tentang nikmat-nikmat syurga. Akhirnya beliau bertanya, "Adakah terdapat buah-buahan di dalam syurga itu?"

Jawab Nabi S.A.W. yang bermaksud : "Ada sejenis pokok yang dinamakan sebagai Tuuba (kebaikan)".

Orang Arab itu bertanya lagi, "Adakah pokok itu menyerupai mana-mana pokok di tempat kita ini?"

Jawab Nabi S.A.W, "Tidak, di negeri Syam terdapat sejenis pokok yang dikenali sebagai al-Jauzah. Pokok yang rendang itu sangat menyerupai pohon syurga."

Orang Arab Badwi itu bertanya lagi, "Bagaimana besarnya setangkai buahnya?"

Jawab Nabi S.A.W, "Setangkai daripadanya jika dianggarkan dengan jarak, sama seperti sebulan perjalanan terbang seekor burung gagak."

Dia bertanya lagi, "Bagaimana pula luasnya perdu pokok itu, wahai Nabi S.A.W.?"

Jawab Nabi, "Jika binatang ternak kamu yang masih muda dan kuat mengelilinginya, nescaya tidak dapat ia mengelilinginya sehingga ia tua dan patah tengkuknya."

Arab itu bertanya lagi, "Bagaimanakah saiz sebiji buahnya?"

Jawab Nabi S.A.W, "Pernahkah kamu melihat ayahmu menyembelih kambing daripada kambing-kambing peliharaannya yang gemuk?"

Jawabnya, "Pernah, wahai Nabi."

Nabi S.A.W. bersabda lagi, "Ayahmu akan melapah dagingnya lalu disuruh ibumu membawa bekas untuk diletakkan daging-daging itu."

Arab itu berkata, "Tentulah daging yang banyak itu akan mengenyangkan kami sekeluarga, wahai Nabi!"

Jawab Nabi S.A.W, "Demikianlah sebiji buah itu mampu mengenyangkan semua keluarga kamu!"


MasyaAllah !!!

Itulah syurga yang keindahan serta kehebatannya tidak terjangkau di fikiran.

Bagaimana cara hendak ke sana?

TAATI PERINTAH ALLAH S.W.T. DAN TURUTI AJARAN RASULULLAH S.A.W.

Thursday, May 11, 2017

Kesempurnaan Agama Dan Kehidupan



Daripada Saidina Khalid bin Al-Walid r.a. yang berkata: "Telah datang seorang Arab Badwi kepada Rasulullah s.a.w. dan dia menyatakan tujuannya:

"Wahai Rasulullah...!
Kedatanganku untuk bertanya engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat.”

Rasulullah berkata kepadanya:
“Tanyalah apa yang engkau kehendaki.”

Arab Badwi itu berkata:
"Aku mahu menjadi orang alim."

Baginda menjawab:
"Takutlah kepada Allah S.W.T."

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang paling kaya.”

Rasulullah menjawab:
“Jadilah orang yang yakin pada diri.”

Bertanya lagi Arab Badwi itu:
“Aku mahu menjadi orang yang adil.”

Lalu dijawab oleh Rasulullah:
“Kasihanilah manusia lain seperti engkau kasih pada diri sendiri.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi orang paling baik.”

Baginda menjawab:
“Jadilah orang yang berguna kepada masyarakat.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu menjadi orang istimewa di sisi Allah.”

Dan dijawab oleh Rasulullah:
“Banyakkan zikrullah.”

Arab Badwi itu bertanya:
“Aku mahu sempurnakan imanku.”

Baginda menjawab:
“Perelokkan akhlakmu.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan orang yang muhsinin (baik). “

Baginda menjawab:
"Beribadatlah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak berasa begitu, sekurang-kurangnya engkau yakin Dia tetap melihat engkau.”

Arab Badwi bertanya lagi:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang taat."

Lalu dijawab baginda:
“Tunaikan segala kewajipan yang difardukan.”

Dia bertanya lagi:
“ Aku mahu berjumpa Allah dalam keadaan bersih daripada dosa.”

Rasulullah menjawab:
“Bersihkan dirimu daripada najis dosa.”

Dia terus bertanya:
“Aku mahu dihimpun pada hari kiamat di bawah cahaya.”

Baginda menjawab:
“Jangan zalimi sesiapa.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dikasihi Allah pada hari kiamat.”

Baginda berkata:
“Kasihanilah dirimu dan kasihanilah orang lain.”

Dia bertanya:
"Aku mahu dihapuskan segala dosaku.”

Baginda menjawab:
“Banyakkan beristighfar.”

Dia berkata:
“Bagaimana pula aku mahu menjadi semulia-mulia manusia."

Lalu baginda menjawab:
“Jangan mengesyaki sesuatu perkara pada orang lain.”

Dia bertanya:
“Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia.”

Baginda menjawab:
“ Sentiasa menyerah diri (tawakal) kepada Allah.”

Dia bertanya lagi:
“Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.”

Baginda menjawab:
“Sentiasa berada dalam keadaan bersih (daripada hadas).”

Dia bertanya:
“Aku mahu termasuk dalam golongan yang dikasihi Allah dan rasul-Nya.”

Baginda menjawab:
“Cintailah segala yang disukai Allah dan Rasul-Nya.”

Dia bertanya:
“ Aku mahu diselamatkan daripada kemurkaan Allah pada hari kiamat.”

Baginda menjawab:
“Jangan marah kepada orang lain.”

Dia bertanya lagi kepada Rasulullah:
“Aku mahu diterima segala permohonanku.”

Baginda menjawab:
“Jauhilah makanan haram.”

Dia bertanya:
“ Aku mahu Allah menutup segala keaibanku pada hari kiamat.”

Baginda pun menjawab:
“Tutuplah keburukan orang lain.”

Dia bertanya:
“Siapa yang terselamat daripada dosa?”

Rasulullah menjawab:
“Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendak-Nya dan mereka yang ditimpa sakit.”

Dia terus bertanya:
“Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?”

Baginda menjawab:
“Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian (bala).”

Dia bertanya lagi:
“ Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi Allah?”

Baginda menjawab:
“Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.”

Dia bertanya:
“Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di dunia dan akhirat?”

Baginda menjawab:
“Sedekah dalam keadaan sembunyi (tidak diketahui) dan menghubungkan kasih sayang.”

Dia bertanya lagi:
“Apa yang akan memadamkan api neraka pada hari kiamat?”

Baginda menjawab:
“Sabar di dunia dengan bala dan musibah.”

Dan telah berkata Imam Mustaghfirin: “Aku tidak pernah menemui hadis sebegini lengkap merangkumi KESEMPURNAAN AGAMA DAN KEHIDUPAN.”

#MuhasabahDiri