Friday, October 22, 2010

Bila Ujian Datang Bertandang

serenemaklong.blogspot.com

Setiap makhluk pasti menempuh cabaran dan ujian. Kehidupan ini umpama sebuah sekolah yang besar lagi luas. Ia mendidik makhluk supaya menjadi lebih cerdik, lebih berani dan lebih mahir. Ujian diturunkan untuk mengukur tahap ketabahan, keberanian dan kemahiran dalam menangani masalah.   

Setiap orang melihat masalah yang berada di hadapannya dengan pandangan dan perspektif yang berbeza. Encik A percaya cabarannya berhadapan dengan rakan kongsi yang menggelapkan wang syarikat adalah lebih besar berbanding Encik B yang sedang kesempitan wang, dan Encik C pula yakin bahawa masalah yang dihadapi mereka berdua tidak seberapa bila dibandingkan dengan kesengsaraannya yang lumpuh akibat serangan angin ahmar.

Bila titimpa musibah, tidak ramai yang bersifat sabar dan bertanya pada diri sendiri, “Mengapa masalah ini menimpa saya? Apa yang boleh saya buat untuk mengatasinya? Apa yang boleh saya pelajari daripada ujian ini?”

Berhadapan dengan keadaan yang sukar, ramai yang bertindak balas dengan penuh emosi sehingga menjejaskan aspek fizikal seperti merasa sakit kepala, ketegangan leher dan bahu, sakit perut dan sebagainya. Dalam keadaan seperti ini amat sukar untuk mendapatkan ketenangan bagi menilai situasi yang ada.

Kesengsaraan hidup di dunia tidak akan berterusan selama-lamanya. Bila diatasi dengan fikiran yang terbuka lagi tenang, satu hari nanti ia akan berakhir jua. Tidak ramai yang melihat ujian sebagai sesuatu yang positif dan boleh mematangkan diri. Semakin banyak ujian yang dilalui dan diatasi, semakin bijak seseorang itu mengawal perjalanan hidup.

Ras Adiba Radzi, bekas personaliti TV3 yang berkerusi roda akibat kemalangan jalan raya, akur dengan ketentuan yang menimpanya, malah bersyukur kerana Pencipta masih memberinya peluang untuk memperbetul dan memperbaiki diri. Berbekalkan tawakal, dia mengajar jiwanya supaya menjadi kental dan kuat menghadapi dugaan. Kekurangan fizikal tidak menghalang dia memenangi beberapa anugerah. Keperibadiannya yang utuh wajar dicontohi oleh semua.          

Manusia yang leka dibuai mimpi bahagia dan nikmat tidak akan pandai menyelesaikan masalah. Kehidupan tanpa diwarnai ujian, cabaran, rintangan, kesengsaraan dan penderitaan sungguh membosankan. Bila ditakdirkan sesuatu datang menimpa, orang seperti ini lazimnya cepat berputus asa kerana tidak tahu cara mengatasinya. Baginya jalan paling mudah ialah membunuh diri, tetapi bolehkah itu menyelesaikan masalah? Membunuh diri adalah satu tindakan mementingkan diri. Orang seperti ini tidak memikirkan perasaan dan kebajikan orang-orang tersayang yang ditinggalkannya.    

Kaiser Romawi Kuno, Marcus Aurelius pernah berkata: Hidup dibentuk oleh fikiran. Kalau  fikirkan kebahagiaan, kita akan bahagia. Kalau fikirkan sedih, kita menjadi sedih. Kalau fikirkan takut, kita menjadi takut.  Kalau fikirkan sakit, kita jadi sakit dan begitulah seterusnya.

Ujian membersihkan jiwa daripada sifat-sifat buruk, dan sekaligus menghapuskan dosa-dosa yang lalu. Berfikiran positif, sabar, tabah, dengan strategi yang diharapkan mampu menyelesaikan masalah, serta dibantu oleh keyakinan dan tawakal kepada Allah pasti akan membuahkan hasil yang baik. Insya Allah.

Kesimpulannya, jangan biarkan masalah menguasai diri. Ujian di dunia tidak sebesar mana. Ia masih memberi kita peluang untuk mendapatkan kebaikan daripadanya. Ujian / balasan di akhirat?? Itu kena fikirlah sendiri!    

Friday, October 15, 2010

NAK Mentega Kacang Sedap


Membuat mentega kacang tidak memerlukan banyak bahan. Anda boleh gunakan kreativiti dengan menambah bahan lain untuk menjadikannya istimewa.. Mentega kacang buatan sendiri lebih sihat kerana ia tidak mengandungi pengawet seperti mentega kacang yang dibeli di kedai. Tanpa pengawet ia mempunyai hayat yang singkat. Oleh kerana itu anda mesti menyimpannya di dalam peti sejuk dan gunakannya dalam masa beberapa minggu. Di bawah ini adalah cara membuat mentega kacang:

Bahan-bahan
Kacang tanah
Minyak

Gunakan lebih kurang 2 sudu besar minyak bagi setiap cawan kacang tanah. Anda boleh juga menambah  ½ sudu teh garam.

Kacang tanah sudah sedia mempunyai banyak minyak. Jika anda menggunakan kacang tanah yang berminyak banyak, seperti kacang tanah Sepanyol, anda tidak perlu menambah sebegitu banyak minyak.

Adunan yang baik yang tidak menggunakan minyak tambahan ialah 1 cawan kacang tanah Sepanyol dan 1 cawan kacang tanah Virginia.

Caranya:
Hancurkan kacang tanah dan minyak ke dalam mesin pengadun.
Jika anda mahukan mentega kacang yang berbiji, keluarkan kira-kira ¼ cawan kacang tanah sebelum mula mengadun kacang dan minyak. Bila campuran sudah hampir teradun, masukkan kacang itu. Adun lagi beberapa kali untuk memecahkan kacang dan selesaikan kerja mengadun.

Sekarang anda boleh menambah bahan-bahan lain ke campuran itu. Gunakan kacang makadamia, kacang pekan, biji bunga matahari, cip butterscotch atau coklat.

Selamat menjamu selera!

Thursday, October 14, 2010

Seksanya Mangsa Gangguan Seksual

serenemaklong.blogspot.com

“Kalau inginkan jawatan tu, awak mestilah bersedia mengikut kehendak saya.“

“Nampak lawa hari ini. Boleh tak keluar dengan saya petang nanti?“

Pada pendapat anda, adakah penutur kata-kata di atas itu lelaki atau wanita? Adakah ia mempunyai unsur gangguan seksual?

Sesetengah orang menganggap kata-kata itu sebagai perkara remeh yang hanya layak dijadikan bahan gurauan. Begitulah, lain orang lain pula takrifannya. Takrifan adalah sesuatu yang subjektif yang boleh diertikan dalam apa cara jua. Tahap penerimaan individu mengenai hakikat ini banyak bergantung pada situasi di mana ia dituturkan. Begitu juga nada suara dan bahasa tubuh si pelaku.

Umumnya, orang mengandaikan mangsa gangguan seksual adalah wanita. Tetapi kita harus ingat bahawa lelaki juga boleh menjadi mangsa. Begitu juga pelakunya, boleh jadi sesiapa sahaja, lelaki ataupun wanita. Yang pasti dia adalah seseorang yang berkedudukan lebih tinggi daripada si mangsa.

Mangsa gangguan seksual berada dalam keadaan serba salah. Jika dia membuka mulut, mata pencariannya pula menjadi pertaruhan. Bagaimana keadaan keluarga jika dia dibuang kerja? Siapa pula hendak menyara mereka yang semata-mata bergantung pada gaji yang dibawanya pulang setiap bulan? Ditelan mati emak, diluah pula mati bapa.

Bila perkara itu dibawa ke muka pengadilan, beban membuktikan pula terletak di bahunya sendiri. Dia disoal siasat berkali-kali. Di mahkamah, kredibiliti si mangsa dipersoal, seluruh keperibadian dan kewibawaannya ditelanjangi. Siapa yang hendak percaya pada kata-katanya?  Kasihan – tidak berdaya melawan ketika diganggu dan kini tidak berdaya pula hendak mengemukakan bukti.

Kalau mangsa itu seorang wanita yang diperkosa, mungkin ada bahan bukti yang boleh dikemukakan pada pihak berkuasa. Tetapi kalau mangsa itu lelaki bagaimana pula? Bukan mudah bagi lelaki yang kacak tetapi bersifat lembut hendak bertindak balas terhadap pelakunya yang lebih tua, berkuasa dan agresif. Kalau pelaku itu wanita, mungkin dia daripada jenis wanita yang ganas. Kalau pelaku itu lelaki pula, mungkin dia seorang homoseks yang kemaruk.    

Sangat sukar mendakwa pelaku yang bersifat musang berbulu ayam. Pada pandangan orang luar, dia dihormati, dermawan dan popular. Di sebalik topeng itu dia adalah musang yang buruk perangai. Yang lebih menyedih dan menyakitkan hati ialah, setelah mangsa melalui semua mimpi ngeri ini denda maksimum yang dijatuhkan pada si pelaku hanya RM10,000. Bagi pelaku yang  kaya raya, jumlah itu bagaikan 10 sen sahaja! 

Di tempat kerja, cerita mangsa menjadi bahan gosip terhangat. Rakan-rakan mula menjauhkan diri kerana takut nama masing-masing terjejas. Kalau adapun yang sanggup mendampingi, mungkin dia seorang yang benar-benar bersimpati, ataupun seorang oportunis yang hanya ingin  mengorek cerita untuk diperbesar-besarkan lagi.

Pegawai atasan yang lain menganggap mangsa sebagai pengacau yang hendak menjatuhkan nama baik syarikat. Bagi mereka, dia berlagak wira atau wirawati hanya untuk menarik  perhatian. Sukar bagi mangsa hendak terus berada di tempat kerja yang sama. Mahu tidak mahu terpaksa meletak jawatan.

Bila memohon kerja baru, dia tentu akan disoal mengapa dia meninggalkan tempat kerjanya yang lama. Bagaimana hendak berbohong kalau kesnya terpampang di dada akhbar? Kalau diberitahu perkara sebenar pun, adakah bakal majikan baru itu bersedia untuk mengambilnya bekerja?

Jika anda berada di dalam situasi yang sama, apa yang anda akan lakukan? Mahu mendedahkannya atau pergi jauh secara senyap-senyap?   


Monday, October 11, 2010

Kebun Organik (2)




LOKASI kebun organik harus mendapat cukup sinaran cahaya matahari kerana ia sangat penting bagi pertumbuhan tanaman.  Kawasan itu juga harus mempunyai saliran yang baik. Kawasan yang digenangi air tidak sesuai kerana akan mereputkan akar tanaman.

Kemudian sediakan batas mengikut saiz dan panjang yang sesuai. Batas berukuran 76 sm lebar di tengah-tengah kawasan memudahkan kita untuk mendekatinya, sama ada dari bahagian kiri ataupun kanan.

Bina pancang batas atau suatu rangka yang tingginya kira-kira 25 sm hingga 30 sm untuk mengawal dan melindungi tanah batas. Ini akan menambahbaikkan saliran dan meninggikan paras kebun.

Gaulkan kompos ke batas tanaman kira-kira tiga minggu sebelum mula menanam.

Pilih jenis sayuran yang sesuai untuk kawasan itu dan memang diketahui akan dapat bertahan daripada serangan penyakit dan haiwan perosak. 

Galakkan perkembangan serangga bermanfaat dengan tidak menyembur racun serangga dan dengan cara menanam tanaman yang membantu pembiakannya. Serangga bermanfaat yang dibeli di kedai boleh juga dilepaskan ke dalam kawasan kebun organik. 

Siram dan sungkup mengikut keperluan. Tanaman yang sihat lagi giat tidak menarik perhatian sesetengah haiwan perosak, dan jika diserang pun, ia mampu mengatasi kerosakan itu dan tumbuh dengan baik. 

Elakkan serangga perosak dengan membuang segala rumput rampai yang sering menjadi sarangnya. Seelok-eloknya tanaman ditukar mengikut pusingan pada setiap tahun untuk mengelakkan pembiakan haiwan perosak, dan tutup tanaman yang mudah diserang dengan sungkup yang ringan bagi menjauhkan haiwan perosak.  

Hapuskan haiwan perosak jika ada ditemui. Kaedah terbaik ialah mengutip dengan tangan, atau gunakan langkah-langkah kawalan organik yang sah, bermula dengan sabun pembunuh serangga. Di antara yang terbaik ialah neem, sejenis penghapus serangga yang dihasilkan daripada pokok neem. Orang Melayu mengenali pokok ini dengan nama pokok mambu yang diguna untuk merawat demam campak di kalangan kanak-kanak.  


Saturday, October 9, 2010

TAKNAK Pneumoccocal

“Pneumoccocal? Apa bendanya tu?” 

Memang tidak ramai ibu bapa tahu bahawa  penyakit pneumococcal  yang berbahaya ini mudah merebak di kalangan kanak-kanak menerusi titisan yang terbebas di udara akibat bersin atau batuk. Yang paling terdedah pada penyakit ini ialah kanak-kanak di bawah 2 tahun, yang dihantar ke pusat-pusat asuhan dan kurang ketahanan diri daripada serangan penyakit. Tambahan pula kini bakteria itu semakin kalis terhadap antibiotik.  
  
Bakteria pneumococcal boleh menyebabkan berbagai penyakit berbahaya seperti  pneumonia, infeksi bahagian tengah telinga, infeksi darah (bakteraemia) dan meningitis. Tanda-tanda awal penyakit tersebut bergantung di mana infeksi itu berlaku sama ada dalam telinga, paru-paru, otak atau darah dan juga umur anak itu. 
Anak yang mengalami pneumonia mempunyai simtom respiratori seperti batuk dan sukar bernafas. Sementara itu anak yang menghadapi infeksi di bahagian tengah telinga mengalami demam panas yang tinggi dan sekali sekala telinga berair.
   
Bagaimanapun ada juga simtom yang kurang spesifik, terutama kanak-kanak yang mengidap bakteraemia dan meningitis. Simtomnya mungkin termasuk demam panas yang tinggi, kelesuan, muntah-muntah dan rengsaan. Malah ada juga yang terkena sawan. 

Disebabkan simtomnya sama dengan penyakit-penyakit lain yang berpunca daripada beberapa jenis bakteria dan virus, diagnosis penyakit pneumococcal hanya boleh diketahui menerusi ujian makmal yang mengasingkan bakteria daripada darah, kahak atau sampel cecair lain yang diambil daripada anak itu. 
Kanak-kanak yang sebelum ini sihat namun kini mengidap pneumonia, infeksi di bahagian tengah telinga dan juga darah boleh sembuh dengan cepat jika didiagnosis dan dirawat lebih awal. 

Bagaimanapun, pneumonia boleh membawa maut bagi bayi-bayi yang tinggal jauh di pedalaman di mana kemudahan perubatan sukar diperolehi. 

Salah satu infeksi paling serius yang berpunca daripada penyakit pneumoccocal ialah  meningitis, iaitu infeksi pada membran yang menyaluti otak. Ia mengakibatkan kerosakan otak yang teruk dan berakhir dengan komplikasi seperti kecacatan mental, hilang upaya fizikal seperti serebral palsi, epilepsi dan juga cacat pendengaran.
Walaupun dirawat dengan antibiotik, adalah tidak mudah untuk mencegah  komplikasi, terutama bagi bayi yang masih kecil. Oleh kerana itu pihak berwajib telah berusaha keras untuk mendapatkan vaksin yang boleh mencegah penyakit berbahaya ini daripada menyerang kanak-kanak sejak awal-awal lagi.

Terdapat sedikit kesan sampingan daripada suntikan vaksin berkenaan. Ini termasuk demam, rasa sakit dan bengkak di tempat suntikan, rengsaan dan ruam. Bagaimanapun ini semua akan hilang dalam masa beberapa hari. 
Dengan penyebaran maklumat menerusi media massa, kini ramai ibu bapa telah mula menyedari tentang penyakit berbahaya ini. Namun, masih ada segelintir ibu bapa yang masih teragak-agak untuk membenarkan anak-anak mereka disuntik disebabkan kosnya yang agak tinggi.

Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.  Kos rawatan ke atas komplikasi yang teruk jauh lebih tinggi daripada wang dibelanjakan untuk suntikan.   

TAKNAK Kena Selesema (2)

Apa itu selesema? Ia adalah jangkitan virus yang datang mendadak, lazimnya diiringi demam, sakit tekak, hidung berair, batuk dan rasa lemah badan yang menyukarkan pergerakan harian. Kepala dan otot berasa sakit menyebabkan anda terlantar selama dua hingga tujuh hari.

Virus selesema berbeza daripada virus influenza. Walaupun simtom selesema dan influenza berlainan daripada seorang kepada seorang yang lain, simtom selesema umumnya agak ringan, seperti bersin atau batuk, hidung berair, lemah badan dan radang di ruang pernafasan tanpa demam atau rasa sakit. 

Apabila penghidap selesema batuk atau bersin, semburan halus air liur mengandungi bakteria dan virus dihamburkan ke kawasan persekitaran. Sama ada kita dijangkiti atau tidak bergantung pada saiz air liur yang terhambur dan juga jarak di antara kita dengan pengidap itu.  Mujurlah kesan batuk atau bersin itu hilang apabila ia jatuh ke lantai. Apabila air liur itu kering – yang mungkin mengambil masa selama beberapa jam malah berhari-hari – virus itu pun mati.

Dikatakan juga bahawa kita boleh juga dijangkiti selesema daripada benda-benda seperti cawan, gelas minuman serta telefon awam. Namun yang paling jelas kita boleh dijangkiti virus yang ada di tangan pengidapnya, terutama dari jenis rhinovirus. Kecuali pengidap itu batuk atau bersin ke  kertas tisu dan kertas itu dibuang ke tempat sepatutnya, dan tangannya pula dicuci dengan air bersih dan sabun atau menggunakan cecair sanitasi.     

Setiap tahun virus influenza menyebabkan wabak, yang berbeza hanyalah tahap keseriusannya. Virus itu terdiri daripada berbagai jenis dan mudah pula berubah-ubah. Terdapat tiga jenis virus utama: Influenza A (paling banyak berlaku), influenza B (jenis yang jarang wujud), influenza (hampir tidak pernah didengar tentang kewujudannya).

Dalam influenza A, terdapat banyak pula jenis yang berlainan dan setiap satu mampu bermutasi menjadi jenis yang sukar dihapuskan manusia. Salah satu contoh ialah H1NI yang melanda dunia pada tahun 2009. Beberapa tahun lalu dunia digemparkan oleh selesema burung yang menghinggapi ternakan seperti ayam atau itik dan seterusnya berpindah kepada manusia. Influenza menjadi wabak kerana manusia sering tiada perlindungan antibodi terhadap mutasi itu.

Mujurlah kebanyakan orang pulih daripada influenza itu. Jika terpaksa dimasukkan ke hospital, ia adalah kerana kehadiran komplikasi seperti pneumonia (seperti yang Maklong alami pada 2009), ataupun influnenza itu telah melemahkan orang yang memang sedia lemah kerana penyakit lain yang dideritanya.     

Orang yang mungkin diancam bahaya influenza ialah pesakit jantung atau paru-paru, wanita hamil, wargatua dan anak-anak kecil. Bagi anak kecil, influenza membawa risiko penyakit saraf mengancam nyawa dinamakan Sindrom Reye’s. Ia dikaitkan dengan penggunaan produk mengandungi aspirin.

Terdapat 3 cara untuk mencegah atau mengurangkan kesannya. Pertama, suntikan vaksin influenza. Ia  boleh mengurangkan bilangan kes dengan begitu banyak. Pada masa sekarang tindak balas terhadap vaksin memang jarang sekali. Di Kanada dan Amerika Syarikat, suntikan memang disyorkan pada mereka yang berusia 65 ke atas, orang dewasa dan kanak-kanak yang mempunyai gangguan kronik seperti penyakit jantung, paru-paru, buah pinggang, metabolik, lemah sistem pertahanan diri dan penyakit darah, serta ahli keluarga dan kakitangan hospital yang menjaga dan merawat pesakit.  

Kedua, mengambil ubat anti-selesema yang dinamakan Amantadine Hidroklorida yang keberkesanannya adalah antara 70 hingga 90%. Jika diambil dalam masa 24 hingga 48 jam selepas diserang influenza A, ia dapat memendekkan tempoh penyakit itu sebanyak lebih kurang 2 hari. Namun ia tidak berupaya menentang influenza B.

Makanan berkhasiat memang tidak boleh menghalang kedatangan influenza ataupun menghentikan serangannya. Namun pemakanan yang baik  boleh membina sistem pertahanan diri dalam menghadapi influenza. Ada bukti menunjukkan pemakanan yang baik akan merangsang kuasa suntikan vaksin influenza.

       

Saturday, October 2, 2010

Makanan Untuk Kekal Muda

Usia menua memang tidak boleh dielakkan, namun tua tidak bermakna “nampak tua dan tidak bermaya”.

Kebanyakan kesan penuaan ketara, seperti kedutan, dan kesan yang tidak boleh dilihat, seperti kemerosotan jantung dan mata, adalah disebabkan oleh radikal bebas merosakkan dinding sel dan bahan genetik dalam sel. Ia terhasil secara semula jadi dalam tubuh dan pengeluarannya meningkat bila wujud faktor lain seperti pencemaran, merokok dan pendedahan berlebihan terhadap cahaya matahari.  

Buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi antioksidan yang mampu menentang radikal bebas,  memperlahankan proses penuaan, menentang penyakit, menguatkan sistem ketahanan diri terhadap jangkitan, meningkatkan paras tenaga serta memperbaiki prestasi fizikal dan mental.  

Gabungan buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang, bijian, bijirin penuh dan tulen, daging, ikan, telur, produk tenusu, herba dan rempah ratus serta air, boleh menjadi diet yang berkhasiat, menyihatkan tubuh dan membolehkan ia berfungsi secara efisien. 

Makanan harus dalam bentuk semula jadi, bukan diproses. Makanan bersumber tempatan lazimnya lebih segar kerana tidak perlu dirawat dengan bahan kimia untuk mengekalkan kesegarannya.

Makanan boleh juga diguna sebagai bahan rawatan luaran untuk kulit dan rambut, contoh: mandian susu, masker mata teh hijau atau perapi rambut daripada telur.

UNTUK KEKAL MUDA, MAKAN ATAU MINUM LEBIH....

·         Makanan mengandungi Vitamin C untuk menentang kerosakan radikal bebas dan mengekalkan keserian kulit. Contoh: betik, oren, lemon, kiwi, epal, bayam, lada benggala, kunyit.
·         Makanan kaya selenium untuk mengelakkan kedutan, menawarkan perlindungan daripada kerosakan akibat sinaran matahari, dan menggalakkan rambut yang berkilau. Contoh: anggur, bawang kuning, cendawan, udang segar, telur.
·         Makanan mengandungi zat besi untuk mengelakkan rambut kurang bermaya dan kulit pucat. Contoh: prun, brokoli, keledek, kacang kuda.
·         Makanan kaya vitamin B untuk meningkatkan daya ingatan dan mengekalkan sistem saraf.. Contoh: anggur, aprikot, oren, pisang, prun, kiwi, nenas, buah delima,
·         Makanan tinggi kandungan kalsium untuk mengekalkan kesihatan tulang. Contoh:  brokoli, lobak merah, bijan, susu, yogurt, pasli.
·         Makanan kaya vitamin B,C dan E untuk menguatkan sistem pertahanan diri daripada penyakit. Contoh: tomato, keledek, cendawan, asparagus, telur.
·         Makanan mengandungi zink untuk memperlahankan keguguran rambut dan menggalakkan pertumbuhannya. Contoh: anggur, brokoli, bayam, lobak merah.
·         Makanan kaya kalsium, magnesium, boron atau silika bagi merawat kuku mudah patah dan rapuh. Contoh: pisang, timun, bayam, kobis, kacang dal, halia, madu lebah.
·         Makanan tinggi beta karotena untuk meningkatkan imuniti dan mengekalkan keserian kulit dan mata yang sihat. Contoh: mangga, betik, tomato, lobak merah, labu kuning.
·         Makanan mengandungi silika untuk kulit, tulang dan tisu penyambung yang sihat. Contoh: timun, sekoi.
·         Makanan tinggi vitamin E untuk penyembuhan dan melembapkan kulit, mengelakkan hilang daya ingatan serta melindungi jantung. Contoh: badam, walnat, kacang tanah, biji bunga matahari, kacang soya, teh hijau, minyak kelapa dara, minyak zaitun, minyak sawit Carotino.
·         Makanan kaya potasium untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan mengekalkan denyutan jantung yang tetap. Contoh: oren, lemon, pisang, prun, kiwi, tembikai kuning, saderi, cendawan, asparagus.
·         Makanan tinggi sulfur (sebahagian daripada keratin dan kolagen) untuk menggalakkan kulit, kuku dan rambut yang sihat. Contoh: bawang kuning, kobis, daging kambing bebiri, daging lembu, bawang putih.
·         Makanan dengan indeks glisemik (G.I.) rendah bagi pembebasan tenaga yang berterusan. Contoh: oat, barli, gandum penuh tulen, beras perang.
·         Makanan mengandungi asid lemak penting omega 3 dan omega 6 untuk otak yang cerdas, kulit berseri dan perlindungan daripada penyakit jantung. Contoh: badam, walnat, gajus, bijan, biji bunga matahari, kuaci, biji flaks, ikan sardin, ikan salmon.
·         Memakan suplemen glucosamine. Suplemen ini lazimnya diambil oleh mereka yang mengidap arthritis untuk memulihkan fungsi rawan. Selain rawan, ia juga bertindak membina sel-sel baru. Untuk kekal muda kita memerlukan sel-sel baru seperti ini bagi menggantikan sel-sel yang telah mati dan dihapuskan.   

ELAKKAN:
  • Makanan jajan (junk)
  • Gula dan makanan bergula yang berlebihan
  • Garam dan makanan bergaram yang berlebihan
  • Merokok
  • Stres
  • Kurang bersenam
  • Kurang tidur
Dengan mengamalkan semua maklumat ini, prestasi fizikal dan mental dapat dipertingkatkan. Hasilnya boleh dirasai dan dilihat pada masa sekarang dan juga masa akan datang. 

Elak Tompokan



MASIH ingat pada bedak sejuk? Kaum wanita dulu-dulu (dan juga sekarang) menggunakan bedak itu untuk memutih dan melicinkan kulit.

Bedak sejuk dibuat dengan merendamkan beras selama berbulan-bulan. Air rendaman mesti kerap ditukar. Jika tidak, bedak sejuk yang dipakai di muka nanti terasa gatal. Bila beras sudah hancur, ia dititik ke atas daun pisang dan dijemur hingga kering.

Untuk memakainya mudah sahaja. Campurkan bedak sejuk dengan sedikit air dan tepuk-tepukkan ke muka.

Bagaimanapun sekarang ada sesetengah pakar kulit mengatakan bahawa penggunaan bedak sejuk dalam jangka panjang akan mengeringkan kulit.

Bila kulit terlalu kering, lapisan luar epidermis rosak dan keanjalan kulit terjejas, menjadikan kulit itu terdedah pada kerosakan seterusnya. Akibatnya kulit membentuk garis-garis halus, berkedut dan pigmentasi mula muncul.

Pigmentasi pada muka, leher dan lengan adalah tompokan gelap yang lazimnya berlaku akibat pendedahan berlebihan pada cahaya matahari. Tompokan yang berlaku ketika usia menjangkau 60 tahun atau lebih awal adalah disebabkan hormon estrogen. Kaum lelaki jarang mendapat pigmentasi kerana hormon mereka tidak seaktif estrogen.

Satu lagi jenis tompokan ialah jeragat dan ia muncul pada usia yang sangat muda. Ia mungkin diwarisi ataupun akibat pendedahan pada sinaran ultraungu. Minah-Minah Saleh lebih kerap mendapat jeragat berbanding kita orang Asia. Agaknya kerana kebiasaan mereka berjemur di bawah sinaran matahari.

Oleh itu seelok-eloknya jangan keluar rumah tanpa menggunakan perlindungan matahari. Penghalang matahari (sunblock) dengan titanium dioksida atau zink oksida boleh membantu menapis sinaran yang menyebabkan pigmentasi.

Selain tompokan gelap, ada juga tompokan berwarna putih. Ini adalah disebabkan kulit kehilangan pigmennya. Pigmentasi putih ini akan berkeadaan sedemikian sehingga bertahun-tahun namun lama kelamaan ia akan berubah menjadi gelap juga.

Hiperpigmentasi pula ialah pigmentasi berlebihan yang berlaku bila wanita yang mempunyai estrogen aktif terdedah pada matahari. Ia juga berlaku pada wanita hamil dan wanita yang mengambil pil perancang keluarga mengandungi estrogen.

Wanita menggunakan berbagai jenis krim dan produk pencerah untuk menghilangkan pigmentasi demi mengembalikan keserian kulit. Bila semua usaha itu gagal, baru mereka meminta bantuan pakar kulit.

Wanita berkulit gelap yang mengalami masalah pigmentasi lazimnya dirawat dengan krim pencerah mengandungi agen nyahpigmentasi seperti asid kojic, arbutin, hydroquinone, asid azaleic dan tretinoin. Hasilnya boleh dilihat dalam masa dua hingga empat bulan.

Asid kojic yang dihasilkan daripada cendawan Jepun memang berkesan untuk jeragat dan tompokan gelap. Warna kulit menjadi sekata dan keluaran melanin dapat dikurangkan. Asid Kojic memang selamat dan mesra kulit.

Mereka yang mampu boleh mendapatkan rawatan laser untuk menghapuskan jeragat dan pigmentasi. Selain itu boleh juga dicuba cara Intense pulsed light (IPL) yang difokuskan ke atas pigmen. Disebabkan kaedah-kaedah ini boleh menyebabkan kelecuran dan parut, ia digunakan dengan cara yang sangat berhati-hati.

Pengelupasan kimia terbitan buah-buahan dan pembedahan cryo dengan nitrogen cecair sesuai diguna ke atas tompokan akibat usia. Serum Vitamin C boleh membantu mencegah pembentukan pigmen dan meningkatkan sintesis kolagen yang menghasilkan kulit lebih anjal.

Krim pencerah mengandungi hydroquinone boleh menghilangkan kesan jerawat dalam masa tiga bulan.  Namun, seperti krim steroid yang lain, krim hydroquinone mesti diguna secara berhati-hati di bawah pengawasan pakar perubatan. Ia bukan produk yang boleh dibeli di farmasi dan tidak patut dimasukkan ke dalam kosmetik.

Harus diberi perhatian bahawa rawatan laser ataupun Vitamin C perlu diulang setiap tahun. Begitu juga krim pencerah kulit yang patut digunakan setiap hari.Kegagalan menggunakan penghalang matahari ketika keluar rumah akan menyebabkan masalah pigmentasi muncul semula.

Pigmentasi boleh dihilangkan secara beransur-ansur dengan bahan-bahan seperti niacinamide, sepiwhite dan n-acetyl glucosamine yang bertindak mengurangkan pengeluaran pigmen melanin dalam kulit. Nasihat pakar kulit patut didapatkan jika berasa ragu mengenai penggunaan bahan-bahan seperti ini.

Pada masa sekarang pengelupasan boleh dilakukan dengan menggunakan skrub muka, pengelupasan kimia atau microdermabrasion (menggunakan kristal termikro) untuk menanggalkan lapisan atas kulit bagi mencerahkan tompokan dan meningkatkan pusing-ganti sel. Selepas rawatan nyahpigmentasi, penggunaan penghalang matahari (sekurang-kurangnya SPF 30) tidak boleh diabaikan.

Jika selepas melakukan bermacam-macam cara namun tompokan tidak juga hilang, langkah terakhir yang boleh diambil ialah menggunakan penutup cela (concealer) sebelum mengenakan mekap.