Friday, April 24, 2015

Kolam Kontang Perasaan


Kekayaan hati adalah pemberian Allah untuk dinikmati dan dijaga sebaik mungkin. Di antara cara terbaik menjaganya ialah dengan bersimpati kepada yang memerlukan dan membukakan jendela kasih sayang untuk mereka. Dalam berkasih sayang jadilah seperti MATAHARI yang tidak pernah lelah MEMBERI CAHAYA sehingga sang bulan datang mengganti. Dalam menutup kekeliruan orang lain jadilah seperti MALAM GELITA MENYEMBUNYIKAN KEBURUKAN mereka. Dalam bermurah hati dan berkorban jadilah seperti SUNGAI MENGALIR tanpa henti. Dalam menangani kemarahan jadilah seperti JENAZAH KAKU yang tidak berdaya memarahi sesiapapun lantaran telah terpisah roh dari jasadnya. Dalam kerendahan hati jadilah seperti TANAH, meskipun berada di paras paling bawah namun masih boleh menghidupkan tumbuhan tanpa memerlukan puji-pujian. Banyak kolam hati mengaku dipenuhi dengan cinta namun hakikatnya yang ada hanya kolam kontang perasaan.


Dua orang pelajar sekolah rendah membawa bungkusan nasi lemak yang DIPESAN oleh rakan sekelas masing-masing. Namun nasi lemak itu DIRAMPAS oleh pengetua perempuan sekolah tersebut dan DIPULANGKAN selepas tamat sesi persekolahan. Nasi lemak itu basi, menyebabkan kedua-dua pelajar mengalami kerugian RM17, jumlah yang mungkin hendak digunakan untuk meringankan bebanan hidup. Sepatutnya pengetua tersebut selidiki dahulu keadaan sebenar sebelum merampas. Sudah kontang rasa PERIKEMANUSIAAN dan BELAS EHSAN sehingga REZEKI ORANG DAIF DINAFIKAN.

No comments:

Post a Comment