Monday, April 13, 2015

Awasi Keselamatan Data Peribadi

Secara umum, perlindungan data bertujuan untuk memastikan keselamatan terhadap maklumat yang kita berikan kepada pihak-pihak tertentu tidak disalahgunakan untuk kepentingan mereka. Perlindungan data ini melibatkan pengunaan data peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, alamat tempat kerja, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan nombor kad kredit yang boleh digunakan oleh pihak yang mempunyai akses terhadap data tersebut tanpa mendapat keizinan terlebih dahulu untuk tujuan yang tidak diingini.
Antara masalah yang sering dikaitkan ialah penyalahgunaan data peribadi ialah DATA PERIBADI DIJUAL KEPADA PIHAK KETIGA. Kita mungkin pernah menerima panggilan telefon, pesanan ringkas atau emel daripada syarikat yang menawarkan perkhidmatan atau produk tertentu. Sekiranya kita tidak mempunyai sebarang rekod perhubungan dengan syarikat tersebut, sudah tentu kita berasa curiga bagaimana maklumat tentang diri kita boleh diperolehi oleh mereka. Terdapat kes yang dilaporkan mengenai senarai pangkalan data sebuah bank yang mengandungi lebih satu juta senarai nama pelanggan, tempat tinggal, nombor telefon bimbit, jenis kad kredit yang dimiliki (classic, gold atau platinum), nombor kad pengenalan dan sebagainya dijual melalui iklan surat khabar dengan harga RM100 sahaja. Ini bermakna harga bagi data peribadi untuk seorang pelanggan dijual dengan harga yang terlalu rendah. Keadaan seperti ini sangat membimbangkan kerana melibatkan data peribadi sulit yang perlu dilindungi.
Pembeli data peribadi memerlukannya untuk mendapatkan pelanggan baru bagi promosi produk keluaran perniagaan mereka. Selain itu, pangkalan data daripada syarikat kad kredit amat berguna kepada perniagaan kerana ia memaparkan corak pembelian individu. Contohnya, pemaju perumahan yang ingin menjual rumah kos tinggi akan menghubungi individu yang mempunyai corak perbelanjaan yang mewah. Bagi mereka, sekiranya mereka mendapat maklumbalas sebanyak lima hingga tujuh peratus daripada data peribadi yang diperolehi, ia merupakan satu pulangan yang baik.
Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah KECURIAN IDENTITI. Ini merupakan satu ancaman yang serius kepada keselamatan diri kita kerana data peribadi yang dicuri boleh digunakan secara tidak sah seperti tarikh lahir, nombor akaun bank, nombor kad kredit, kata laluan internet atau sebarang maklumat penting boleh digunakan oleh individu yang tidak amanah dengan sewenang-wenangnya. Ini mengakibatkan kita menanggung risiko kerugian kewangan.
Perlindungan data belum dapat memberikan keselamatan menyeluruh kepada pengguna. Kita sendiri yang mesti mengambil langkah berhati-hati ketika memberikan maklumat peribadi kepada bank untuk memohon kad kredit, syarikat telekomunikasi untuk mendaftar perkhidmatan telekomunikasi ataupun maklumat peribadi yang diberikan melalui lawan web seperti laman web jaringan sosial (facebook, myspace dan sebagainya).

No comments:

Post a Comment