Thursday, December 16, 2010

Dingin Selesa Tanpa Pendingin Hawa

Bangun Awal.
Waktu paling dingin dalam sehari ialah di antara jam 4 dan 7 pagi. Bangun lebih awal dan lakukan sebarang kerja yang memerlukan lebih kudrat serta keringat.


Makan sarapan yang sejuk.
Buah-buahan segar, keju, yogurt dan jus buah-buahan memang sesuai. Jika anda terpaksa memasak, guna ketuhar gelombang mikro untuk mengelakkan penambahan haba di dalam rumah. Begitu juga dengan sajian makan tengah hari dan makan malam.


Elakkan kopi.
Hirup air putih sahaja sepanjang hari.


Tutup tingkap.
Tutup tingkap, langsir dan bidai bermula kira-kira jam 9 pagi dan biarkan ia tertutup sehingga jam 6 petang. Jika anda tinggal di rumah dua tingkat, buka sedikit tingkap di tingkat atas pada waktu siang untuk membolehkan udara panas keluar. 


Mandi lewat sedikit.
Selepas bangun tidur pada waktu pagi, tunggu sehingga suhu mula naik di rumah anda.  Mandi dengan air sejuk. Jangan lap badan, biarkan air berada di kulit dan rambut sehingga ia kering sendiri.


Pakai pakaian berwarna lembut.
Jangan pakai jean dan baju ketat. Pakai pakaian yang diperbuat daripada kain  kapas atau linen yang berwarna putih atau lembut.


Matikan alat-alat elektrik.
Televisyen, stereo, komputer rumah dan lampu menghasilkan haba. Bila tidak diguna, matikan semua alat-alat itu. Jangan tonton televisyen pada hari yang panas.


Guna kipas.
Kipas siling dan kipas mudah alih sentiasa berputar untuk menyejukkan kulit anda. Guna penyembur air halus untuk melembapkan kulit dan mendapatkan kesan dingin bila air tersejat.


Keluar dari rumah.
Di antara jam 2 dan 6 petang, keluar dari rumah dan pergi ke tempat-tempat awam yang mempunyai sistem pendingin hawa. Contoh pusat beli-belah, perpustakaan, muzium atau panggung wayang.


Tidur awal.
Jika keadaan selamat daripada sebarang pencerobohan, letakkan kipas di antara tingkap yang terbuka dan katil supaya udara malam yang lebih dingin boleh masuk.

Wargatua dan Senaman

Usia lanjut tidak boleh dijadikan alasan untuk berhenti bersenam. Senaman boleh mencegah atau melewatkan banyak penyakit dan hilang upaya yang dikaitkan dengan penuaan. Pada masa kini ramai wargatua dalam usia 60an yang masih giat bersukan. Pun begitu, setiap orang, tanpa mengira usia, harus melakukan empat komponen gerakan jasmani iaitu senaman ketahanan, latihan kekuatan, senaman imbangan dan senaman keanjalan/regangan.


Senaman ketahanan, juga dikenali sebagai aerobik meningkatkan pernafasan dan kadar denyutan jantung yang menambahbaikkan kesihatan jantung, paru-paru, otot dan juga sendi. Kehidupan seharian banyak melibatkan ketahanan stamina misalnya menaiki anak tangga. Contoh senaman aerobik ialah berenang, berjalan pantas, berlari, berbasikal, bermain badminton, tennis dan golf.    


Kekuatan otot menyusut apabila usia semakin tua. Namun ini boleh diatasi dengan melakukan latihan kekuatan yang membina otot. Otot yang kuat membolehkan seseorang melakukan kerja seharian tanpa bergantung pada bantuan orang lain di samping mengelakkan osteoporosis.
  

Senaman imbangan dan senaman keanjalan / regangan membantu mengelakkan seseorang wargatua daripada terjatuh yang mengakibatkan patah tulang. Ia juga memastikan kesihatan sendi.  


Senaman adalah selamat untuk wargatua. Mereka yang  mengidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, diabetes dan arthritis juga boleh bersenam di bawah pengawasan pakar. Bagi yang mengidap penyakit jantung, ujian ketahanan adalah diperlukan.


Untuk mengelakkan terlalu banyak tekanan dikenakan ke atas sendi dan otot, wargatua harus mula dengan senaman berimpak rendah seperti berjalan, berbasikal, berenang, yoga, taici dan Pilates sebagai permulaan selama 30 minit. Lakukannya sebanyak 3 kali seminggu.


Secara beransur-ansur tambahkan latihan kekuatan menggunakan pemberat dumbbell atau mesin kekuatan di gim. Tingkatkan juga stamina dengan melakukan latihan interval iaitu berjalan pantas / berjoging yang diselang-selikan dengan berjalan perlahan selama lima minit setiap kali.   Yoga dan Pilates boleh diteruskan sebagai regim senaman keseluruhan badan.


Dalam pada itu pemanasan badan sebelum bersenam dan penyejukan selepasnya tidak harus diabaikan. Tanpanya wargatua boleh tercedera. Waktu paling baik untuk bersenam ialah pada waktu awal pagi atau lewat petang ketika cuaca agak dingin.


Senaman tidak boleh dilakukan sekiranya wargatua itu menghidap selesema, flu atau penyakit lain. Segera berjumpa doktor jika berasa mual, sakit dada, sukar bernafas atau pening kepala. Sakit yang mengambil masa lebih dari dua minggu untuk sembuh memerlukan seseorang wargatua kembali memulakan senamannya sama seperti waktu  awal dahulu secara perlahan-lahan. 


Untuk menikmati faedah jangka panjang dan membantu mengekal motivasi, program senaman harus mudah, , mampu memenuhi keperluan kesihatan dan matlamat dan menggembirakan.

Tuesday, December 14, 2010

TAKNAK Hayat Singkat, Menderita Lama


Hidup insan mesti melalui berbagai peringkat. Ketika sedang hamil, ibu-ibu sangat mengambil berat tentang pemakanan kerana hendak memastikan anak yang bakal lahir sihat dan sempurna.


Setelah dilahirkan sehingga menjelang remaja, anak dibelai penuh kasih sayang dan penjagaan kesihatan terbaik. Pemakanan seimbang, cukup riadah dan bersikap positif diutamakan.


Menjelang usia dewasa individu mula memburu ilmu, bekerja, mengejar pangkat dan kedudukan, serta mencari pasangan bagi membina hidup bahagia di samping anak-anak tercinta. 


Pun begitu banyak cabaran yang menanti. Dalam kesibukan urusan seharian, gaya hidup yang sihat diabaikan. Dalam dunia serba pantas, sukar bagi individu itu hendak memastikan pengambilan makanan berkhasiat. Walaupun umum tahu keburukan makanan segera, namun mereka mudah terpikat disebabkan iklan besar-besaran di media masa, kononnya atas nama “nilai untuk wang”.  


Lama kelamaan kesihatan dan kelincahan yang dinikmati penuh keriangan satu ketika dahulu   merosot secara perlahan-lahan tanpa disedari. Perut kempis menjadi semakin “mancung.”Pengabaian menyebabkan diri terlantar akibat menderita berbagai jenis penyakit sedangkan ketika di hujung usia hidup sepatutnya lebih positif dan bahagia.


Masalah fizikal, sosial dan emosi sering mengganggu selera atau mungkin menjejaskan keupayaan membeli dan menyediakan makanan yang seimbang. Menjelang usia 50 masalah dental menyebabkan individu memilih makanan lembut yang mungkin tidak mengandungi khasiat secukupnya bagi memastikan kesihatan optimum. Oleh itu nutrisi perlu diubah mengikut tahap usia. Bagi mendapatkan semula keperluan tubuh supaya dapat menjalankan fungsi dengan baik, kita digalakkan mengambil suplemen.


Suplemen yang diperlukan adalah yang berasaskan tumbuhan yang banyak mengandungi antioksidan untuk melindungi dan memperbaiki sel-sel. Juga suplemen khusus untuk mata, jantung, sendi, tulang dan menopos. Multivitamin dengan mineral, terutama kalsium dan asid folik juga diperlukan.


Pengambilan suplemen yang lengkap membolehkan individu berusia menjalani hidup dengan lebih yakin. Ketika ini hayat rakyat Malaysia semakin panjang, melebihi 65 tahun. Ini adalah disebabkan kemudahan perubatan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Oleh kerana itu ramai pesara kini hidup lebih aktif dengan menyertai badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sukarelawan atau bergiat di bidang perniagaan. 

Wednesday, December 8, 2010

Kecurian Identiti

Fikirkan senario ini: Anda yang sedang berada di luar negara telah menerima satu panggilan telefon daripada seseorang yang mengaku dia adalah pegawai daripada bank anda. Kononnya pihak bank hendak menaikkan had kredit ke atas kad kredit anda. Dia meminta nombor kad kredit anda. Anda mula terfikir, jika benar dia pegawai bank itu, tentulah pihak bank sudah mempunyai semua butiran yang mereka perlukan. Jika anda benar-benar memberikan dia butiran itu, anda mungkin menjadi salah seorang mangsa kecurian identiti. Kecurian sebegini boleh mengakibatkan bermacam masalah seperti anda lewat membayar ansuran pinjaman kereta yang anda tidak pernah pun memohon, atau diminta membayar bil kad kredit yang anda tidak pernah buat.

Mana-mana dokumen yang memerlukan maklumat peribadi dan kewangan seperti nama, alamat, nombor KP, tarikh lahir, akaun bank, butiran kad kredit atau data pengenalan diri yang lain, semuanya boleh dicuri. Pencuri ini membuka barisan kredit baru, mengakses akaun bank dan malah memohon dokumen rasmi seperti lesen memandu atau pasport  – semuanya dengan menggunakan nama anda.

Urusan penipuan yang lazim berlaku ialah permohonan untuk kad pengenalan, kad kredit, pinjaman bank, pembelian telefon bimbit dan kenderaan serta jual-beli tanah.

Masalah utama ialah salinan foto dokumen seperti kad pengenalan sukar untuk disahkan keasliannya. Lagipun gambar dalam salinan foto KP agak kurang jelas. Dengan kerjasama sindiket luar, malah ada juga orang dalam, penipu boleh menggunakan KP anda untuk meminjam wang atau membeli kenderaan.  

Cara identiti dicuri

Penggeledah tong sampah: Dengan menggeledah tong sampah sebarang dokumen yang mengandungi maklumat peribadi seperti nama, alamat, atau nombor kad kredit atau akaun bank boleh diguna untuk mencuri identiti. Identiti boleh dibina seperti teka silangkata. Keratan ATM mungkin tidak mengandungi maklumat peribadi seperti nama dan alamat tetapi yang
pencuri perlu lakukan ialah mengambil bil-bil lain dari dalam tong sampah dan menyatukan semua maklumat yang ada.

Penggeledah peti surat: Apabila bank komersial memperbaharui kad kredit melalui pos, kadang-kadang ia dilarikan terlebih dahulu sebelum tiba ke tangan tuannya. Pencuri meletakkan tandatangannya di belakang kad tersebut. Disebabkan ada tempoh berselang di antara masa ia dicuri dengan masa pemegang kad menyedari akan kehilangannya, banyak perkara buruk telah berlaku. Ada juga pencuri yang memohon pertukaran alamat selepas mencuri surat mangsa.

Memancing maklumat. Jika anda menerima surat, mesej SMS, panggilan telefon atau emel dari pihak yang mendakwa wakil bank atau syarikat utiliti – waspadalah. Mereka membuat surat atau emel yang hampir sama seperti surat atau emel rasmi. Bunyinya sangat serius atau menarik daripada sudut pemasaran, menyatakan kononnya anda telah memenangi sesuatu dan untuk mengesahkan maklumat itu, mereka memerlukan nombor kad pengenalan anda ataupun tarikh lahir anda.

Ragut. Bila beg diragut atau dompet dicuri, pencuri mendapat dokumen mangsa secara langsung. Sindiket boleh mengupah seseorang untuk menyamar sebagai diri mangsa dan melakukan urusan yang berkaitan dengan bank.

Penipuan dalam talian menggunakan emel, laman web, chat room atau papan mesej. Penipuan secara phishing dan pharming mengggunakan emel dan laman web tiruan untuk memperdaya penerima supaya memberikan maklumat peribadi seperti data kad kredit dan kata laluan.

Phishing sering dilakukan dengan menghantar emel secara pukal dari syarikat atau institusi kewangan yang nampaknya macam sah dan anda biasa lihat. Emel itu selalunya cuba mendapatkan tindak balas emosi terhadap sesuatu krisis. Lazimnya mereka meminta maklumat sensitif, kadangkala mengarahkan si penerima pergi ke laman web palsu. Laman web itu, seperti juga emel, nampak macam sah dan adakalanya, URL telah disembunyikan supaya alamat web itu kelihatan seperti yang sebenar. Disebabkan emel dan laman webnya nampak seperti sah, pencuri  berharap sekurang-kurangnya sebahagian daripada penerima boleh diperdaya supaya menyerahkan data mereka.

Laman cermin ini yang mengandungi logo dan visual yang serupa serta alamat URL yang sama dengan syarikat sebenar, boleh dibuat dan dihoskan oleh sesiapa sahaja di dunia ini. Bila pelanggan yang tidak menyedari apa-apa memasukkan pengenalan log masuk dan nombor PIN, maklumat akan dikumpulkan. Bagaimanapun, institusi kewangan telah mengambil langkah keselamatan seperti menghantar PIN tambahan ke telefon anda atau menghendaki anda memasukkan nombor tambahan sebagai ciri keselamatan tambahan.

Pencuri juga menggunakan virus yang memantau aktiviti Internet anda. Ia bertindak bila anda melayari laman tertentu dengan mengalihkan anda ke laman web tiruan atau memerangkap ketukan kekunci anda. Tanpa perlindungan virus, anda mungkin tidak tahu kod jahat yang sedang menghuni dalam pemacu keras anda.

Adakah anda seorang mangsa?

Jika anda kehilangan dokumen berkaitan perbankan, laporkan hal itu pada pengeluar. Sebagai contoh, jika anda membuat laporan polis pada hari ini dan kemudian anda mendapati bahawa satu permohonan pinjaman telah dibuat di atas nama anda kira-kira pada masa yang sama, liabiliti anda adalah terhad. Anda lebih terlindung dan boleh membuktikan bahawa ia bukan salah anda.

Jika anda kehilangan kad pengenalan, cepat laporkannya pada polis dan simpan laporan itu selama mana yang boleh kerana anda tidak tahu bila anda perlu menggunakannya sebagai bukti.

Jika anda menerima penyata kad kredit bulanan dan mendapati bahawa terdapat urusniaga palsu, segera berjumpa pihak bank. Secara tipikal, anda tidak bertanggungjawab mulai saat anda melaporkan kehilangan itu. Bagaimanapun, sebelum sebarang laporan dibuat, liabiliti biasanya terletak di bahu pemegang kad. Ini adalah untuk mengelakkan pakatan sulit atau urusniaga palsu yang dilakukan oleh pemegang kad sebenar.        

CARA MENGELAK KECURIAN IDENTITI

DI LUAR TALIAN

Lupuskan dokumen anda dengan cermat

Pastikan dokumen penting yang mengandungi maklumat sensitif seperti nombor kad pengenalan dan kad kredit, alamat dan nombor telefon bimbit disiat halus sebelum dilupus. Jika anda telah membatalkan kad kredit, jangan hanya dipotong dua – musnahkan juga cipnya untuk mengelakkan penggunaan tanpa izin.

Jangan mudah memberi maklumat menerusi panggilan telefon

Jika mereka mengatakan ia adalah sebahagian daripada panggilan mesra pengguna, berhati-hatilah. Jika anda berasa tidak selesa, anda boleh minta untuk hadir sendiri di bank. Bagaimanapun, jika anda melaporkan kehilangan atau meminta kenaikan barisan kredit yang kekal, mereka mungkin menelefon dan meminta nombor kad pengenalan dan tarikh lahir untuk pengesahan selanjutnya. Kecuali anda sendiri yang membuat panggilan itu, bank tidak akan meminta bentuk pengesahan yang lain, seperti nama ibu anda sebelum berkahwin. 

Periksa penyata anda

Simpan resit urusniaga supaya anda boleh selaraskannya dengan apa yang terdapat pada penyata bagi memastikan tiada urusniaga palsu yang berlaku.

Pantau kad kredit anda

Bila membuat pembayaran, lihat ke mana kad anda dibawa, terutama di restoran. Yang paling baik ialah anda pergi sendiri ke kaunter juruwang dan membuat pembayaran itu.

Di mana yang mungkin, minta salinan yang pihak saudagar tidak perlukan. Bila anda daftar masuk ke hotel, salinan awal akan dicetak. Salinan ini akan memaklumkan pihak hotel had yang mereka boleh caj anda. Selepas salinan kedua dan terakhir dicetak ketika anda daftar keluar, mintalah salinan awal itu daripada mereka supaya anda boleh musnahkannya dengan cermat. 

Lakukan Semakan Kredit Secara Berkala

Semak status kredit anda secara berkala untuk memastikan semua pinjaman memang hak anda yang sah seperti yang anda sedia maklum. Bawa MyKad ke Ibu Pejabat Bank Negara di Kuala Lumpur di mana anda boleh mendapatkan laporan kredit anda secara percuma. Bagaimanapun, laporan kredit anda hanya boleh diperolehi sekali dalam setiap 12 bulan. Untuk maklumat lanjut sila layari http://creditbureau.bnm.gov.my/. Individu juga boleh membuat semakan percuma dengan agensi rujukan kredit CTOS Sdn Bhd. Untuk maklumat mengenai prosiding kebankrapan, dakwaan dan saman, perisytiharan jualan, penggulungan syarikat, penggulungan Pengarah atau petisyen syarikat, maklumat syarikat dan perniagaan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan maklumat daripada carian dengan Jabatan Pendaftaran Negara, isikan borang (disediakan di  http://www.ctos.com.my) dan disahkan oleh pesuruhjaya sumpah, serta bawa ia bersama-sama dengan MyKad ke pejabat CTOS.

Awasi mel anda

Sentiasa pastikan bahawa mel seperti penyata perbankan dan kad kredit tiba dengan selamat ke tangan anda. Jika tidak, hubungi pihak berkenaan dengan segera. Ambil sendiri dokumen penting seperti kad dan buku cek baru daripada bank. Jika anda tahu anda terpaksa keluar  rumah buat beberapa lama, dapatkan seseorang untuk membantu anda memperolehi mel itu semasa ketiadaan anda, atau minta pihak pejabat pos untuk menahannya bagi pihak anda dengan cara menulis kepada jabatan perkhidmatan pelanggan Pos Malaysia. Untuk maklumat lanjut telefon 1-300-300-300.

Jaga dokumen anda

Jangan biarkan barangan berharga tanpa pengawasan, terutama dalam kereta. Jika anda membuat salinan foto ke atas kad pengenalan untuk disertakan dengan sebarang permohonan, pastikan semua salinan yang dibuat itu diperhitungkan. Buat dua palang serong selari dan nyatakan ia adalah untuk kegunaan bank sahaja.

DALAM TALIAN

Padam cache anda bila melakukan e-perbankan

Pencuri tidak dapat mengesan laman web mana yang anda telah tuju dan merasa sukar untuk memautkannya dengan laman serupa ciptaan mereka sendiri yang palsu.

Kerap lakukan pembersihan antivirus

Pasang dan kemaskini secara tetap program dan perisian antivirus. Perisian popular seperti   Symantec, McAfee, TrendMicro atau Internet Security akan melindungi komputer anda. Pasang perlindungan firewall, perisian antivirus dan penapis antispam yang bagus. Program dengan kemampuan antivirus dan antispyware boleh mengesan dan menghapuskan ancaman jenayah yang mungkin bersembunyi di mesin anda.

Jangan buka emel dari sumber yang tidak dikenali

Sebaik sahaja anda membuka, pennyangak boleh memasukkan perisian jahat tertentu yang akan menyalin maklumat dari komputer anda.

Periksa keselamatan berkali-kali bila melakukan pembelian menggunakan kad kredit

Berhati-hati bila membuat pembelian menerusi telefon atau internet, terutama bila anda diminta memberikan pengesahan nilai atau kod kad tiga digit (CVV atau CVC) yang dicetak di belakang kad kredit anda. Jika anda membuat bayaran menerusi sistem Visa dan MasterCard yang sah, mereka mempunyai gerbang keselamatan tambahan, yang akan dienkripkan. Bila anda memasukkan kod CVV untuk pengesahan, ini memang selamat kerana saudagar itu sendiri tidak mempunyai akses ke atas nombor CVV anda dan ia tidak akan muncul dalam rekod mereka.

Jangan beri data menerusi telefon kerana talian itu tidak dienkrip. Lakukan urusniaga hanya menerusi laman web yang selamat. Jika tidak, tiada perlindungan sebenar dan pihak penipu boleh mengalahgunakan maklumat itu.

Jika anda mempunyai banyak kad kredit, gunakan kad dengan had kredit paling kecil untuk mengelakkan kehilangan jumlah wang yang besar sekiranya penipuan berlaku.

Jangan lakukan urusniaga kewangan menerusi wi-fi

Jika anda mengakses laman web perbankan, pastikan anda melakukannya dengan sambungan yang selamat. Jangan melakukannya di kafe dan restoran yang menawarkan sambungan internet wayarles percuma. Ini sangat berbahaya kerana terlalu banyak pencurian menerusi internet yang dilakukan oleh pihak luar. Bila anda memasukkan maklumat, mereka boleh merakam ketukan kekunci anda menerusi sambungan wayarles. Maklumat ini boleh diguna setelah anda log keluar.

Jangan guna nombor maklumat peribadi sebagai kata laluan

Jangan gunakan nombor seperti nombor KP, tarikh lahir, atau nombor lesen memandu yang mudah dikesan oleh pencuri ketika anda membuat kata laluan untuk laman web e-perbankan. Bila dompet anda diragut, peragut boleh mencuba salah satu nombor itu untuk membentuk kata laluan bagi memecah masuk. Cipta nombor anda sendiri, atau guna nombor yang tidak ada dalam dompet anda.

Simpan maklumat peribadi dan kewangan yang sensitif dalam fail dan direktori dilindungi kata laluan; gunakan kata laluan yang kukuh dan tidak ketara.

Simpan nombor telefon yang penting dengan selamat

Nombor telefon adalah penting termasuk nombor yang berkaitan dengan dokumen peribadi. Talian khidmat pelanggan kad kredit dan pengeluar ATM  harus disimpan di tempat yang selamat bagi memudahkan anda mencarinya. Selain menyimpan nombor-nombor ini dalam telefon bimbit, anda boleh juga membuat salinan pendua yang dicetak pada kad kredit anda. Pastikan semua salinan itu disimpan dengan selamat. 

Hati-hati dengan apa yang anda hantar dalam emel dan telefon bimbit

Kecuali anda benar-benar pasti laman web itu sah dan selamat, jangan berikan nombor Kad Pengenalan anda melalui laman web. Juga, jangan hantarkannya melalui emel atau SMS.

Saturday, December 4, 2010

Masa Tidur Jejaskan Berat Badan

serenemaklong.blogspot.com

Selain diet dan senaman, kita patut juga mengambil berat mengenai tabiat tidur sekiranya kita sedang cuba mengawal berat badan.

Satu kajian telah menganalisis data yang yang menjejaki berat badan serta pola tidur 276 dewasa (umur purata, 38 tahun). Dalam tempoh enam tahun, berat badan mereka yang melaporkan jangka masa tidur paling kurang (5 hingga 6 jam semalam) dan paling banyak (9 hingga 10 jam semalam) telah naik, secara purata, 8 hingga 9 paun, berbanding kenaikan 4 paun bagi mereka yang tidur 7 hingga 8 jam.  

Mereka yang mempunyai jangka masa tidur yang singkat dan juga yang terlampau lama cenderung menjadi obes atau mempunyai peratus kenaikan lemak badan lebih tinggi berbanding yang tidur dalam jangka masa sederhana.

Para penyelidik mendapati bahawa masa yang digunakan untuk tidur semakin menurun bagi sebilangan orang daripada semua peringkat umur. Di Amerika Syarikat, hampir satu pertiga orang dewasa menyatakan mereka kini tidur kurang daripada 6 jam setiap malam.

Keseluruhannya, berat badan orang Amerika sedang meningkat, dengan 66% dewasa dikategorikan sebagai gemuk atau obes.

Data mengenai jangka masa tidur adalah berdasarkan maklum balas orang ramai dalam kajian soalselidik.  
    
Dapatkan maklumat kajian ini dalam Sleep keluaran 1 April 2008. Sila layari juga sesawang berikut  www.sleepfoundation.org dan www.nhlbi.nih.gov/health.

Tuesday, November 23, 2010

Kek Cawan Vegetarian

serenemaklong.blogspot.com

Resipi Kek Cawan Vegetarian ini saya perolehi daripada sebuah akhbar Inggeris tempatan. Keadaannya yang tidak mengandungi bahan bersumber haiwan menjadikannya istimewa berbanding kek cawan biasa.

Bahan-bahannya:
240g tepung biasa
3 ½ sudu teh serbuk penaik
2 sudu teh susu tepung
180g marjerin
145g gula perang lembut
½ sudu teh esen vanila
145 ml susu segar
140g buah-buahan campuran

Caranya:
Ayak tepung, serbuk penaik dan susu tepung bersama-sama.
Pukul marjerin dan gula perang sehingga ringan.
Masukkan esen vanila dan perlahan-lahan tuang susu segar ke dalamnya. Terus memukulnya sehingga bergaul rata.
Kaupkan bahan-bahan kering ke dalamnya.
Masukkan buah-buahan campuran.
Sudukan campuran kek ini ke dalam cawan-cawan kertas yang diisikan ke dalam dulang berbentuk cawan.
Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 160 darjah C selama 15 minit atau sehingga kekuningan dan telah masak bila ditusuk dengan lidi pencucuk.  

Sunday, November 21, 2010

Membuang Lemak Badan

serenemaklong.blogspot.com

Bolehkah pembuangan lemak badan dilakukan menerusi pengawalan diet? Perlukah ia disertai  gerak senaman? Apakah gerak senaman kardio paling efektif? Berapa lama saya patut melakukannya? Ini adalah soalan yang sering diajukan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Menurunkan berat badan secara berdiet sahaja akan gagal kerana angka yang ditunjukkan oleh alat penimbang bukan pembuangan lemak yang sebenar. Yang susut hanya air dalam badan. Sebaik sahaja tempoh diet itu tamat, badan akan menjadi lebih gemuk berbanding  sebelumnya.

Gerak senaman kardio yang efektif bergantung pada jantung dan kadar degupan. Tidak kira apa jenis senaman kardio yang dilakukan sama ada bermain sukan lasak, menari aerobik, berjoging atau berjalan pantas, yang penting ialah meningkatkan kadar pembakaran kalori menerusi peningkatan kadar degupan jantung. Ini bererti lebih keras intensiti senaman, lebih pantas degupan jantung, lebih banyak pula kalori yang dibakar. Pastikan gerak kerja fizikal itu cukup berat untuk mendapatkan kesan yang diharapkan.  

Gerak senaman adalah satu susunan aktiviti yang boleh diukur dan dicatatkan. Sama ada hendak menurunkan berat badan atau mencergaskan diri bagi sesuatu kejohanan, program gerak senaman yang berstruktur mempunyai sasaran tetap yang perlu dilakukan hingga selesai dan diperbaiki. Inilah cara untuk mengukur kemajuan.

Jika berbadan gemuk dan ingin membuang lemak menerusi permainan futsal atau bola jaring, matlamat yang dihajati tidak akan dapat dicapai kerana penglibatan fizikal yang diperlukan tidak cukup berat. Seseorang yang tidak berdaya mengejar bola tidak akan kerap menerima tendangan dan lemparan bola daripada rakan sepasukan. Keadaan ini menyukarkan usaha individu yang hendak meningkatkan kadar degupan jantung dengan intensiti yang berat serta kerap bagi membakar kalori.

Bertinju, berdayung, mendaki tembok / dinding batu, berbasikal, bermain tenis, badminton atau skuasy adalah jenis sukan yang sangat interaktif dan mencabar diri. Tempoh aksi keras dalam sukan jenis begini sudah cukup untuk mendorong pembuangan lemak, dengan syarat seseorang itu melibatkan diri sepenuhnya.

Jika seseorang itu mempunyai masa yang terhad untuk ditumpukan ke atas gerak senaman,  intensiti gerak kerja mesti ditingkatkan dengan cepat ke zon 60% hingga 80% kadar degupan jantung maksimum. Dalam julat kadar degupan ini, kalori yang paling banyak dibakar untuk mendapatkan tenaga adalah dari simpanan lemak tubuh. Bagi seseorang yang baru mula bersenam, jika degupan jantungnya naik turun secara tidak menentu, ini adalah kerana jantungnya masih belum mempunyai disiplin yang dimiliki oleh seseorang pelari marathon. Perkara ini tidak perlu dikhuatiri kerana dengan senaman berterusan, lambat laun degupan jantung yang betul boleh dicapai.

Salah satu kaedah dalam program penurunan berat badan yang biasa digunakan ialah latihan interval. Ia membabitkan pecutan pantas kardio yang singkat disusuli oleh gerak kerja  berintensiti rendah. Kedua-duanya dilakukan secara berselang-seli sebanyak beberapa pusingan. Ia boleh diguna untuk larian, mengayuh basikal atau apa sahaja yang menaikkan paras degupan jantung.

Satu contoh ialah berjalan pantas / berlari pecut selama lima minit, diikuti berjalan perlahan / berlari-lari anak selama lima minit pula. Ini dilakukan berulang-ulang selama 45 minit hingga  satu jam. Penyelidikan yang dijalankan oleh Kolej Sukan Perubatan Amerika mendapati bahawa lebih banyak kalori dapat dibakar bila melakukan gerak pecut dalam tempoh singkat berbanding latihan ketahanan (endurance) yang panjang.

Latihan interval bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menurunkan berat badan dan  mungkin juga tidak sesuai untuk semua orang. Terutama jika individu itu mengalami kecederaan atau ketidakupayaan fizikal. Nasihat doktor hendaklah diperolehi sebelum memulakan apa-apa rutin gerak senaman.

Apapun, program pengambilan makanan yang berkhasiat lagi terkawal patut seiring dengan gerak senaman. Pencapaian berat badan unggul memerlukan masa dan perubahan gaya hidup. Tubuh yang sasa dan cantik boleh menjadi milik anda jika terus konsisten dengan apa yang dilakukan.          

Khasiat Ulam (Bahagian 4)

Ulam adalah makanan pembuka selera yang istimewa dan boleh dipelbagaikan cara menghidangnya. Makanan kaya khasiat ini lazimnya dimakan segar atau dicelur seketika sahaja supaya zatnya tidak hilang.   

KACANG PANJANG
Vigina sinensis

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 33.0 kalori
Lembapan - 91.2 %
Protein - 2.1 gram
Lemak - 0.9 gram
Karbohidrat - 4.0 gram
Serat - 1.4 gram
Abu - 0.4 gram
Kalsium - 61.0 miligram
Fosforus - 33.0 miligram
Besi - 5.0 miligram
Natrium - 120.0 miligram
Kalium - 53.0 miligram
Beta Karotena - 513.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 86.0 mikrogram
Tiamin (B1)- 0.1 miligram                                         
Riboflavin (B2) - 0.13 miligram
Niasin - 0.6 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 21.9 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Kacang panjang dimakan mentah atau dicelur dan dipotong bila dihidang. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

PERIA
Momordica charantia

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 16.0 kalori
Lembapan - 94.5 %
Protein - 0.8 gram
Lemak - 0.1 gram
Karbohidrat - 2.9 gram
Serat - 0.9 gram
Abu - 0.8 gram
Kalsium - 56.0 miligram
Fosforus - 10.0 miligram
Besi - 6.1 miligram
Natrium - 17.0 miligram
Kalium - 116.0 miligram
Beta Karotena - 140.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 23.0 mikrogram
Tiamin (B1) - 0.08 miligram
Riboflavin (B2) - 0.07 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 53.0 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Jenis panjang, sebelum dimakan, disyorkan potong halus sebelum direbus. Bagi peria katak, rebus bulat-bulat dan potong untuk dihidang. Kedua-dua jejnis dimakan dengan sambal belacan.

PETAI
Parkia speciosa

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 124.0 kalori
Lembapan - 69.0 %
Protein - 10.0 gram
Lemak - 1.8 gram
Karbohidrat - 16.9 gram
Serat - 1.0 gram
Abu - 1.3 gram
Kalsium - 126.0 miligram
Fosforus - 20.0 miligram
Besi - 3.4 miligram
Natrium - 80.0 miligram
Kalium  - 2260.0 miligram
Tiamin (B1) - 0.15 miligram
Asid Askorbik (Vit. C) - 32.7 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Buah muda dimakan mentah atau dimasak bersama sambal tumis. Pucuk muda dan tangkai bunga boleh juga dimakan sebagai ulam.

TERUNG       
Soanum melogena

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 30.0 kalori
Lembapan - 91.2 %
Protein - 1.7 gram
Lemak - 0.1 gram
Karbohidrat - 5.6 gram 
Serat - 1.0 gram
Abu - 0.4 gram             
Kalsium - 15.0 miligram
Fosforus - 20.0 miligram
Besi - 0.6 miligram
Natrium - 9.0 miligram
Kalium - 55.0 miligram
Beta Karotena - 90.0 mikrogram
Aktiviti Vitamin A - 15.0 mikrogram
Riboflavin (B2)  -  0.05 miligram
Niasin  -  0.7 miligram
Tiamin (B1) -  0.07 miligram
Asid Askorbik (Vit C) - 18.4 miligram 

Bahagian dan cara dimakan
Selain dimasak, terung direbus bulat-bulat sehingga lembut dan dipotong sebelum dihidang. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

KUNYIT MUDA
Curcuma Domestica

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga -  335.0 kalori
Lembapan - 14.2 %
Protein - 2.3 gram
Lemak - 5.0 gram
Karbohidrat - 70.2 gram
Serat - 3.2 gram
Abu - 5.1 gram
Kalsium - 146.0 miligram
Fosforus - 284.0 miligram
Besi - 18.6 miligram
Beta Karotena -  30.0 mikrogram
Aktiviti Vit. A - 5.0 mikrogram
Niasin - 2.3 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Kunyit mudah boleh dimakan mentah bersama sambal belacan dan sesuai dibuat asam cuka
air.

LENGKUAS
Languas galanga

Khasiat bagi 100 gram bahagian yang boleh dimakan:
Tenaga - 4.0 kalori
Lembapan - 89.0 %
Protein - 0.9 gram
Lemak - 0.7 gram
Karbohidrat - 7.4 gram
Kalsium - 25.0 miligram
Besi - 2.1 miligram

Bahagian dan cara dimakan
Umbut dan sulur muda lengkuas boleh dimakan terus atau direbus. Sesuai dimakan dengan sambal belacan.

Sumber: Khasiat Ulam terbitan FAMA

Friday, November 19, 2010

Ketahui Peranan Produk Untuk Rambut

serenemaklong.blogspot.com

Rambut kerinting mengerbang, rambut kejur bagai berus, rambut halus kusut masai, rambut lurus nipis …… bagi wanita ada sahaja yang tidak kena dengan rambut! Mereka mahu mengurus  rambut masing-masing tetapi tidak pasti apa patut diguna. Mari kita lihat apa yang ada di pasaran dan fungsi produk itu.   

Perapi bilasan
Sebelum perapi tanpa bilas dan masker rambut dicipta, perapi bilasan diguna untuk “menjinakkan” rambut kejur yang mengerbang. Ia dibiarkan merapi  rambut selama 30 saat, kemudian dibilas sebersih-bersihnya untuk mengawal kusut dan meningkatkan kilauan.

Perapi tanpa bilas
Kalau tidak mempunyai banyak masa untuk membilas syampu dan perapi biasa sampai dua kali, selepas rambut disyampu, sikatkan perapi tanpa bilas menerusi helaian rambut dan biarkan rambut kering sendiri. Perapi tanpa bilas mempunyai fungsi yang sama dengan perapi bilasan biasa iaitu untuk melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Jika rambut kerap ditiup kering, atau jika anda merancang hendak bersantai di pantai, jangan lupa menggunakan produk ini.

Serum rambut
Serum rambut berfungsi dengan cara yang sama seperti perapi tanpa bilas, iaitu membentuk lapisan pelindung pada helaian rambut untuk menjadikannya lebih licin dan berkilau. Namun ia tidak melindungi rambut daripada kerosakan akibat cahaya matahari. Ia dianggap sebagai produk penggaya, bukan perapi rambut.

Masker rambut
Masker rambut perlu diguna sekurang-kurang selama 20 minit untuk merapi rambut secara mendalam. Jika rambut kerap ditiup kering, dikerinting dan diwarnakan, rambut perlu dijaga lebih rapi untuk mengelakkan hujung bercabang dan rambut rapuh.

Menggunakan masker rambut pada setiap minggu akan menguatkan helaian rambut dengan protein. Ia juga mengembalikan lembapan yang hilang dengan menghidrat bahagian rambut yang kering.

Catatan:
Harus diingat bahawa perapi boleh melemahkan rambut yang halus. Oleh itu, gunakan sedikit sahaja di bahagian hujung rambut, bukan di kulit kepala.