Sunday, August 9, 2015

Bala Sikap Firaun

Allah menghantar Musa a.s. kepada Firaun untuk memberikan peringatan demi peringatan. Allah juga memberikan amaran demi amaran sebagai tanda kemurkaan agar Firaun bertaubat, namun dia tetap meneruskan kezalimannya. Pelbagai kejadian alam, luar biasa dan ganjil menimpa pemerintahan Firaun sebagai tanda kemurkaan Tuhan.
Firman Allah: فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمُ الطُّوفَانَ وَالْجَرَادَ وَالْقُمَّلَ وَالضَّفَادِعَ وَالدَّمَ آيَاتٍ مُفَصَّلَاتٍ فَاسْتَكْبَرُوا وَكَانُوا قَوْمًا مُجْرِمِينَ ---"Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, belalang, kutu, katak, dan darah, sebagai tanda-tanda yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan adalah mereka itu kaum penjenayah. (Surah al-'Araf, ayat 133).
Demikian Allah lakukan apabila DIA mahu mengambil tindakan kepada sesuatu pihak ataupun negara. Amaran demi amaran akan dihantar supaya mereka insaf. Kejadian-kejadian musibah dalam sesuatu negara secara berterusan amat membimbangkan jika penduduk negara itu tidak mempedulikan itu semua. Ditakuti, penamatnya adalah bala besar yang menghancurkan seperti yang telah menimpa Firaun. [Dr Maza]
Orang Quraisy jahiliah menyembah berhala bernama Uzza. Golongan mungkar masa kini menggantikan Uzza dengan RINGGIT MALAYSIA. Anugerah yang sepatutnya diguna buat mencari pahala, telah disalahguna sebagai senjata yang menganiaya. Sikap menipu dan pembohong bukan ada pada kaum, tetapi ia terletak pada sikap individu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang mereka lakukan. Semoga dipisahkan oleh-Nya golongan marhaen yang dianiayai tatkala Dia menurunkan azab-Nya ke atas mereka. Semoga Allah mengampuni kami dan juga mengampuni kamu. In sya Allah.

No comments:

Post a Comment