Thursday, September 27, 2012

Kapur dan Pemadam


SEORANG guru wanita bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya yang  duduk menghadap dia. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam.

Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan. Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, sebutlah "Kapur!". Jika saya angkat pemadam ini, katalah "Pemadam!".

Murid muridnya mengerti dan mengikuti. Guru berganti-ganti mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!".

Dan diulangkan seperti tadi. Tentu saja murid-murid jadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok.Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq (benar) itu haq, yang batil (salah) itu batil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu dari yang haq menjadi batil, dan sebaliknya.

Pertama kali mungkin sukar bagi kita menerimanya, tapi kerana mereka terus dengan cara-cara menarik, akhirnya lambat-laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan kamu mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai. Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, zina tidak dipersoalkan, pakaian seksi menjadi lumrah, tanpa rasa malu, seks sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain-lain. Semuanya sudah terbalik.

Dan tanpa disedari, sedikit demi sedikit kamu menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan.

(Sumber: Zam Yassin)

Tuesday, September 25, 2012

Jangan Sedih - Berusahalah Membaiki Diri

 
Jangan sedih bila orang lain tidak MEMAHAMI kamu,
tetapi sedihlah kerana kamu tidak MEMAHAMI orang lain.
Jangan sedih bila orang lain tidak MEMPERCAYAI kamu,
tetapi sedihlah kerana kamu tidak PERCAYA pada diri sendiri.
Jangan sedih bila orang lain tidak memberi KESEMPATAN kepada kamu, tetapi sedihlah kerana kamu masih belum membuat PERSIAPAN.
Jangan sedih bila orang tidak MENGHARGAI kamu,
tetapi sedihlah kerana kamu tidak MENGHARGAI orang lain.
Jangan sedih bila orang lain MENGHINA kamu,
tetapi sedihlah kerana kamu MENGHINA diri sendiri.
Jangan sedih jika orang selalu MENGKRITIK kamu,
tetapi sedihlah kerana kamu tidak pernah mahu MEMPERBAIKI diri.
Jangan sedih jika kamu selalu JATUH,
tetapi sedihlah kerana kamu tidak mahu BANGKIT kembali.
Jangan sedih kerana perjalanan hidup kamu penuh PAHIT GETIR,
tetapi sedihlah kerana kamu x pernah belajar dari PENGALAMAN.

INGATLAH! Kunci masalah selalu ada dalam diri, bukan di luar.
 

Sunday, September 23, 2012

Terima Pasangan Seadanya


serenemaklong.blogspot.com

Sepasang suami isteri leka berbual. Mari kita dengarkan apa cerita mereka:
SUAMI : Kenapa, sayang?

ISTERI : Ayang ada satu permainan. Ayang catatkan semua keburukan Abang sebanyak mungkin dan Abang pula catatkan tentang keburukan Ayang sebanyak mungkin. Esok pagi kita baca balik tentang apa yang kita dah tulis tu.
SUAMI : OK.

Malam itu si isteri senaraikan tentang keburukan suaminya hingga tidak tidur. Suami pula di ruang tamu pun tidak tidur juga hingga ke waktu sarapan.

ISTERI :Hah, macam mana, siapa nak mulakan dulu?

SUAMI : Ayang mulakan.

ISTERI : Ok, Abang dengar, ya (sambil mengeluarkan 2,3 helai kertas yang dicatatnya malam tadi).

ISTERI : Abang tak romantik, tak pandai pujuk, bla bla bla.. bla bla bla..
Ok, sekarang giliran Abang pulak.

SUAMI : (Dia mengeluarkan 3,4 helai kertas kosong.) Abang minta maaf, tak ada apa yang Abang dapat senaraikan tentang keburukan Ayang sebab Abang terima Ayang seadanya, dan segala keburukan Ayang sentiasa Abang maafkan. Abang minta maaf kalau Abang  tak sempurna di mata Ayang.

Si isteri tergamam dan air mata jatuh berlinangan. Terus dia peluk dan memohon ampun pada suaminya. Dia menyesal kerana telah melukakan hati suaminya. Dia juga sedar dan bersyukur bahawa suaminya adalah insan terbaik yang telah dianugerahkan kepadanya.

Moral cerita:  Terimalah pasangan seadanya. Kita dijadikan untuk saling melengkapi kekurangan masing-masing.

( Terima Kasih kepada sahabat,  Akmar Ariff di atas perkongsian ini)

Wednesday, September 19, 2012

Usah Bersangka Buruk


serenemaklong.blogspot.com



YANG berjubah, berkopiah dan berjanggut, belum tentu orang alim. Yang bertudung labuh, belum tentu ustazah. Mereka sebenarnya sedang berusaha untuk mentaati perintah Allah sebaik mungkin.

Yang berpakaian selekeh belum tentu dia tidak sayangkan agama Islam. Mungkin dia masih belum berhijab, dan akhlak pun belum cukup baik. Namun di hatinya masih ada iman sekecil zarah. Jika dia bertanya berbagai soalan kerana mahu kepastian dalam beragama, jangan pula dipertikaikan keikhlasannya.

Umat Islam adalah umat yang berkasih sayang dan prihatin, bukan umat yang bersangka buruk dan menghukum. Usah lupa sejarah diri kita sendiri, yang kita sembunyikan dan Allah pula menyembunyikannya. 

Mari kita mulakan hari dengan sikap positif dan bersangka baik. Bantulah mereka untuk membantu diri kita supaya generasi kita kelak akan dibantu dan membantu. Bantulah sesama kita menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w yang terbaik, terbaik dari ilmu, amal dan akhlak.

Jika bertembung dengan kesulitan, bersangka baik bahawa Allah akan memberikan keluasan dan jalan keluar bagi kesukaran yang sedang dan akan dihadapi. Tiada kemudahan kecuali yang dipermudahkan oleh Allah. Semoga kita diberkati pada hari ini dan hari-hari yang mendatang. InsyaAllah.

Monday, September 17, 2012

Ladang Organik Nur Zaharah


serenemaklong.blogspot.com




PRODUK organik memang alternatif lebih menyihatkan berbanding produk biasa, namun ramai menganggapnya sekadar “pilihan gaya hidup”. Persoalan yang bermain di kepala ialah: Berbaloikah harga tinggi yang dibayar untuk produk organik? 

Mungkin jawapannya adalah - memang mahal tetapi berbaloi bila  pembelian kita dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Janda Baik yang terletak di tengah-tengah Banjaran Titiwangsa merupakan tempat bermulanya rumah kebajikan Nur Zaharah yang ditubuhkan pada 2005 oleh Datin Norjan Noor.  Di sinilah kanak-kanak dan remaja di antara usia empat hingga 20 tahun ditempatkan.

Rumah bagi kanak-kanak dan remaja lelaki adalah di Kampung Chemperoh, manakala kanak-kanak dan remaja perempuan pula di Kampung Sum Sum Hilir. Dari jauh, bangunan yang terbina di tempat ini seperti tidak ada apa-apa keistimewaan. Namun bila dilihat dari dekat, ternyata di kelilingnya terdapat kawasan seluas satu hektar  yang menghijau. Di sinilah letaknya ladang organik yang diguna untuk menjana pendapatan bagi penghuni Rumah Nur Zaharah.



Pengurus rumah dan ladang amal ini ialah Encik Yahya Yusof, 29 tahun, bapa kepada dua orang anak. Beliau berkelulusan undang-undang Islam dari Universiti Sains Islam di Nilai, Negeri Sembilan, dan pernah menimba pengalaman menguruskan rumah-rumah kebajikan ketika berada di Singapura.

Di Ladang Nur Zaharah ini, beliau menanam berbagai jenis sayuran berdaun seperti kalian, sawi dan siu pak choy. Sekali seminggu, pekerja-pekerja upahan bermotosikal datang mengambil dan menghantar kotak-kotak berisi sayuran segar seberat 3 kg terus ke rumah pelanggan-pelanggan, di mana 30 daripadanya tinggal di Kuala Lumpur.     

Mereka mengambil langkah proaktif ini kerana tidak mahu bergantung semata-mata kepada derma pihak kerajaan dan orang ramai. Setiap bulan, ladang organik  menghasilkan pendapatan RM4,000 sebulan. Bagaimanapun, jumlah ini tidak dapat menampung perbelanjaan 41 orang penghuni yang umumnya mencapai sehingga RM25,000 sebulan.

Untuk pendapatan tambahan, mereka menyewakan sebuah kandang kambing. Najis kambing yang diberi percuma oleh penternak penyewa digunakan sebagai baja tanaman.  



Selain itu, mereka turut menguruskan sebuah Kedai Kraf & Kafe di mana kopi yang dihidangkan datang daripada ladang kopi mereka sendiri. Hiasan kraf di kedai ini pula diperbuat daripada bahan kayu asli dan juga bahan kitar semula.

Dengan suasana udara yang segar, disertai bahan makanan organik tanaman sendiri, penghuni Rumah Nur Zaharah jarang menghadapi masalah pemakanan. Mereka adalah penghuni yang aktif kerana setiap Sabtu mereka membantu menyenggara ladang. Setiap penghuni mempunyai pokok sendiri. Bila pokok mengeluarkan hasil, rasa bangga bagaikan tidak terkata, seolah-olah telah berjaya menghasilkan sebuah mahakarya.

Harapan Yahya ialah ladang organik tersebut mampu menjana cukup pendapatan bagi membiayai pengurusan Rumah  Nur Zaharah  dalam masa 10 tahun.

SISIPAN TAMBAHAN

Proses perladangan organik sebenarnya telah dirintis oleh Nutrilite, pengeluar makanan kesihatan yang merupakan anak syarikat Amway, syarikat jualan langsung terkemuka di dunia.

Berikut ini adalah proses yang Nutrilite amalkan di ladang-ladangnya:

Memasukkan nitrogen ke dalam tanah
Legume ditanam untuk memasukkan nitrogen ke dalam tanah yang diperlukan untuk tumbesaran tanaman.

Mengguna cacing tanah untuk pengudaraan
Menambah nutrien organik ke dalam tanah dengan membiarkan cacing tanah mengorek menerusi tanah supaya akar boleh tumbuh secara meluas. 

Menutup tanah dengan pelapik plastik
Selepas ditutup dengan pelapik plastik, legume akan layu di bawah cahaya matahari dan diguna sebagai bahan kompos.

Menanam tumbuhan yang dikehendaki
Sebaik sahaja tanah kaya nutrien itu telah tersedia, tumbuhan pun ditanam, dengan menggunakan air bawah tanah untuk pengairan.  

Melindungi tanaman menurut yang dikehendaki alam
Larva kumbang, lalat, burung helang dan burung jampuk dapat  membantu melindungi tanaman daripada serangga, burung-burung dan makhluk perosak lain.    

Memetik tumbuhan ketika ia berada di peringkat paling berkhasiat
Tumbuhan dipetik pada peringkat paling berkhasiat. Hanya bahagian yang mempunyai nilai paling berkhasiat dikumpulkan.

Menggunakan biri-biri sebagai pembersih ladang
Kawanan bebiri digembala untuk meragut tunggul-tunggul di ladang selepas tanaman dipetik.

Mengekalkan pembajaan tanah pada masa rang (fallow)
Selepas penanaman dan pemetikan selama 3-4 tahun, ladang akan di biarkan rang (fallow) selama setahun. Tempoh ini membolehkan tanah itu dibajak, dipulih dan disuburkan. 

(Rujukan: TheStar &  Amway)

Saturday, September 15, 2012

Value of Knowledge


serenemaklong.blogspot.com
 
 
HOW much are you willing to pay for a book that will increase your knowledge about Al Quran? You might be willing to pay a few hundred or a few thousand Ringgit.

This man, he took all the coins that he had to pay for the book after our talk in Penang. We were touched by his action that we gave him the book for free.

May Allah bestowed His blessing to this man and make him and all of us seekers and lovers of knowledge. We also pray to Allah to make this man and all of us inhabitants of His Jannah.
 
(Thank you to Malaysia Reverted Muslim (Formerly Malaysia Chinese Muslim) for sharing this beautiful story with me )

Thursday, September 13, 2012

Sikap Memihak Kepada Kebenaran


serenemaklong.blogspot.com


PARTISAN ialah mengambil sikap memihak kepada sesuatu fahaman atau seseorang. Ia adalah sebahagian daripada resam perjuangan terhadap sesuatu ideologi atau seseorang tokoh yang disanjung. Kadang-kadang sikap partisan yang diambil bukan sangat kerana kebenaran yang didukung tetapi kerana taksub yang melulu.

Ada juga organisasi dakwah mengambil sikap non-partisan untuk menjaga maslahah dakwah. Maslahah dakwah bermaksud ajakan dan seruan itu berkembang tanpa batas parti politik dan fahaman yang diperjuangkan.

Islam menganjurkan umatnya partisan kepada kebenaran. Kalau sesuatu fahaman itu mendukung makna kebenaran yang amat dituntut, kita wajib patuh kepadanya. Kebenaran adalah milik ALLAH. Ia disampaikan kepada manusia supaya manusia dapat menyampaikannya kepada orang lain sebagai pedoman untuk melakukan kebaikan dan mengelakkan diri daripada kemungkaran.

Hal yang sama juga kepada tokoh. Selagi kebenaran itu diambil daripada sumber al-Quran dan Sunnah dan ditafsirkan oleh ulama muktabar maka harus kita mentaatinya. Tetapi jika tokoh itu menganjur perpecahan, sengketa sesama umat, kepentingan politik mengatasi agama, tokoh itu tidak patut ditaati.

Mengambil sikap partisan pun memerlukan pedoman syarie yang tinggi, diikuti dengan kajian dan ketelitian supaya maklumat yang didapati tu kemas dan meyakinkan. Kita tidak boleh mengambil sikap partisan hanya berasaskan persepsi semata-mata.

Partisan terhadap kebenaran menjadi kewajipan setiap umat Islam. Melakukan kerja dakwah dan tarbiah umpamanya menjadi salah satu cara mendekati sasaran. Sasaran biasanya tidak semua tahu akan maksud kebenaran. Ia perlu disampaikan secara bijaksana penuh kasih sayang.

Para pendakwah dan pendidik dengan sifat kasih sayang dan belas kasihannya sentiasa bersikap terbuka ketika mendekati seseorang. Jika seseorang itu melakukan kemungkaran, dan kemungkaran itu tidak bersamanya, orang itu harus didekati dengan belas kasihan dan bijaksana.

Jika pendakwah membenci kemungkaran dan juga membenci pelakunya, maka terputuslah tali di antara pendakwah dan sasaran itu. Dan si pelaku pula terus juga melakukan perkara sama.

Tetapi sifat belas kasihan yang mendorong para dai’ melakukan dakwah secara bijaksana dan berkesan, boleh menyebabkan sasaran itu berubah dengan izin ALLAH, yang mana akhirnya nanti dia bakal menjadi sebahagian daripada orang yang menyukai kebenaran dan tidak mahu lagi kekal dalam kebatilan.

ALLAH tidak mengurniakan kepada sesuatu jemaah, baik dakwah atau siasah dengan seluruh kekuatan dalam menyampaikan kebenaran. ALLAH juga tidak mengurniakan kepada seseorang tokoh dengan segala ilmu dan kebijaksanaan. Sesuatu jemaah itu berperanan sebagai salah satu jemaah di samping jemaah-jemaah lain. Selagi jemaah-jemaah yang ada melakukan sumbangan berasaskan al-Quran dan Sunnah ia pelengkap kepada jemaah lain.

Tetapi apabila sesuatu jemaah merasakan ia bakal membawa perpecahan dan konflik, atau apabila seseorang tokoh merasakan dia adalah satu-satunya yang paling berwibawa, dan pandangannya harus didengar dengan menafikan kewibawaan orang lain, maka sifat sedemikian bakal melahirkan pengikut yang taksub dan lahirnya elemen-eleman ego dan “pemujaan”.

Sikap partisan sebegini amat bahaya terhadap pemikiran dan kemajuan Islam. Ia bakal mencetuskan retak dan perpecahan sesama Islam. Imam Shafie, Hambali, Maliki dan Hanafi mengambil sikap yang amat terbuka terhadap persamaan dan perbezaan. Etika perbezaan menjadi sandaran yang amat hebat di samping persamaan yang didukung.

Bayangkan sekiranya sikap partisan terhadap kebenaran itu tidak dirumus secara bijaksana dan pendekatan yang diambil menyebabkan kesatuan umat tergugat, ia bakal mendedahkan umat Islam dengan asas pecah-belah, syak wasangka, fitnah memfitnah semata-mata atas dorongan 'aku saja yang betul' orang lain semuanya salah.

Keadaan begini akan digunakan oleh musuh-musuh Islam yang strateginya tersusun rapi untuk melagakan sesama umat Islam dan akhirnya bakal melakukan dominasi dan menyebabkan umat Islam terpinggir.

Diharap umat Islam pada hari ini menyedari hakikat ini kerana keadaan yang sedang berlaku di dunia Islam sekarang amat membimbangkan. Tsauban ada berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: 
Suatu masa nanti, bangsa-bangsa (lain) akan meratah kamu semua sepertimana orang-orang sedang meratah makanan di atas dulang”. Kemudian ada sahabat bertanya: “Adakah ketika itu bilangan kita (kaum Muslimin) kecil?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sebaliknya, jumlah kamu ketika itu ramai, namun kamu hanya bagai buih di atas air bah (yang dengan mudah dihanyutkan ke sana ke mari). Dan Allah SAW akan mencabut rasa takut dari dalam diri musuh-musuh kamu terhadap kamu.” (Hadis riwayat Tarmizi)

(Diadaptasi daripada tulisan Cikgu Sidek Baba)