Wednesday, April 22, 2015

Sahabat Ke Jannah

“Akan masuk ke dalam syurga nanti 70,000 daripada kalangan umat aku yang saling berpegang tangan dari orang yang pertama hingga orang yang ke 70,000.” Dalam hadis ini Nabi s.a.w. hendak mengajar kita tentang nilai persahabatan. Persahabatan tidak bermakna jika tidak sampai ke syurga. Sahabat Nabi s.a.w. paling rapat di dunia dan di syurga ialah Abu Bakar As Siddiq. Sahabat bukan sekadar teman makan, teman menonton bolasepak. Yang penting ialah sifat saling tegur menegur dan memperbaiki kelemahan masing-masing.
Taulan/teman boleh diajak makan bersama-sama dan berbual perkara yang mendapat perhatian umum. Kawan/rakan boleh dipelawa ke rumah untuk berbual perkara yang menarik minat bersama. Terkadang dibenarkan pula bermalam di rumah. Bagaimanapun, sekadar kawan belum boleh dikatakan sahabat andainya salah seorang ditimpa musibah tetapi seorang lagi merenggangkan diri. Betullah kata pepatah, masa senang ramai rakan kenal kita tetapi masa susah, kita kenal siapa pula rakan kita. Sahabat sebenar ialah yang mempunyai hubungan sangat akrab. Masyarakat menilai seseorang dari agama sahabatnya.Janganlah kita menyebabkan rakan kita ditarik masuk ke neraka, dan jangan pula rakan menarik kita masuk ke neraka.
Imam al-Ghazali menuturkan 3 ciri memilih sahabat: 1) SAHABAT SEPERTI MAKANAN ASASI yang sentiasa diperlukan, sukar berenggang dengannya.Ini persahabatan tahap tertinggi. 2)SAHABAT SEPERTI UBAT. Dia dicari dalam masa-masa tertentu sahaja. 3) SAHABAT SEPERTI PENYAKIT mesti dijauhi dan tidak diperlukan. Allah melarang kita mengikuti orang yang mengikut hawa nafsu semata-mata. Kedekatan dengannya sentiasa membawa masalah dan jalan yang tidak diredhai oleh Allah. “Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia menyukai apa yang disukai oleh sahabatnya.” Inilah sifat para sahabat Nabi s.a.w. Pernah nabi mengesyorkan mereka meraikan sahabat yang datang dari jauh. Lalu Abu Ubaidah yang hidup agak susah mempelawa sahabat itu makan malam di rumahnya, sedangkan makanan yang ada hanya untuk anak beranak mereka sahaja. Abu Ubaidah menyuruh anak-anaknya tidur awal dan meminta isterinya mendahulukan hidangan itu untuk sahabat di samping memadamkan lampu. Di dalam suasana gelap, sahabat yang sedang makan itu tidak perasan bahawa Abu Ubaidah dan isteri hanya pura-pura makan sahaja. Inilah pengorbanan Abu Ubaidah.
Suatu hari Nabi s.a.w. bersabda di hadapan para sahabatnya, “Aku rindu hendak berjumpa dengan ikhwan.” Lalu Tanya sahabat, “Bukankah kami ini ikhwanmu?” Jawab baginda, “Kamu ini sahabat aku tapi yang aku rindukan ialah orang yang sentiasa menyebut namaku, sentiasa selawat kepadaku, dan beriman kuat kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihat aku.” Tidakkah kita mahu menjadi ikhwan kepada baginda yang sentiasa dirinduinya? Tidakkah kita mahu masuk ke syurga berganding tangan dengan baginda dan para sahabatnya?

No comments:

Post a Comment