Tuesday, November 23, 2010

Kek Cawan Vegetarian

serenemaklong.blogspot.com

Resipi Kek Cawan Vegetarian ini saya perolehi daripada sebuah akhbar Inggeris tempatan. Keadaannya yang tidak mengandungi bahan bersumber haiwan menjadikannya istimewa berbanding kek cawan biasa.

Bahan-bahannya:
240g tepung biasa
3 ½ sudu teh serbuk penaik
2 sudu teh susu tepung
180g marjerin
145g gula perang lembut
½ sudu teh esen vanila
145 ml susu segar
140g buah-buahan campuran

Caranya:
Ayak tepung, serbuk penaik dan susu tepung bersama-sama.
Pukul marjerin dan gula perang sehingga ringan.
Masukkan esen vanila dan perlahan-lahan tuang susu segar ke dalamnya. Terus memukulnya sehingga bergaul rata.
Kaupkan bahan-bahan kering ke dalamnya.
Masukkan buah-buahan campuran.
Sudukan campuran kek ini ke dalam cawan-cawan kertas yang diisikan ke dalam dulang berbentuk cawan.
Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 160 darjah C selama 15 minit atau sehingga kekuningan dan telah masak bila ditusuk dengan lidi pencucuk.  

Sunday, November 21, 2010

Membuang Lemak Badan

serenemaklong.blogspot.com

Bolehkah pembuangan lemak badan dilakukan menerusi pengawalan diet? Perlukah ia disertai  gerak senaman? Apakah gerak senaman kardio paling efektif? Berapa lama saya patut melakukannya? Ini adalah soalan yang sering diajukan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Menurunkan berat badan secara berdiet sahaja akan gagal kerana angka yang ditunjukkan oleh alat penimbang bukan pembuangan lemak yang sebenar. Yang susut hanya air dalam badan. Sebaik sahaja tempoh diet itu tamat, badan akan menjadi lebih gemuk berbanding  sebelumnya.

Gerak senaman kardio yang efektif bergantung pada jantung dan kadar degupan. Tidak kira apa jenis senaman kardio yang dilakukan sama ada bermain sukan lasak, menari aerobik, berjoging atau berjalan pantas, yang penting ialah meningkatkan kadar pembakaran kalori menerusi peningkatan kadar degupan jantung. Ini bererti lebih keras intensiti senaman, lebih pantas degupan jantung, lebih banyak pula kalori yang dibakar. Pastikan gerak kerja fizikal itu cukup berat untuk mendapatkan kesan yang diharapkan.  

Gerak senaman adalah satu susunan aktiviti yang boleh diukur dan dicatatkan. Sama ada hendak menurunkan berat badan atau mencergaskan diri bagi sesuatu kejohanan, program gerak senaman yang berstruktur mempunyai sasaran tetap yang perlu dilakukan hingga selesai dan diperbaiki. Inilah cara untuk mengukur kemajuan.

Jika berbadan gemuk dan ingin membuang lemak menerusi permainan futsal atau bola jaring, matlamat yang dihajati tidak akan dapat dicapai kerana penglibatan fizikal yang diperlukan tidak cukup berat. Seseorang yang tidak berdaya mengejar bola tidak akan kerap menerima tendangan dan lemparan bola daripada rakan sepasukan. Keadaan ini menyukarkan usaha individu yang hendak meningkatkan kadar degupan jantung dengan intensiti yang berat serta kerap bagi membakar kalori.

Bertinju, berdayung, mendaki tembok / dinding batu, berbasikal, bermain tenis, badminton atau skuasy adalah jenis sukan yang sangat interaktif dan mencabar diri. Tempoh aksi keras dalam sukan jenis begini sudah cukup untuk mendorong pembuangan lemak, dengan syarat seseorang itu melibatkan diri sepenuhnya.

Jika seseorang itu mempunyai masa yang terhad untuk ditumpukan ke atas gerak senaman,  intensiti gerak kerja mesti ditingkatkan dengan cepat ke zon 60% hingga 80% kadar degupan jantung maksimum. Dalam julat kadar degupan ini, kalori yang paling banyak dibakar untuk mendapatkan tenaga adalah dari simpanan lemak tubuh. Bagi seseorang yang baru mula bersenam, jika degupan jantungnya naik turun secara tidak menentu, ini adalah kerana jantungnya masih belum mempunyai disiplin yang dimiliki oleh seseorang pelari marathon. Perkara ini tidak perlu dikhuatiri kerana dengan senaman berterusan, lambat laun degupan jantung yang betul boleh dicapai.

Salah satu kaedah dalam program penurunan berat badan yang biasa digunakan ialah latihan interval. Ia membabitkan pecutan pantas kardio yang singkat disusuli oleh gerak kerja  berintensiti rendah. Kedua-duanya dilakukan secara berselang-seli sebanyak beberapa pusingan. Ia boleh diguna untuk larian, mengayuh basikal atau apa sahaja yang menaikkan paras degupan jantung.

Satu contoh ialah berjalan pantas / berlari pecut selama lima minit, diikuti berjalan perlahan / berlari-lari anak selama lima minit pula. Ini dilakukan berulang-ulang selama 45 minit hingga  satu jam. Penyelidikan yang dijalankan oleh Kolej Sukan Perubatan Amerika mendapati bahawa lebih banyak kalori dapat dibakar bila melakukan gerak pecut dalam tempoh singkat berbanding latihan ketahanan (endurance) yang panjang.

Latihan interval bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menurunkan berat badan dan  mungkin juga tidak sesuai untuk semua orang. Terutama jika individu itu mengalami kecederaan atau ketidakupayaan fizikal. Nasihat doktor hendaklah diperolehi sebelum memulakan apa-apa rutin gerak senaman.

Apapun, program pengambilan makanan yang berkhasiat lagi terkawal patut seiring dengan gerak senaman. Pencapaian berat badan unggul memerlukan masa dan perubahan gaya hidup. Tubuh yang sasa dan cantik boleh menjadi milik anda jika terus konsisten dengan apa yang dilakukan.          

Khasiat Ulam (Bahagian 4)

Ulam adalah makanan pembuka selera yang istimewa dan boleh dipelbagaikan cara menghidangnya. Makanan kaya khasiat ini lazimnya dimakan segar atau dicelur seketika sahaja supaya zatnya tidak hilang.   

KACANG PANJANG
Vigina sinensis

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 33.0 kalori
Lembapan - 91.2 %
Protein - 2.1 gram
Lemak - 0.9 gram
Karbohidrat - 4.0 gram
Serat - 1.4 gram
Abu - 0.4 gram
Kalsium - 61.0 miligram
Fosforus - 33.0 miligram
Besi - 5.0 miligram
Natrium - 120.0 miligram
Kalium - 53.0 miligram
Beta Karotena - 513.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 86.0 mikrogram
Tiamin (B1)- 0.1 miligram                                         
Riboflavin (B2) - 0.13 miligram
Niasin - 0.6 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 21.9 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Kacang panjang dimakan mentah atau dicelur dan dipotong bila dihidang. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

PERIA
Momordica charantia

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 16.0 kalori
Lembapan - 94.5 %
Protein - 0.8 gram
Lemak - 0.1 gram
Karbohidrat - 2.9 gram
Serat - 0.9 gram
Abu - 0.8 gram
Kalsium - 56.0 miligram
Fosforus - 10.0 miligram
Besi - 6.1 miligram
Natrium - 17.0 miligram
Kalium - 116.0 miligram
Beta Karotena - 140.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 23.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.08 miligram
Riboflavin (B2) - 0.07 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 53.0 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Jenis panjang, sebelum dimakan, disyorkan potong halus sebelum direbus. Bagi peria katak, rebus bulat-bulat dan potong untuk dihidang. Kedua-dua jejnis dimakan dengan sambal belacan.

PETAI
Parkia speciosa

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 124.0 kalori
Lembapan - 69.0 %
Protein - 10.0 gram
Lemak - 1.8 gram
Karbohidrat - 16.9 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 1.3 gram
Kalsium - 126.0 miligram
Fosforus - 20.0 miligram
Besi - 3.4 miligram
Natrium - 80.0 miligram
Kalium  - 2260.0 miligram
Tiamin (B1) - 0.15 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 32.7 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Buah muda dimakan mentah atau dimasak bersama sambal tumis. Pucuk muda dan tangkai bunga boleh juga dimakan sebagai ulam.

TERUNG       
Soanum melogena

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 30.0 kalori
Lembapan - 91.2 %
Protein - 1.7 gram
Lemak - 0.1 gram
Karbohidrat - 5.6 gram 
Serat - 1.0 gram
Abu - 0.4 gram             
Kalsium - 15.0 miligram
Fosforus - 20.0 miligram
Besi - 0.6 miligram
Natrium - 9.0 miligram
Kalium - 55.0 miligram
Beta Karotena - 90.0 mikrogram
Aktiviti Vitamin A - 15.0 mikrogram
Riboflavin (B2)  -  0.05 miligram
Niasin  -  0.7 miligram
Tiamin (B1) -  0.07 miligram
Asid Askorbik (Vit C) - 18.4 miligram 

Bahagian dan cara dimakan
Selain dimasak, terung direbus bulat-bulat sehingga lembut dan dipotong sebelum dihidang. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

KUNYIT MUDA
Curcuma Domestica

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga -  335.0 kalori
Lembapan - 14.2 %
Protein - 2.3 gram
Lemak - 5.0 gram
Karbohidrat - 70.2 gram
Serat - 3.2 gram
Abu - 5.1 gram
Kalsium - 146.0 miligram
Fosforus - 284.0 miligram
Besi - 18.6 miligram
Beta Karotena -  30.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 5.0 mikrogram
Niasin - 2.3 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Kunyit mudah boleh dimakan mentah bersama sambal belacan dan sesuai dibuat asam cuka
air.

LENGKUAS
Languas galanga

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 4.0 kalori
Lembapan - 89.0 %
Protein - 0.9 gram
Lemak - 0.7 gram
Karbohidrat - 7.4 gram
Kalsium - 25.0 miligram
Besi - 2.1 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Umbut dan sulur muda lengkuas boleh dimakan terus atau direbus. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

Sumber: Khasiat Ulam terbitan FAMA

Friday, November 19, 2010

Ketahui Peranan Produk Untuk Rambut

serenemaklong.blogspot.com

Rambut kerinting mengerbang, rambut kejur bagai berus, rambut halus kusut masai, rambut lurus nipis …… bagi wanita ada sahaja yang tidak kena dengan rambut! Mereka mahu mengurus  rambut masing-masing tetapi tidak pasti apa patut diguna. Mari kita lihat apa yang ada di pasaran dan fungsi produk itu.   

Perapi bilasan
Sebelum perapi tanpa bilas dan masker rambut dicipta, perapi bilasan diguna untuk “menjinakkan” rambut kejur yang mengerbang. Ia dibiarkan merapi  rambut selama 30 saat, kemudian dibilas sebersih-bersihnya untuk mengawal kusut dan meningkatkan kilauan.

Perapi tanpa bilas
Kalau tidak mempunyai banyak masa untuk membilas syampu dan perapi biasa sampai dua kali, selepas rambut disyampu, sikatkan perapi tanpa bilas menerusi helaian rambut dan biarkan rambut kering sendiri. Perapi tanpa bilas mempunyai fungsi yang sama dengan perapi bilasan biasa iaitu untuk melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Jika rambut kerap ditiup kering, atau jika anda merancang hendak bersantai di pantai, jangan lupa menggunakan produk ini.

Serum rambut
Serum rambut berfungsi dengan cara yang sama seperti perapi tanpa bilas, iaitu membentuk lapisan pelindung pada helaian rambut untuk menjadikannya lebih licin dan berkilau. Namun ia tidak melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Ia dianggap sebagai produk penggaya, bukan perapi rambut.

Masker rambut
Masker rambut perlu diguna sekurang-kurang selama 20 minit untuk merapi rambut secara mendalam. Jika rambut kerap ditiup kering, dikerinting dan diwarnakan, rambut perlu dijaga lebih rapi untuk mengelakkan hujung bercabang dan rambut rapuh.

Menggunakan masker rambut pada setiap minggu akan menguatkan helaian rambut dengan protein. Ia juga mengembalikan lembapan yang hilang dengan menghidrat bahagian rambut yang kering.

Catatan:
Harus diingat bahawa perapi boleh melemahkan rambut yang halus. Oleh itu, gunakan sedikit sahaja di bahagian hujung rambut, bukan di kulit kepala.


Thursday, November 11, 2010

Anak Mandailing - Ketahui Asal Usulmu

(Serene_Maklong.blogspot.com)

   
Malaysia ialah sebuah negara masyarakat majmuk. Rakyatnya terdiri daripada berbagai kaum, bahasa, agama dan adat resam. Di Semenanjung, penduduk asal negara ini adalah kaum pribumi yang dikenali sebagai Orang Asli. Penduduk lain berhijrah dari negara jiran seperti Indonesia, India, China, Thailand dan Filipina.

Salah satunya, kaum Mandailing berasal dari Munda, sebuah daerah di tengah Benua India. Mereka hidup berpindah randah kerana tidak mampu menahan serangan orang Aryan dari Timur Tengah pada kurun ke 6. Mereka bermukim di Mandalay, ibu negara Burma Purba. Namun mereka berpindah lagi apabila tercetus pergolakan di antara suku-suku kaum negara itu.
Selepas
merentas Selat Melaka mereka menubuhkan kerajaan di Batang Pane, Portibi, Sumatra. Perluasan Kerajaan Munda Holing dicemburui oleh Maharaja Rajenderacola, pemerintah sebuah kerajaan di Sumatra. Pada akhir kurun ke 9, Raja Odap-Odap gagal mempertahankan Munda Holing daripada jatuh ke tangan Maharaja Rajenderacola.

Kerajaan kedua dibina di Pidoli Dolok, Sumatra dan dikenali dengan nama Mandala Holing (bererti kawasan orang Keling). Ketika itu mereka masih beragama Hindu.

Pada kurun ke 13, Kerajaan Majapahit di Pulau Jawa pula menguasai Mandala Holing menyebabkan penduduk yang tidak ditawan lari ke hutan dan bergaul dengan penduduk asli. Lalu terbentuklah Marga Pulungan yang bererti “di kutip-kutip”. Mereka membina Kerajaan Pagar Ruyung, namun kerajaan itu hanya merupakan kerajaan kampung.
 Pemerintah Pagar Ruyung mempunyai tiga orang anak iaitu Betara Sinomba, Puteri Langgoni dan Betara Gorga Pinanyungan. Bagaimanapun, Betara Sinomba dihalau oleh ayahnya  kerana berbuat sumbang mahram dengan adiknya. Betara Sinomba dan Puteri Langgoni keluar merantau hingga ke Kota Pinang.  

Sejarah buruk berulang bila Betara Gorga Pinanyungan pula berzina dengan adik sepupu sebelah ibunya, Puteri Rumandang Bulan. Disebabkan ketiadaan pewaris takhta, puteri itu ditunangkan dengan Raja Gayo. Ketika dihantar ke Gayo, Puteri Rumandang Bulan membawa setandan pinang masak. Sebiji pinang ditanamkannya setiap kali rombongan itu berhenti rehat, hingga tiba ke tebing sungai bernama Aek Batang Gadis.

Di tebing sungai itu dia melahirkan seorang putera. Bayi itu ditinggalkan di bawah pokok tempat dia dilahirkan kerana kata seorang Datu, dia bakal menjadi raja yang besar di situ suatu hari kelak. Bayi itu kemudiannya ditemui dan dibawa pulang oleh rombongan Sultan Pulungan yang kebetulan lalu di situ.

Anak yang dibesarkan di dalam kandang di bawah rumah itu digelar Sibaroar. Apabila dewasa, dia melarikan diri lalu membina sebuah kerajaan lain di Penyabungan. Dia kemudiannya datang menyerang dan mengalahkan Sultan Pulungan. Sibaroar yang kini bergelar Sutan Diaru menjadi  raja sebuah kerajaan yang besar dan namanya masyhur. Kerana dia  kehilangan ibu, rakyat menggelar kerajaannya "MANDE NAN HILANG",  atau dipendekkan menjadi Mandailing. Sibaroar juga merupakan pengasas Marga Nasution.

Dalam pada itu, Betara Gorga Pinanyungan yang kini memerintah Pagar Ruyung terkenangkan Puteri Rumandang Bulan yang hamil dan dibawa ke Gayo. Dia berangkat menyusuri pokok-pokok pinang yang ditanam oleh bekas kekasihnya hingga sampai ke tebing sungai Aek Batang Gadis. Kemudian dia dibawa mengadap Sutan Diaru di Penyabungan.

Sisauwa, seorang pengasuh menunjukkan kain sutera yang membalut Sutan Diaru sewaktu dijumpai di Aik Batang Gadis beserta kalung ibunya. Kini Yang Di Pertuan Pagar Ruyung tahu bahawa Raja Penyabungan itu anaknya.

Ketika Sutan Diaru ditabalkan sebagai Raja Penyabungan, utusan dari Kota Pinang datang ke Penyabungan untuk mengundang Yang Di Pertuan Pagar Ruyung ke negerinya. Pada hari itu, Kota Pinang digelar sebagai Tanah Abang, dan Penyabungan pula Tanah Adik, sempena peristiwa Betara Sinomba mengundang adiknya, Betara Gorga Pinanyungan datang ke Kota Pinang. Penyabungan berkembang luas hingga ke seluruh Mandailing Godang.

Tahun 1816, tentera paderi di bawah pimpinan Tuanku Imam Bonjol mengutuskan Raja Gadumbang Porang supaya menakluk Penyabungan dan mengislamkan seluruh penduduk Tanah Mandailing.

Serangan Raja Gadumbang Porang atau lebih dikenali sebagai Tuanku Mandailing  tidak begitu menekan, namun apabila seorang raja bernama Tuanku Lelo bertubi-tubi menyerang Penyabungan dan memburu Di Pertuan Huta Siantar, pembunuhan beramai-ramai di sana  memaksa sebahagian besar penduduk Mandailing lari ke Semenanjung.

Beberapa raja Mandailing seperti Patuan Maga dan Baginda Sidursat menyertai Tuanku Mandailing dan bertindak balas. Akhirnya Tuanku Lelo tewas di Padang Sidempuan.

Pada 1835, tentera Belanda pula memasuki Mandailing menyebabkan ramai raja Mandailing  bangkit melawan. Namun mereka terpaksa berundur dan menyeberang Selat Melaka lalu terus menetap di Semenanjung.

Anak Patuan Maga bernama Jahurlang, bergelar Tuanku Bosi diamanahkan oleh Tuanku Imam Bonjol supaya menjaga Bentang Bonjol. Bagaimanapun, ia jatuh ke tangan Belanda dan Tuanku Bosi lalu berundur ke Benteng Dalu Dalu.
Tuanku Tambusai, pemerintah Benteng Dalu Dalu menyerahkan daerahnya kepada Tuanku Bosi kerana ingin berundur dengan Tuanku Raja Asal dan Abdullah Zawawi, anak Tuanku Bosi. Mereka mendarat di Melaka dan pergi ke Lukut untuk mencari tempat tinggal. Pada 1838, Benteng Dalu Dalu juga jatuh ke tangan Belanda dan Tuanku Bosi terkorban.

Anaknya, Abdullah Zawawi kembali ke Sumatra untuk mencari saki baki tentera paderi bagi menyerang balas terhadap Belanda. Dia berulang alik antara Sumatra dan Tanah Melayu sambil menyerang kapal-kapal dagang Belanda, Inggeris, Cina dan India yang melintasi Selat Melaka. Kerana itu dia digelar Raja Laut.

Pada 1843, terdapat kekecohan di Lukut, lalu Tuanku Tambusai berpindah dan menetap di Jelebu, Negeri Sembilan sementara Raja Asal pula membuka lombong bijih timah di Klang.

Pada 1850, Raja Asal berhijrah ke Pahang dan mengusahakan lombong bijih timah serta berjual beli bijih timah di sana. Dia yang mulanya bersahabat baik dengan Tun Mutahir, Bendahara Pahang akhirnya menjadi menantu dan berkahwin dengan anak Tun Mutahir, Wan Putih atau dalam bahasa Mandailing dipanggil Siputeh.

Apabila perang saudara berlaku di Pahang pada tahun 1857 hingga 1863, Raja Asal turut terlibat disebabkan hubungan perkahwinannya dengan keluarga Tun Mutahir. Perang saudara itu  dimenangi oleh Wan Ahmad, adik Tun Mutahir.

Dalam keadaan luka parah, Tun Mutahir berundur bersama anak-anaknya, Wa Da, Wan Aman serta Raja Asal bersama isterinya Wan Putih ke sempadan Selangor. Turut serta ialah hamba Raja Asal yang setia bernama Si Puntung.

Di Selangor, Raja Asal kembali mengusahakan jual beli bijih timah. Dana Paderi yang diamanahkan kepadanya juga dilaburkan bagi membiayai saki-baki tentera paderi yang menjadi pengikut Raja Laut di Sumatra. Tuanku Tambusai yang sudah uzur tidak lagi memainkan peranan penting dalam memulihkan kekuatan tentera paderi di Sumatra.

Dalam perang saudara di Selangor pada 1866, Raja Asal mengambil keputusan untuk menyokong Raja Mahadi dan meminta bantuan Raja Laut serta tentera paderi. Akhirnya Klang diikuti Kuala Lumpur jatuh ke tangan orang Mandailing. Raja Asal memerintahkan Si Puntung membunuh Dato' Bandar Yassih yang berketurunan Bugis kerana banyak menindas dan menyeksa orang Mandailing.

Bagaimanapun campurtangan Tengku Kudin, seorang anak raja Kedah yang menjadi wakil Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad mulai 26 Jun 1868, telah mengubah suasana politik. Tengku Kudin mendapat bantuan dan sokongan orang Inggeris.

Pada mulanya Raja Asal, Sutan Naposo dan Kapitan Yap Ah Loy bersahabat baik. Tetapi pada  1871 mereka berselisih faham dengan Yap Ah Loy atas urusan perniagaan bijih timah. Pada Mei 1872, Raja Asal bersama Raja Laut  menyerang Kuala Lumpur. Mereka berkubu di Petaling Batu (Jalan Cheras sekarang), bersama 2,000 orang bekas tentera paderi dari Sumatra. Kapitan Yap Ah Loy yang dibantu oleh Kapten Van Hagen dan Kapten Cavalier mengalami kekalahan teruk.

Kejayaan Raja Asal dan Raja Laut merebut Kuala Lumpur dari Kapitan Yap Ah Loy memaksa Tengku Kudin meminta bantuan tentera dari Pahang dan Pulau Pinang. Bagaimanapun, pada akhir 1872 tentera Pahang yang dipimpin oleh Imam Perang Raja Rosu (Tok Gajah) ditewaskan oleh tentera Raja Asal yang dipimpin oleh Panglima Mandailing bernama Jabarumun yang berkubu di Ulu Kelang. Sementara itu, isteri Raja Asal, Wan Putih (Siputeh), bersama orang-orang Telu mempertahankan satu lagi kubu Raja Asal yang kini dikenali sebagai Siputeh, sempena nama beliau.

Pada Mac 1873, sekali lagi Raja Rosu menyerang Ulu Kelang dengan kelengkapan lebih hebat. Tentera Raja Laut gagal mendarat di Kelang bagi membantu tentera Raja Asal. Lalu kubu Raja Asal jatuh ke tangan tentera Pahang. Raja Laut yang mendarat di Teluk Mak Intan bersama 1,000 orang Batak yang baru diIslamkan menuju ke kawasan yang kini di kenali sebagai Batak Rabit. Nama itu muncul kerana telinga dan hidung mereka menggunakan subang yang besar. Raja Laut kemudiannya menyeberang Sungai Batang Padang.

Ketika di Ulu Selangor, Raja Laut menerima berita kekalahan tentera Raja Asal di Bukit Nenas dan sedang dalam perjalanan menuju ke Perak. Lalu orang Raja Laut berkhemah di Ulu Bernam/Slim dan membuat persetujuan untuk menghantar Jabarumun mendapatkan Sutan Na Poso (Sutan Puasa) yang berkubu di Ulu Langat bagi mengatur serangan balas ke atas Tengku Kudin dan Raja Rosu. Namun Sutan Na Poso tidak yakin kerana Raja Asal tidak menyertai pasukan perang yang hanya dipimpin oleh Jabarumun. Pasukan perang Jabarumun kemudiannya pulang tetapi sempat juga menyerang orang-orang Cina di Pudu dan juga Ulu Kelang. Kedai mereka dibakar dan pembunuhan berlaku di kedua-dua kawasan tersebut.

Raja Laut tidak mengikut Raja Asal ke Changkat Piatu. Dia ke Air Kuning dan Banir di negeri Perak. Di Air Kuning itu, dia meninggalkan anak sulungnya, Basir Nasution yang lebih dikenali sebagai guru agama Syeh Basir. Raja Laut kembali kepada cara hidup lamanya berulang alik di Selat Melaka sehinggalah dia terkorban dalam satu pertempuran dengan angkatan laut Belanda di Labuahan Bilik. Syeh Basir Nasution kembali ke Sumatra dan mengumpulkan semula kaum keluarganya tetapi dia tidak lagi kembali ke Air Kuning. Anaknya yang tua, Ja Akob pula tinggal di Banir dan Air Kuning.

Raja Asal di terima mengadap Raja Idris yang berkuasa di kawasan Teja dan diberikan satu kawasan melombong yang luas di Changkat Piatu. Dia telah mendapat kuasa mengutip cukai bijih timah di muara pertemuan Sungai Pinji dan Sungai Kinta. Raja Asal kemudiannya membina sebuah pengkalan mengutip cukai yang teguh. Pengkalan itu disebut sebagai Pengkalan Pegoh. Raja Asal juga membina kampung orang Mandailing di Changkat Piatu. Sementara itu orang-orang Rawa telah ditempatkan di Gopeng, di bawah pimpinan Panglima Jabarumun.

Isteri Raja Asal, Si Puteh yang kalah di Bukit Nenas telah berjalan kaki mencari suaminya hingga ke sebuah tempat berhampiran Pusing. Dia dan pengikutnya berkampung di sana sementara menanti utusan Raja Asal menjemput mereka. Kampung tersebut sehingga hari ini dikenali sebagai Siputeh. Itulah sebabnya terdapat dua tempat yang dinamakan Siputeh, masing-masing di Selangor dan di Perak.

Ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874, ramai pembesar negeri Perak yang tidak berpuas hati. Memandangkan Raja Asal mempunyai banyak pengalaman dalam peperangan, mereka meminta campurtangannya untuk mengusir orang Inggeris dari negeri Perak. Raja Asal menolak permintaan itu kerana dirinya yang telah uzur.

Raja Asal tidak menyertai pakatan membunuh J.W.W Birch. Sebaliknya dia meminjamkan hambanya, Si Puntung sebagai tanda penyertaannya untuk membersihkan bumi Perak dari campurtangan orang kafir yang ditentangnya sejak memeluk agama Islam. Ketika itu yang menjadi penghulu Mukim Belanja ialah anak saudara Raja Asal bernama Raja Bilah.

Ketika J.W.W . Birch dibunuh pada 1875, Raja Asal sudah mula sakit dan tidak mampu lagi mengendalikan urusan melombong, ataupun mengutip cukai bagi pihak Raja Idris (Sultan Perak). Akibatnya dia terhutang $3,000.00 kepada pihak berkuasa. Sepanjang masa itu Raja Bilah yang mengendalikan  semua urusannya. Raja Bilah meminta Raja Asal menyerahkan kuasa penuh kepadanya supaya dia dapat melangsaikan semua hutang tersebut. Hutang piutang itu selesai enam bulan kemudian. Raja Asal meninggal dunia pada 1878 dan dikebumikan di sebuah kawasan yang terletak di antara pertemuan Sungai Pinji dengan Sungai Kinta.
Makam itu masih lagi wujud hingga ke hari ini di Changkat Piatu.

Sumber: Buku Cenderamata Lembaga Adat Mandailing Malaysia).

http://www.silaban. net/2006/ 10/07/sejarah- mandailing/

Khasiat Ulam (Bahagian 3)

Ulam adalah makanan pembuka selera yang istimewa dan boleh dipelbagaikan cara menghidangnya. Makanan kaya khasiat ini lazimnya dimakan segar atau dicelur seketika sahaja supaya zatnya tidak hilang.   

PUDINA
Menta avensis

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 40.0 kalori
Lembapan - 89.0 %
Protein - 3.4 gram
Lemak - 0.8 gram
Karbohidrat - 4.7 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 1.1 gram
Kalsium - 216.0 miligram
Fosforus - 50.0 miligram
Besi - 3.5 miligram
Natrium - 120.0 miligram
Kalium - 2150.0 miligram
Beta Karotena - 1620.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.21 miligram
Aktiviti Vit. A - 270.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.1 miligram
Niasin - 0.4 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 124.0 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Daun yang segar dimakan sebagai ulam bersama sambal belacan, sambal kelapa dan sambal udang. Boleh juga dibuat sebagai campuran laksa.

SILOM
Oenanthe javanica

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 26.0 kalori
Lembapan - 91.6 %
Protein - 1.1 gram
Lemak - 0.4 gram
Karbohidrat - 4.4 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 1.5 gram
Kalsium - 138.0 miligram
Fosforus - 43.0 miligram
Besi - 2.3 miligram
Natrium - 310.0 miligram
Kalium - 2610.0 miligram
Beta Karotena - 3080.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 513.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.31 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 60.5 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Daun dan batang yang lembut dimakan sebagai ulam, kerabu dan laksa. Sebagai ulam, ia sesuai dimakan dengan sambal belacan, sambal kelapa, sambal udang dan sambal ibunda.

ULAM RAJA
Cosmos caudatus

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 17.0 kalori
Lembapan - 93.1 %
Protein - 2.9 gram
Lemak - 0.4 gram
Karbohidrat - 0.4 gram
Serat - 1.6 gram
Abu - 1.6 gram
Kalsium - 270.0 miligram
Fosforus - 37.0 miligram
Besi - 4.6 miligram
Beta Karotena - 5700.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 950.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.24 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 64.6 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Daun dan batang muda dimakan dengan sambal belacan, sambal kelapa dan sambal udang atau dibuat kerabu.

JERING         
Pithcolobium lobatum

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 102.0 kalori
Lembapan - 73.3 %
Protein - 5.8 gram
Lemak - 0.3 gram
Karbohidrat - 18.9 gram 
Serat - 1.2 gram
Abu - 0.5 gram             
Kalsium - 29.0 miligram
Fosforus - 60.0 miligram
Besi - 5.5 miligram
Tiamin (B1) - 10.0 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Sebelum dimakan kulitnya dibuang kemudian direbus atau dimakan segar bersama sambal belacan, sambal udang atau sambal kelapa. Pucuk yang masih merah khas untuk dijadikan ulam.

KACANG BENDI
Hibiscus esculentus

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 31.0 kalori
Lembapan - 90.5 %
Protein - 1.7 gram
Lemak - 0.1 gram
Karbohidrat - 5.9 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 0.8 gram
Kalsium - 77.0 miligram
Fosforus - 32.0 miligram
Besi - 1.5 miligram
Natrium - 30.0 miligram
Kalium - 80.0 miligram
Beta Karotena - 200.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 33.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.1 miligram
Niasin - 0.7 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 48.5 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Kacang bendi dicelur dan dimakan dengan sambal belacan.

KACANG BOTOR
Psophocarpus tetragonolobus

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 23.0 kalori
Lembapan - 92.0 %
Protein - 2.2 gram
Lemak - 0.2 gram
Karbohidrat - 3.1 gram
Serat - 2.1 gram
Abu - 0.4 gram
Kalsium - 36.0 miligram
Fosforus - 31.0 miligram
Besi - 0.8 miligram
Natrium - 30.0 miligram
Kalium - 80.0 miligram
Beta Karotena - 423.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 71.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.1 miligram
Niasin - 0.5 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 11.3 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Buah muda dimakan mentah atau dicelur tanpa dipotong. Sesuai dimakan dengan sambal belacan. Pucuk muda juga boleh dibuat ulam.

Sumber: Khasiat Ulam terbitan FAMA

Khasiat Ulam (Bahagian 2)

Ulam adalah makanan pembuka selera yang istimewa dan boleh dipelbagaikan cara menghidangnya. Makanan kaya khasiat ini lazimnya dimakan segar atau dicelur seketika sahaja supaya zatnya tidak hilang.   

GELANG PASIR
Portuloca oleraca

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 44.0 kalori
Lembapan - 84.6 %
Protein - 2.5 gram
Lemak - 0.2 gram
Karbohidrat - 8.0 gram
Serat - 2.0 gram
Abu - 2.7 gram
Kalsium - 164.0 miligram
Fosforus - 13.0 miligram
Besi - 2.8 miligram
Beta Karotena - 2940.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 490.0 miligram
Riboflavin (B2) - 0.2 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 14.0 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Pucuk dan daun yang lembut dicelur dan dimakan sebagai ulam. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

KANGKUNG
Ipomea reptans

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 29.0 kalori
Lembapan - 90.9 %
Protein - 3.1 gram
Lemak - 0.2 gram
Karbohidrat - 3.6 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 1.2 gram
Kalsium - 88.0 miligram
Fosforus - 9.0 miligram
Besi - 5.2 miligram
Natrium - 65.0 miligram
Kalium - 78.0 miligram
Beta Karotena - 4760.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 793.0 mikrogram
Riboflavin (B2) - 0.55 miligram
Niasin - 0.6 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 48.5 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Batang yang lembut dan daun perlu dicelur sebelum dimakan sebagai pembuka selera. Sesuai dimakan bersama sambal belacan, sambal kacang atau sambal santan pekat.

DAUN SELASIH
Ocimum basilicum

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 38.0 kalori
Lembapan - 87.5 %
Protein - 3.3 gram
Lemak - 0.4 gram
Karbohidrat - 5.4 gram
Serat - 1.8 gram
Abu - 1.6 gram
Kalsium - 94.0 miligram
Fosforus - 21.0 miligram
Besi - 1.8 miligram
Beta Karotena - 1440.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 240.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.1 miligram
Riboflavin (B2) - 0.33 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 45.9 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Daun dimakan bersama nasi sama ada sebagai ulam atau kerabu. Rasanya lemak, payau dan pedas.

MENGKUDU
Morinda citrifolia

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 30.0 kalori
Lembapan - 89.1 %
Protein - 3.9 gram
Lemak - 0.6 gram
Karbohidrat - 2.2 gram 
Serat - 3.0 gram
Abu - 1.2 gram             
Kalsium - 114.0 miligram
Fosforus - 14.0 miligram
Besi - 2.8 miligram
Beta Karotena - 9600.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 1600.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.15 miligram
Riboflavin (B2) - 0.32 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 115.00 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Pucuk dan daun yang lembut direbus dan boleh dimakan bersama sambal belacan serta boleh dibuat kerabu.

PEGAGA
Hydrocotyle asiatica

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 37.0 kalori
Lembapan - 87.7 %
Protein - 2.0 gram
Lemak - 0.2 gram
Karbohidrat - 6.9 gram
Serat - 1.6 gram
Abu - 1.6 gram
Kalsium - 171. 0 miligram
Fosforus - 32.0 miligram
Besi - 5.6 miligram
Beta Karotena - 4430.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 738.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.09 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 48.5 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Bahagian daun dan akar dimakan. Sesuai dengan sambal belacan, sambal kelapa dan sambal udang.

Sumber: Khasiat Ulam terbitan FAMA