Sunday, April 19, 2015

Ujian Musibah Dan Sabar

Bila berhadapan musibah, setiap orang mempunyai penerimaan yang berbeza. Pertama, menjadi murtad lantaran tidak sanggup berhadapan dengan musibah berkenaan. Dia menyalahkan Allah kerana tidak menolongnya. Ini orang paling rugi. Kedua, sabar menghadapi musibah kerana inginkan pahala dan pada masa yang sama inginkan persepsi yang baik dari manusia. Orang ini juga rugi kerana kesabarannya bukan kerana Allah. Ketiga, redha menerima musibah yang telah ditetapkan Allah. Keempat, orang yang bersyukur dan mengucapkan, “Alhamdulillah Ala Kulli Hal” . Dia merasa Allah hendak memberikannya sesuatu yang lebih baik.
Terkadang ujian musibah yang menimpa berupa kezaliman yang dilakukan oleh orang lain. Kerana rasa sakit hati, maka keluarlah segala maki hamun ke atas orang berkenaan. Ini perbuatan sangat tidak baik.Disebabkan tidak menjaga lidah, hamba itu mendapat catatan dosa dari malaikat penjaganya. Oleh itu jangan sesekali memaki hamun, walaupun ketika bersendirian, semata-mata untuk mententeramkan hati. Dikhuatiri, caci maki itu akan kembali menimpa diri pula.
Selain itu jangan pula mendoakan keburukan ke atas penzalim. Imam Ghazali menuturkan, “Jangan kamu doakan kejahatan ke atas orang lain. Doakan supaya dia diberi hidayah dan maghfirah, dan dapat membalas perbuatan buruknya dengan kebaikan ke atas kamu.” Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu contoh terbaik. Ketika baginda ke Bandar Taif yang dihuni oleh golongan Kafir Quraisy, baginda dan sahabatnya telah dilempar batu dan kayu sehingga luka berdarah. Bila tiba di sebuah tempat yang agak selamat, mereka didatangi dua malaikat, penjaga dua bukit-bukau yang mengelilingi Taif. “Kami diutus untuk menanyakan sama ada kamu mahu kami meruntuhkan bukit-bukau ke atas kaum kafir itu.” Jawab Nabi s.a.w., “Biarkanlah. Semoga mereka mendapat hidayah dan akhirnya nanti memeluk agama Islam.” Harapan Nabi s.a.w. dimakbulkan bila seluruh penduduk Taif menerima Islam.
Bila diuji dengan musibah, jangan melihat orang yang di atas, nanti hati akan rasa kecewa. Sebaliknya lihat orang yang di bawah kerana dengan itu akan timbul rasa syukur bilamana musibah yang melanda diri terasa ringan pula. HARI INI DUNIA ADALAH NYATA, AKHIRAT HANYA CERITA. ESOK AKHIRAT ADALAH NYATA, DUNIA HANYA CERITA.....

No comments:

Post a Comment