Friday, April 17, 2015

Siti Asiah Dan Masyitah Muslimah Solehah

Firaun, pemerintah di Mesir terkenal dengan keganasannya. Setelah kematian isteri, Firaun terdengar berita mengenai kejelitaan seorang gadis dari keturunan keluarga Imran bernama Siti Asiah.Firaun lalu mengutus Menteri bernama Haman supaya meminang Siti Asiah. Pinangan itu ditolak kerana Siti Asiah bencikan sikap pemerintah yang zalim. Penolakan itu menaikkan kemarahan Firaun. Dia menghantar tenteranya menangkap dan menyeksa ibu bapa Siti Asiah dan selepas itu dihumban ke penjara. Kemudian, Siti Asiah dibawa oleh Firaun ke ke penjara tempat kedua ibu bapanya dikurung. Pemerintah yang zalim itu berkata,"Hei, Asiah, Tentulah kau sayangkan ibu bapamu. Kalau kau menerima lamaranku, kau akan hidup senang, dan aku bebaskan ibu bapamu dari penjara. Sebaliknya, jika kau menolak lamaranku, aku akan bakar mereka hidup-hidup di hadapanmu." Kerana ancaman itu, Siti Asiah terpaksa menerima pinangan Firaun dengan mengajukan beberapa syarat iaitu Fir'aun harus membebaskan ibu bapanya, membuatkan rumah indah untuk mereka berdua, lengkap dengan perabotnya. Firaun mesti menjamin kesihatan, dan makan minum. Siti Asiah bersedia menjadi isteri Firaun, hadir dalam acara-acara tertentu,tetapi tidak bersedia untuk tidur bersama Firaun. Sekiranya permintaan tersebut tidak disetujui, Siti Asiah rela mati dibunuh bersama ibu dan bapanya.
Akhirnya Firaun setuju dengan syarat-syarat Siti Asiah. Dipendekkan cerita, Siti Asiah tinggal dalam kemewahan istana bersama-sama Fir'aun. Namun dia tetap melaksanakan ibadah hariannya. Pada malam hari dia selalu solat dan memohon pertolongan Allah SWT supaya kehormatannya tidak disentuh oleh orang kafir, meskipun suaminya sendiri, Firaun. Untuk menjaga kehormatan Siti Asiah,Allah SWT telah menciptakan iblis yang menyerupai Siti Asiah, tidur dan bergaul setiap malam tidur dengan Fir'aun.
Firaun mempunyai seorang pegawai yang amat dipercayai bernama Hazaqil yang secara sembunyi-sembunyi amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Beliau adalah suami Siti Masyitah, juru hias istana yang juga amat taat dan beriman kepada Allah SWT. Mereka berjaya merahsiakan ketaatan mereka terhadap Allah. Suatu ketika Firaun menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang ahli sihir, yang menyatakan keimanannya atas ajaran Nabi Musa a.s.Hazaqil menentang keras hukuman tersebut.Mendengar penentangan Hazaqil, Firaun menjadi marah. Firaun tahu siapa sebenarnya Hazaqil lalu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Hazaqil menerimanya dengan tabah, tanpa merasa gentar sebab yakin dirinya benar.Hazaqil menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tangan terikat pada pohon kurma, dan tubuh penuh ditembusi anak panah.
Masyitah, amat sedih atas kematian suaminya. Dia mengadukan nasibnya kepada Siti Asiah. Ketika barulah keduanya sedar bahawa mereka sama-sama beriman kepada Allah SWT dan Nabi Musa a.s. Suatu hari, ketika Masyitoh sedang menyikat rambut puteri Firaun, tanpa sengaja sikatnya terjatuh ke lantai. Ketika mengambilnya Masyitah berkata, ""Dengan nama Allah binasalah Firaun." Mendengarkan ucapan Masyitah, Puteri Firaun merasa tersinggung lalu melaporkan kepada ayahandanya. Dia dipanggil oleh Firaun. Pertanyaan pertama yang diajukan kepadanya adalah, "Betulkah kau telah mengucapkan kata-kata penghinaan terhadapku. Dan siapakah Tuhan yang engkau sembah selama ini?" Jawab Masyitah, "Betul, Baginda Raja yang zalim. Tiada Tuhan selain Allah yang menguasai segala alam dan isinya." Mendengar jawaban Masyitah, Firaun menjadi teramat marah dan memerintahkan pengawalnya memanaskan minyak sekuali besar.
Sekali lagi Masyitah disuruh memilih supaya mengingkari Allah,dan mengaku Firaun adalah Tuhan yang patut disembah. Masyitah enggan mematuhi Firaun dan tetap beriman kepada Allah SWT. Dia membawa kedua-dua anaknya menuju ke atas kuali. Dia sempat ragu ketika memandang anaknya yang berada dalam pelukan, sedang asyik menyusu. Dengan takdir Tuhan, anak yang masih kecil itu berkata-kata, "Jangan takut ibu. Kematian kita akan mendapat ganjaran dari Allah SWT. Dan pintu surga akan terbuka menanti kedatangan kita." Lalu Masyitah dan anak-anaknya terjun ke dalam kuali minyak mendidih itu, tanpa tangis, tanpa takut dan tidak keluar jeritan dari mulut. Tiba-tiba, tercium bau wangi semerbak harum dari kuali.
Siti Asiah yang menyaksikan kejadian itu, melaknat Firaun dengan kata-kata yang pedas. Dia tidak sudi lagi menjadi isteri Firaun, dan lebih memilih mati seperti Masyitah.Mendengarkan itu Firaun menjadi marah dan menganggap Siti Asiah telah gila. Dia menyeksa Siti Asiah, tidak memberikan makan dan minum, sehingga Siti Asiah meninggal dunia. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Siti Asiah berdoa kepada Allah. SWT, sebagaimana termaktub dalam firman-Nya: "Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata : "Ya Tuhanku, bangunlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim." (Q.S. At-Tahrim [66] : 11) Mereka berdua meninggal dalam keadaan teguh menggenggam tauhid. [Kisah Mutiara Tauladan]

No comments:

Post a Comment