Tuesday, April 28, 2015

Melaka Haramkan Penggunaan Polisterin

Kerajaan Melaka akan mengharamkan penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polisterin di semua kafe di bangunan kerajaan, premis makanan pihak berkuasa tempatan dan sekolah di negeri ini, mulai 15 Mei depan.Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Kamarudin Md Shah berkata, langkah itu merupakan fasa pertama program 'Melaka Tanpa Polisterin' bertujuan mengurangkan penggunaan bahan polisterin yang sukar diurai dan menjejaskan alam sekitar.Fasa berkenaan akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula September tahun ini sebelum diperluaskan ke semua premis makanan di seluruh Melaka termasuk di bangunan swasta. Tindakan tegas akan diambil antaranya lesen perniagaan tidak akan diperbaharui sekiranya peniaga ingkar untuk mematuhi arahan ini." Program 'Go Green Together' bertujuan memupuk semangat cintakan kehijauan dalam kalangan rakyat.Usaha itu perlu dilaksanakan secara efektif dan menyeluruh bagi memastikan rakyat negeri itu selamat daripada penyakit berbahaya kerana penggunaan bekas makanan polisterin boleh meracuni makanan. Peniaga dan orang ramai digalak menggunakan bekas makanan jenis biodegradasi atau mudah diurai seperti yang diperbuat daripada hampas tebu dan jagung.Pihak Perbadanan Teknologi Hijau akan mengeluarkan senarai nama pengeluar bekas makanan biodegradasi yang boleh didapati di sekitar negeri Melaka melalui media massa bagi memastikan peniaga mendapat bekalan produk berkenaan dengan mudah. Usaha itu selaras dengan misi kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau dan mendidik rakyat menjaga alam sekitar. [Bernama]

No comments:

Post a Comment