Thursday, November 30, 2017

Kebangkitan dan Kejatuhan Sebuah Kuasa Besar




Tiada empayar dalam dunia ini berjaya membentukkan sebuah kedaulatan sehebat Empayar Mongolia. Daripada Genghis Khan ke Toghan Temur Khan, bangsa ini menghamburkan pelbagai perkara menakjubkan, pengajaran dan gambaran kehidupan Zaman Pertengahan.

Empayar Mongolia bukan sekadar empayar biasa. Ia memenuhi semua pra-syarat untuk diklasifikasikan sebagai kuasa besar: nilai ketamadunan, ketenteraan dan kebudayaan yang terjamin.
Disinilah semua agama disatukan dalam aliran teknologi dan kesenian. Segelintir masyarakat – guru, ketua agama dan artis – dikecualikan daripada bayaran cukai, turut menyumbang elemen kepakaran domestik.

Dan sama seperti kuasa besar moden, batu asas kehebatan mereka diterapkan melalui kezaliman luar biasa. Kemaraan Angkatan Ketenteraan Mongolia mengiringi maut kepada sekitar 35 juta orang. Masyarakat Iran berdepan ambang kepupusan yang begitu dahsyat. Populasi bangsa itu kembali ke paras pra-Mongol pada abad ke-20, satu jangkamasa mencecah 600 tahun lamanya.

“Untuk membunuh orang, rampaslah harta-harta mereka, nikmati kesengsaraan yang dibuat keatas keluarga mereka, dan rogollah wanita-wanita mereka sebagai pertunjukan tunjang kekuasaan.” – Genghis Khan.

“Kegembiraan hebat seorang mampu meraih ialah menawan musuh-musuh lalu menghalau mereka, merampas kuda-kuda dan harta-harta mereka, melihat wajah-wajah tangisan keluarga mereka dan merangkul tubuh isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka.” – Genghis Khan.

“Akulah bala Tuhan. Kalau kau tidak melakukan dosa, masakan Tuhan akan menghantar bala seperti aku kepada kau!” – Genghis Khan.

Di dalam rumah sendiri, Mongolia menjaminkan keunggulan agung; di luar pagar, mereka membuka lohong kezaliman tanpa batasan. Seorang wanita dijahit mulut dan hidungnya sebelum dilemaskan dalam air. Tidak lupa juga akan penglibatan Angkatan Ketenteraan Mongolia secara tidak rasmi dalam penyebaran Wabak Maut Hitam yang membunuh hampir 200 juta orang di seluruh dunia.

Darah dan abu kehancuran ini bermula selepas Genghis Khan dilahirkan, diteruskan pengganti-penggantinya sampailah Empayar Mongolia terpecah. Menurut Sejarah Rahsia Mongolia (Mongol’yun Niyuca Tobciyan), Genghis Khan dilahirkan sambil menggenggam segumpal darah – petanda kebesarannya pada masa akan datang.

Dataran Tinggi Mongolia dulu didiami masyarakat bersistem puak – Khereid, Khamag, Naiman, Merkit dan Tatar, dibawah penguasaan Dinasti Jin yang mengamalkan asakan “pecah perintah” dan hasutan agar bangsa Mongol dan Tatar sentiasa menentang satu sama lain, sekaligus melemahkan ancaman mereka.

Asalnya wilayah sekadar penguasaan puak Borjigin, Genghis Khan memulakan usaha-usaha penawanan melalui kerjasama dengan Toghrul, Khan puak Khereid. Sebelum itu, Genghis Khan juga mendapat bantuan Toghrul Khan dan Jamukha untuk menyelamatkan isterinya yang diculik puak Merkit. Musuh utama Toghrul-Genghis terletak di semua arah – Naiman (Barat), Merkit (Utara), Tangut (Selatan) dan Dinasti Jin, termasuk bangsa Tatar (Timur).

Pengepungan ini tidak membantutkan kemaraan Genghis Khan. Sementara mengasak, Genghis Khan menjanjikan masyarakat dan tenteranya perkongsian harta rampasan. Pihak tertewas dimasukkan dalam zon perlindungannya, manakala anak-anak yatim diambil anak angkat. Inovasi politik ini merapatkan saraf dalamannya, efektif bersama sistem pentadbirannya berdasarkan merit dan ketaatan, bukan lagi pertalian darah atau perkahwinan seperti tradisi Mongolia. Tetapi teknik ini juga memecahkan pakatan bersama ketuanya, akibat iri hati Senggum, anak lelaki Toghrul Khan. Dan bersengketa dengan Toghrul Khan, baginda juga kehilangan sahabatnya, Jamukha.

Peperangan yang meledak menyaksikan kemenangan Genghis Khan dan pembubaran puak Khereid. Jamukha turut mati dalam persengketaan ini, atas permintaannya bahawa hanya satu matahari sahaja boleh wujud dalam dunia ini. Jamukha mendapat kematian terhormat, iaitu tanpa titisan darah. Tulang belakangnya dipatahkan.

Kekalahan Merkit, Khereid dan Naiman menyatukan Dataran Mongolia dalam cengkaman Genghis Khan. Kebenaran petanda genggaman darah sewaktu lahirnya menjadi benar, disaksikan kejayaan-kejayaan Genghis Khan. Angkatan Ketenteraan Mongolia tidak berhenti disitu – banyak pihak dijatuhkan kemaraan berkuda mereka, tidak kira khan mana yang menguasai empayar agung ini.

Kejatuhan Empayar Khwarezmia di tangan Mongolia boleh diriwayatkan sebagai tragedi diplomasi yang gagal. Khwarezmia yang memegang wilayah 12 negara moden di Timur Asia Barat dan sebahagian besar Asia Tengah turut menguasai perhubungan Laluan Sutera (Silk Road), maka pengaruh perdagangan yang ada menjaminkan keuntungan pada mata Genghis Khan. Lalu dihantar Duta Mongolia bersama 500 orang penjaga agar hubungan Mongolia-Khwarezmia dirapatkan.

Delegasi kedutaan ini dituduh perisik dan dibunuh. Tetapi Mongolia menghantar delegasi kedua yang salah seorangnya beragama Islam. Dua duta berbangsa Mongol dicukur dan dihantar kembali untuk mempersembahkan kepala duta Islam kepada Genghis Khan. Perbuatan ini diterima Mongolia sebagai penghinaan besar. Murka benar Genghis Khan. Dan apabila Genghis Khan menyeru, seluruh Mongolia menyahut.

Baginda menyusupi Empayar Khwarezmia di hadapan 100,000 tentera. Dalam perjalanan pulang ke Mongolia, Angkatan Ketenteraan dibahagikan untuk menyerbu negara-negara laluan mereka – Afghanistan, India, Kaukasia, Rusia, Armenia, Azerbajian, Georgia, Crimea, Bulgaria, Hungary, dan Poland. Angkatan Rusia (Kievan Rus’) mempunyai 80,000 tentera bersedia untuk mempertahankan kedaulatan mereka, tetapi habis hancur diratah. Bergelimpangan mayat-mayat mereka selepas pertempuran yang berlangsung. Sesungguhnya Sungai Kalka, Ukraine tidak pernah merasai darah 75,000 orang sedemikian rupa.

Keamanan diberikan berdasarkan tradisi Mongolia – semua pemimpin Rusia dibunuh secara terhormat. Enam putera Rusia, termasuk Mstislav III, diremukkan dalam penghancur diperbuat daripada kayu. Dan kemangkatan Genghis Khan tidak menghentikan ancaman besar Mongolia. Sesungguhnya perkembangan kedaulatan empayar ini akan diteruskan lebih gah lagi. Serangan dibuat keatas Koryo (Korea), Dinasti Sung (China), masyarakat Turki Kipchak; misi ke utara (Rusia) disambung dibawah tanggungjawab Batu Khan. Hampir seluruh Rusia dimasukkan dalam wilayah Ulus Jochi, salah satu negara empayar ini, kecuali Novgorod yang menjadi rakan atas kepintaran diplomasi Adipati Besar Alexander Nevsky.

Batu Khan memainkan peranan besar dalam percaturan bersama Guyuk Khan dan Mongke Khan. Boleh dikatakan Empayar Mongolia hampir terhumban dalam kancah perang saudara akibat ketegangan Guyuk Khan-Batu Khan.

Volga-Bulgaria, Alania, Transylvania, Poland – semuanya ditundukkan dalam usaha Mongolia untuk mencapai “Laut Besar” – Lautan Atlantik. Dan Empayar Mongolia berjaya merealisasikan impian ini, selepas kedaulatan mereka menyentuh Laut Mediterranean.

Sama seperti empayar-empayar lain, Mongolia tidak lari daripada perpecahan akibat warisan takhta. Bukan sekali persidangan perlantikan khan (kurultai) mengundang padah kepada kesatuan Empayar Mongolia. Kali pertama perpecahan berlaku adalah selepas kemangkatan Ogedei Khan. Isterinya Toregene dijadikan pemangku dan merancakkan usaha pembasmian dalam barisan politik agar pegawai-pegawai tertinggi menyokong Buyuk sebagai pengganti Ogedei Khan. Menteri-menteri dihentikan perkhidmatan. Pihak berkuasa diberkas. Penyelia dan setiausaha agung melarikan diri. Gabenor Khorasan disumbatkan batu dalam mulut sehingga tercekik, hukuman mati kerana melanggar perintah. Hasrat Ogedei Khan untuk meletakkan Siremun sebagai pengganti diketepikan. Kurultai memihak kepada Buyuk. Sesi kurultai menunjukkan betapa besarnya pengaruh Mongolia:

Sejumlah besar pemimpin-pemimpin luar menghadirinya –Kilij Arslan (bakal Sultan Rum), wakil Khalifah Al-Mustakfi II (Abbasiyah), David Narin dan David Ulu (penuntut-penuntut takhta Georgia), Adipati Besar Yaroslav Vsevolodovich (Vladimir-Suzdal), wakil Paus Innocent IV, adik Raja Hethum I (Armenia), wakil Sultan Alaudin Masud (Kesultanan Delhi), dan tentunya ramai lagi. Menariknya, Adipati Besar Yaroslav mangkat sebaik sahaja bersantap bersama Toregene Khatun. Baginda dipercayai diracuni.

Selepas dinaikkan sebagai Khan, hubungan Buyuk bersama Toregene musnah. Pembasmian anti-“Toregenisme” pula dimulakan. Wanita bernama Fatima dibunuh melalui penjahitan mulut dan hidung sebelum dicampakkan dalam air. Guyuk Khan cuba menghentikan korupsi. Walaupun kaki mabuk, baginda mampu memimpin, mengusahakan gempur keatas barisan Hashshashin yang tidak menerima keputusan kurultai.
Walaupun Guyuk tidak disokong Ulus Jochi semasa kurultai, baginda tetap diterima Batu Khan sebagai penguasa empayar. Perang saudara hampir bermula selepas Batu Khan dijemput ke Karakorum.

Disangka akan diberkas, Batu Khan menyahut seruan ini… bersama tentera yang besar dalam perjalanan ke ibu negara begitu perlahan. Tetapi Guyuk Khan mangkat di Xinjiang sebelum pertemuan itu berlaku, dan sesi kurultai diadakan sekali lagi, yang melantik Mongke Khan turut kerana campur tangan Batu Khan.

Pentadbiran Mongke Khan mengiringi pembersihan politik dan penstabilan rizab kewangan. Ini kerana, selepas pemilihannya, anak Oghul Qaimish membawa bala tentera berniatkan untuk menyerang. Disarankan hukuman, pihak pemberontak dihukum. Isteri Guyuk Khan disumbat dalam karung lalu dilemaskan dalam sungai, hukuman tradisi Mongolia atas dakwaan penggunaan ilmu hitam. Hampir 300 bangsawan dibunuh, dan ada juga dibuang negara.

Selepas penstabilan aliran kewangan, sekali lagi Empayar Mongolia merancakkan gempur ketenteraannya. Kashmir, Iran, Khilafah Abbasiyah, dan Yunnan diserang. Dan Mongke Khan bertanggungjawab dalam serangan keatas Kota Baghdad, tindakan ini menaikkan berang Berke, adik Batu Khan. Operasi ketenteraan dikelaskan berjaya, tetapi tentera-tentera Mongolia mula menghidapi penyakit. Dan Mongke Khan sendiri mangkat, dipercayai kerana penyakit cirit birit berdarah. Maka ketenteraan Mongolia membuat pengunduran agar kurultai dapat dilaksanakan.

Ketenteraan Mongolia juga ditewaskan buat kali pertama pada masa ini. Pihak Mamluk dan Tentera Salib mengetepikan persengketaan dalam usaha menyekat kemaraan Angkatan Ketenteraan Mongolia. Kedua-dua mereka bersetuju bahawa Mongolia merupakan ancaman lebih berbahaya. Dan tentera Mamluk berjaya menewaskan Mongolia di Telaga Jalut (Ayn Jalut). Disinilah titik lokasi terakhir kemaraan Mongolia – empayar agung ini tidak mampu melaksanakan serangan melepasi Syria.

Atas kesibukan berperang Hulagu dan Kublai, adik bongsu Mongke Khan – Ariqboke – mengambil kesempatan dan menobatkan dirinya sebagai khan dalam kurultainya sendiri, di Karakorum. Kublai pula membuat perkara yang sama di Kaiping. Apabila dua raja dinobatkan sebagai penguasa agung, kehancuran akan melanda. Dan itulah Perang Saudara Tolui, nama sempena anak keempat Genghis Khan. 

“Hulagu telah menjarah banyak bandar-bandar Islam dan membawa maut kepada Khalifah. Dengan izin Allah, aku akan menuntut keadilan akan pertumpahan darah ini.” – Berke Khan, seorang Islam.

“Kita bantu Mongke menjadi khan. Tetapi dia lupa siapa musuh, siapa kawan. Sekarang, dia sedang menjarah tanah-tanah sahabat kita, Khalifah Abbasiyah. Hina betul.” – Berke, kepada Batu Khan.

Kebencian Berke Khan kepada Hulagu Khan memulakan satu lagi peperangan antara Ulus Jochi-Il Khanate. Maka Kublai Khan merapatkan saf bersama Hulagu, sementara Ariqboke Khan pula bersama Berke. Kematian Hulagu dan Berke menghentikan konflik ini. Sementara itu, tentera-tentera Kublai dengan mudah hapuskan penyokong-penyokong pro-Ariqboke di Selatan Mongolia. Karakorum jatuh ke tangan Kublai selepas serangan makanan dibuat, tetapi Ariqboke berjaya merampasnya kembali. Tetapi Ariqboke menyerah kalah beberapa tahun selepasnya.

Kublai Khan menubuhkan sistem baru buat China, iaitu Dinasti Yuan, dan mencinakan ketrampilannya sebagai modal politik untuk menjadi Maharaja China. Ibu negara pula dipusatkan dalam Beijing, keputusan yang tidak disenangi Mongol. Kublai Khan meneruskan operasi ketenteraan mereka di Burma, Annam, Sakhalin, Champa, Jepun dan Jawa, tetapi dua yang terakhir menemui kegagalan.

Di bawah Kublai Khan, Empayar Mongolia berada di kemuncak kesatuan mereka. Selepas terpecah susulan kemangkatan Kublai Khan, mereka tidak lagi mengusahakan kesatuan. Apa yang dikenali “Khan Bangsa Mongol” dijadikan “Maharaja Yuan”. Empayar Mongol berhenti begitu sahaja, tetapi kuasa bangsa Mongolia diteruskan dibawah lima khan yang merdeka:

1. Empayar Yuan
2. Angkatan Kencana Biru
3. Angkatan Kencana Putih
4. Ilkhanate
5. Khan Chagatai

Pengukuhan mereka di Rusia dipatahkan selama-lamanya selepas kemelut besar di Sungai Ugra – dimana tiada seorang pun mati, kecuali penguasaan Mongolia ke atas Rusia.

Dari segi pengaruh, memang sukar untuk membincangkan penglibatan Empayar Mongolia kepada politik antarabangsa. Mereka menjalurkan penghapusan populasi kemudian membangunkan blok ekonomi yang menjaminkan.

Seperti kuasa besar yang lain, Empayar Mongolia tidak boleh dikatakan baik atau jahat.

Tetapi empayar ini juga tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Ia merupakan empayar yang memegang 40 negara moden, hampir dua kali ganda Persekutuan Rusia.

[Sumber: FB The Patriots]



Sri Lanka Dan Melayu Islam



Patung Buddha menyambut ketibaan pengunjung di lapangan terbang Colombo. Patung Buddha bukan sahaja di lapangan terbang tetapi ada di serata Colombo.

Pandangan sebegini adalah biasa di negara yang 70% penduduknya adalah beragama Buddha. Rekabentuk dan budaya sesebuah negara kebiasaannya adalah mengikut kepercayaan dan budaya majoriti penduduknya. 

Ekstrimis Buddha mula muncul di Sri Lanka selepas lawatan pangganas Buddha, Arshin Wirathu, ketua Pergerakan 969 Myanmar ke Sri Lanka pada 2014.



Melayu Sri Lanka


Sejarah Melayu di Sri Lanka bermula apabila seorang Raja Melayu bernama Chandrabahanu menjajah utara Sri Lanka yang dikenali sebagai Jaffna pada hari ini bagi mendapatkan patung berhala Buddha.  Kemasukan beramai-ramai orang Melayu dan Jawa adalah pada kurun ke-17 selepas Belanda menewaskan Portugis.

Pada 1707, Belanda yang ketika itu menjajah Indonesia telah mengusir keluarga diraja Jawa iaitu Susunan Mangkhurat Mas ke Sri Lanka. Pada awal kurun ke-19 atau lebih tepat pada 1802, telah ditubuhkan juga Rejimen Askar Melayu Sri Lanka dan menerima pengiktirafan dari Permaisuri England!

Pada 1802, Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dziaddin Mukarram Shah II ibni Almarhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II telah menghantar kontingen Melayu dari Kedah yang disertai oleh Melayu dari Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

Hari ini, menurut bancian pada tahun 2011, terdapat seramai 40,000 Melayu di Sri Lanka (0.2%). Majoriti mereka beragama Islam dan mengamalkan adat budaya Melayu Nusantara yang amat berbeza dengan Sinhalese dan Tamil di Sri Lanka. 

[Bahan dari Firdaus Wong] 




Insan Laduni



Jika ditanya, di manakah arah jalan ke syurga?
Maka tunjukkanlah ke arah Rasulullah SAW, Al-Qur’an dan Hadis.

Manusia terpuji di muka bumi Allah ini adalah Rasulullah SAW dan manusia yang mencontohi peribadi Baginda..
.
Allah kasihi manusia sehingga DIA mengutuskan para Nabi dan Rasul sebagai penyampai ayatNYA..
.
Berita baiknya ialah pintu taubat masih terbuka..
.
Berita buruknya ialah kita akan terus di uji selagi masih hidup didunia ini.

Awaluddin Makrifatullah.. kenal agama dulu, kemudian solat agar mengerti apa yang disolatkan.. Mikraj ada beberapa pengertian..

Manusia dicipta untuk mencipta.. diRahmati untuk merahmati.. dilahirkan untuk melahirkan, dihidup untuk dimatikan 2 kali.


.
Laduni ialah ilmu tanpa belajar.. Yang berilmu Laduni tidak boleh menjual ilmu tersebut..Yang menjual harus direjam dengan batu..
.
Laduni itu hadir tanpa suara yang berbicara di telinga mahupun di hati.. saat ia turun, diri itu tidak tahu mana hujung dan mana pangkalnya ilmu itu.
.
Seorang Rasul itu membaca kitab dirinya seumpama membaca kitab yang terbuka.. dan malaikat itu membaca isi hati manusia seumpama membaca isi kitab..
.
Sirr itu bukan satu kelucuan.. seorang itu akan menangis jika dia disingkapkan akan Sirr
.
Manusia itu punyai cahaya.. Anggota tubuh yang tersuci pada insan itu ialah cahaya. Bukan cahaya dunia nyata. Ia cahaya suci~Nur Muhammad.
.
Semakin sedikit seorang itu mengenal dirinya dan Allah ..maka semakin sedikit pula iman nya..
.
Pada manusia itu juga terdapat malaikat, syaitan jin (qorin), sifat kehaiwanan, dan juga manusia sejati itu sendiri..
.
Nur Muhammad terpancar hanya di alam kerohanian.
Alam nyata tidak dapat menzahirkannya.
.


Allahlah Kuasa Zat Hidup yang menghidupkan yang mati dan mematikan yang hidup..

Manusia tidak dapat menumbuhkan anggota tubuh yang hidup, biarpun sehelai rambut.. Jika dicuba, ia akan menjadi anggota tubuh palsu dan tidak akan berderia rasa.. kerana tiada Zat hidup pada anggota itu dan manusia pasti tidak akan mampu mencipta Roh..

Musuh manusia itu ada lah syaitan.. hawa nafsu.. dan isi dunia. Jika mereka tenggelam di dalamnya, mereka akan terhijab dari kewujudan alam selepas mati.. Mereka akan cuma dapat melihat alam nyata ini sahaja.

Maka mereka akan buta hati. ..Jika buta hati di dunia ini.. maka mereka akan lebih buta hati dan mata di akhirat kelak.. jika mereka sesat di dunia ini.. mereka akan lebih sesat lagi di akhirat kelak.

(Al-Israa' 17:72)“ ..Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya". 

  ..Selama hidup di dunia, mereka hanya melihat dengan mata, tetapi tidak pernah pedulikan Mata Hati yang di dalam dada.. sehingga Mata Hati mereka berkarat dan gelap kotor serta tidak berfungsi d dunia ini.. ..Manusia akan melihat bersama Hati di alam barzah,.. kini, Mata Hati mereka di butakan Allah sehingga mata mereka terhijab dari menyaksikan wujud yang Hakikat. 

 ..“Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu adalah seorang yang melihat?” (Qs. Thaha [20]: 123-124).

  "Sesungguhnya mereka tidak buta mata tapi yang buta itu adalah mata hati yang ada dalam dada" (Al-Hajj ~22:46).



Cara mendengar yang benar ialah mengelak dari mendengar umpat-fitnah serta hiburan keduniaan..

Cara berkata yang benar ialah tidak berkata dusta, mengumpat, mengeji dan memfitnah..

Cara berjalan yang benar ialah tidak melangkah ke tempat maksiat..

Cara makan sebenar ialah memakan makanan halal.. Hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang.. serta mengurangi nikmat rasa kemanisan makanan dunia ini..



Jika kejar ilmu, akan diberi ilmu, kejar harta, dapat harta.. kejar pangkat, dapat pangkat, kejar dunia, akan terlepas akhirat..

(Al-Hajj :8) وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يُجَادِلُ فِي اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَلَا هُدًى وَلَا كِتَابٍ مُنِيرٍ
8. Dan di antara manusia ada orang-orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan, tanpa petunjuk dan tanpa kitab (wahyu) yang bercahaya,

Rukuk dan sujud adalah pergerakan menyembah. Haram rukuk dan sujud kepada selain Allah, biarpun kepada raja atau pembesar negeri..

Bicaralah kepada Allah yang tidak dapat dilihat, namun Al-Bashiir melihat di sebalik setiap penglihatan mata yang melihat..

As-Samii'u Mendengar di sebalik tiap pendengaran. Merasa pada tiap yang merasa..

Iman sekecil zarah itu lebih bernilai di sisi Allah dari berilmu setinggi langit tetapi riak, ujub, bangga dan bongkak seperti Iblis, si pemilik ilmu yang bersifat bertentangan dari ilmu yang dimilikkinya..

Bantulah manusia lain dengan seikhlas hati dan tanpa syarat. ..Allah akan bantu kamu pula dengan tanpa syarat..

Allah Maha Adil kepada insan yang berlaku adil sesama manusia, haiwan dan Jin..



Masa itu tidak punyai bentuk, tetapi ia sentiasa bergerak dan tidak akan berhenti untuk menunggu sesiapa biar sedetikpun..

Masa hanyalah ilusi.. Masa sebenar ialah "saat ini", bukan tadi atau esok.. Ia cuma dapat di ukur, tetapi tidak dapat disentuh.

Tiap wujud itu tidak terjadi dengan sendiri.. Semua yang berbentuk itu terbentuk atas izin Allah dan berlaku di dalam "ruang dan masa".  Tanpa ruang, tidak ada bentuk yang dapat membentuk.



.
Perawat sihir tidak perlu menyeru malaikat untuk menentang syaitan puaka.. cukup dengan Iman kepada Allah, segala jenis puaka akan Allah tundukkan.

Roh dan nafas itu satu.. Roh mentadbir perjalanan nafas ketika seorang itu tidur.. Di mana Roh itu meliputi, tubuh akan berderia rasa.. dan yang bernafas itu ialah diri batin.

Nyawa itu pada darah,, jika darah itu kering, jantung seseorang itu tidak dapat menjana nafas dan nafas akan terhenti lantas jasadnya mati.

Hidup yg sebenar hidup ialah hidup selepas mati.. Hidup bertubuhkan diri batin dan Rohani sehinggalah mati yang kedua.

Tidak ada agama yang lebih diRedhai Allah di alam Barzakh atau di dunia selain Islam, agama Tauhid terakhir..

Manusia itu tiada berwajah di neraka itu kecuali berwajah ketakutan dan tunduk ke bawah..

Syurga itu tidak wujud di dunia ini.. Syurga itu di alam tinggi dan neraka itu di alam terendah.

Manusia membuat pilihan semasa hidup di dunia sama ada akan menuju ke neraka atau syurga..

Neraka ialah tempat ulat dan cacing tidak mati, kebusukan bau berjuta bangkai disatukan, azab yang menghancurkan daging dan tulang tetapi tidak mematikannya.

Jangan sangka kita benar-benar mengenal Allah, kecuali kita telah benar-benar mati..

Sesungguhnya manusia itu tiada berkuasa.. mereka tidak berupaya apabila didatangi soal hidup-mati.

Dan Allah saksikan mimpi-mimpi manusia.. dan Allah kumpulkan semuanya ke dalam Kitab Diri untuk dibentangkan di Akhirat.



Usah sujud di hadapan Allah sebagai sebagai seorang guru, tetapi sujudkanlah wajah dan hatimu sebagai pendosa yang bertaubat..

Mimpi bukanlah amal.. tetapi mimpi boleh terhasil dari amal baik atau amal buruk seseorang itu..

Mimpi-mimpi Ketuhanan itu ialah mimpi yang tiada berbual-bicara.. tanpa suara

Jika semua pohon dan tumbuhan  mati,  manusia juga akan turut mati, kerana manusia tidak dapat hidup jika tiada tumbuhan. Tetapi tumbuhan dapat hidup tanpa manusia.

Syurga tidak wujud di dunia ini.. Keindahan di dunia adalah palsu dan tidak kekal.. Syurga sebenar ialah di akhirat.

Bila seorang itu mati, semua kekayaan dunia dikejarnya selama hidupnya menjadi tidak berguna di Alam Barzakh itu..

Di tengah dada itu terdapat satu pintu.. di antara turun-naik nafas itu ada kuncinya.. dosa dan nafsu pantang utamanya..

Umur manusia di dunia, rata-ratanya kurang dari sekurun, tetapi mereka yang di Jannah tidak dapat dikatakan berusia ribuan tahun kerana tidak ada istilah masa di alam Hakikat itu.. Mereka muda dan sentiasa muda serta tidak dimakan oleh usia..

Di alam kematian itu manusia tidak perlukan mata untuk melihat, biarpun dua biji matanya masih berfungsi dan melihat.. dia hanya perlukan mata-hati untuk melihat jauh lebih jelas..

.
(Hud :49) ..تِلْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الْغَيْبِ نُوحِيهَا إِلَيْكَ ۖ مَا كُنْتَ تَعْلَمُهَا أَنْتَ وَلَا قَوْمُكَ مِنْ قَبْلِ هَٰذَا ۖ فَاصْبِرْ ۖ إِنَّ الْعَاقِبَةَ ..لِلْمُتَّقِينَ
49. Itu adalah di antara berita-berita penting tentang yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (Muhammad); tidak pernah kamu mengetahuinya dan tidak (pula) kaummu sebelum ini. Maka bersabarlah; sesungguhnya kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.
.

( Az-Zukhruf: 43) ..“Maka berpegang teguhlah kepada yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus.”.
.
Saksikanlah yaa Robb ku, telah Rasulullah SAW itu menunjukkan kami jalan yg benar.. ..Aamiin yaa Robbana.. Aamiin.
.
Sadoqallohul'adzhiim.
.
Salam Maulidur Rasul..
Salam Kitab Ghaib ~ TAUHID Al-Haq.

[Insan Sejati]

Wednesday, November 29, 2017

Ateisme - Fenomena Menyalahi Moral Dan Rukun Keberagamaan







Penulisan kali ini memfokuskan fenomena kewujudan agama baru yang telah berlaku di negara barat terutama hasil daripada perkembangan fahaman ateis.  

Hal ini bertitik tolak setelah berlakunya revolusi agama Kristian di Barat. Ini kerana situasi itu telah mencetuskan perubahan di dalam bentuk keberagamaan di Barat. Setelah fahaman sekular mengambil alih daripada kepimpinan teokrasi Gereja di barat ia telah menyebabkan lahirnya gerakkan ateisme yang bersifat anti kepada agama dan menafi kewujudan Tuhan. Golongan ini begitu pesat sekali berkembang. Menurut Pew Research Center mengatakan sejak dari tahun 1975 hingga 2007, bilangan ateisme di Barat meningkat dua kali ganda. 

Akhir-akhir ini suatu fenomena yang semakin parah telah dilakukan oleh golongan komuniti ateis apabila gerakkan mereka mula tersebar. Mereka telah banyak mendirikan agama parodi atau dikenali juga agama satira. 

Mereka sinonim dengan kelompok yang menentang golongan beragama yang mempercayai kepada kewujudan Tuhan. Oleh itu, salah satu bentuk mereka mahu menyindir dan menyebarkan doktrin ateisme adalah dengan mencipta agama mereka tersendiri dengan berjenaka dan memperolok-olokkan konsep ketuhanan di dalam kepercayaan mereka sendiri agar orang memahami bahawa konsep ketuhanan adalah tidak masuk akal. Itulah tujuan mereka. 
Sebelum ini kami sudah membincangkan sebuah gerakkan ateis yang mencipta agama parodi yang bertapak di Amerika Syarikat dikenali sebagai Pastafarianisme (http://bit.ly/2j1P05E). 

Banyak kes penghinaan kepada agama lain yang melibatkan doktrin Pastafarian. Sebagai contoh pada 21 September 2012, seorang Pastafarian bernama Giorgos Loizos ditahan di Greece atas tuduhan berniat jahat dengan mempersendakan agama Kristian dengan mewujudkan laman Facebook menghina seorang tokoh paderi Kristian Ortodoks di Greek yang bernama Elder Paisios. Giorgos Loizos menghina paderi tersebut dengan meletakkan nama ‘Elder Pastitsios’ yang mana nama dan mukanya digantikan dengan pastitsio iaitu pasta dan sos berkaramel. Kes yang bermula di Facebook itu di bawa sampai ke Parlimen Greek dan dibicara di mahkamah sehingga dijatuhkan hukuman penjara kepada Giorgos Loizos.

Begitu juga dengan kes-kes yang lain. Ia adalah bersumberkan fahaman yang menghina dan mempersendakan kepercayaan agama. Ini kerana Pastafarian bukanlah sebuah kepercayaan atau sebuah keimanan. Ia adalah sebuah agama parodi atau lebih bersifat sarkastik dengan menyindir golongan yang beragama dengan doktrin-doktrin mereka yang tidak masuk akal. Manakala bagi golongan yang menyokong fahaman ini pula mereka kebanyakkan adalah dari golongan ateis. 

Sokongan dan anutan mereka itu tidak sama sekali mewajahkan sebuah agama tetapi mereka lebih bersifat berolok-olok untuk menyindir golongan yang beragama. Malah lafaz-lafaz yang bersifat keagamaan seperti ‘Ameen’ ditukar kepada mereka sebagai ‘Ramen’ (mee) dan sebutan itu diguna untuk mengaminkan doa. Begitu juga dengan nama bulan Ramadhan mereka memanggil dengan ‘Ramendan’ dan banyak lagi perkataan-perkataan yang digubah oleh mereka. Permainan lafaz-lafaz ini banyak terdapat dalam ‘kitab suci’ mereka iaitu Gospel of Flying Spaghetti Monster. Malah di bahagian kata pengantar dalam buku itu Bobby Henderson mengaku bahawa beliau adalah nabi kepadaa Pastafarian. 

Kononnya dengan melakukan cara ini dapat menyedarkan masyarakat bahawa agama adalah ciptaan manusia dan agama memiliki doktrin yang pelik dan tidak masuk akal. Malah di dalam buku yang dikarang oleh Bobby Henderson banyak mengkritik teori evolusi dengan cara yang agak bodoh sekali dengan mencipta doktrin manusia berasal daripada lanun dan bukan dari spesies beruk seperti cara faham evolusionis. Itu merupakan cara mereka mempersendakan golongan yang menolak teori evolusi terutama golongan Kristian di Amerika Syarikat. 

Ia bermula daripada pemberontakkannya terhadap sukatan pengajian mengenai konsep penciptaan alam semula yang mahu diubah dari teori evolusi kepada cara intelligent design. Maka Bobby Henderson mula bermain sarkastik dengan mereka-reka kisah yang berunsur lawak menentang fahaman evolusi walau pada hakikatnya beliau seorang yang beriman dengan teori evolusi. Pada peringkat awalnya terdapat ramai tokoh Kristian yang menyokong cara lawak Bobby menolak evolusi akan tetapi lama-kelamaan baru mereka perasan apa yang dilakukan oleh golongan Pastafarian adalah merupakan sindiran yang mengisyaratkan kepada cara fahamanan Kristian dalam menolak evolusi. 

Tidak dinafikan fahaman ini muncul disebabkan golongan agamawan gagal menjelaskan kepada mereka antara hubungan sains dan kepercayaan dalam agama. Pada awal abad ke 20 ini merupakan zaman ideologi Darwin sedang mencapai kemuncak di dalam dunia sains. Mutakhir ini barulah terdapat ramai tokoh agama yang menentang teori evolusi dengan cara saintifik dan logik yang sedikit sebanyak membantutkan perkembangan ideologi mereka. 
 
Akan tetapi, sarkastik yang dilakukan oleh Pastafarian terus dilakukan malah agak sukar untuk berhujah dengan mereka kerana mereka memakai dua anutan dalam satu masa, dari sudut pertama mereka boleh manjadi ateis dan dari sudut kedua mereka boleh menjadi orang beragama. Sekiranya dikritik cara fahaman agama mereka, mereka akan mengemukakan cara berfikir ateisme dan sekira mengkritik fahaman ateisme mereka mula mengaku sebagai seorang beragama pula. Kebiasaan perangai seperti ini mereka bukan orang yang jujur dalam mencari kebenaran. Kebenaran itu berpaksi kepada keyakinan dan hujah yang menyakinkan. Ia bukan berdiri dengan sindiran dan fahaman yang rapuh.   
           
Hakikat kepada agama Pastafarian ini ia adalah sebuah agama yang tidak beragama. Hidup dengan penuh sindiran dengan menipu diri sendiri. 

Senarai Agama (Gereja) Parodi

Selain daripada agama Pastafarian, masih terdapat banyak lagi agama atau gerakkan gereja baru yang menggunakan cara yang sama untuk menyindir agama. Antara gerakkan ateisme yang menggunakan konsep agama parodi adalah:

1) Landover Baptist Church (Gereja Baptis Landover):

Ia adalah sebuah gereja parodi juga dari kaum ateis dan agnostik di Amerika Syarikat. Gerakkan ini bertujuan untuk menyindir penganut Kristian di Amerika.
 
2) Missionary Church of Kopimism (Gereja Kopimisme): 

Ia adalah sebuah gerakan kepercayaan copy and paste segala infomasi yang dianggap doktrin suci di dalam agama. Ia bertapak di Sweden.

3) The Church of SubGenius (Gereja SubGenius): 

Ia adalah sebuah agama parodi yang diikuti lebih ratusan ribu orang. Agama ini berkembang di Amerika Syarikat. Agama parodi ini menggambarkan mereka adalah sebuah gereja yang sangat terbuka dengan nilai-nilai sekuler, budaya pop, agama-agama baru, teori konspirasi, trend psikologi masa kini serta teknik-teknik motivasi dan juga turut membincangkan mengenai bisnes jualan. Agama parodi ini memiliki pengaruh besar terhadap perkembangan sekularisme di Amerika Syarikat dan telah menjadi inspirasi bagi beberapa penulis buku, pelukis, penyanyi rock dan pop yang terkenal.

4) Raelism: 

Cult ini diasaskan oleh Claude Maurice Marcel Vorilhon (1946) di Vichy, Allier, Perancis. Di dalam bukunya Le Livre Qui Dit la Verite yang bermaksud buku yang menceritakan kebenaran, Vorilhon menyatakan bahawa dia telah didatangi oleh makhluk asing pada 13 Disember 1973. Satu spesies makhluk yang mereka panggil sebagai Elohim (Tuhan dalam sebutan Ibrani). Makhluk Elohim inilah telah datang kepada manusia terdahulu dan telah melakukan hubungan seks dengan wanita bumi lalu membiakkan manusia di bumi. Ajaran ini juga mempromosikan seks bebas dengan gaya mereka tersendiri. Mereka adalah golongan ateis yang membina agama Raelism dengan bentuk parodi di samping menanam kepercayaan sains fiksyen. Mereka juga terlibat banyak kontroversi dengan pihak Gereja Katolik seperti pada tahun 1992 di Montreal, Kanada terutama dalam isu seks bebas.

5) Discordianism:

Agama Discordian adalah sebuah agama baru yang ditubuhkan pada sekitar tahun 1950-an. Agama ini juga dianggap sebagai agama satira atau parodi disebabkan terdapat banyak doktrin yang tidak masuk akal. Agama satira ini ditujukan untuk mewujudkan teori konspirasi tidak masuk akal yang menyebabkan tidak ada sesiapa pun yang akan percaya. Ia menyebabkan orang tidak akan kritis lagi dalam berteori konspirasi. Ini kerana teori konspirasi Illuminati dan Freemason mendapat perhatian di kalangan masyarakat Amerika pada ketika itu. Terutama selepas pembunuhan Presiden Amerika John F Kennedy 1963. Agama ini telah dicipta oleh Greg Hill dan Kerry Wendell yang merupakan penulis buku Principia Discordia. Agama ini mendakwa menyembah Dewi Eris, dewi Yunani yang terkenal sebagai dewi persengketaan dan yang melakukan huru hara. Oleh disebabkan Discordian beriman kepada Dewi Eris maka mereka sangat menekankan perbuatan huru-hara, dan perbezaan pendapat antara satu sama lain. Ini adalah doktrin utama dalam agama Discordian. Agama ini juga tidak ada peraturan. Discordian sering juga dikenali sebagai Erisian kerena mereka menyembah Eris. 

6) Jediisme

Jediisme adalah sebuah agama yang dicipta oleh peminat Jedi dalam filem Star Wars. Agama ini dicipta pada tahun 2001 disebabkan pengaruh watak Jedi dalam Star Wars yang menarik minat mereka untuk turut beragama seperti golongan Jedi. Pengasas agama ini tidak diketahui. Ia juga dipopularkan oleh golongan ateis juga. Agama ini muncul apabila wujudnya gereja untuk penganut Jediisme. Mereka aktif di internat terutama dalam laman Church of Jediism dan Temple of the Jedi Order. Di sinilah mereka mengasaskan sistem kepercayaan Jediisme berdasarkan watak Jedi dalam filem Star Wars.   

Masih terdapat banyak lagi gerakan ateis yang seumpama ini seperti Church of Satan, Invisible Pink Unicorn, Kibology, dan banyak lagi. Sebenarnya perkara ini juga menunjukkan bahawa situasi agama yang dianut oleh majoriti masyarakat Barat kebelakangan ini seakan kosong di dalam jiwa masyarakat mereka. Sehingga menyebabkan golongan ateis sanggup mempermainkan serta memperlekehkan agama yang dianut oleh majoriti masyarakat mereka sendiri. Kadangkala mereka melihat agama yang diamalkan oleh masyarakat mereka itu dengan nada tahyul yang menyebabkan sukar untuk diterima oleh logik mereka.  

Kesimpulan

Sebelum ini golongan ateis sudah terkenal dengan slogan yang menghina agama-agama. Kini mereka teralih kepada fenomena mahu beragama untuk melempias nafsu mereka yang mahu menghina agama dengan cara ‘berseni’ mereka sendiri. Oleh itu jelas bahawa perbuatan mereka ini adalah tidak bermoral dan menyanggahi kebebasan pihak lain.

Bagi meminimumkan berlakunya perkara tersebut ada beberapa perkara yang harus diambilkira hasil pemerhatian apa yang telah berlaku kepada gereja di Barat. 

Pertama, Islam haruslah sentiasa dijadikan sebagai cara hidup berdasarkan sumber yang shahih. Kedua, golongan pendidik khususnya dari kalangan guru-guru hendaklah memiliki bacaan yang luas dan pelbagai termasuk di dalam sudut pengetahuan sains, sejarah, dan logik. Ketiga, golongan agamawan hendaklah menjadi kritis dan sering menjawab persoalan ummah. Jangan sesekali memikirkan ‘hukuman’ itu adalah matlamat kepada segala persoalan yang ditimbulkan. Kerana perkara itu sering dilakukan oleh gereja di Barat sehingga golongan anak muda mereka tidak berminat dengan agama dan mereka lebih memilih untuk menjadi ateis. Keempat, diadakan dialog harmoni diantara agama kerana perkara itu boleh menjernihkan salah faham antara satu sama lain dan mengelakkan dari munculnya pemikiran untuk menyindir agama kerana mereka sering didedahkan dengan persoalan dan perbincangan yang mendalam di dalam agama.

Rujukan

[1] – (2004) Encylopedia of New Religions, A Lion Book, England
[2] Pew Research Center: http://www.pewresearch.org/
[3] – (1996). A Lion Hanbook The World’s Religions, A Lion Book, England
[4] – (2013). The Religions Book, Dorling Kindersley, London

[R&D Team Multiracial Reverted Muslims]

Thursday, November 23, 2017

Berita Haramain



Masjid Nabawi baru saja menambah sejumlah 5000 buah tong air zamzam supaya para jemaah dapat merasa minum air zamzam ini.

Dikhabarkan bahawa sekitar 300 tan air zamzam diperuntukkan setiap hari di Masjid Nabawi. Bekalan ini diangkut melalui jalan darat dari Makkah ke Madinah menggunakan lori tangki air yang jaraknya sejauh 500 kilometer.

[Sumber gambar: Twitter @Hash_Almadina]



Air zamzam dalam tong-tong itu ada 2 pilihan. Satu yang dengan suhu biasa. Lagi satu yang sejuk. Ada tertulis dengan tulisan biru di situ, "NOT COLD".  

Boleh pilih ikut selera masing-masing. Namun jika cuaca sejuk, minumlah yang suhu biasa. Risau pula bila minum yang sejuk, setiap masa nanti rasa hendak terkucil. Tergendala sikit hendak buat ibadat banyak-banyak. 

Cara minumnya senang. Mula-mula capai gelas plastik warna putih di sebelah kanan itu. Kemudian tadah air dan minum. Bila selesai, letak gelas tadi di tempat sebelah kiri. Jangan tersilap ambil gelas yang sudah diguna. 

Sebaiknya sebelum minum bacalah "Bismillah" dan doalah pada Tuhan apa yang dikehendaki. Nabi SAW ada bersabda yang air zamzam ini mengikut apa yang kita pinta. Jika minum dengan niat hendak kenyang, kenyanglah jadinya. Hendak sembuh dari sakit, sembuh juga. Insha-Allah diberi Tuhan. 

Minumlah dengan tenang. Jangan gopoh. Antara cara minum yang diajar oleh Nabi SAW lagi, adalah dengan tiga kali teguk. Setiap satu teguk, kita relaks sekejap dengan bernafas di luar gelas. Bukannya bernafas semasa hidung masih di dalam. 

Ucaplah "Alhamdulillah". 

Sepanjang berada di sini, minumlah air zamzam sebanyak yang kalian mahu. Nanti dah balik ke Malaysia, kita akan 'berkira' sangat. Minum sebulan sekali, itupun tidak puas sebab hendajk jimat takut habis.

Sumber Berita Najmi Farisham




Gaji Pencuci Masjid Nabawi hanya 741 Rial bekerja untuk 8 jam. Sehari ada 3 syif bergilir. Semuanya gaji sama. Hakikatnya angka itu sangat sedikit. Mereka kebanyakannya berkeluarga. Paling tidak, sebahagian besar duit mereka akan dihantar buat belanja keluarga di negara masing-masing. 

Kalau bawa keluarga tinggal disini, 741 rial sangat tidak membantu. Kos sara hidup di sini mahal.. 

Namun mereka kelihatan puas. Seharian bekerja di dalam Masjid Nabawi. Mencuci dan mengemas. Berkhidmat sepenuh tenaga menjaga rumah Allah. 

Mereka sebenarnya sangat kaya. Setiap kali solat mendapat ganjaran seribu. Kalau 5 waktu sudah 5 ribu. Kalau seminggu? Sebulan? Setahun? Ah, banyaknya. Mereka tidak perlu membayar tiket beribu-ribu untuk datang hanya beberapa hari di sini. 

Mereka mempunyai hati yg mulia, jika dapat lebih dari 1 Riyal, ia dibahagi dengan kawan-kawan yang tidak dapat.
Bila tiba waktu solat pula mereka bergegas mencari tempat.

Mereka menikmati apa yang tidak mungkin dinikmati oleh orang-orang kaya di dunia ini. Allahu Allah. Jika mereka ikhlas, mereka adalah golongan yang mendapat keuntungan yang sangat besar di sisi Allah.




Pihak Masjid Nabawi sudah selaraskan jenis al-Quran yang ada di masjid itu dengan yang di Masjidil Haram Makkah.

Antara ciri al-Quran yang dimaksudkan adalah ia mestilah dicetak dari Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd. Ini paling penting! Kilang yang terletak di Madinah, Arab Saudi ini merupakan pusat cetak al-Quran terbesar di dunia. Mencetak kira-kira 10 juta naskhah setiap tahun. 

Perbezaan yang paling ketara jika dilihat mengunakan mata kasar adalah, kulit depan dan belakangnya berwarna hijau. Helaian di dalamnya pula seakan kuning, tidak terlalu terang. Ditambah dengan penggunaan khat tulisan yang sesuai. Membuatkan mata kita terasa selesa ketika membacanya. Susunan ayat di setiap muka surat juga berbeza jika dibandingkan dengan mushaf yang selalu kita guna di Malaysia. 

Namun bilangan surahnya masih sama, 114 dan dalam 604 muka surat. Mula dengan surah al-Fatihah, dan berakhir dengan surah an-Nas. Cetakan ini lebih dikenali dengan nama Mushaf Madinah. 

Kedai sekitar masjid, ada dijual pelbagai jenis cetakan dari kilang yang berbeza. Jadi jika hendak beli nanti, beritahu terus anda mahu Mushaf Madinah. Selalunya para peniaga akan cap di kulit belah dalam perkataan (وقف لله) yang bermaksud "Wakaf kerana Allah." Ini tak penting mana. Kalau ada bagus. Kalau tak ada, tak jadi masalah. Asalkan iaMushaf Madinah.

Kebanyakan jemaah haji dan umrah, apabila datang ke Makkah dan Madinah, mesti terdetik di hati hendak wakafkan al-Quran di dua masjid suci ini. Bukan itu saja, saudara mara di kampung juga kirim duit untuk wakafkan sama. Benar ini niat yang baik, alhamdulillah.

Kalau tersalah beli mushaf, pekerja masjid akan kutip dan kumpulkan di satu tempat. Kemudian akan diagihkan ke masjid-masjid di sekitar. 

Agama Caodai: Penyembah Dajjal?







Agama Caodai adalah agama yang wujud di Vietnam sekitar tahun 1926. Ia diasaskan oleh seorang bangsa Vietnam yang bernama Ngo Van Chieu. Caodai adalah agama yang ketiga terbesar di Vietnam selepas daripada Buddha dan Kristian. ‘Cao’ bermaksud ‘tertinggi’ manakala ‘Dai’ bermaksud ‘istana’. Caodai merujuk kepada istana yang besar di mana tempat tuhan berada. Ia juga boleh dikenali sebagai kerajaan syurga. Perkataan ini juga digunakan sebagai nama simbolik tuhan mereka.

Agama Caodai adalah sebuah agama sinkretis yang menggabungkan unsur-unsur dari doktrin agama utama di dunia antaranya adalah agama Buddha, Konfusianisme, Kristian, Hindu, Islam, Yahudi, Taoisme, dan juga Geniisme (kepercayaan asal Vietnam). Pusat utama agama mereka adalah di Tay Ninh, Vietnam. Agama ini juga memiliki pendirian seperti Baha’i yang ingin menyatukan agama-agama lain di bawah agama mereka.

Caodai mengiktiraf semua tokoh-tokoh agama seperti Siddharta Gautama Buddha, Jesus, Kong Fu Tze, Lao Tze, nabi Muhammad dan tokoh lain kerana bagi mereka kesemuanya membawa seruan yang sama. Patung tokoh-tokoh tersebut diukir dan diletakkan di dalam rumah ibadat mereka.  

Sejarah

Mengikut kepercayaan Caodai, mereka membahagikan sejarah agama mereka kepada tiga peringkat penurunan wahyu. Peringkat pertama sekitar tahun 2500 SM, ketika itu tuhan Cao Dai menurunkan wahyu kepada pemimpin agama untuk mengasaskan agama Yahudi di Timur Tengah, Hindu di India dan ahli falsafah di China. Beberapa ribu tahun kemudian, peringkat kedua mereka mendakwa tuhan telah menurunkan kepada Siddharta Buddha untuk mengasaskan agama Buddha, Lao Tze untuk mengasas Taoisme, Kong Fu Tze pula untuk mengasas Konfusianisme, dan Jesus untuk mengasaskan agama Kristian.[1]

Setelah itu pada peringkat ketiga pada tahun 1919, mereka percaya tuhan telah menurunkan wahyu kepada Ngo Van Chieu, di mana beliau telah disampaikan agama Caodai untuk membimbing manusia. Beliau adalah pengasas kepada Caodia, beliau lahir pada 1878 dan meninggal pada 1932.

Ngo Van Chieu, asalnya beliau merupakan seorang penjawat awam kerajaan Cochinchina. Dan beliau mula menerima panggilan wahyu yang disebut Duc Cao Dai yang mana beliau percaya itu sebagai tuhan Cao Dai. Beliau mendakwa dilantik menjadi utusan bagi umat zaman ini. Setelah tiga tahun belajar dan beribadah kepada Tuhan, beliau berkongsi penemuan rohaninya itu dengan masyarakat di Saigon. Pada akhir tahun 1926, beliau mendapat arahan daripada tuhan Cao Dai untuk mengasaskan agama baru. Beliau mendakwa tuhan mengarahnya untuk melantik Le Van Trung (1876-1934) untuk menjadi seorang Giao Tong (ketua agama).[2] Agama Caodai secara rasmi ditubuhkan pada 26 September tahun 1926 bersama dengan sekumpulan 247 pengikutnya.

Pada tahun 1975, Komunis telah mengambil alih Vietnam, segala aktiviti penganut Caodai telah dihadkan oleh kerajaan Komunis. Akan tetapi setelah berlaku perjuangan dan usaha mereka untuk terus mengamalkan agama ini maka pada tahun 1997 agama mereka menerima kelulusan rasmi daripada kerajaan untuk terus diamalkan.

Kepercayaan

Konsep awal penciptaan Caodai sama seperti Taoisme. Mereka percaya sebelum wujudnya alam ini terdapat satu kuasa yang dikenali sebagai Monad, Tao dan dikenali juga sebagai tuhan. Ia tidak terbentuk, tidak berwarna, tidak bernama, tidak berubah-ubah dan memiliki kekuatan dan memiliki kekekalan. Monad atau tuhan membahagikan roh-Nya ke beberapa bahagian, dan menciptakan alam semesta, dunia, haiwan dan segala-galanya. Hasilnya kesemua makluk di alam ini mengandungi sebahagian daripada roh tuhan. Mereka juga menerima doktrin dalam Taoisme iaitu Am (Yin) dan Duong (Yang) dualiti yang membentuk keseimbangan yang harmoni di alam semesta.[3]

Oleh disebabkan itu mereka juga wujud kepercayaan kepada dua tuhan utama, menurut Oliver L. Victor dalam buku beliau Caodai Spiritism menjelaskan bahawa Cao Dai merupakan Tuhan Tertinggi. Manakala Dieu Tri Kim Mau atau juga dikenali Duc Phat Mau adalah Dewi Ibu. Mereka masing-masing mewakili keseimbangan Yin dan Yang. Cao Dai dilihat sebagai pusat alam semesta, Bapa kepada semua makhluk. Manakala Duc Phat Mau disanjungi sebagai Ibu alam semesta, bertanggungjawab untuk memberi bentuk yang boleh dilihat, kesedaran dan emosi untuk semua kehidupan.[4]

Dalam agama Caodai juga mengajar mengenai kewujudan syurga dan neraka. Bagi mereka, syurga dan neraka adalah destinasi yang terakhir bagi semua makhluk. Mereka juga percaya kepada wujudnya Samsara seperti kepercayaan dalam agama Buddha. Samsara bermaksud kelahiran kembali (reinkarnasi) manusia.

Mereka juga percaya kepada adanya hukum Karma. Kepercayaan bahawa kehidupan masa depan seseorang amat dipengaruhi oleh perbuatan yang diamalkan dalam kehidupan hari ini. Konsep ini juga terdapat dalam agama Hindu dan Buddha.  Mereka dilarang membunuh makhluk hidup, dilarang berzina, dan juga dilarang meminum arak.

Agama Caodai adalah sebuah ajaran yang merai kepercayaan universal, sekira dilihat kepada sistem kepercayaan dan doktrin yang diajarkan di dalam agama ini, terdapat banyak doktrin agama lain diambil khususnya doktrin dalam agama Tao dan Buddha. Boleh dilihat kepada cara mereka sembahyang, berdoa, tidak melakukan kekerasan (ahimsa), vegetarian, dan mereka juga percaya di akhir nanti sekiranya seseorang melakukan karma baik dia akan bergabung dengan tuhan di syurga dan terlepas reinkarnasi (kelahiran semula). Dalam agama Hindu, konsep ini dikenali sebagai Mokhsa.

Caodia juga percaya bahawa tuhan selalu melihat manusia dan makhluknya melalui mata kirinya. Sebab itulah di setiap rumah ibadat Caodai didapati banyak gambar piramid yang memiliki satu mata. Ia seakan simbol Illumanati. Agama Caodai juga memiliki amalan spiritual hasil pengaruh Taoisme yang mana mereka dapat berkomunikasi dengan roh yang mati dalam Séances (alam ghaib). Perbuatan itu telah diharamkan oleh kerajaan Vietnam dan amalan itu sudah tidak dilakukan lagi pada hari ini.

Ritual

Mereka bersembahyang sebanyak empat kali sehari, iaitu pada pukul enam pagi, dua belas tengah hari, enam petang, dan pukul dua belas malam. Di setiap sembahyang mereka, mereka akan memakai pakaian berwarna putih dan dalam upacara itu dimainkan alat muzik untuk bersembahyang. Kebanyakkan yang datang bersembahyang bukan sahaja dari kalangan penganut Caodai sahaja, malah terdapat penganut Kristian dan juga Buddha yang turut serta bersembahyang.

Jika diperhatikan di dalam rumah ibadat mereka terdapat pengkelasan warna kepada orang yang yang bersembahyang. Pakaian putih bagi mereka yang benar-benar menganut Caodai manakala penganut agama lain perlu memakai jubah warna lain. Contohnya berjubah kuning adalah bagi penganut Buddha, berjubah biru adalah penganut Taoisme, sementara yang berjubah merah adalah penganut Konfusianisme. Bagi mereka perbezaan dalam keimanan itu tidak boleh dijadikan sumber perselisihan kerana mereka juga percaya kepada semua tokoh-tokoh agama. 

Kitab Suci

Kitab suci agama Caodai menggunakan bahasa Vietnam. Kitab itu disebut sebagai Thanh Ngon Hiep Tuyen, yang merupakan kumpulan khutbah yang diterima oleh para pemimpin Caodai. Kitab ini menggariskan peraturan dan batas bagi aspek agama, pendidikan, perkahwinan, dan lain-lain. Terdapat sepuluh bahagian di dalam Kitab Suci dengan kandungan berikut:

1) Hierarki pembesar-pembesar agama
2) Permulaan dan pangkat orang dipercayai
3) Penubuhan organisasi
4) Lima larangan
5) Empat perintah
6) Pendidikan
7) Larangan 
8) Undang-undang dan peraturan-peraturan
9) Peraturan dunia
10) Tempat meditasi

Kesimpulan

Ngo Van Chieu pada awal umurnya pernah bekerja dengan kerajaan Perancis dan beliau juga telah mengembara ke banyak tempat. Beliau begitu berminat dengan agama dan falsafah yang berkembang di China. Kecenderungannya terhadap agama-agama di China begitu jelas apabila ia diterima pakai kepada doktrin agama beliau sendiri. Agama ini juga merupakan sebuah agama sinkretisme yang mana terdapat percampuran budaya, agama dan kepercayaan ke dalam satu bekas.  

Bukan Ngo Van Chieu seorang sahaja yang memiliki pemikiran yang mengakui semua agama dan menyeru kepada perdamaian. Sebelum itu sudah ada Mirza Hussein Ali yang mengasaskan agama Baha’i di Iran. Ia bentuk pemikiran yang rigid dan hanya mencampuradukkan doktrin-doktrin agama lain lalu mengatakan ia adalah agama baru yang diperkenalkan oleh beliau. 

Satu perkara yan menarik adalah simbol agama Caodai begitu menarik minat golongan yang gemar kepada teori konspirasi. Sudah terdapat banyak artikel dan penulisan yang mengatakan agama Caodai adalah sebuah agama anti-Christ dan merupakan agama Dajjal. Kesemua hujah yang dikemukakan itu adalah tidak kukuh dan berdiri di atas falasi semata-mata. Kita hendaklah berhati-hati dalam mengkaji. 

Berbalik kepada simbol mata dan piramid di dalam agama Caodai. Menurut mereka mata berfungsi untuk selalu memperingatkan kepada penganut Caodai bahawa Tuhan sentiasa melihat segala-galanya. Malah satu mata kiri Tuhan dalam Caodai terdapat begitu luas tafsirannya. Apa yang perlu diketahui bukanlah disebabkan dengan adanya simbol yang berbentuk demikian maka agama Caodai tidak diadili dengan rasional dan menuduh ia sebagai agama Jahat. Sebagai seorang muslim, kita inginkan non muslim memahami agama kita dan kita juga sering membersihkan gelaran ‘pengganas’ yang sering dilabel kepada muslim. Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah kita sendiri perlu memahami agama orang lain dengan adil sebelum mahu orang memahami agama kita dengan baik.  

Rujukan:

[1] Lihat Oliver, Victor L. (1976). Caodai Spiritism: A Study of Religion in Vietnamese Society, Brill Academic Pub, Netherlands, hlm 9
[2] Lihat – Jurnal David Burnett (2004). Encylopedia of New Religions, A Lion Book, England, hlm 236
[3] Lihat Oliver, Victor L. (1976). Caodai Spiritism: A Study of Religion in Vietnamese Society, Brill Academic Pub, Netherlands, hlm 8
[4] Lihat ibid, hlm 8-9

[R&D Team Multiracial Reverted Muslims]

Monday, November 20, 2017

Manusia Di Dunia Ini Majoriti Beriman Dengan Nabi?





Apabila kita membaca al Quran, kerap kali Allah menyebut perihal rasul-rasul terdahulu. Malah agak menakjubkan apabila diperhatikan Allah menyebut nama-nama tokoh tersebut sebenarnya ia bukanlah tokoh yang sinonim bagi al Quran sahaja. Akan tetapi nabi dan rasul yang disebut di dalam al Quran itu juga telah diimani oleh orang-orang sebelum nabi Muhammad. Ini kerana, khabar tentang mereka Allah telah turunkan kepada manusia terdahulu dan setelah itu pengikut mereka telah membukukan kisah nabi dan rasul mereka seperti terhimpun di dalam Bible, Tanakh dan Gospel yang lain.

Suatu perkara yang menarik untuk diperhatikan, peratusan manusia sekarang yang mempercayai nabi dan rasul adalah lebih ramai berbanding dengan golongan yang tidak mempercayainya. Sepertimana di dalam al Quran, Allah menyenaraikan sebahagian sahaja iaitu 25 orang nabi dan rasul, yang mana sebahagian besar rasul-rasul ini diceritakan di dalam Perjanjian Lama dan Baru (Bible).

Di dalam agama Kristian dan Yahudi yang merupakan antara penganut agama yang teramai di dunia, yang mana kita sudah sedia maklum bahawa mereka juga mengimani rasul-rasul terdahulu seperti disebutkan di dalam al Quran. Di sini mari kita lihat kepada statistik dalam The Global Religious Landscape: The Pew Forum on Religion & Public Life dengan mengambil kira agama-agama lain yang turut memiliki doktrin kepercayaan kepada nabi dan rasul dan dibandingkan dengan jumlah keseluruhan. Senarai ini diambil kira dari jumlah penganut yang terbesar di dunia:

1) Kristian : 2.2 billion penganut : 33.51%
2) Islam : 1.6 billion penganut : 22.32%
3) Yahudi : 14 juta penganut : 0.20%
4) Bahai : 7 juta penganut: 0.10%
5) Cao Dai : 4 juta penganut : 0.06%
6) Unitarian Univeraslits: 0.8 juta : 0.01%
7) Rastafari 0.6 juta : 0.01 %

Kesemua agama di atas memiliki konsep kepercayaan kepada nabi dan rasul yang disebut di dalam al Quran. Maka dengan ini jumlah peratusan kesemua mereka adalah 56.21 % dari jumlah keseluruhan peratusan manusia di seluruh dunia. Ini menunjukkan bahawa lebih dari separuh jumlah manusia di dunia ini percaya kepada sebahagian nabi dan rasul yang disebut oleh Allah di dalam al Quran.

Sebagai contoh, agama Bahai yang bersifat mencedok dari setiap ajaran terutama di dalam al Quran dan Bible, mereka juga beriman kepada nabi dan rasul. Unitarian Universalist dan Jehovah Witnesess yang merupakan agama baru hasil dari pecahan agama Kristian, mereka juga mempercayai kepada rasul-rasul terdahulu dan mereka juga menolak Isa sebagai Tuhan. Begitu juga agama Rastafari di Jamaica, mereka juga beriman kepada rasul di dalam Bible yang dikenali Bible versi orang kulit hitam Holy Piby, dan ajaran agama mereka sudah menyeleweng dengan menyembahan Tuhan baru dengan mendakwa Raja Eithopia bernama Haile Selassie I.

Walaupun ada juga di antara agama ini, mereka hanya beriman kepada dua atau tiga orang rasul sahaja seperti agama Cao Dai dari Vietnam yang merupakan sebuah agama baru yang bersifat sinkretisme (bercampur), mereka beriman kepada Lao Tze, Konfusianisme, Jesus, Nabi Muhammad dan juga beberapa tokoh lain. Pun begitu, mereka tetap beriman dan mengiktirafkan bahawa Jesus dan Muhammad itu adalah rasul.

Dalam statistik ini tidak termasuk beberapa agama terpencil yang juga beriman dengan sebahagian rasul-rasul seperti agama Mandeaenisme (Sabean), Yazdanisme, Druze, Manichaeisme dan Samaritan. Mereka juga memiliki kepercayaan kepada sebahagian rasul-rasul yang disebutkan di dalam al Quran.

Kesimpulan

Di dalam al Quran, Allah menceritakan bahawa umat terdahulu telah diutuskan kepada mereka nabi dan rasul. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri…” (Surah At Taubah: 128)

“Tiap-tiap umat mempunyai rasul; maka apabila telah datang rasul mereka, diberikanlah keputusan antara mereka dengan adil dan mereka (sedikit pun) tidak dianiaya.” (Surah Yunus: 47)

“Sesungguhnya Kami (Allah) mengutuskan engkau dengan kebenaran, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan tidak ada suatu umat pun melainkan telah ada padanya seorang pemberi peringatan.” (Surah Fatir: 24)

Ayat ini juga boleh menjadi sebagai hikmah yang menjawab persoalan mengapa majoriti manusia di dunia ini beriman kepada rasul.

Antara perkara yang perlu ditekankan di sini adalah keimanan kepada rasul itu sentiasa konsisten diimani dari zaman berzaman. Sehinggalah pada hari ini, walaupun terdapat pelbagai agama yang berlainan akan tetapi majoriti manusia tetap tidak boleh menafikan kebesaran Allah yang mengutus rasul-rasulNya kepada manusia untuk membimbing manusia. Jika manusia ini berfikir dan mengkaji tentang rasul-rasul ini nescaya mereka akan menemui misi setiap rasul ini adalah membawa tauhid. Dan Islam telah membuktikan kebenaran itu di dalam al Quran.

*Rajah hanya fokus nabi-nabi yang disebut di dalam al Quran sahaja

Rujukan:

[1] -, (2004). Encylopedia of New Religions, A Lion Book, Oxford, England. 
[2] http://www.pewforum.org/…/…/global-religious-landscape-exec/
[4] Sami Abdullah Al Maghloth, (2011). Atlas Agama, PT Almahira, Jakarta.
[5] Ahmad Iqram Mohamad Noor, (2017) Yahudi, Kristian, Hindu, Dan Buddha Berasal Daripada Islam?, PTS, Selangor.

R&D Team Multiracial Reverted Muslims