Thursday, September 29, 2016

Sahabat Ke Jannah


Ibnu al-Jauzi di dalam kitabnya "Raudhatul Asyiqin" menceritakan, 'Suatu hari aku mengunjungi sahabatku yang sedang sakit kuat. Sahabat itu membisikkan sesuatu ke telingaku dengan suara yang sangat payah di akhir hayatnya.'

"Nanti jika engkau masuk syurga dahulu, dan aku tidak ada di sana, tanyakan kepada Allah di mana aku berada."

Ibnu al-Jauzi menitiskan air mata. Beliau teringat sebuah riwayat di mana pada hari kiamat orang-orang mukmin yang masuk syurga mencari sahabat-sahabat mereka di dunia yang tiada bersama mereka. Mereka bertanya kepada Allah. "Ya Rabb, di mana si fulan dan fulana yang dulu ketika di dunia mereka solat bersamaku. Mengaji bersama bahkan berbuat amal soleh bersamaku?"

Allah menjawab, "Dia sedang berada di neraka karena dosa yang dilakukannya. Jemputlah dia bersamamu ke syurga."

Maka bergegaslah para sahabat menjemput seorang sahabat mereka yang sedang diseksa di neraka. Akhirnya kerana persahabatan sejati itulah yang membawa mereka hingga ke syurga.

Sahabat..

Pernahkah kita renungkan siapa sahabat yang akan menolong kita di akhirat kelak? Adakah sahabat itu akan menyelematkan kita?
Adakah sahabat itu akan membawa kita ke syurga? Pilihlah sahabat-sahabat yang soleh yang sentiasa mendoakan serta mengajak kita kepada kebaikan.

Betapa ramai sahabat di kala kita senang. Betapa ramai sahabat kita di kala kita banyak wang, punya jawatan, sahabat di meja makan. Namun masih adakah sahabat yang membawa kita kepada keredhaan Tuhan?

Sahabat..

Bila nanti kalian masuk syurga dan saya tidak ada bersama kalian, tolong tanyakan dan cari saya. Tolong jemput saya ke syurga.

Khasiat Pokok Jarak Pagar


Pokok Jarak pagar, nama Botani, Jatropha curcas. Antara khasiat: bijnya yang telah tua dan matang dipecahkan dan ditumbuk hingga keluar minyak. Minyak ini disapu pada tempat yang bengkak, lenguh dan pada tempat yang ada bisul. Ambil sedikit minyaknya dan dicampurkan dengan air suam dan diminum untuk merawat ulser.


[Zawidatul Asma Zainuddin]

Untuk Yang Bergelar Lelaki



Tahukah Kamu Wahai Lelaki..

Perjalanan terjauh dan terberat bagi lelaki adalah perjalanan ke MASJID. Ramai orang tidak dapat melakukannya. Jangankan sehari lima waktu, bahkan ramai pula yang seminggu sekali pun terlupa. Tidak kurang juga yang seumur hidup tidak pernah singgah ke sana.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke MASJID. Orang pandai pun sering tidak mampu menemukannya. Mereka mampu mencari ilmu hingga ke Universiti di Eropah, Amerika, Jepun, Australia Dan Korea dengan semangat yang membara. Namun ke Masjid tetap saja perjalanan yang tidak mampu mereka Tempuh. Walau Telah Bergelar PHD.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke MASJID. Para pemuda kuat dan bertubuh sihat yang mampu menakluki puncak gunung berapi pun sering mengeluh ketika diajak ke Masjid. Alasan mereka bermacam-macam².. Ada yang berkata, 'Sebentar Lagi'.. Ada yang beralasan tidak selesa dicop Alim.

Perjalanan terjauh dan terberat adalah perjalanan ke MASJID.

Maka berbahagialah dirimu wahai lelaki bila kamu telah terbiasa melangkahkan kaki ke MASJID. Kerana, sejauh manapun kamu melangkahkan kaki, tidak ada perjalanan yang paling membanggakan, selain perjalanan ke MASJID.

Hakikatnya Perjalanan ke MASJID adalah perjalanan untuk bertemu Rabb kamu.Itulah perjalanan yang diajarkan oleh Nabimu. Perjalanan yang akan membezakan kamu dengan orang²yang lupa akan Rabbnya. Maka lakukanlah walau kamu terpaksa merangkak dalam gelap subuh demi mengenal Rabbmu.

[Hasri Lubis]

Di Mana Neraka


Seorang Yahudi datang kepada Umar r.a. dan bertanya, "Adakah tuan melihat ayat Allah dalam Al-Quran?..."Dan bersegera kepada keampunan dari Tuhan kamu dan Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ia disediakan untuk muttaqeen (orang-orang yang bertaqwa).'(Aali Imran :133). Dalam keadaan itu, di mana pula letaknya neraka, iaitu Jahannam?"

Umar r.a. kemudiannya mengajukan soalan Yahudi itu kepada sahabat-sahabat yang hadir, tetapi tidak seorang pun dapat menjawab.

Umar RA kemudian berkata kepadanya, "Adakah anda perasan siang apabila ia datang, tidakkah memenuhi langit dan bumi?"

Beliau kemudian berkata, "Ya, memang.Sekarang saya ingin bertanya kepada kamu, di mana perginya malam (ketika siang)?"

Jawab si Yahudi, "Ke mana saja Allah Ta'ala inginkan."

Umar r.a. kemudian berujar dengan cara yang sama, "Neraka juga ada di mana saja yang Dia mahukan."

Orang Yahudi kemudian bersumpah dan berkata kepada Umar, "Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ia telah diturunkan dalam kitab Allah (Taurat) seperti (kata-katamu) itu."

(Diriwayatkan Tariq ibn Shihaab RA)

[Halim Bede]


Bila kita ingatkan mati.
Tiada lagi nak DENGKI-DENGKI.
Bila kita ingatkan mati.
Kita tak PENTING diri sendiri.
Bila kita ingatkan mati.
Kita boleh buangkan BENCI.
Bila kita ingatkan mati.
Semua orang kita AMPUNI.
Bila kita ingatkan mati.
Kita selalu INSAFI diri.
Bila kita ingatkan mati.
Kita BERUSAHA kuat lagi.
Bila kita ingatkan mati.
Kita saling MENASIHATI.
Bila kita ingatkan mati.
Kita telah MENGHIDUPKAN hati.
Bila kita ingatkan mati.
Tidak ada KESEDIHAN lagi.
Bila kita ingatkan mati.
Kita seronok hendak BERBAKTI.
Bila kita ingatkan mati.
Hidup menjadi lebih BERERTI
Bila kita ingatkan mati.
Kita ingat ALLAH kepada Nya kita KEMBALI....

[Bahagian Dakwah JAKIM]


Dikisahkan oleh seorang ahli fiqih, Abdul Hakam bin Barkhan bahawa ada beberapa orang yang sedang meguburkan mayat di kampung mereka. Setelah selesai penguburan, mereka pun duduk beristirehat.

Tiba tiba, datang seekor haiwan ternak mendekati tidak jauh dari kuburan tersebut. Seakan-akan ia sedang mendengar sesuatu dan langsung berlari. Kemudian ia mendekati lagi ke kuburan itu dan berlari lagi. Hal ini dilakukan beberapa kali.

Nabi Saw bersabda:"Seksaan dari ahli kubur dapat di dengarkan oleh haiwan. Apa yang di dengarkan ini berasal dari suara ahli kubur yang diseksa.

Dahulu ada seorang wanita Yahudi masuk ke tempat Aisyah r.a. bertanyakan tentang seksa kubur. Lalu masuklah Nabi s.a.w. dan beliau pun berkata:

'Demi yang diriku ada di tangan-Nya. Memang mereka sedang diseksa di dalam kubur sehingga haiwan pun mendengar suara mereka.'

Sesungguhnya jika mayat sudah di letakkan di dalam tanah kuburannya, maka dia mendengar suara tapak kaki orang orang yang sedang meninggalkannya.

Jika dia seorang mukmin sejati, maka solat ada di bahagian kepalanya, puasa ada di bahagian kanannya, zakat ada di bahagian kirinya sedangkan berbagai kebaikan saperti sedekah, silaturrahmim, dan amal kebajikan ada di bahagian bawahnya.

Sangat mengerikan apabila haiwan pun berlari ketakutan mendengar seksaan tersebut. Lalu bagaimana pula mayat yang sedang menghadapi seksaan tersebut?

Berdoalah supaya kita menjadi orang yang terlepas dari seksa kubur seperti para mujahid yang gugur di jalan Allah.

Wednesday, September 28, 2016

Dalam Hati Ada Syurga


Rasulullah s.a.w. bersabda: "Berbahagialah hidup di dunia bagi orang yang menjemput kebajikan untuk bekalan hari akhiratnya, sehingga dia memperoleh redha Tuhannya.

Dan celakalah hidup di dunia bagi orang yang dipengaruhi oleh dunia, hingga dia terhalang daripada (mengerjakan) amalan untuk hari akhiratnya dan lalai untuk memperolehi redha Tuhannya. " (Hadis Riwayat Al Hakim)

DALAM HATI ADA SYURGA BILA ADA ALLAH DI DALAMNYA.


Berhati-hati dengan apa yang DIUCAP
Berhati-hati dengan apa yang TERDENGAR
Berhati-hati dengan apa yang TERLIHAT
Berhati-hati dengan apa yang TERFIKIR
Berhati-hati dengan apa yang DISANGKA


Hidup ini perjalanan dari Allah menuju Allah.Pertahankan Islam menerusi amalan agamanya.

Betapa rugi bila setiap helaan nafas disia-sia merungut tentang kehidupan, sedangkan ada orang lain menghembuskan nafas terakhir meninggalkan kehidupan.

Pamerkan akhlak muslim sejati. Mungkin yang sedang memerhati berbisik kepada diri sendiri, "Kuingin jadi seperti dia - baik pekerti, prihatin, penyayang dan bertaqwa."

Islam yang indah tersebar menerusi akhlak dan amalan, bukan ucapan kasar yang merendah-rendahkan.

Tanggung Dosa Sendiri


Setiap manusia yang telah akil baligh terpaksa menanggung dosa sendiri. Jangan mudah menyalahkan ibu bapa atas alasan mereka tidak memberikannya didikan agama. Kalau tahu diri jahil, dia wajib menuntut ilmu.

Allah sudah berfirman dalam Surah Al-Israa ayat 15 yang bermaksud: "Sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)."


Begitu juga dalam surah Ali Imran ayat 135, Allah berfirman bermaksud: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)."

Perbanyakkan Ucapan Positif



Anak umur 3 tahun melihat ibunya yang membawa air dapat perhatian dan penghargaan ayah. Dia juga hendak buat sebab inginkan penghargaan ayah. Ibu yang melihat perbuatannya lalu terus menegur, "Tak boleh buat, nanti tumpah." Berulang kali ibunya berkata begitu, namun kerana anak tetap mahu membuatnya. Akhirnya ibu benarkan. Betul, air yang dibawa wi anak tertumpah. Mengapa?

Antaranya, kerana perkataan yang diulang-ulang memberi 'kesan minda bawah sedar' ke atas anak lalu mempengaruhinya. Tangan dan fokusnya menjadi lemah, menyebabkan air di tangan benar-benar terlepas dan tertumpah. Ia suatu kajian saintifik.

Justeru, banyakkan ayat-ayat positif dalam rumah kita, sama ada untuk pasangan atau anak-anak.

[Dr Zaharuddin Abd Rahman]

Monday, September 26, 2016

Syukur


Bersyukur bermaksud sentiasa berasa lapang dengan rezeki yang diberikan Allah S.W.T. dan tidak rasa tamak terhadap rezeki yang tidak tercapai (sifat qanaah). Allah S.W.T. berfirman: “Dan( ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu; ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah nikmat-Ku kepadamu dan sesungguhnya jika kamu mengingkarinya (kufur nikmat), maka azab-Ku amat keras.’” – Surah Ibrahim 14:7.

Manusia umumnya jarang bersyukur ketika senang. Yang Maha Pencipta hanya dicari bila ditimpa keadaan lebih buruk. Seperkara lagi, setiap orang mempunyai pandangan berbeza meskipun berhadapan dengan situasi yang sama. Sebagai contoh, Ahmad dan Muhammad diberhentikan kerja apabila pemilik kilang tempat mereka mencari nafkah memindahkan operasi kilangnya ke luar negara. Ahmad berasa sedih kerana tidak tahu apa cara lagi untuk terus menyara keluarga. Sebaliknya, Muhammad bersyukur dan menganggap pemberhentian itu sebagai peluang untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, dengan memanfaatkan segala pengalaman dan kemahiran yang diperolehi ketika bekerja dahulu.


Rasa syukur harus diamalkan dengan memenuhi aspek penting yang berikut:
1. Benar-benar yakin akan kekuasaan dan pertolongan Allah yang mengatasi segala kuasa yang dapat memenuhi keperluan manusia.
2. Sabar menerima ketentuan Allah jika hidup tidak mewah seperti orang lain.
3. Bersyukur bila memperoleh nikmat pemberian Allah.
4. Berusaha dan berikhtiar untuk mencari tambahan kurniaan Allah dengan kemampuan yang ada bagi mencapai keperluan.
5. Tidak tertarik oleh tipu daya duniawi.

Fadilat bersyukur atas nikmat:
1. Tergolong antara orang yang berjaya dan cukup rezekinya.
2. Menerbitkan kesanggupan untuk mencari rezeki yang halal dengan kemampuan yang ada tanpa sebarang keraguan.
3. Mendidik manusia untuk bersyukur atas segala nikmat Allah dan menggunakan nikmat tersebut sesuai dengan syarak.
4. Menghilangkan rasa tamak dan haloba pada diri manusia dalam mencari dan memiliki harta serta pemberian Allah.
5. Menerbitkan sifat tawakal kepada Allah dalam setiap usaha dan tindakan untuk mencapai keredaan Allah.

APA YANG KITA SEMAI (BELANJAKAN) DAN SYUKURI PADA HARI INI DI DUNIA YANG FANA AKAN KITA TUAI DI AKHIRAT SANA.

Friday, September 23, 2016

Membentuk Zuriat Yang Soleh


Berikan anak-anak kita ilmu duniawi dan ukhrawi supaya menjadi hamba Allah yang lengkap. Contohnya menjadi jurutera, jurutebang, doktor, guru atau apa saja yang mereka citakan namun penuh bertaqwa.


Ada beberapa perkara yang kita dapat pelajari daripada kematian Tuan Guru Prof. Dr. Haron Din.

Pertama:
Sunnah mengkebumikan jenazah di tempat roh ditarik.

Kedua:
Mentarbiah anak-anak dan keturunan supaya beragama sehingga tidak memerlukan bantuan orang lain untuk keperluan peribadi seperti mengimamkan solat jenazah.

Di Malaysia, solat jenazah ghaib diimami oleh cucu Allahyarham Hakeem bin Hamdi yang berumur 17 tahun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Suatu masa dahulu ibu Tuan Guru Haron Din meninggal dunia dalam keadaan sujud. Jenazah ibu ini diurus oleh ketiga-tiga anaknya iaitu Tuan Guru Haron Din, Datuk Hassan Din dan Ustaz Ishak Din dari awal hingga akhir. Mereka tidak berhajat kepada orang lain untuk memandikan, mengkafankan atau mengimami solat jenazah kerana hasil daripada didikan ibu ini, ketiga-tiga anaknya menjadi anak yang berbakti kepadanya dunia dan akhirat.

Ketiga:
Berbakti untuk agama dan masyarakat dengan akhlak yang baik sehingga ia bakal menjadi saksi amal kebaikan kita di akhirat kelak.

Masih belum terlambat untuk mendorong anak cucu agar meminati ilmu agama dan akhlak beragama. Andai esok kita mati, semoga merekalah nanti yang akan menguruskan jenazah kita!

Peringatan Kepada Peminat Gula


Gula [ Fructose dan Glucose] adalah punca kepada Insulin Resistance yang menyebabkan Kencing Manis/Diabetes Mellitus dan Metabolic Syndrome, Obesiti akibat Leptin resistance, peningkatan tekanan darah, pengurangan nitric oxide yang menyokong jantung, dyslipidemia (kolesterol tinggi) dan berbagai masalah metabolik

Justeru, KURANGKAN PENGAMBILAN GULA X Infiniti

[Dari FB Dr Shahrol Abdul Rahim]

Peringatan Untuk Pesakit Gout


Bila dapat sakit Gout asyik salahkan daging, makanan laut, kacang dan bayam. Apa kata kalau mula kurangkan / hentikan pengambilan fruktose (gula).
Ketahuilah pengambilan fructose juga menghasilkan uric acid. Hyperuricaemia mencetus Gout.

---

[Dari FB Dr. Shahrol Abdul Rahim]

Khusyuk Tu Fokus ke?

Satu perkongsian dari Schanizan.blogspot.com


Rata-rata ramai dari kita menyangka khusyuk itu maksudnya fokus, atau concentrate. Tapi betul kah?

Kat office, meja boss aku letaknya sebelah meja aku. Bila boss aku ada kat tempat dia, secara automatik aku sedar boss aku ada kat sebelah. Tak payah nak fokus-fokus pada dia. Memang aku sedar boss aku ada kat sebelah... Tak payah nak pejam-pejam mata untuk fokus pada boss aku. Tanpa mata aku tengok dia pun, aku sentiasa sedar boss aku ada kat sebelah... Terus menyebabkan aku menjadi budak baik yang sangat "fokus" pada kerja aku.... Walaupun ramai orang lalu-lalang depan meja aku, semuanya tak menjadi hal... aku tetap fokus pada kerja aku... Sebab aku sedar boss aku ada kat sebelah... he he he...

Sama juga dalam solat. Khusyuk maksudnya sedar Allah itu ada. Dekat dengan kita. Tengah tengok kita. Maka secara automatik kita akan jadi budak baik yang "fokus" pada solat kita. Kalau kita solat tengah-tengah pasar pun tak jadi hal. Sebab kita sedar Allah ada dekat dan tengah tengok kita.

Jadinya maksud khusyuk adalah sedar Allah. Fokus pula ialah kesan yang datang dari khusyuk. Untuk fokus kita mesti khusyuk. Bukan untuk khusyuk kita mesti fokus. Sama macam kat office. Kita jadi fokus sebab sedar boss ada kat sebelah. Bukannya kita kena fokus pada kerja untuk sedar boss ada kat sebelah... Betul tak???

Bagaimana nak sedar Allah? Jawapannya ialah sedar aje lah.. Kalau boss ada kat sebelah, korang perlu give effort ke untuk sedar boss ada kat sebelah. Tak payah kan??? Kan ke automatik korang sedar... dan terus sedar.... dan terus sedar... Betul tak? Siapa kata betul angkat tangan...

Aku sendiri cakap tak betul.... Ha ha ha.... Boss bolehlah korang sedar. Sebab boss nampak kat mata kasar.... Toleh-toleh ternampak boss... toleh-toleh ternampak boss. Allah boleh nampak dengan mata kasar tak ? Jadi macamana nak sedar Zat yang korang tak nampak?

Kawan aku kerja kat production floor. Dia tak nampak boss. Tapi dia pun budak baik yang fokus juga. Walaupun dia tak nampak boss, dia nampak kamera CCTV. Dia tahu boss boleh tengok dia dari CCTV. Walaupun dia tak nampak boss... toleh-toleh nampak kamera CCTV. Toleh-toleh nampak kamera CCTV... he he he... kesian... ujung-ujung jadi budak baik jugak....

Macam tu lah juga kita... walaupun Allah itu sangat dekat, mana boleh nampak Zat Allah dengan mata kasar. Tapi kita boleh tengok kamera CCTV Allah maa... Berapa banyak kamera CCTV Allah ada dekat dengan kita. Tapi yang paling obvious ada satu.... apa dia ??? itulah nafas kita.

Kenapa nafas? Walaupun diri kita ni secara dasarnya semuanya digerakkan oleh Allah, ada beberapa perkara yang sangat jelas digerakkan oleh Allah. Kita selalu lupa yang kita ni Allah yang gerakkan. Sebab kita selalu tengok seolah-olah kita ni ada kemampuan untuk control diri sendiri.

Tapi ada perkara-perkara yang confirm tak mampu kita control. Antaranya ialah degupan jantung. Lagi satu aliran darah. Dan yang paling obvious ialah perjalanan nafas.

Kalau betul korang boleh control diri sendiri, buktikan. Cubalah hentikan degupan jantung. Cubalah alirkan darah dalam arah yang berlawanan. Bila tarik nafas, Allah akan gerakan nafas itu keluar balik. Kalau betul korang boleh control diri sendiri, lepas tarik nafas, janganlah lepas-lepas... terus tarik aje... boleh tak?? Tak boleh kan.... sebab apa? Sebab perkara ni 100% Allah yang gerakan.

Bila kita lihat perkara-perkara ni, sedarlah kita pada Allah. Inilah dia kamera CCTV Allah yang ada pada diri kita. Tapi jantung dan aliran darah, susah sikit kita nak lihat. Tu pasal, yang paling mudah ialah untuk lihat nafas kita. Tapi kena practicelah... Macam orang zaman sekarang. Pantang capai handphone teringat wassap... pantang capai handphone teringat wassap... Camtulah juga pantang terlihat nafas tersedar Allah... pantang terlihat nafas tersedar Allah... kadang-kadang tu tak terlalai lah juga.... Macam kawan aku tu, ada CCTV pun kadang-kadang lupa juga... mengular juga bila lupa tu.... Yang tak bestnya time lupa tu lah pulak boss selalu nengok CCTV... ha ha ha.... nasib korang lah...

Tuesday, September 20, 2016

Istiqamah Persis Bilal Bin Rabah


Laluan ke arah HIJRAH DAN FITRAH tidak mudah. Laluannya dipenuhi duri dan onak. Dari kanan, kiri, hadapan, belakang dan atas, banyak kerikil yang dilempar, banyak bongkah yang dihunjam.

Hati yang TERTUMPU HANYA KEPADA ALLAH tidak akan berasa lelah. Dicaci tidak melatah. Dipuji tidak megah. Semua itu hanya UJIAN
Yang menentu KEIKHLASAN

Terus ISTIQAMAH, persis BILAL BIN RABAH. Si hitam berhati bersih. Yang Allah sentiasa kasih

#KitaPendosaYangTaubat

Dekati Allah


Perahu ada di atas air itu fitrah, tetapi saat air masuk ke dalam perahu itu musibah.
Saat kita hidup di dunia adalah fitrah, namun ketika dunia masuk ke dalam hati itu musibah
Cinta kepada dunia dengan sewajarnya sahaja, dan lepaskan dunia jika ia menjauhkan kita dari Allah


Berkata Abul Laits Assamarqandi dalam Kitab Tanbihul Ghafiliin - "Sesungguhnya kamu mempunyai 4 musuh yang sangat memerlukan kesungguhan kamu untuk menghadapinya:

1. Dunia (Kehidupan dunia yang melupakan tujuan Akhirat).
Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud: "Maka janganlah sekali-kali kamu semua ditipu oleh dunia (kehidupan dunia).

2. Nafsu (Nafsu Amarah, Syaithoniyah)
Ibnu Abbas r.a. berkata: "Musuhmu yang paling ketat dan sangat berbahaya ialah nafsumu, dia itu berada di antara dua rusuk kamu."

3. Syaitan dari Jin.
Syaitan dari Jin, maka hendaklah memohon perlindungan kepada Allah S.W.T. dari tipu dayanya.

4. Syaitan dari Manusia.
Syaitan dari manusia, maka hendaklah kamu berhati-hati dari mereka, kerana mereka itu lebih dahsyat dari syaitan dari jin sebab syaitan dari jin menyesatkan manusia hanya dengan bisikan sahaja. Adapun syaitan dari manusia itu menyesatkan manusia dengan mata yang boleh dilihat akan perkara-perkara jahat dan kadang-kadang mereka memberikan pertolongan untuk mengerjakan yang jahat dan baik.

Ya Allah kami berlindung dari kejahatan diri kami sendiri, dan dari semua kejahatan yang ingin berbuat jahat kepada kami..Aamiin.


Sabda Rasulullah S.A.W: "Barang siapa hafal tujuh kalimat, ia dipandang mulia di sisi Allah dan Malaikat serta diampuni dosa-dosanya."

• Mengucap Bismillah pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.
• Mengucap Alhamdulillah pada tiap-tiap selesai melakukan sesuatu.
• Mengucap Astagfirullah jika lidah tersilap perkataan yang tidak patut
• Mengucap Insya Allah jika merencanakan berbuat sesuatu di hari esok
• Mengucap La haula wala kuwwata illa billah jika menghadapi sesuatu tak disukai dan tak diingini.
• Mengucap inna lillahi wa inna ilaihi rajiun jika menghadapi dan menerima musibah.
• Mengucap La ilaha illa Allah Muhammad Rasulullah sepanjang siang malam sehingga tak terpisah dari lidah.

Sunday, September 18, 2016

Bersedekahlah Walau Tidak Kaya


BERSEDEKAHLAH SEBELUM KAYA. Jangan tunggu kaya baru hendak bersedekah.
Bersedekah bukan terletak pada kebendaan semata-mata. MERINGANKAN TULANG UNTUK MEMBANTU ORANG SUSAH JUGA SEDEKAH. Jangan kedekut dengan kudrat. Khuatir nanti Allah ambil kembali segala harta dan kudrat yang ada.

Allah tidak pernah alpa membalas setiap sedekah kita. Dia akan mendatangkan kepada kita rezeki yang tidak disangka-sangka.

Rezeki yang berupa:

bertambahnya pendapatan,
kesihatan yang baik,
ahli keluarga yang soleh/solehah
kehidupan yang bahagia,
hati yang tenang,
urusan yang dipermudahkan,
mendapat layanan baik dari orang di sekeliling
terhindar dari kemalangan
dikurniakan istiqamah dalam amalan baik
DAPAT MERASA BETAPA DEKATNYA MAHA PENCIPTA

Alhamdulillah

Ahli Syurga Syria

Satu perkongsian untuk kita yang digelar HAMBA ALLAH


Ramai kawan bertanya, "Bagaimana keadaan di Syria?"

Aku lebih suka menjawab "Boleh jumpa ramai ahli syurga"

Inilah Syria. Aleppo to be precise. Setelah menjejakkan kaki di sana. Bersama mereka suka dan duka. Aku boleh simpulkan kehidupan dalam kancah perang tiada apa yang indah. Tiada fasiliti elektrik, makanan tercatu, hidup sentiasa dalam bahaya. Senjata asyik bergempita. Sniper di mana-mana mencari peluang mencabut nyawa.

Tetapi bagi ahli-ahli syurga ini, apa pun yang berlaku tetap indah buat mereka.

Biar aku cerita sedikit apa yang menarik tentang mereka.

Kebanyakan usia mereka adalah masih remaja atau di awal belia. Lebih kurang 17-25 tahun. Tetapi kematangan melebihi usia mereka. Mereka mengikhlaskan diri untuk menjadi sukarelawan di bandar kelahiran mereka ini. "Sukarelawan" di sini bukan seperti sukarelawan di negara-negara yang tidak bergolak. Perjuangan seharian mereka adalah antara hidup dan mati. Merekalah yang berusaha mengembalikan fasiliti asas di Aleppo kepada rakyatnya untuk terus hidup. Merekalah hero sebenar.

Seperti kata salah seorang dari mereka,

"Biar kami bukan di barisan hadapan seperti mujahideen untuk bertempur, kami tetap mencari Syahid dengan cara yang lain. Memberi makan, bantuan keperluan hidup kepada yang memerlukan juga satu jihad."

Namun begitu. Kebanyakan pemuda di sana bekerja seperti biasa pada siang hari. Tetapi pada sebelah malam, mereka bertukar posisi menjadi mujahideen di medan peperangan.

Saya pernah bertanya kepada salah seorang volunteer, yang mana dia sendiri pernah beberapa kali turun ke kawasan panas (pertembungan antara askar regim dan FSA) hanya untuk mengambil buku-buku teks pelajaran bagi diserahkan kepada kanak-kanak yang bersekolah. "Apakah motivasi dan dorongan untuk sanggup berkorban seperti itu?"

Dia hanya menjawab, "I don't want any rewards or recognition. I just want to see them (the kids) smile. They are the future of my homeland. You know, since the first day I did this, everyday is special to me, Allah show me something wonderful everyday even in the hard day. See, now I meet you. Now I know that our brothers and sisters in Malaysia support us. Thats make all the efforts worth it".

Sungguh bila berada dalam situasi sedemikian, dikelilingi mereka yang teguh berpegang pada Syahadah dan Tawhid, mati adalah perkara kecil. Kesemua mereka mengejar Syahid. Kesemua mereka berjanji untuk bertemu di syurga. Walau dengan apa cara sekali pun. Demi agama. Demi Ummah.

Demi Syria.

Syahid Öblind Rosley
310513
Aleppo, Syria

Gambar : bersama sukarelawan Majlis Tempatan Halab (Aleppo Council) ketika melakukan survey dan pengagihan kupon barangan bantuan kepada penduduk.

Saturday, September 17, 2016

Khasiat Bunga Melur


Daun dan bunga kecil berbau harum ini banyak mempunyai khasiat:

• Untuk demam dan sakit kepala, ambil segenggam daun dan bunganya kemudian diramas dalam air dan air itu disapukan ke dahi.Ulang sehingga panas berkurangan
• Untuk sesak nafas, ambil 20 helai daunnya, direbus dengan secubit garam sehingga mendidih kemudian tapis dan minum.
• Untuk bengkak akibat gigitan lebah, ambil segenggam bunganya diramas hingga hancur dan tampal pada bahagian yang terkena sengatan itu.
• Untuk sakit mata (mata merah) segenggam daun melur ditumbuk halus dan ditampal pada dahi. Setelah kering tampal yang lain pula. ulang sehingga berasa lega (sembuh)
• Teh melur boleh mengurangkan tekanan darah tinggi dan kadar kolesterol, mengurangkan stres, diabetes dan menguatkan sistem imuniti badan
• Haruman dari bunga melur boleh membantu meredakan stres.

[Pinjam petua dari Zawidatul Asma Zainuddin]

California - Tanah Khalifah



Berbicara tentang California, ramai yang tidak tahu kosa kata ‘California’ sebenarnya berasal dari istilah dalam Islam. California memiliki akar kata yang dapat diertikan sebagai ‘Tanah Khalifah’.

Keterangan itu bermula pada tahun 1500 ketika seorang penulis Sepanyol, Garci Rodríguez de Montalvo menulis sebuah Novel berjudul "Las Sergas de Esplandián" yang diterbitkan di Sevilla pada Julai 1510. Novel yang popular masa itu mengisahkan tentang Ratu pejuang Muslimah yang dikenali dengan nama Ratu Califia.

Nama Califia sendiri berasal dari kosa kata Arab “Khalifah”, yang merupakan sebutan bagi pemimpin dalam sebuah pemerintahan Islam. Kata ‘Khalifah’ diucapkan dengan “Califa” dalam aksen bahasa Sepanyol. Dalam novelnya itu, Montalvo menamakan tempat sang Ratu memerintah itu dengan sebutan “California”, bererti “Tanah Califia”.

Ketika orang Sepanyol menjelajahi pantai Baja, California pada pertengahan tahun 1500-an, mereka menganggap tanah yang mereka kunjungi itu menyerupai mitos karakter tanah California yang disebutkan dalam novel Montalvo. Mereka menyebut tanah itu dengan California. Nama California melekat sampai hari ini.

California merupakan sebuah negeri yang terletak di pesisir barat Amerika Syarikat, dengan penduduk palingr ramai di A.S. Ibu kotanya, Sacramento terletak di Central Valley. Andaikata California sebuah negara merdeka, ia akan berada dalam kedudukan ekonomi ke-9 di dunia pada tahun 2012. Kod singkatan pos di A.S. baginya adalah CA, sementara singkatan di Associated Press adalah Calif.

California juga pendorong dominan dari budaya Amerika dan juga ekonomi negara itu, menyumbangkan peningkatan teknologi dan hukum, sebagai tambahan juga membayar lebih ke sistem federal dari keuntungan yang diterimanya. Ia juga memiliki kota-kota terbesar dan menarik di negara A.S. seperti Los Angeles, San Diego, dan San Francisco.

Di tengah dan timur negara bagian ini ada Sierra Nevada, yang merupakan tempat dari gunung tertinggi di AS, Gunung Whitney dengan ketinggian 4.421m. Di Sierra juga ada Taman Nasional Yosemite yang terkenal di dunia. Di selatan terletak Transverse Ranges dan sebuah danau berair masin yang besar, Laut Salton. Gurun tengah-selatan disebut Mojave. Di timur laut Mojave terletak Death Valley, yang merupakan titik terpanas di Amerika Utara. Titik terendah Death Valley dan puncak Gunung Whitney terpisah kurang dari 200 mil.


Inilah tanah khalifah pilihanmu ya Allah untuk hamba Allah seperti Allahyarham Haron Din. Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi Jumaat lepas waktu Malaysia di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, Amerika Syarikat.

Berikut adalah wasiat Allahyarham ketika menyampaikan kuliah maghrib di Surau Andalusia, Bandar Lagun Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Ciri orang mukmin yang hebat ialah:

1. Dia meninggalkan dunia, sebelum dia meninggal dunia.
2. Dia bersedekah sampai kaya, bukan dah kaya baru bersedekah.
3. Dia berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah.
4. Dia datang ke masjid dan surau sampai ke tua, bukan dah tua baru nak ke masjid dan surau.
5. Dia beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.

Ini antara amalan Allahyarham Ustaz yang boleh kita teladani dalam usaha menegakkan Agama Allah.


Tuesday, September 13, 2016

Bertimbang Rasa Dengan Mertua


Seorang ibu ingin meminjam wang dari anak lelakinya. Dengan suara rendah disertai rasa malu dia berkata, "Nak,boleh tak ibu meminjam RM300 untuk beli barang dapur?"

Anaknya berkata,"Nanti saya tanya isteri dulu." Seakan berat hendak mengiyakan kerana belum tentu isterinya setuju.

Ketika si anak masuk ke rumah, terlihat olehnya bungkusan pampers anaknya yang sudah hampir habis, lalu terfikir...Pamper sudah mahal sekarang, lebih kurang RM30 sebungkus. Sebulan lebih kurang 2 bungkus pampers, RM60. 12 bulan X 60 = RM720. Sekurangnya 3 tahun anak akan guna pampers = RM2160, banyak juga pakai duit bulanan untuk membesarkan anak.

Kemudian dia mengimbau kembali zaman kecilnya. Ibunya memberikan sepenuh kasih sayang tanpa berkira. Dibesarkan oleh ibu sehingga berjaya mempunyai keluarga yang boleh dikatakan senang. Ibunya tidak pernah meminta balasan. Jika hendak dibalas pun, berapa nilai yang perlu dibayar?

Terus si anak keluar semula dan menatap wajah ibunya yang redup di mamah usia. Ibu telah memberikan kasih sayang, harta dan segala-galanya secara PERCUMA. Segera dia memeluk ibunya, menghulurkan wang RM300 sambil berkata dengan air mata bercucuran, "Maafkan anak ibu yang tak tahu membalas budi ni. Ibu, jangan lagi berkata nak pinjam, ya. Harta saya milik ibu juga, doakan saya supaya selalu berbakti pada ibu."

Ada air jernih di kelopak mata ibu yang berkata, "Nak, ibu selalu berdoa kita semua dikumpulkan di dunia dan di SYURGA nanti dalam kebahagiaan."

---

Bagi para ISTERI ingatlah bahawa rezeki dari suami adalah juga hak mertuamu. Layanlah ibu mertua seperti ibu kandung sendiri.
Bagi SUAMI pula, ingat bahawa ISTERI juga ingin memberi wang kepada ibu bapa mereka sendiri, walaupun tanggungjawab ibu bapa adalah lebih pada anak lelaki.

BERTOLAK ANSUR DAN BERTIMBANG RASA.

Keras Kepala Dan Suka Membantah



Dari Aisyah radliallahu 'anha, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6651)

Pengajaran:

Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

Iblis menjadi kufur akibat dari sifat keras kepala dan sombong* dengan merasakan dia lebih baik dari yang lain.

Dari Abdullah, Nabi SAW bersabda: *"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim No: 133)

Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya seseorang itu angkuh dan sombong. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidaksefahaman dan permusuhan.

Marilah kita jauhi sifat keras kepala dan suka membantah.

Membersih Najis Khinzir

Soalan:

Seseorang bimbang bekas atau pakaiannya terkena najis khinzir. Apakah yang harus dilakukannya?

Jawapan:

Pertama; kita tidak patut mengandaikan perkara yang kita tidak nampak. Sekadar rasa macam terkena belum wajib untuk dicuci. Jika dia ingin mencuci kerana sangkaan itu, itu pilihan sendiri.

Kedua: pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab. Sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air sehingga hilang kesan tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting hilang kesannya. Tiada dalil pun yang menyatakan khindir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk air tanah. Apa yang ada dalil wajib basuh jilatan anjing sebanyak tujuh kali dan satunya dari air tanah.

Mazhab al-Imam al-Syafii mengkiaskan babi seperti anjing dalam hal ini. Namun pendapat yang menyatakan khinzir dibasuh seperti najis lain bukan seperti anjing, iaitu tidak memerlukan air tanah, hanya memadai sehingga hilang kesan sahaja, pendapat ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafi’i sendiri – walaupun ini berbeza dengan mazhabnya- iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut.

Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i (meninggal 780H): “Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i.

Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”. (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapalterbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan muslim.

[Dr MAZA]

Diuji sakit


Kita sentiasa diuji dengan segala macam ujian. Salah satunya ialah sakit.Bagaimana hendak terus menjadi hamba yang soleh semasa sihat ataupun sakit.

Panduan untuk mencapainya ialah:

Dari sudut akidah. Sebenarnya sakit adalah makhluk seperti kita juga. Ia datang dari Allah untuk menguji kita. “Dialah yang mentakdirkan hidup dan mati untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa membalas amal, lagi Maha Pengampun [bagi orang yang bertaubat] - Surah Al Mulk ayat 2.

Sebagai contoh, Nabi Ayub a.s menderita penyakit yang merosakkan setiap inci tubuhnya. “Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku (Surah As-Syuara’ ayat 34).

Jangan biarkan sakit menyebabkan kita lupa pada Allah. Dia adalah Penyembuh dan kita disuruh berusaha menyembuhkan penyakit itu. Walaupun tidak sembuh, usaha kita itu akan dibalasi pahala. Berubat itu adalah sebahagian daripada sunnah Nabi s.a.w. Cari ubat yang halal. Cuma dalam keadaan darurat, ubat yang haram itu boleh diguna sekadar saja.

Dari sudut syariah, semasa sakit, aurat mesti dijaga. Kalau terpaksa dibuka di depan doktor berlainan jantina, bukalah sekadarnya saja. “Wahai kaumku, Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa." ( Surah Hudd ayat 52).

Ketika badan terlalu letih, selawat pada Nabi s.a.w 3 kali, baca Surah Hudd ayat 52 ini 3 kali kemudian sapukan ke badan. In sya Allah, akan datang kesembuhan dari-Nya. Tangan kita ada kurniaan yang Allah berikan. Sebab itu selepas berdoa kita angkat tangan dan sapu ke muka. Begitu juga bila berwuduk. Sabda Nabi s.a.w “Sebaik-baik ubat adalah al-Quran" - Hadis Riwayat Abu Daud.

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepada-Nya.” (Surah Hudd ayat 52).

Sebelum tidur baca Basmallah 21 kali, Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 34 kali. Jumlah semuanya 100 kali. Dengan tapak tangan sapu ke badan. Itulah kesegaran yang Allah beri nanti. Daripada sudut akhlak (adab sopan)… Semasa sakit, jangan merengek dan merungut. Nanti orang menyampah. Masa sakit banyakkan berzikir dan berdoa, “Ya Allah berikan aku ketenangan hati.” Ditakdirkan tempoh hayat kita hampir ke hujung, dengan zikir, in sya Allah kita akan ingat Allah. Sabda Nabi saw: Siapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaha illallah maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga - Hadis Riwayat Hakim.

Semasa sakit jangan sesekali tinggalkan SOLAT. Sebenarnya, doa tahiyat awal boleh diwiridkan: “Ya Tuhanku, ampunkanlah aku, kasihanilah aku, tutupkan aibku, tinggikan darjatku, berilah aku rezeki, tunjukkilah aku, sejahterakanlah aku dan maafkan aku." Semasa sakit, solatlah ikut kemampuan sama ada duduk, baring atau apa-apa cara yang dibolehkan ketika darurat. Solat memberikan kita semangat. Kalau berbaring, mengiring di rusuk kanan, gunakan kepala untuk gerakan solat. Kalau ada luka di rusuk kanan, mengiring di rusuk kiri dengan kaki mengadap kiblat. Kalau terlentang tinggikan kepala sikit. Gerakkan kepala. Kalau hanya mata saja yang bergerak, gunakan anak mata sebagai menggantikan gerakan. Solat itu keberkatan, pemulih semangat.


DOA: Ya Allah, Engkau yang mengurniakan sakit kepada kami, maka berikanlah kami kesembuhan. Engkau yang memberi kesempitan kepada kami, maka kurniakanlah kami kelapangan kami. Engkau menguji kami dengan berbagai ujian, berilah kami jalan keluar.

[Ceramah Motivasi Pagi TV3 oleh Ustaz Muhammad Abdullah].

Monday, September 12, 2016

Di Sebalik PEKAK

Satu Perkongsian untuk difikirkan.


DI SEBALIK PEKAK | Di Mana Nilai OKU Kita?

Mungkin, ramai yang ingin fokus terhadap isu moral remaja dalam filem ini, namun izinkan saya fokus terhadap isu OKU yang digarap bersama filem ini.

Di saat atlet paralimpik kita terus mengharumkan nama negara dengan 3 emas dalam sukan Paralimpik walaupun wujud kelainan pada diri mereka, PEKAK pula menonjolkan satu aspek berbeza terhadap golongan kelainan upaya. Perspektif ini saya kira, tidaklah akan membuka mata masyarakat, namun menolong untuk memburukkan lagi perspektif terhadap golongan kelainan upaya, sekaligus menjadi satu bentuk stereotype bahawa mereka yang kelainan upaya ini sanggup membuat kerja-kerja kotor demi sesuap nasi…

Realiti apakah ini wahai pasukan produksi PEKAK?

Jumaat lepas saya berkesempatan untuk ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan di sebuah hospital. Saya hadir sebagai Pelajar Kajian Khidmat Sosial dari sebuah universiti di selatan Borneo untuk menuntut ilmu dan mengorek pengalaman para Pegawai Pembangunan Masyarakat yang telah lama berkhidmat bagi membantu klien-klien yang hadir dan meringankan beban mereka. Kelihatan pegawai A sibuk menguruskan bantuan bagi seorag pak cik yang bakal mendapatkan kaki palsu, pegawai B sibuk bermesyuarat bagi menyelesaikan sebuah kes, dan pegawai C sedang menjalankan satu sesi bersama kliennya yang ingin memohon bantuan.

Setiap hari, mereka tidak pernah penat atau jemu menulis laporan sosial dan menghantarkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan. Perkara ini saya kira pasukan produksi PEKAK lupa nak tonjolkan yang sebenarnya kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan telah sediakan jalan dan bantuan yang bersesuaian tidak kisahlah dari segi wang atau apa-apa yang diperlukan untuk membantu golongan kelainan upaya. Tak payah susah payah nak jual dadah!

Untuk pengetahuan kita semua, sebenarnya golongan kelainan upaya, jika dah berdaftar bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka akan dapat bantuan bulanan, kad OKU yang memberikan mereka pelbagai manfaat. Tinggalnya cuma cepat atau lambat sahaja. Sekali lagi, tak perlu susah payah nak jual dadah.

Ilmu saya dapat dari seorang pegawai Audiologi hari ini, Cochlear Implant (CI) bukanlah satu-satunya cara untuk merawat masalah pendengaran. Ia bukanlah tertakluk pada alatnya sahaja tetapi pelbagai rawatan rehabilitasi yang boleh dilakukan. Benar, rawatan CI memang memerlukan kos yang sangat tinggi, tetapi, janganlah kita terkejut jika saya kata ada sahaja peruntukkan untuk CI ni walaupun berkuota. Jadi, banyak sahaja cara untuk mendapatkan dana bagi rawatan CI ni, tak payah susah payah nak jual dadah!

Melihatkan produksi filem memilih untuk menonjolkan perspektif seorang OKU yang terdesak ingin membuat rawatan CI sehinggakan sanggup membuat kerja yang tidak bermoral saya kira bukan sahaja menjatuhkan martabat seorang OKU, tetapi mewujudkan stereotaip terhadap mereka Sudahlah kelainan mereka sering menjadi asbab mereka dibuli, dicerca, dimaki dan dihina, tayangan filem ini ibarat mencurah minyak pada api yang sedang marak! Agak-agak, tayangan filem sebegini akan memberi sinar baru kepada golongan OKU atau membuatkan keadaan mereka semakin teruk? Pernah kita fikirkan tentang ini?

Dan saya masih garu kepala melihatkan filem PEKAK ini, kenapa watak itu tidak memilih untuk mencari peruntukan dana bagi membantunya? Kenapa mesti jual dadah? Kenapa tidak jual sayur, jual ikan, atau menggunakan apa-apa kemahiran lain yang beliau punya? Kenapa mesti jual dadah ya? Adakah itu sahaja cara untuk mencari rezeki?

Ini mengingatkan saya pada sebuah filem yang menjadi hit beberapa tahun dahulu. Filem My Name Is Khan yang memaparkan Rizvan Khan yang menghidap Asperger’s Syndrome (kini disatukan dalam autism spectrum disorder). Di negara kita, apa yang Rizvan Khan hidap ini masih tergolong dalam kumpulan OKU. Namun begitu, My Name Is Khan mempamerkan bagaimana seorang lelaki yang dihalau isteri, mampu meneruskan hidup di jalanan, mencari rezeki dengan menggunakan kemahiran beliau untuk membaiki segala jenis benda, dari peti ais hinggalah ke enjin kereta. Kenapa dia tak jual dadah ya di sebuah negara yang kita tahu penggunaan dadahnya berleluasa?

Kalau pembaca nak tahu, sebenarnya, negara kita mempunyai Akta Orang Kurang Upaya (2008). Akta ini digubal untuk mengiktiraf golongan OKU serta hak-hak mereka di Malaysia. Saya nukilkan sedikit Muqaddimah akta ini untuk kita sama-sama hayati:

AKTA ORANG KURANG UPAYA 2008
Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.

MENGIKTIRAF bahawa ketidakupayaan merupakan suatu konsep yang sentiasa berkembang dan bahawa ketidakupayaan terhasil daripada interaksi antara orang kurang upaya dengan halangan sikap dan persekitaran yang menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat atas asas kesetaraan dengan orang upaya:

MENGIKTIRAF sumbangan sedia ada dan berpotensi yang bernilai yang dibuat oleh orang kurang upaya kepada kesejahteraan dan kepelbagaian komuniti dan masyarakat keseluruhannya:

MENGIKTIRAF kepentingan kebolehaksesan kepada persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan kebudayaan, kepada kesihatan dan pendidikan serta kepada maklumat dan komunikasi, bagi membolehkan penyertaan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:

MENGIKTIRAF bahawa orang kurang upaya adalah berhak kepada peluang dan perlindungan, serta bantuan sama rata dalam segala hal keadaan dan tertakluk hanya kepada apa-apa batasan, sekatan dan perlindungan hak sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan:

MENGIKTIRAF kepentingan kerjasama antara Kerajaan dengan sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memastikan penyertaan dan penglibatan penuh dan berkesan orang kurang upaya dalam masyarakat:”

Jadi, soalan saya sekali lagi, kenapa perlu jual dadah?

Kenapa harus kita pertontonkan kepada masyarakat sudut keburukan sesuatu hal yang membarah dalam masyarakat, sedang itu kita sama-sama cuba rawat? Kenapa harus kita mencemarkan maruah golongan OKU dengan mengaitkan mereka dengan kegiatan yang tidak bermoral? Apakah negara kita ini terlalu pekak untuk tidak menyediakan keperluan asas sebegini untuk mereka yang sangat memerlukan?

Tugas sebagai seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat menuntut untuk berpegang kepada Ilmu, Kemahiran dan Nilai-nilai tertentu untuk membawa satu perubahan kepada pengguna ke arah kebaikkan. Salah satu nilai yang kami pegang adalah nilai ‘empowerment’. Itulah tugas dan kewajipan pegawai-pegawai ini, membantu membela nasib golongan yang memerlukan, membantu mencari jalan penyelesaian dan membantu agar klien mampu berdikari walaupun mempunyai kekurangan dalam upaya diri.

Filem PEKAK yang digarap ini tidak sedikit pun menonjolkan nilai-nilai tersebut. Hanya menambah modal untuk masyarakat yang masih belum faham mencerca mereka. Saya mohon maaf jika bunyinya kasar, tapi pernahkah anda terfikir perasaan mereka? Jika cara OKU untuk mandiri hanyalah dengan menjual dadah, kenapalah wujud NGO-NGO yang sudi menyediakan pusat latihan kemahiran bagi golongan OKU ya?

Pada pandangan saya, filem ini adalah tidak lain tidak bukan satu penghinaan terhadap golongan OKU. Apabila FINAS berpendirian untuk mempertahankan ‘karya seni’ ini, apakah yang mereka cuba kecapi? Rating dan pulangan wang dalam menyemarakkan lagi semangat kapitalisme melalui hiburan?

Sebenarnya-

Filem ini yang PEKAK terhadap hak dan bantuan yang patut mereka dapat.

Filem ini yang PEKAK kerana mengajar masyarakat bahawa golongan OKU hanya dapat cari wang melalui aktiviti yang tidak bermoral.

Matlamat Tidak Menghalalkan Cara!

Mohon kaji semula bagi menjaga kemaslahatan masyarakat yang pelbagai lapisnya.

Amalina Binti Annuar
Mahasiswa Jurusan Kajian Khidmat Sosial
Universiti Malaysia Sarawak
Tokoh Mahasiswi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) 2016

OKU Luar Biasa!


Kejohanan Paralimpik Rio, Brazil 2016 menjadi saksi prestasi serta pencapaian luar biasa para atlet Paralimpik negara,semuanya dicapai dalam SATU HARI! Ia juga membuka mata kita terhadap perlunya kita lebih menghormati dan menyantuni golongan Orang Kelainan Upaya (OKU)ini.

Tahniah dan terima kasih kepada para ibu bapa OKU serta warga guru pendidikan khas yang tidak pernah kenal erti putus asa:

Ridzuan Puzi (Cerebral Palsy - gangguan saraf dan otak), Ziyad Zolkefli (Masalah Pembelajaran), serta Latif Romly (Kelainan Upaya intelektual) membuktikan bahawa usaha keras, disiplin serta kesungguhan adalah kunci kepada kecemerlangan sejati.

Terdahulu, para atlet senior seperti P. Mariappan, Cheok Kon Fatt dan Hasihin Sanawi (sekadar menyebut beberapa nama) turut berjuang mengharumkan nama negara.

Dengan segala kekurangan, mereka mencurahkan segalanya, buat Malaysia tercinta.

Tahniah, Malaysia!

Bergolek Ke Masjid Demi Solat Jemaah


Encik Malek Raduan singgah di Masjid Sultan Ismail Petra, Tanah Merah, Kelantan untuk solat asar berjemaah. Seusai ambil wuduk dan berjalan masuk ke ruang solat, beliau terkejut melihat sekujur badan sedang bergolek-golek mencari ruang untuk memenuhi saf solat.

MasyaAllah!!! Seorang insan kelainan upaya yang kudung kaki dan cacat tangan tetapi masih gagah bergolek menghadirkan diri ke masjid untuk solat Asar berjemaah berbanding manusia normal yang meninggalkan solat! Apa alasan kita di hadapan Allah nanti jika insan kelainan upaya seperti itu mampu menunaikan perintah Allah?

Jika selama ini kita melalaikan perintah Allah, segeralah bertaubat dan kembali kepada fitrah yang ditetapkan-Nya ke atas kita.


Cuba hayati ungkapan Syeikh TantawiI:

"Tidak perlulah kamu kelihatan cantik utk menarik perhatian manusia.Tidak perlulah kamu menjadi pelawak untuk mendapatkan kasih manusia.

Cinta manusia sangat tidak adil. Apabila kamu telah melakukan 99 kebaikan dan 1 kesalahan,manusia hanya akan nampak 1 kesalahan itu dan lupa semua 99 kebaikan kita. tap

Berbeza dengan cinta Allah, 99 kali kita buat dosa kepada-Nya dan sekali kita bertaubat, Allah akan melihat taubat yang 1 itu dan
melupakan segala 99 dosa terbabit.

Carilah cinta Ilahi. Di situ ada cinta hakiki."

Sunday, September 11, 2016

Keajaiban Wakaf dan Sedekah


Allah makbulkan doa hamba-hambaNya tanpa mengira kedudukan, bangsa dan warna kulitnya. Doa si miskin yang dizalimi lebih didengari. Doa si kaya yang kaya jiwa tiada kecuali. Tempat mereka sama-sama di Jannah abadi

Si miskin harta yang sombong dan derhaka. Si kaya yang tamak lagi gila kuasa bakal bertapa di neraka selama-lama


Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.: Baginda Nabi s.a.w. bersabda, “Ketika Allah menciptakan bumi, ia sering bergegar. Maka Dia menciptakan gunung-ganang lalu mengisyaratkannya ke atas bumi dan ia pun menjadi tetap.

Para malaikat menjadi kagum dengan kekuatan gunung-ganang. Mereka berkata,’ Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat dari gunung-ganang?’ Dia berfirman, ‘ Ya besi.’

Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada besi?’ Dia berfirman,’ Ya, api.’

Mereka berkata, ‘ Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada api?’ Dia berfirman, ‘Ya, air.’

Mereka berkata, ‘Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada air?’ Dia berfirman, ‘Ya, angin.’

Mereka berkata, ‘ Wahai Tuhanku, adakah terdapat makhluk-Mu yang lebih kuat daripada angin?’ Dia berfirman, Ya, ANAK ADAM YANG BERSEDEKAH DENGAN SUATU SEDEKAH DENGAN TANGAN KANANNYA SAMBIL MENYEMBUNYIKANNYA DARIPADA TANGAN KIRINYA.’”

Hadis Riwayat at-Tiemizi. Menurutnya, hadis ini ialah hadis gharib.

Tangan di atas (memberi) lebih baik dari tangan di bawah (menerima)

Namun yang terbaik bila tangan di atas dan tangan di bawah berjabat dan berikrar...

SI KAYA BERWAKAF DENGAN HARTANYA,
SI PANDAI BERWAKAF DENGAN ILMUNYA,
SI MISKIN BERWAKAF DENGAN KUDRATNYA...

Sama-sama membina ekonomi, agama dan negara yang kukuh atas dasar tawaduk kerana Allah semata-mata.

Letakkan Kebergantungan Hanya Kepada Allah


Ketika Madinah di timpa kemarau berpanjangan, bekalan makanan terutama gandum makin berkurangan.Harga barang-barang keperluan turut melambung naik. Yang kaya sibuk membeli dan menyimpan bekalan makanan yang dikhuatiri akan habis di pasaran. Tetapi yang miskin berbelanja hanya seadanya sahaja. Tidak tentu bagaimana nasib masing-masing jika terpaksa berhadapan dengan kebuluran.

Di sebuah ladang, seorang tuan ladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun hasil ladangnya di bahagi tiga . Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk di sedekahkan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim dan sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.Disebabkan kemarau, hasil ladangnya turut terjejas. Sukatan yang biasa digunakan mengalami masalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk fakir miskin dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun, dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika diambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah dijanjikan. Masalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas meminta nasihat dari seorang ulama sufi.

Ulama sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang, “Di hujung kampung ada seorang ibu tunggal yang kematian suami dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan."

Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah ibu tunggal miskin yang dimaksudkan dengan membawa gandum untuk di sedekahkan.

Ibu tunggal bertanya, “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”

Tuan ladang, “Saya membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”

Ibu tunggal, “Anak-anak saya sudah tidur.”

Tuan ladang, “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”

Ibu tunggal, ”Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok?"

Tuan ladang, “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”

Ibu tunggal, “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain."

Setiap patah kata-kata ibu tunggal beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, ibu tunggal tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain.Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari ibu tunggal miskin itu dikalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah. Juga dengan senang hati mengagih-agihkan rezeki yang telah Allah amanahkan.

Pertemuan dengan ibu tunggal tersebut juga mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim ,seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah. Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.

Pengajaran:

Apakah keyakinan dan iman kita sama dengan ibu tunggal beranak tujuh yang pergantungannya hanya kepada Allah S.W.T.? Adakah setiap hari apabila keluar bekerja mencari rezeki kita hanya bergantung kepada usaha dan kepandaian kita berniaga dan kecerdikan kita mengaut keuntungan tanpa bergantung langsung dengan Allah S.W.T.? Betapa ramai orang yang berusaha tetapi hati kecil tidak pernah merasai bahawa rezeki yang diperolehi itu datangnya daripada kehendak dan ketentuan daripada Allah S.W.T.

Kehidupan orang mukmin berbeza dengan kehidupan orang kafir kerana orang mukmin berusaha dan berikhtiar dalam rangka ibadah tetapi pada masa yang sama yakin janji-janji rezeki daripada Allah S.W.T. dan rasa bersyukur apabila usaha dan hajatnya tercapai dan bersabar dan redha jika apa yang diusahakan tidak berhasil. Sebaliknya orang kafir tidak ada langsung mengaitkan usahanya dengan ketentuan rezeki daripada Allah S.W.T.

Islam memang menganjurkan umatnya sentiasa gigih berusaha mencari rezeki juga membaiki cara hidup. Namun sepenuh pengharapan positif mesti diserahkan kepada Allah yang menetapkan kadar rezeki setiap hamba-Nya. Usah sekali-kali kekhuatiran terhadap kepentingan diri sendiri menghalang kita memenuhi hak dan amanah yang telah Allah S.W.T. tetapkan. Sentiasa ingat kita ini juga adalah hamba kepada Yang Maha Pemurah.Keadaan ini kekal dan tidak berubah sehingga tiba hari perhitungan.

Rasulullah s.a.w. mengajar kita berdoa untuk memohon kepada Allah S.W.T. agar mendapat peluang perniagaan dan rezeki yang lumayan: "Ya Allah, jadikanlah aku antara kalangan hamba-Mu yang mendapat bahagian (pencapaian) yang hebat pada nur yang Engkau kurniakan sebagai hidayah, dan rahmat yang Engkau kurniakan, dan rezeki yang Engkau sebarkan, dan mudharat yang Engkau selamatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan bala yang Engkau angkatkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan fitnah yang Engkau jauhkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu), dan keburukan yang Engkau hindarkan (daripada menimpa hamba-hamba-Mu)."(Hadis Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Tabrani).

Pengajaran yang boleh diambil daripada kisah di atas adalah:

1.Sikap tidak mementingkan diri sendiri dan mementingkan keperluan orang lain adalah satu peribadi yang mulia dan dituntut oleh Islam.
2.Apabila menghadapi sesuatu masalah kita digalakkan merujuk permasalahan kita kepada orang yang lebih arif dan berilmu supaya masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.
3.Sedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yatim adalah amalan mulia dan akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah.
4.Keyakinan yang mutlak bahawa rezeki itu datang dari Allah S.W.T. yang bersifat Maha Pemurah adalah dari keimanan kita kepada Tauhid Rububiyah dan sebagai hamba Allah kita diminta berikhtiar tetapi segala keputusan dan ketetapan datang dari Allah S.W.T.

Thursday, September 8, 2016

Keinsafan Si Penggali Kubur



Ada seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah S.W.T.

Dia berkata, "Sepanjang saya menggali kubur untuk mencuri kain kafan, saya telah melihat tujuh perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran itu saya merasa sangat insaf atas perbuatan yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.

"Yang pertama, saya lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi apabila saya menggali semula kuburnya pada waktu malam, saya lihat wajahnya telah membelakangkan kiblat. Mengapa berlaku begitu, wahai tuan guru?"

"Wahai anak muda, mereka itu golongan yang telah mensyirikkan Allah S.W.T. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah S.W.T. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, saya lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tetapi pada malam hari ketika saya menggali kubur mereka, saya lihat wajah mereka telah bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?"

Jawab ahli ibadah, "Wahai anak muda, mereka itu golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain"

Pemuda itu menyambung lagi, "Wahai tuan guru, golongan ketiga yang saya lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila saya menggali kuburnya pada waktu malam, saya lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.

"Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

"Golongan keempat, saya lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?

"Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapa sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah S.W.T. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapa."

"Golongan kelima, saya lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu.

"Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidup, mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi tiga hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

"Wahai guru, golongan keenam yang saya lihat, waktu siang lahadnya kering kontang. Tatkala saya menggali semula kubur itu pada malam hari, saya lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya."

"Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," tambah ahli ibadah tadi lagi.

"Wahai guru, golongan terakhir yang saya lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?"

Maka ahli ibadah beristighfar dan menjawab, "Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah S.W.T. baik waktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Pengajaran:

Daripada Allah S.W.T. kita datang dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Sama-sama kita bermuhasabah dan menginsafi kelemahan diri. Semoga kita tergolong dalam hamba-hamba-Nya yang bertaqwa. Di akhirat kelak, penghuni syurga akan ditunjukkan kepada mereka keadaan neraka dan seksaan di dalamnya dan penghuni neraka akan ditunjukkan kepada mereka keadaan syurga dan kenikmatannya.

Tujuan dinampakkan kepada penghuni syurga akan dahsyatnya neraka supaya bertambah syukur mereka kepada Allah S.W.T.. Manakala para penghuni neraka apabila dinampakkan akan kenikmatan syurga maka bertambah penyesalan mereka.Masuk neraka itu sudah menyesal, diperlihatkan pula nikmat syurga yang mereka tidak akan dapat maka bertambah dan bertingkatlah penyesalan mereka. Bukan setakat tubuh badan kena seksa, batin juga menanggung derita.

Ya Allah, ampunkanlah dosa mereka yang telah pergi menemui Mu. Ampunkanlah dosa kami yang masih hidup dan menunggu untuk Engkau jemput...
Aamiin Aamiin Aamiin...

Takutkan Allah Taala


Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a.,

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada seorang lelaki sebelum kalian yang bersangka buruk dengan amalannya (dengan menyangka dia akan mendapat seksa yang buruk melaluinya), maka dia berkata kepada ahli keluarganya, 'Apabila aku mati, ambillah dan campakkanlah aku ke dalam laut pada hari yang panas.'

Lantas mereka melakukannya. Lalu Allah Taala memerintahkan para malaikat supaya membawakan rohnya.

Kemudian Dia berfirman, 'Apakah sebab yang mendorong kamu melakukan apa yang kamu telah lakukan ini?'

Lelaki itu menjawab, 'Tiada sebab yang mendorong saya melainkan kerana takutkan Mu.'
Lantas Allah Taala mengampuninya. (Hadis riwayat An Nasa'i dan Bukhari)

Pengajaran:

Antara ciri-ciri takutkan Allah ialah SENTIASA MERENDAH DIRI KEPADA-NYA.

UMAT ISLAM DILARANG MEMBAKAR MAYAT selepas kematiannya kerana perbuatan membakar makhluk ini hanya layak dilakukan oleh Allah Taala sahaja.

TIDAK MENANGGUHKAN PENYESALAN ATAS DOSA dan menzahirkan rasa takut kepada Allah Taala sehingga tibanya saat kematian.

(Dari HADIS QUDSI terbitan Telaga Biru)


Selalu menunda solat bererti menunda keperluan sendiri. Allah akan menunda terkabulnya doa, menahan hadirnya jodoh dan rezeki.
Tetapi, Dia tidak akan menunda MATI.

Wednesday, September 7, 2016

Kerana Sedekah 5 Gram Gelang Emas


"Eh, kamu sedekah apa Ren?" tanya Zerika kepada sahabatnya sebagai respons kepada seruan Ustaz Yusuf Mansur di Majlis Dhuha yang diselenggarakan di Bandar Lampung, Februari 2011.

"Aku ada wang beberapa ratus ribu rupiah, aku akan sedekahkan," jawab sahabatnya.

"Aduhai, aku hendak sedekah apa ya? Aku hanya membawa wang beberapa puluh ribu saja," fikir Zerika. Tiba-tiba dia teringat akan gelang emas seberat 5 gram yang sedang dipakainya. "Takkanlah hendak disedekahkan? Baru saja aku beli 2 lepas hasil dari gaji aku."

Agak lama juga Zerika berfikir. Sementara itu ramai orang menyedekahkan sesuatu ke atas hamparan kain yang disediakan pihak jawatankuasa. Ada yang bersedekah wang, telefon bimbit, jamtangan dan juga perhiasan.

Akhirnya Zerika sedar. "Dulu aku dilahirkan tak bawa apa-apa. Kalau aku mati pun tak bawa apa-apa juga," kata hatinya. Lantas dengan lafaz Bismillahirohmanirrohim, dia bangkit dari kerusinya dan menuju bentangan kain untuk menyedekahkan gelang emasnya.Dia memanjatkan doa, “Ya Allah, aku mohon kepada–Mu semoga aku dapat mengirim saudara-saudaraku untuk menunaikan umrah.”

Suaminya agak terkejut bila Zerika menceritakan hal tersebut kepadanya. Zerika beralasan, "Semua itu kan juga dari Allah. Saya kembalikannya kepada Allah. Semoga mendapat pinjaman yang lebih baik lagi."


Berbulan-bulan selepas kejadian itu, Zerika sudah melupakan sedekah gelangnya. Pada June 2011, tiba-tiba dia mendapat berita luar biasa dari tempat kerjanya. Untuk meningkatkan hasil jualan, pihak syarikat memberikan kemudahan kredit untuk Zerika membeli sebuah kereta baru mana bayaran ansurannya dilakukan oleh syarikat sendiri.

"Subhanallah…" Agak lama dia terdiam, termenung, menangis dan berfikir. Apakah ini keraana sedekah gelang 5 gram dulu?

Ternyata, kereta itu membantu jalan hidup keluarganya kemudian. Pada September 2011, suaminya meletak jawatan dan memulakan usahaniaga sendiri. Kereta Zerika itu memudahkan suaminya mencari nafkah. "Ya Allah, anugerah-Mu indah sekali,“ fikir Zerika penuh terharu, menyedari pengalaman dia dan suami.


Disember 2011, Zerika membeli sebuah vacuum cleaner yang disedekahkannya kepada masjid berdekatan rumah. Pada 2012, sasaran suku tahunan syarikat dapat dicapainya dengan mudah. Sebagai hadiahnya, dia mendapat bonus lumayan yang membolehkan dia membayar upah umrah untuk ibu saudara dan bapa saudaranya ke Baitullah.

Pada November 2012, Zerika meletakkan jawatan dari syarikat. Dengan itu dia harus meneruskan sendiri bayaran ansuran kereta berkenaan. Dan Alhamdulillah, setelah dihitung-hitung, ternyata selama ini syarikat telah membayarkan ansuran sekitar Rp 60 juta.

Maha benar Allah dengan firman-Nya: "Siapa yang mahu memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Allahlah yang menyempitkan dan melapangkan (rezki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.“ (Al–Baqarah ayat 245).

{Dikongsi dari Laman Ustaz Yusuf Mansur]




Rezeki Lapang Kerana Bantu Adik Beradik


Sebenarnya bila adik beradik bergaduh, akan hilang rahmat Allah dalam keluarga. Sebab itu penting menjaga hubungan dengan adik beradik.. Kalau kita tengok ada yang adik beradik susah, dan Allah beri kita rezeki lebih, bantulah adik beradik kita.Sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat. Itu yang nabi s.a.w anjurkan.

Ada seorang jutawan di Bangi bernama Haris yang berumur 40 lebih.Dia guna kekayaannya untuk membantu orang. Dia sering menasihatkan supaya jangan berkira dengan adik beradik. Bantulah mana yang memerlukan. Allah akan beri rezeki yang melimpah ruah. Salah satu punca hidup kita sempit ialah sebab kita putuskan hubungan silaturrahim dengan ahli keluarga.

Sedih bila melihat ada adik beradik yang tdiak bertegur sapa sampai bertahun-tahun.Sebenarnya kalau kita minta maaf kepada adik beradik walaupun kita tidak salah, Allah akan tinggikan darjat kita. Tidak hina orang yang meminta maaf. Bila kita cepat maafkan orang di dunia ini Allah mudah maafkan kita di akhirat nanti.

Ya, Allah, jadikanlah kami adik beradik dapat bersama di syurga nanti. Rapatkanlah kami hubungan kami adik beradik. Rahmatilah kami adik beradik. Ampunilah dosa adik beradik kami.Aamiin

Henti Tuding Jari Cermin Diri Sendiri


Kita dikejutkan dengan berita kematian pelajar yang jatuh dari tingkat 3 di sekolah. Kemudian kita dikejutkan lagi apabila ada pihak menyalahkan pihak sekolah dan rekabrntuk bangunan sekolah yang menyebabkan tragedi tersebut. Padahal kes itu berlaku kerana kes buli. Puncanya jelas, ada budak yang buang beg ke sisi tingkap bilik darjah itu.

Orang sekarang selalu menuding jari setiap kali berlaku sesuatu perkara yang buruk. Anak-anak tidak dididik dengan baik. Disebabkan sikap kurang ajar dan kerap membuat honar di sekolah, guru merotan sebagai cara untuk mendisiplin tetapi ibu bapa pula yang melenting tanpa cuba menyelidiki diri sendiri di mana silapnya.

Anak-anak jadi kacang hantu sebab ibu bapa yang derhaka, hanya pandai buat anak tetapi tidak mendalami cara mendidik anak. Alasannya, tidak ada masa, sibuk buat duit, kononnya demi kesenangan anak-anak dan keluarga. Anak-anak dibiarkan terabai. Pandai-pandailah jaga diri sendiri. Bagi ibu bapa, fokus utama ialah KERJAYA, PERNIAGAAN dan DUIT. Kebajikan anak-anak dikorbankan.

Anak-anak itu tidak tahu hala tuju hidup mereka, tidak faham untuk apa ibu bapa menaburkan wang ringgit ke atas mereka. Akibat pergaulan dan persekitaran, mereka dibutakan oleh gajet dan hiburan melampau. Tanpa pengawasan ibu bapa, anak-anak sekolah rendah, apa lagi sekolah menengah sudah giat dengan perlakuan seks yang ditiru dari laman pornografi di Internet.

Mereka memerlukan perhatian. Masalah anak-anak berpunca dari rumah. Kalau ibu bapa tidak reti mendisiplinkan anak-anak, jangan salahkan guru bila mengambil alih tugas itu.

Anak-anak yang terdidik jarang mengadu kepada ibu bapa bila dirotan oleh cikgu akibat "ternakal" sedikit. Mereka takut diri dipersalahkan dan mendapat hukuman tambahan dari ibu bapa di rumah

Yang menyulitkan pihak sekolah ialah anak-anak dari golongan yang bersikap angkuh. Terutama mereka yang ada "kabel" dengan penjawat awam dan jabatan kerajaan.

Adalah diharapkan pihak kerajaan dan juga swasta dapat bertindak segera memperbaiki sistem kerja supaya ibu bapa mempunyai masa berkualiti dengan anak-anak yang bakal menjadi modal insan untuk pembangunan negara masa hadapan.

Thursday, September 1, 2016

Jihad Bukan Ikut Fahaman Sendiri


Betapa benar kata-kata Al Marhum Syeikh Mutawalli Sya'rawi, mantan Menteri Waqaf Mesir.

Kembali Kepada Fitrah


Syukur Alhamdulillah. Buat pertama kali dapat menonton pertunjukan bunga api yang dilancarkan benar-benar di hadapan mata dari tempat tontonan istimewa.

Firman Allah "...Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti akan menambah (nikmat) kepadamu, ...." ( Surah Ibrahim ayat 7).

Pertunjukan bunga api yang dipersembahkan pada malam merdeka.

MERDEKA bererti bebas...

BEBAS dari penindasan
BEBAS dari kezaliman
BEBAS dari pecah amanah
BEBAS dari rasuah
BEBAS dari berputus asa
BEBAS dari mengharap redha manusia

Mari kita kembali kepada fitrah
Bahagia hakiki ada di sisi Allah


Jangan swastakan pendidikan anak-anak


Kita berdepan dengan penjajahan budaya, ekonomi, dominasi, globalisasi dan fahaman-fahaman yang sekilas seperti membawa kemajuan, padahal meminggirkan fungsi Allah dalam mengatur kehidupan seperti liberalisme, pluralisme dan anti syariah.

Umat Islam sudah kehabisan masa untuk terus membazirkan kekuatan-kekuatan yang masih tersisa ini seperti peluang dari sudut peruntukan undang-undang, kekuatan politik yang masih di tangan umat Islam, kekuatan bilangan majoriti penduduk Negara ini tersedut habis ke dalam silang sengketa perebutan kuasa dan harta. Menang sorak kampung tergadai.

Umat Islam harus sepakat meletakkan Islam mengatasi kepentingan lain sebagai pengisian utama kemerdekaan Negara agar kemerdekaan Negara benar-benar kemerdekaan yang hakiki iaitu apabila kita dapat menjalankan syariat dan hukum hakam Allah dalam kehidupan.