SALAM

Wednesday, August 3, 2011

Kemasan Lantai Dan Dinding

serenemaklong.blogspot.com





Kemasan Lantai



Sukar menentukan kemasan lantai ruang dapur yang benar-benar sesuai dengan kehendak diri. Contohnya, lantai kayu memang cantik, menarik dan selesa dipijak namun kawasan sekitar sink akan terjejas apabila kerap terkena percikan air. Kemasan vinil tidak tahan lama seperti bahan asli lain namun dari segi kos dan proses pemasangan vinil lebih murah serta mudah ditukar ganti.

Jubin kerap menjadi pilihan utama. Jenis yang bertekstur disyorkan kerana kurang licin. Jubin bersepuh lebih sesuai untuk dinding.

Jubin lantai dikatakan mempunyai kekuatan mekanikal lebih tinggi berbanding jubin dinding. Justeru, jangan guna jubin dinding sebagai kemasan lantai walaupun jubin lantai boleh digunakan pada dinding.

Jubin Seramik Bersepuh paling lasak dan tidak telap air. Pemasangannya tidak perlu dilapisi bahan pelindung.
  • Tidak perlu penjagaan rapi.
  • Dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dan murah.
  • Boleh didapati dalam pelbagai warna dan corak.
  • Keras dipijak tetapi licin apabila basah.
  • Jarak antara jubin sukar dibersihkan.
  • Licau berwarna terang boleh menjejaskan pembentukan suasana.

Terracotta – diperbuat daripada tanah liat dan tahan lasak. Permukaannya yang bertekstur menyebabkan ia sesuai dipasang di ruang dapur.
  • Lebih panas.
  • Merangkumi pelbagai warna, bentuk, tekstur dan ukuran.
  • Lazimnya dilapisi dengan bahan kalis air dan kotoran.
  • Mudah poros dan cepat kotor jika tidak disaluti bahan pelindung.
  • Mahal.

Kayu – tona warna dan iranya yang menawan mengundang suasana menarik. Pastikan ia dilapisi dengan betul supaya tahan lama.
  • Beragam warna, corak dan tekstur.
  • Tahan lama dan mudah dijaga kalau dilapisi dengan baik.
  • Dapat diseragamkan dengan kabinet kayu dan permukaan kerja.
  • Jika basah hanya sebilangan lapisan akan bertahan.
  • Perlu dijaga dan digilap selalu untuk mengekalkan serinya.

Batu Loh – sangat digemari kerana rupa bentuknya yang menawarkan gaya asli. Pilihan warnanya daripada kelabu kepada hijau dan ungu. Lazimnya ia dipotong menjadi kepingan besar seperti jubin.
  • Berbilang warna dan ukuran.
  • Kemasan licin dan semula jadi kasar.
  • Tahan lama dan kalis air.
  • Kepingan besar bergerutu dan mudah pecah.
  • Mahal.

Vinil – sejenis plastik yang dihasilkan dalam bentuk kepingan besar dan kecil seperti jubin. Hadir dalam beragam warna dan corak.
  • Lembut dan senyap bila dipijak.
  • Tidak licin.
  • Mudah dan mudah dipasang di permukaan rata.
  • Tahan lasak dan kalis air.
  • Mudah pudar apabila lama diguna.
  • Warna kurang menyerlah.
  • Menjadi bergerutu jika dipasang di permukaan tidak rata.

Panduan Penting
Fikir dengan teliti pilihan bahan kemasan untuk kabinet, permukaan kerja, perkakasan dapur dan perhiasan sebelum membuat keputusan akhir memilih kemasan lantai. Dengan cara begini anda boleh selaraskan unsur di ruang dapur. Bagaimanapun, jangan lupa melihat kemasan lantai di ruang lain, terutama bagi rumah kecil kerana terlalu banyak bahan berlainan digunakan boleh menyebabkan rumah bertambah sesak.

Ambil kira kos memasang dan membeli kemasan. Semua kemasan, kecuali vinil dan linoleum mesti dipasang sebelum adanya kabinet dan perkakasan lain. Pastikan kemasan lantai dilindungi sebaik-baiknya ketika pemasangan bahan lain.

Penjagaan harian mempengaruhi pemilihan bahan lantai. Sesetengah bahan seperti kayu misalnya, berkehendakkan lebih tumpuan khususnya di sekitar sink yang mudah rosak akibat air.

Pastikan keluasan dapur dapat memuatkan dua kemasan lantai yang berbeza. Mungkin di sekeliling kawasan memasak dipasangkan jubin seramik manakala lantai tempat makan berkemasan kayu.

Jika memilih kemasan jubin, pastikan jubin besar kerana corak kecil akan menjadikan ruang nampak sesak.

Kemasan Dinding
Apabila memilih kemasan dinding, bukan gaya sahaja yang harus diutamakan. Sementelah ruang dapur adalah antara ruang yang paling kerap diguna dan suasananya yang berminyak serta berwap memerlukan kemasan dinding yang sesuai.

Dinding Lepa – dahulu dinding disimen licin, tetapi kini lepaan simen kembali diminati. Ia hadir dalam beragam rupa seperti kasar, berkilat atau dicat.
  • Tahan lama dan murah.
  • Memberi peluang untuk mewujudkan pelbagai hiasan.
  • Lepa kasar memudahkan habuk berkumpul dan sukar dibersihkan.
  • Nampak tidak asli sekiranya ia tidak dilepa dengan baik.
  • Memerlukan pemasangan penahan percikan air, khususnya di sekeliling permukaan kaunter.

Cat berasaskan minyak – kemasan paling bergaya. Cat minyak warna kulit telur dan berkilat dikatakan pilihan sesuai.
  • Pelbagai warna.
  • Tahan lama
  • Mudah dibersihkan.
  • Tidak perlu mengecat keseluruhan tempat sekiranya ada bahagian tertentu yang kotor.
  • Tidak sesuai dijadikan penahan percikan air.
  • Cat kilat mudah memperlihatkan kecacatan dinding.
  • Senang terkopek atau mudah pudar.

Kertas dinding- kertas dinding yang dilapisi plastik sangat berkesan digunakan. Bagaimanapun, warnanya agak terhad.
  • Permukaan kertas dinding yang disaluti plastik atau vinil mudah dibersihkan.
  • Boleh dipasang selepas ruang dapur dilengkapi kabinet.
  • Dapat menutupi dinding yang tidak licin.
  • Murah.
  • Pemeluwapan akan menyebabkan kertas dinding mudah tertanggal.
  • Lapisan plastik kelihatan seperti tiruan.
  • Sukar membaiki bahagian yang rosak walaupun sedikit sahaja kerosakannya.

Panel kayu – berguna melindungi bahagian yang tidak rata, khususnya dinding dan siling. Kayu bercat dapat menebat panas dan bunyi.
  • Mudah dipasang.
  • Melindungi bahagian dinding yang tidak rata.
  • Menyerap bunyi bising.
  • Panel kayu yang bermutu tinggi sukar didapati.
  • Tidak sesuai mengisi bahagian sink dan memasak.
  • Bukan semua gaya dapur dapat menerima kesan tradisional ini.

Jubin seramik – murah dan sesuai dipasang di dinding, terutama di belakang dapur atau sink.
  • Permukaannya yang rata mudah dibersihkan.
  • Tahan panas, jadi elok dipasang di kawasan memasak.
  • Kepingan jubin warna lembut yang dipasang di kawasan besar mengelakkan suasana serabut.
  • Bentuk dan permukaan corak yang sekata kelihatan membosankan.
  • Boleh menjejaskan penampilan ruang. Jubin berwarna gelap kurang lasak.

Granit – elok dipasang sebagai penahan percikan air di permukaan kerja jenis granit. Sesuai sekali dipasang di ruang kecil.
·        Tahan lasak.
·        Mudah dijaga.
·        Senang dibersih.
·        Gelap dan memperlihatkan suasana sejuk.
·        Tidak sesuai bagi ruang besar.
·        Sukar dipasang di bahagian palam.
·        Mahal.

Panduan penting

Apabila memilih bahan kemasan untuk permukaan kerja dan kabinet, fikirkan juga kemasan dinding. Anda boleh memilih sama ada yang sejenis atau berbeza. Tumpukan pada bahagian dinding sekitar tempat kerja dan almari.

Bagi mewujudkan kelainan suasana, pilih penahan percikan yang berbeza dari bahan utama.

Pilih bahan yang tahan panas seperti besi tahan karat, jubin seramik dan batu asli bagi membentuk penahan percikan air di belakang dapur masak.

Andai kata berhasrat mengecat dinding, pilih cat minyak atau berpenyudah berkilat kerana ia tahan lebih lama dan boleh dibasuh.

Sekiranya sebahagian besar kelengkapan dapur dikemaskan dengan plastik, cuba guna bahan semula jadi seperti panel kayu untuk mewujudkan keseimbangan suasana.

Sekiranya ruang dapur menghadap utara dan bersiling rendah, guna tona muda atau cerah di dinding bagi menimbal cahaya dari tingkap. Memasang penahan percikan air daripada kaca gurisan dapat membantu memantul cahaya ke arah meja kerja.
(Sumber: Anjung Seri) 

No comments:

Post a Comment