Thursday, April 16, 2015

Kekasih Allah

Allah mencipta manusia dengan kemuliaan. Dia kasih kepada SEMUA hamba-Nya, termasuk yang BELUM ISLAM, memberikan mereka rezeki dan sebagainya, sentiasa menunggu saat mereka mengucapkan SYAHADAH kepada-Nya. Orang Islam pula, walau pernah melakukan jenayah dan maksiat, Allah tetap menunggu saat jiwa MUSLIMIN itu berasa kesal dan BERTAUBAT kepada-Nya. Allah memerintahkan: BUAT APA SAHAJA YANG BAIK, TINGGALKAN APA SAHAJA YANG BATIL. Ini perintah dari Allah. Dalam Surah AlKahfi ayat 110, Allah mengingatkan bahawa barangsiapa yang ingin bertemu dengan-Nya, maka bersegeralah melakukan amal soleh.
Ada 8 CARA MENDAPATKAN KASIH ALLAH --- 1) Sentiasa BERMUHAJADAH (berjuang) di jalan Allah. 2) Sentiasa MELAKUKAN KEBAIKAN. 3) Sentiasa kembali BERTAUBAT kepada Allah. 4) Sentiasa MEMBERSIHKAN HATI, MENJAGA AKHLAK DI HADAPAN KHALAYAK dan DI HADAPAN ALLAH. 5) Sentiasa TAQWA kepada Allah. 6) Dalam menjalankan perintah Allah, meninggalkan kemaksiatan dan menghadapi segala bentuk ujian kehidupan, hendaklah sentiasa bersikap SABAR. 7) Selalu TAWAKAL dan berpegang teguh dengan ketentuan Allah 8) Sentiasa bersikap ADIL dalam apa jua urusan ----- Inilah sifat-sifat manusia AL MUHSININ, dan ia ada dalam peribadi agung Rasulullah s.a.w.
Orang yang dikasihi Allah mempunyai rasa taqwa yang menebal di dalam hati, sentiasa merindui-Nya, dan diterjemahkannya melalui bacaan Al –Quran, kerana ingin memahami “BUALAN ALLAH” yang terpancar dari bait-bait Qalam Allah itu, sehingga terasa begitu MESRA dengan-Nya. Dia sangat mengharapkan redha Allah dalam semua aspek kehidupan dan kematiannya. Sentiasa bersegera dalam mengerjakan kebaikan, kebajikan dan amal soleh dan memohon supaya Allah menunjukkannya jalan yang lurus. Dalam keadaan agama yang terjaga, dia selamat dari apa-apa keburukan dunia dan akhirat, mudah menyelesaikan masalah dunia, keburukan dijauhkan dari sisinya, mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Luaran dan dalamannya dipenuhi cahaya ketenangan maksimum.
Dia sentiasa mencari ilmu dunia berpaksikan ilmu agama menyeluruh dan mengamalkannya dalam keadaan penuh tawaduk. Ilmu yang baik sentiasa dicari, termasuk mengutip ilmu yang diperolehi dari para agamawan di kaca televisyen. Dia beribadah kerana Allah. Bila bersendirian dia menjaga hatinya, di hadapan khalayak dia mengawal tindak-tanduknya. Dia menghayati dan mematuhi perintah Allah yang terkandung dalam ayat ke-4 , Surah Al Fatihah. Solat disempurnakan sebaik mungkin kerana mahu menjadikannya sebagai laluan menuju Zat yang menciptakan dia. Sesungguhnya bilamana seseorang hamba menunaikan hak Allah, Allah akan tunaikan pula hak hamba-Nya.
Cara mengekalkan SYAHADAH hingga ke hujung nyawa (HUSNUL KHOTIMAH): 1) beriman dan beristiqamah dalam ilmu, amal, kebaikan, taubat, tawakal, 2) sentiasa hidup dalam keadaan hati yang bersih, 3) sentiasa bercita-cita untuk mati dalam keimanan. Walau siapapun kita, sama ada orang kecil atau besar, kaya atau miskin, walau di mana pun kita berada, di rumah, pejabat, hospital, masjid, dalam kenderaan, dsbnya, walau apa jua cara kematian kita, kalimah Lailahaillah akan masuk ke dalam jantung hati di saat tiba maut itu.
Ada 5 UJIAN yang sentiasa datang siang dan malam kepada orang mukmin. 1) Orang kafir datang menyerang kita. 2) Orang munafik membenci kita. 3) Syaitan menyesatkan kita. 4) Nafsu menguasai kita. 5) Orang sama-sama mukmin dengki pada kita. Oleh itu KUATKAN DIRI DENGAN ILMU YANG BENAR, SENTIASA BERZIKIR, BERSELAWAT DAN MENTADABBUR/MENGAMALKAN AL QURAN. ISTIQAMAH MELAKUKAN KEBAIKAN, walau sekecil mana pun. LUANGKAN MASA UNTUK ALLAH, NESCAYA DIA AKAN BERI MELUANGKANNYA MELAYAN KITA. Allah memberi ketenangan, kenikmatan, kebahagiaan, keamanan dan segala-galanya kepada sesiapa sahaja yang melakukan itu atas dasar keimanan.
Manusia adalah sebaik-baik ciptaan, namun tetap ada kelemahan (dosa-dosa). Pun begitu, orang beriman tidak akan rasa kecewa kerana menyedari bahawa sifat negatif bukanlah akhlak kekasih Allah. Dia tahu Allah tidak pernah murka kepada mana-mana hamba, selama-lamanya. Dia memberikan motivasi tertinggi iaitu JANGAN PUTUS ASA DENGAN RAHMAT ALLAH. Dia Maha Pengampun. Dalam kecewa ada harapan. Dalam dosa ada keinsafan dan pahala. Dengan setiap kebaikan yang dilakukan, Allah berikan hidayah. Dalam keadaan bertaqwa, hidup sentiasa terarah kepada kebaikan. Hidup sangat indah bila beragama. Hidup jadi celaru bila nafsu menguasai jiwa. Sesungguhnya KEMENANGAN dalam hidup seseorang mukmin itu ialah bilamana dia hidup dalam keadaan dia percaya akan Allah Yang Maha Berkuasa, Allah Yang Maha Esa, dan dia hidup dalam keadaan sentiasa mencari KEBAIKAN dan KEMULIAAN yang menghasilkan KEJAYAAN dunia akhirat.
AKU MENGIKUT KEYAKINAN HAMBA-KU TERHADAP-KU, DAN AKU BERSAMA-SAMANYA APABILA HAMBA-KU ITU INGAT KEPADA-KU.MAKA APABILA DIA INGAT KEPADA-KU DALAM HATINYA, AKU AKAN INGAT KEPADANYA DALAM DIRI-KU. DAN SEKIRANYA DIA INGAT KEPADA-KU DALAM SUATU MAJLIS BERSAMA ORANG RAMAI, AKU AKAN INGAT KEPADANYA DALAM MAJLIS YANG LEBIH BAIK DARIPADA MEREKA. SEKIRANYA DIA MENDEKATKAN DIRINYA KEPADA-KU SEJENGKAL, AKU AKAN MENDEKATKAN DIRI-KU KEPADANYA SEHASTA. SEKIRANYA DIA MENDEKATKAN DIRI DENGAN-KU SEHASTA, AKU AKAN MENDEKATKAN DIRI-KU DENGANNYA SEDEPA. SESIAPA YANG DATANG KEPADA-KU BERJALAN, AKU AKAN DATANG KEPADANYA DENGAN BERLARI. [hadis qudsi]

No comments:

Post a Comment