Tuesday, June 14, 2016

Kehebatan 7 Siti


1. SITI MARYAM

Siti Maryam amat taat dalam melaksanakan perintah Allah, sentiasa menjauhi perbuatan maksiat dan dosa. Setiap hari dihabiskan untuk beribadat kepada Allah. Kesucian beliau terpelihara kerana beliau tidak pernah keluar dari biliknya apatah lagi untuk dilihat dan disentuh oleh mana-mana lelaki. Beliau merupakan wanita soleh dan suci yang Allah pilih menjadi ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam.

2. SITI HAJAR

Siti Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim. Kisahnya disebut dalam al-Quran walaupun namanya tidak disebut. Selain dalam Islam, kisah beliau juga disebut dalam tradisi agama Yahudi dan Kristian. Beliau dibawa Nabi Ibrahim ke kota purba bernama Faran yang kini menjadi lokasi Makkah. Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail dan kembali ke Palestin.

Pada saat ketiadaan air, kehausan dan kelaparan, Siti Hajar berlari-lari 7 kali antara Bukit Safa dan Marwah, hinggalah akhirnya Allah menganugerahkan Air Zam-Zam dari hentakan kaki Nabi Ismail. Tempat itu akhirnya menjadi penempatan kafilah Arab yang akhirnya membangunkan kota itu. 13 tahun kemudian Nabi Ibrahim mengunjungi Makkah dan membina semula kaabah bersama Nabi Ismail.

Hingga kini air Zam-Zam tidak pernah kering dan tempat yang kontang dulunya kini menjadi kunjungan berjuta umat Islam.

3. SITI ASIAH

Beliau menjadi isteri kepada Firaun, tokoh kafir paling dahsyat. Dalam masa yang sama beliau menjadi ibu angkat kepada Nabi Musa sewaktu ramai anak-anak lelaki bani Israil dibunuh. Beliaulah yang mempertahankan Nabi Musa dari kesombongan Firaun yang mengaku dirinya tuhan. Hanya Asiah, satu-satunya wanita di istana Firaun yang beriman kepada Allah.

Akhirnya Asiah dihukum pancung oleh Firaun kerana tidak berganjak pendiriannya beriman kepada Allah dan menolak pujukan Firaun supaya mengaku Firaun sebagai Tuhan.

Kisah Asiah ketika hendak dipancung ada disebut dalam Surah At-Tahrim ayat 11 bermaksud, "Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan bagi orang-orang yang beriman iaitu perihal isteri Firaun ketika ia berkata: “Tuhanku, binalah untukku sebuah istana di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.”

Permohonan Asiah diperkenankan oleh Allah S.W.T, lalu Allah perintahkan kepada malaikat: “ Sesungguhnya hamba-Ku memohon pada-Ku dan aku perkenankan permohonannya. Maka perlihatlah kepadanya gambarannya kerana suaminya di dunia akan Aku ganti dengan suami yang lebih baik di dalam syurga, istananya yang ada di dunia akan Aku ganti dengan istana yang lebih baik di dalam syurga."

4. SITI AMINAH

Beliau adalah wanita yang tabah mengharungi cabaran hidup biarpun kehilangan suami, Abdullah bin Abdul Mutalib pada saat sarat mengandung. Pada 12 Rabiulawal tahun Gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi, lahirlah Nabi Muhammad dengan penuh rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Insan paling gembira mendengar perkhabaran itu adalah Abdul Mutalib.

Berkatalah Muhammad puteranya tentang nasabnya. “Allah telah memilih aku dari Kinanah, dan memilih Kinanah dari suku Quraisy bangsa Arab. Aku berasal dari keturunan orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik, dari orang-orang yang baik. Allah memindahkan aku dari sulbi yang baik ke rahim yang suci secara terpilih dan terdidik. Tiadalah bercabang dua, melainkan aku di bahagian yang terbaik.”

Risalah yang dibawa putera tunggal Siti Aminah cukup sempurna, benar dan kekal sepanjang zaman. Suatu risalah yang bermaslahat bagi ummat manusia. Berkatalah Ibnu Ishaq tentang Aminah binti Wahb ini. “Pada waktu itu ia merupakan gadis yang termulia nasab dan kedudukannya di kalangan suku Quraisy.”


5. SITI KHADIJAH

Saidatina Khadijah binti Khuwailid ialah wanita pertama beriman kepada Allah dan rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan mengukuhkan tekad Nabi Muhammad dalam melaksanakan risalah dakwah Islamiah. Beliau sentiasa berusaha meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan suaminya dalam berdakwah.

Rasulullah ketika menceritakan keperibadian Khadijah bersabda, maksudnya: “ Demi Allah, tidak ada ganti yang lebih baik daripada dia, yang beriman kepadaku saat semua orang ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan daripadanyalah aku mendapatkan keturunan.”

Siti Khadijah berasal daripada keturunan terhormat serta terkenal sebagai wanita tegas dan cerdas.Beliau adalah wanita kaya dan terkenal serta mampu hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya untuk memudahkan tugas suaminya.Hal ini menunjukkan beliau adalah wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan Rasulullah sepanjang kehidupan mereka.

6. SITI AISYAH

Aisyah binti Abi Bakar bin Osman, biasa dipanggil Ummu Abdillah, dan digelar Ash-Shiddiqah (wanita yang membenarkan). Dia juga masyhur dengan panggilan ummul mukminin, dan Al-Humaira’, kerana warna kulitnya sangat putih.

Beliau dilahirkan tahun ke-4 atau ke-5 setelah kenabian Nabi Muhammad s.a.w., adalah isteri yang dicintai oleh Rasulullah, dan yang paling banyak merawikan hadis. Beliau merawikan 2210 hadis, 279 di antaranya terdapat di dalam Shahih Bukhari, adalah wanita paling luas ilmu dan pemahamannya.
Beliau termasuk wanita muslimah paling faqih dan paling mengerti tentang sastera dan agama.

Aisyah sangat zuhud, dermawan luar biasa, ahli ibadah dan puasa. Digelar Ummul Mukminin kerana menjadi ibu angkat kepada anak-anak yatim di mana bapa-bapa mereka syahid di medan perang.

7. SITI FATIMAH

Saidatina Fatimah az-Zahra r.a. adalah puteri bongsu kesayangan Rasulullah s.a.w. Beliau mendapat gelaran Assidiqah (wanita terpercaya), Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Azzahra (bunga yang mekar semerbak). Dia juga digelar Al-Batuul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlaq, adab,hasab dan nasab.

Siti Fatimah az-Zahra menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah S.W.T., dengan tangisan kesedihan Siti Fatimah membersihkan tubuh Nabi s.a.w. dari kotoran yang taburkan oleh kaum Quraisy.

Kepada Salman Al-Farisi, Rasulullah s.a.w. pernah bercerita tentang kearifan yang dicapai oleh Fatimah. Baginda bersabda, "Wahai Salman, ketahuilah bahawa Allah S.W.T. telah memenuhi kalbu dan seluruh jiwa raga puteriku dengan keimanan."

Sebagai pendamping hidup Saidina Ali r.a, Fatimah juga tampil sebagai isteri yang ideal dan suri rumah yang penuh tanggungjawab. Bahkan beliau turut menggerakkan beberapa protes sosial terhadap status-quo yang merampas kekhalifahan Ali r.a dan pencerobohan ke atas tanahnya.

Insan sehebat Imam Ali r.a merasa tenang dan damai di sisinya. "Demi Tuhan, hingga akhir hayatnya, tidak pernah aku merasa kecil hati dengan perilakunya atau memaksanya. Begitu juga tidak pernah dia merasa marah terhadapku atau tidak mentaatiku. Saat aku melihat Fatimah," kata Imam Ali, "hilanglah duka dari seluruh jiwaku."
Beliau merupakan ibu kepada Al-Hassan dan Al-Husein cucunda Rasulullah SAW.
Al-Hassan menuturkan; "Ibuku adalah dia yang memenuhi malamnya dengan doa dan munajat hanya kerana umat Muhammad."

No comments:

Post a Comment