Monday, August 21, 2017

Andai Perlu Bayar Nikmat Mata



Manusia fiilnya suka berkira-kira. Berapa kos sekian? Berbaloikah? Apa yang aku dapat? Maka selagi tidak dapat mencongak nilai sesuatu, dia tidak akan menghargainya.
Agak-agaknya berapa yang wang perlu kita keluarkan jika nikmat mata dan penglihatan perlu dibayar? Mata dan penglihatan dua nikmat berasingan kerana ada orang memiliki mata tanpa penglihatan.

Berapa?


Awal-awal Allah sudah mencabar: “Jika kamu hendak mengira-ngira nikmat Allah nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” (Ibrahim 14: 34)





Bagaimanapun mari kita congak-congak harga mata dan penglihatan supaya kita akan lebih yakin bahawa nikmat Allah memang tidak tercongak.
#1
65 000 
orang buta di Malaysia (1) 
Alhamdulillah dengan kenyataan anda sedang membaca tulisan ini, anda ialah antara insan bertuah dikurniakan penglihatan.
#2
RM100-RM2000 
Kos cermin mata bagi orang rabun, bergantung kepada ketebalan kanta, bingkai dan sebagainya. Kos ini akan berganda apabila cermin mata terpaksa ditukar sama ada disebabkan patah, rosak dan sebagainya.
#3
RM 300-RM500 
Kos ubat sebulan bagi seorang pesakit glaukoma yang perlu menggunakan ubat tersebut seumur hidup. Jika tidak dirawat kesudahannya ialah buta. Kos ini menjadi berlipat ganda di hospital swasta.
#4
RM3000-RM5000 
Kos pembedahan dan rawatan katarak (selaput mata) di hospital swasta manakala sekitar RM1000 di hospital kerajaan
#5
RM5000-RM7000 
Harga mata prostetik (tiruan) di hospital swasta bagi orang yang kehilangan mata. Di hospital kerajaan sekitar RM500- RM2000.
#6
RM7000-RM10 000 
Kos LASIK untuk merawat penyakit rabun.
#7
RM 7000-RM10 000 
Kos pembedahan mata di hospital swasta bergantung kepaa jenis rawatan antaranya rawatan mata juling, pembedahan oculoplastik, transplants kornea dan sebagainya.
Kos pembedahan di hospital kerajaan sekitar RM500-RM2000.
#8
RM209 000
Kadar tertinggi pampasan bagi kes kes kehilangan mata dan RM198 000 bagi kes hilang penglihatan. Setakat kes hematoma (lebam) pada mata pun akan mendapat pampasan setinggi RM3500.
#9
RM350 000
Kos mata bionik, teknologi yang membolehkan orang yang hilang penglihatan melihat semula. Bagaimana pun teknologi ini belum ada ini di Malaysia.
#10
RM 700 000-RM2 000 000 
Kos sebuah bilik bedah dengan kelengkapan yang mencapai piawaian standard.
#11
RM 2 000 000 - RM5 000 000
Kos sebuah makmal penyelidikan mata yang mencapai piawaian yang standard, di USM, UKM, dan UM.
#12
RM10 000 000
Peruntukan setiap tahun untuk penyelidikan berkaitan mata bagi universiti yang menawarkan kepakaran pengajaran Sarjana Perubatan (Oftalmologi) iaitu USM, UKM dan UM.
#13
SYURGA
Pampasan di akhirat akibat kehilangan penglihatan, dengan syarat sabar dan reda. 
Allah berfirman dalam hadis qudsi: “Sesiapa yang aku hilangkan kedua-dua kesayangannya (mata) lalu dia sabar dan berharap (pahala), maka Aku tidak reda untuknya sembarangan ganjaran melainkan syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)

Rujukan:

1. Statistik tahun 2009 daripada laman web Pertubuhan Pembangunan orang buta Malaysia (PPOBM))
- Maklumat berkaitan oftalmologi ehsan Profesor Shatriah Ismail, Profesor & Pakar Perunding Pediatrik Oftalmologi, Universiti Sains Malaysia.
- Maklumat pampasan diambil daripada Revised Compendium Of Personal Injury Awards, 2014, Majlis Peguam Malaysia.

Ulangkaji Solusi 77- Biar Mata Membawa Kita ke Syurga


[Dari FB Ustaz Muhammad Luqman Makhtar, editor Majalah Solusi] 



No comments:

Post a Comment