Thursday, June 2, 2016

Sedekah Bukan Kebendaan


Banyak sedekah yang bukan bersifat kebendaan. Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Setiap anggota badan manusia diwajibkan bersedekah setiap harinya selama matahari masih terbit; kamu mendamaikan antara dua orang yang berselisih adalah sedekah; kamu menolong seseorang naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang bawaannya ke atas kenderaannya adalah sedekah; setiap langkah kakimu menuju tempat solat juga dihitung sedekah; dan menyingkirkan duri dari jalan adalah sedekah.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menyarankan betapa perlunya seseorang bersedekah dalam hidupnya selama matahari masih terbit (selama dunia belum kiamat). Di antara sedekah yang dianjurkan dalam hadis di atas adalah:

1. Mendamaikan Orang yang bersengketa.
Jika ada dua orang yang bersengketa dan meminta bantuan kita, maka kewajipan kita adalah mendamaikan persengketaan mereka. Hal ini di kira sebagai sedekah.

2. Menolong orang lain menaiki kenderaan.
Jika ada orang yang sakit atau orang tua yang meminta tolong untuk menaiki kenderaannya. Pertolongan tersebut dianggap sebagai sedekah.

3. Mengangkat barang orang lain.
Membantu orang lain mengangkatkan barang bawaannya untuk meringankan bebanan yang dibawanya, maka hal itu pun sudah dianggap sebagai sedekah.

4. Melangkah ke tempat solat.
Setiap langkah kaki kita atau menaiki kenderaan menuju ke tempat ibadah untuk mendirikan solat 5 waktu sudah dianggap sebagai sedekah. Oleh kerana itu ringankan langkah kaki kita untuk menuju ke tempat ibadah setiap kali azan berkumandang.

5. Membuang duri di jalan.
Jika kita menjumpai sesuatu di jalanan yang akan menghalang perjalanan seseorang seperti duri, paku, kaca atau lainnya. Membuang atau mengetepikannya adalah sedekah bagi mereka yang melakukannya.

Para ulama berpendapat tentang hadis di atas:

-Imam Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan sedekah di sini adalah sedekah yang dianjurkan, bukan sedekah wajib.
-Ibnu Bathal dalam Syarah Shahih al-Bukhari menambahkan bahawa manusia dianjurkan untuk sentiasa menggunakan anggota tubuhnya untuk kebaikan. Hal ini sebagai bentuk rasa syukur terhadap nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.
-Penulis kitab ‘Umdatul Qari Badruddin al-Ayni berpendapat bahawa segala amal kebaikan yang dilakukan atas dasar keikhlasan, ganjaran pahalanya sama dengan pahala sedekah.
-Dalam kitab Adab al-Mufrad, al-Bukhari meriwayatkan, apabila seorang tidak mampu untuk melakukan perbuatan yang disebutkan di atas, memadai ia menahan dirinya untuk tidak menganggu orang lain. Kerana secara tidak langsung, ia sudah memberi (sedekah) keamanan dan menjaga keselamatan orang banyak.

Selama kita mampu melakukan banyak hal, peluang untuk bersedekah masih terbuka luas. Sedekah tidak hanya berupa wang, tetapi juga memanfaatkan anggota tubuh kita untuk orang lain dalam perkara yang baik.

Para ulama mengatakan, amalan-amalan yang disebutkan dalam hadis di atas hanya sekadar contoh, bukan membatasi. Penafsiran hadis ini masih dapat diluaskan cakupannya.

Secara amnya, segala bentuk amalan yang dilakukan anggota tubuh badan kita, akan dinilai sebagai sedekah oleh Allah SWT bila dilakukan dengan penuh keikhlasan dan semata-mata mencari keredhaan Allah S.W.T.

[Sumber: FB Bud Ops Frenz]

No comments:

Post a Comment