Friday, October 30, 2015

Tutup Aurat Sebelum Aurat Ditutupkan

Hanya kita yang tahu kata laluan akaun facebook kita sendiri ... hanya kita yang boleh akses. Selepas kita mati, apa yang jadi pada akaun fb kita? Mungkin ada yang akan ucapkan takziah, mungkin ada yang selalu menjenguk bagi mengubat rindu. Tetapi sedarkah kita gambar-gambar kita yang tidak menutup aurat dengan sempurna akan terus membuatkan kita terseksa di alam kubur? Lelaki ajnabi terus-terusan tengok dan dalam masa yang sama, tiada siapa yang boleh padam gambar kita.Walau sudah bertahun-tahun kita mati, gambar itu terus ada, saham dosa terus meningkat. Tudung singkat yang dipakai itu, akan selamatkan kita dalam kubur nanti? Legging dan jeans ketat, boleh selamatkan kita? Baju yang membalut aurat itu, bagaimana?
Mungkin sekarang kita masih merasa tidak sabar hendak berkongsi cerita dengan gambar-gambar yang cantik, tempat-tempat yang kita sudah lawati di muka bumi-Nya, tetapi akhirnya nanti semua itu tidak akan membawa erti. Hanya tinggal kenangan bagi yang masih hidup. Di alam kubur, semua itu tidak sedikit pun boleh menyelamatkan kita sehingga hari akhirat. Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan. Peliharalah dirimu sebelum dirimu dikapankan. Jagalah maruah diri sebagai seorang muslimah. Mati itu pasti, persiapkan diri untuk mati. Wallahu'alam..[Peringatan dari Hairul Nizam Ijam]

Kata-Kata Hikmat Imam Syafie

"Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung perihnya kebodohan."---"Berapa banyak manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sedang ditenun".---"Orang yang berilmu dan beradab, tidak akan diam di kampung halaman. Tinggalkan negerimu, merantaulah ke negeri orang."---"Jangan cintai orang yang tidak mencintai Allah. Kalau Allah saja ia tinggalkan, apalagi kamu." ---"Barangsiapa yang menginginkan Husnul Khatimah, hendaklah ia selalu bersangka baik dengan manusia".---"Doa di saat tahajud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran."---"Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat.”---"Seorang sufi tidak menjadi sufi jika ada pada dirinya 4 perkara: malas, suka makan, suka tidur dan berlebih-lebihan".---"Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi maka ia benar-benar menasihatimu. Siapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya menghinamu." "Jadikan akhirat di hatimu, dunia di tanganmu, dan kematian di pelupuk matamu." ---"Jika saja dunia ini dijual di pasar, aku tidak akan membelinya seharga sepotong roti kerana semua permasalahan yang dimilikinya."

Hadiah Terbaik

Hadiah tidak semestinya berupa wang ringgit atau harta benda. Banyak cara untuk kita menghadiahkan sesuatu kepada orang tersayang tanpa perlu membelanjakan wang yang ada. Hadiah terbaik untuk seorang sahabat adalah doa.Hadiah terbaik untuk seorang musuh adalah kemaafan. Hadiah terbaik untuk seorang guru adalah kejayaan. Hadiah terbaik untuk murid adalah teladan. Hadiah terbaik untuk sebuah kehidupan adalah kasih sayang. Hadiah terbaik untuk sebuah kematian adalah al-Fatihah. Hadiah terbaik untuk ibu bapa adalah kebaktian. Hadiah terbaik untuk isteri adalah penghargaan. Hadiah terbaik untuk suami adalah kesetiaan. Hadiah terbaik untuk anak adalah pendidikan. Hadiah terbaik untuk diri sendiri adalah kejujuran. Hadiah terbaik untuk orang yang tidak dikenali adalah senyuman. Hadiah terbaik untuk Rasulullah adalah selawat. Hadiah terbaik untuk Allah S.W.T. adalah ketaqwaan. Sentiasalah bermurah hati untuk menghadiahkan sesuatu kepada insan sekeliling kita kerana pemberian hari ini adalah ganjaran untuk hari esok. [Senyum Sokmo]

Jarak Dunia Dan Akhirat Bagai Memejam Mata

Jabir bin Abdullah berkata, "Pada suatu hari sewaktu saya bersama baginda Rasulullah s.a.w., tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya sangat cantik dan dia memakai pakaian putih. Lantas dia menghampiri Rasulullah s.a.w. dengan berkata : "Assalamualaikum ya Rasulullah, apakah ertinya dunia?" Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata, " Dunia itu adalah impian orang yang tidur". Bertanya orang itu lagi, "Apakah ertinya akhirat itu, ya Rasulullah s.a.w.?" Berkata Rasulullah s.a.w., " Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada di dalam Neraka Sa'ir".
Orang itu bertanya lagi, "Apakah Syurga itu?" Berkata Rasulullah s.a.w., "Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia, kerana sesungguhnya nilai Syurga itu sama dengan menjauhkan dunia ini". Bertanya orang itu lagi, "Apakah Jahannam itu?" Maka berkata Rasulullah s.a.w, "Jahanam itu adalah sebagai ganti dunia bagi mereka yang mencarinya." Bertanya orang itu lagi, "Siapakah sebaik-baik umat ini?" Berkata Rasulullah s.a.w, "Sebaik-baik umat ialah yang taat kepada Allah S.W.T". Orang itu bertanya lagi, "Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?" Berkata Rasulullah s.a.w, "Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah." Orang itu bertanya lagi,"Seberapakah ketentuan taat itu?" Berkata Rasulullah s.a.w., "Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah". Bertanya orang itu lagi, "Berapa jarak jauhnya Dunia dengan Akhirat itu?" Berkata Rasulullah s.a.w, "Hanya sekadar memejamkan mata saja."
Jabir melanjutkan cerita, "Setelah orang itu pergi, kami tidak lagi melihat orang itu." Rasulullah s.a.w bersabda, "Lelaki yang datang tadi adalah Jibril a.s. Dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan mencintai akhirat." Berkata Rasulullah s.a.w lagi, "Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak menciptakan makhluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan Dia (Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya".

Thursday, October 29, 2015

Suami Wanita Penghuni Syurga

Syeikh Muhammad al-’Utsaymīn pernah ditanya, “Jika seorang wanita dari kalangan ahli syurga belum pernah bernikah di dunia, atau beliau sudah bernikah namun suaminya tidak masuk syurga, maka siapakah yang akan bersama wanita itu di syurga?” Beliau menjawab, “Jawapan atas pertanyaan ini dapat diambil dari firman Allah Taala bermaksud: “Dan bagi kamu di dalamnya (akhirat) apa yang kamu inginkan dan bagi kamu (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai hidangan (bagimu) dari Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Fushshilat ayat 31-32). Juga dari firman Allah Taala bermaksud: “Dan di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diingini oleh hati dan sedap (dipandang) mata dan kamu kekal di dalamnya.” (Surah Az-Zukhruf ayat 71).
"Jika seorang wanita penghuni syurga dan dia belum pernah bernikah (di dunia), atau ternyata suaminya (di dunia) tidak termasuk dalam kalagan ahli syurga, maka dia akan mendapati bahawa di syurga ada pemuda-pemuda yang juga belum bernikah (di dunia), yang mana pemuda-pemuda tersebut memiliki isteri-isteri dari kalangan bidadari dan wanita-wanita dunia, jika mereka menghendaki dan jiwa mereka menginginkan hal itu. Maka begitu pula yang kita katakan terkait dengan wanita iaitu apabila dia belum memiliki suami (di dunia) atau dia memiliki suami di dunia namun suaminya tidak masuk syurga bersamanyanya, apabila dia ingin menikah maka dia pasti akan mendapatkan apa yang ia inginkan, berdasarkan keumuman ayat-ayat di atas. Pada ketika ini saya belum dapat nas yang khusus dalam permasalahan ini, dan ilmu adalah milik Allah Taala.” [Fatwa al-Aqidah, hal. 312].
Dalam kesempatan lain beliau berkata, “Termasuk hal yang umum diketahui bahawa pernikahan termasuk perkara yang paling diinginkan oleh jiwa, TERWUJUD bagi penduduk syurga, baik lelaki mahupun wanita.” Beliau juga berkata, “Hanyalah disebutkan isteri-isteri bagi para lelaki, sebab lelaki adalah pihak yang mencari dan menginginkan wanita. Kerana itulah hanya disebutkan isteri-isteri bagi para lelaki di syurga dan tidak disebutkan suami-suami bagi para wanita. Namun hal ini bukan bererti para wanita tersebut tidak memiliki suami (di syurga), bahkan wanita-wanita tersebut memiliki suami-suami dari kalangan anak Adam.” [Fatwa al-Aqidah, hal. 313].[Sumber diperolehi dari Hairul Nizam Ijam].

Tuesday, October 27, 2015

Hati Dan Mati

BILA INGATKAN MATI, tiada lagi DENGKI MENDENGKI. Tidak ada lagi sikap PENTINGKAN diri sendiri. Boleh dibuang semua rasa BENCI. Kesalahan dan dosa orang DIAMPUNI. Selalu MENGINSAFI diri.BERUSAHA lebih kuat lagi.Kita saling MENASIHATI.Kita MENGHIDUPKAN hati. Tiada KESEDIHAN lagi. Begitu seronok hendak BERBAKTI. Hidup menjadi lebih BERERTI. Kepada ALLAH kita KEMBALI.
Akibat 'membiasakan' dosa, lalu amalan Al-Quran dan Al-Sunnah menjadi luar biasa.
Kerana sakit hati, ramai yang lebih suka memaki hamun daripada memberi kemaafan dan kasih sayang. Kesannya, lahirlah masyarakat yang penuh dengan dendam.

Jerebu Di Langit Jerebu Di Hati

Kita melihat langit berjerebu dengan begitu pantas sehingga menyesakkan nafas, memerahkan mata dan batuk tidak berhenti. Tetapi kita lupa hati kita yang berjerebu, menyesakkan iman, menghilangkan taqwa. Api penyebab jerebu disiram dengan air untuk memadamkannya. Marilah kita padam jerebu di hati dengan air wuduk yang sempurna. Ia bakal menjadi penyebab kita kembali ke sejadah yang akhirnya membuahkan amalan-amalan ibadah yang lain.In Sya Allah.
Anggota Tentera Nasional Indonesia menunaikan sholat istiqa memohon supaya diturunkan hujan sebelum melakukan kerja memadam kebakaran hutan di Palembang, Sumatera Selatan. Semoga hujan segera turun, hujan yang membawa berkah, bukan yang membawa padah. Semoga Allah Yang Maha Berkuasa mengampunkan segala dosa hamba-hamba-Nya yang melampaui batas dan menyebabkan jerebu berlarutan sehingga merebak merentas sempadan ke negara-negara jiran.

Monday, October 26, 2015

Balasan Maksiat Yang Disegerakan

Daripada Ibnu Omar r.a. berkata: Berhadap Rasulullah saw. kepada kami (pada suatu hari) kemudian beliau bersabda; "Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu telah mengerjakannya), maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah swt., semoga kamu tidak menemui masa itu.
Perkara­-perkara itu ialah:.... Tiada terzahir (nampak) perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus terang melakukannya, kecuali mereka akan ditimpa penyakit Tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka, dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang telah lalu.... Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan, kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman daripada kalangan pepimpin mereka....Dan tiada menahan mereka akan zakat harta benda kecuali ditahan untuk mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada ada binatang (yang juga hidup diatas permukaan bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah S.W.T.... Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan Rasul-Nya kecuali Allah akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka....Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri ".(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Hadis di atas menerangkan bahawa,...Penyakit Thaun dan Aids disebabkan banyak berlaku zina....Sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan disebabkan rakyat mengurangkan sukatan dan timbangan.... Kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat....Musuh mampu mengambil sebahagian dari apa yang dimiliki oleh kaum Muslimin (seperti hilangnya Tanah Palestin dari tangan kaum Muslimin) disebabkan mereka mengkhianati janji-ianji mereka kepada Allah S.W.T....Perang saudara yang berlaku di kalangan kaum Muslimin disebabkan mengenepikan hukum­hukum Allah dan tidak mahu menjadikan Al-Quran sebagai undang-undang di dalam kehidupan.

Urus Diri Sebelum Mengurus Orang

PESANAN IMAM HASAN AL BASRI:""Kamu tidak akan beroleh hakikat iman selagi kamu mencela seseorang dengan sebuah aib yang sebenarnya ada pada dirimu sendiri. Perbaikilah aibmu terlebih dahulu, kemudian barulah kamu perbaiki orang lain. Setiap kali kamu memperbaiki satu aibmu, maka akan nampak aib lain yg harus kamu perbaiki. Dan akhirnya kamu akan sibuk memperbaiki dirimu sendiri. Sesungguhnya hamba yang paling dicintai oleh Allah S.W.T. adalah orang yang sibuk memperbaiki dirinya sendiri. Sepanjang sejarah kehidupan manusia, tidak ada hari seperti hari kiamat, di mana hari aib seseorang terbuka dan mata akan menangis."
PESANAN SAYYID SYEIKH HISAHM AL HASSAINI: "Wahai Muslimin, Bergembiralah dengan apa yang telah ALLAH berikan kepada kamu. Jangan melihat apa yang ada di atas kamu kerana kamu akan keletihan...Akan tetapi pandanglah apa yang berada dibawah kamu dan kamu akan merasai kegembiraan.Apabila kamu memandang orang yang berada dibawah kamu, maka katakanlah "Ya Rabbi, syukran lillah." Apabila kamu memandang apa yang berada di atas, melihat langit dan bintang kamu akan keletihan.
Malik bin Dinar berkata, "Aku bertanya kepada Al-Hasan, 'Apakah hukuman untuk seorang yang berilmu? 'Al-Hasan menjawab,'Matinya hati.' Aku bertanya. 'Apa yang dimaksudkan dengan matinya hati?' Al-Hasan menjawab, 'Mencari dunia dengan amalan akhirat.'" Malik berkata, 'Hendaklah sesiapa yang menuntut ilmu itu memperolehi ketenangan, dan perasaan takut. Hendaklah dia mengikuti jejak-jejak orang sebelumnya.'
Al-Imam Al-Syafie berkata, "Hiasan ilmu itu ialah waraK dan kelembutan.Tidaklah ilmu itu mencantikkan atau memperelokkan kecuali dengan adanya tiga perkara iaitu Taqwa kepada Allah,Mengikuti sunnah, Perasaan takut kepada Allah.Bukanlah ilmu itu apa yang dihafaz. Ilmu itu apa yang memberi manfaat. [Al-Adab Al-Syariyyah, jilid 2, m/s 116 (Syamilah)]
DEMI MASA ---Setiap saat kita semua ada dalam pengawasan ALLAH..Setiap saat amat berharga untuk mengumpul bekalan pulang kita..Setiap saat amat bernilai untuk menebus dosa dan kesalahan kita..Setiap saat pasti harus kita pertanggungjawabkan..

Perceraian Suami Isteri

Seseorang wanita memohon perceraian disebabkan suami tidak solat, minum minuman keras, mengambil dadah, memaksa isteri membuat kerja haram, mendera dan mencederakan isteri tanpa sebab dan sesuka hati, tidak memberikan hak-hak isteri, tidak mahu mendengar nasihat berkenaan perintah-perintah Allah, tidak memberi nafkah, dan melakukan dosa-dosa besar, maka isteri dalam kes ini tidak bersalah dan akan mendapat redha Allah kerana berpisah dengan suami yang derhaka kepada Allah S.W.T. Dia melakukan itu kerana ingin memelihara diri dan agamanya.
Namun jika berlakunya perceraian kerana isteri ada lelaki lain atau isteri nusyuz dan suami tidak bersalah atau suami berpoligami dan isteri tidak sanggup bermadu maka isteri itu berdosa dan akan mendapat laknat Allah dan tidak akan cium bau syurga.Hadis riwayat Tsauban radhiallahu’anhu disebutkan: “Siapa saja wanita yang minta diceraikan suaminya tanpa alasan yang dibolehkan maka haram baginya bau syurga” (HR Ahmad 5/277). Hadis lain riwayat Uqbah bin Amir radhiallahu’anhu menyebutkan:“Sesungguhnya wanita-wanita yang melepaskan dirinya dan memberikan harta kepada suaminya agar diceraikan, mereka adalah orang-orang munafik” (HR Thabrani dalam Al Kabir : 17/339, dalam shahihul jami’ hadits No : 1934)

Sunday, October 25, 2015

Khasiat Pokok Tetulang

Pokok tetulang merupakan tumbuhan herba yang unik bentuknya kerana pokok ini hanya mempunyai batang dan ranting yang berbentuk seperti tulang atau rangka tanpa daun atau buah. Antara khasiat pokok tetulang ialah merawat bisul, bengkak atau patah. Terlebih dahulu layurkan ranting dahannya yang segar atas api yang sederhana besar beberapa minit dan bila kepanasannya reda sedikit, tuamkan ranting dahan pokok tetulang ini pada tempat yang terkena bisul, bengkak atau patah. Balutlah dengan kain bersih. Amalkan sehingga kesan kesakitannya hilang. Untuk menghilangkan ketuat, ambil cecair getah warna putih yang keluar apabila dipatahkan mana-mana dahannya yang sudah matang, selawat dan sapu pada kawasan yang terkena ketuat setiap hari sehingga hilang. Untuk sakit sendi tulang, patahkan beberapa ranting pokok tulang bersama getahnya, rebuskan pokok tersebut dan air rebusan tersebut dijadikan air mandian.

Kelebihan Membaca Al-Quran

Rasulullah s.a.w.telah bersabda, “Apabila seorang hamba khatam Qurannya, 60,000 malaikat berdoa untuknya." (Riwayat Dailami). Membaca Al-Quran sememangnya berpahala besar,seperti dijelaskan diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”
Membaca Al-Quran di dalam solat lebih pahalanya berbanding di luar solat. Aishah r.anha meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Membaca Al-Quran dalam solat adalah lebih afdal daripada membaca Al-Quran di luar solat. Membaca Al-Quran di luar solat lebih afdal daripada tasbih dan takbir (memuji Allah S.W.T.). Tasbih adalah lebih afdal daripada sedekah, sedekah adalah lebih afdal daripada puasa dan puasa adalah penghalang daripada api neraka.” (Riwayat Baihaqi).
Abu Said r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah S.W.T. berfirman, “Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingati-Ku dan berdoa kepada-Ku kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku kurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepada-Ku”. Ketinggian perkataan Allah S.W.T. ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah S.W.T ke atas segala makhluk ciptaan-Nya.” (Riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi).
Disebut dalam hadis: Bacalah A-Quran. Ambillah mana-mana ayat untuk apa-apa (tujuan) sekalipun, ia mujarab. Syaratnya hendaklah dicukupkan bayaran zakat ayat itu, misalnya zakat Surah Al-Ikhlas (Qulhu wallah) ialah 70,000. Jadi untuk beramal dengan surah itu perlulah dicukupkan bilangan zakatnya sebelum digunakan.Bacalah sekurang-kurangnya 100 ayat setiap hari, boleh juga diulang surah yang sama, misalnya Surah Al-Ikhlas (Qulhu wallah) sebanyak 25 kali, bersamaan 100 ayat.

Kisah Dua Malaikat

Yunus bin Ubaid dari Alhasan berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda:"Setiap anak Adam itu akan dijaga oleh dua malaikat, dan malaikat yang sebelah kanan itu lebih berkuasa dari malaikat sebelah kiri." Kalau seseorang anak Adam itu membuat dosa maka malaikat di sebelah kiri akan bertanya kepada malaikat di sebelah kanan:"“Apakah yang harus aku catat?" Maka berkata malaikat sebelah kanan:" Jangan kamu catat dosanya sehingga ia melakukan 5 dosa". Kemudian bertanya malaikat sebelah kiri lagi: “Kalau dia telah melakukan 5 dosa, apakah yang harus aku catatkan?" Berkata malaikat sebelah kanan:"Biarkan sehingga dia membuat kebaikan, sebab kami telah diberitahu bahawa satu hasanat kebaikan dapat sepuluh kali ganda, oleh itu kita hapuskan 5 sebagai imbangan dari dosa yang 5 dan kami catatkan hanya 5 hasanat".Apabila syaitan mendengar yang demikian maka dia pun menjerit sambil berkata:"Kalau macam ini bilakah aku dapat menjerumuskan anak Adam?"
Lihatlah bagaimana Allah S.W.T begitu sayang kepada kita sehingga memberi kita begitu banyak peluang untuk berfikir, misalnya apabila kita membuat satu kejahatan maka kita cuma dicatat satu dosa tetapi apabila kita membuat satu kebaikan maka kita akan dicatat 10 kebaikan. Oleh itu, jangan kita menjadikan rahmat ini sebagai tiket untuk kita melakukan dosa, kerana mati itu bila-bila sahaja pasti menjemput. Kalau diizinkan nyawa masih ada, taubat mungkin masih berkesempatan bagi kita, tetapi jika sebaliknya? Adakah dosa kita boleh dihapuskan dengan kebaikan yang mungkin terlalu sedikit? Tanya diri masing-masing samada adakah amalan dan tabiat selama ini adalah kebaikan yang membawaku ke pintu jannah atau suatu kejahatan yang membawa ke pintu neraka? Renung-renungkan….Wallahu’alam.

Saturday, October 24, 2015

Ibadah Si Jahil Dan Ilmu Ulama Fasik

Daripada Anas r.a. berkata, Rasululllah s.a.w. bersabda: "Akan datang di akhir zaman ahli ibadah yang jahil dan ulama yang fasik." (HT Ibnu 'Adi)
Syaitan berusaha keras menyesatkan manusia. Ia menyuruh Si Jahil supaya rajin beribadah kerana tahu ibadah itu tidak sah atau sekurang-kurangnya tidak sempurna dan tidak akan diterima di sisi Allah S.W.T. Syaitan tidak mahu Si Jahil belajar ilmu kerana bila dia belajar dan menjadi pandai, ibadah tersebut akan diterima oleh Allah S.W.T, bererti syaitan kalah.Begitu pula halnya dengan orang alim yang sudah banyak ilmu. Syaitan mengemukakan bermacam alasan agar dia malas beribadah, sehingga dia meninggalkan ibadah sunat dan akhirnya meninggalkan ibadah wajib. Ilmu yang ada di dalam dadanya tidak berfaedah, bahkan akan menjadi musuh kepadanya pada hari kiamat nanti. Maka itulah keberhasilan usaha syaitan. (Hadis 40)

Ceramah Agama - Pelbagai Alasan Si Culas

Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman menyatakan berbagai alasan yang didepani oleh ramai penceramah agama dari sesetengah orang. "Bila ada seminar agama berbayar, ada lidah yang menghentam, tidak mampu bayar dan minta seminar percuma. Bila diberi percuma, ada yang mengatakan tempatnya jauh dan diminta dibuat di tempat berdekatan. Bila dibuat dekat, dikata pula tarikh tidak kena sebab tidak ada masa, lalu diminta ceramah itu dirakam. Bila sudah dirakam, dikatakan tidak jumpa dan diminta muat naik ke Youtube. Bila sudah dimuat naik, dikata panjang sangat, diminta buat pendek-pendek. Bila sudah dipecah-pecahkan, dikata tidak jelas dan diminta dibuat mengikut tajuk. Bila sudah dibuat mengikut tajuk, dikatakan bosan dan diminta menggunakan tajuk lebih "catchy". Bila sudah dibuat "catchy", dikata tidak jumpa dan diminta "link". Bila sudah diberi "link" dikatakan belum sempat dengar dan diminta tunggu. Bila sudah lama menunggu, sudah mendengar namun dengar hanya separuh saja kerana bosan, diminta penceramah memasukkan unsur lawak jenaka, perlu itu dan ini untuk menjadikannya menarik.Bila penceramah sudah itu dan ini, dikata ceramah kurang isi, penceramah hanya pandai berlawak saja."
Sesiapa yang berada di mana-mana tahap seperti di atas mengalami masalah hati sendiri yang memerlukan pembersihan. Ia bukan masalah penceramah dan majlis ceramah. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Bercakap Ketika Berwuduk

Mazhab Malikiyah menegaskan dimakruhkannya bercakap ketika berwuduk jika tidak ada keperluan, kerana orang yang sedang berwuduk hendaklah berzikir kepada Allah SWT. Sementara menurut mazhab Syafi’iyah, Hanafiyah, dan Hambali, bercakap ketika wuduk jika tidak ada keperluan hukumnya kurang utama, maksudnya lebih diutamakan diam. Imam al-Buhuti Al-Hambali dalam Kasyaful Qana’ mengatakan: “Tidak dianjurkan untuk bercakap ketika berwuduk, bahkan dimakruhkan. Ini adalah pendapat sebahagian ulama. Maksud makruhnya bercakap di sini adalah kata-kata yang isinya bukan zikir kepada Allah, sebagaimana keterangan sebahagian ulama. Dan makna makruh dalam masalah ini adalah: kurang afdal… Sementara itu, Ibnul Jauzi dan beberapa ulama lainnya, menganggap bercakap ketika wuduk sebagai perbuatan yang tidak dimakruhkan. (Lihat Kasyaful Qana’, 1:103).
Sebagai catatan penting, tidak ada satupun ulama yang mengharamkan bercakap ketika wuduk. Dalam Fatwa Syabakah Islamiyah ditegaskan: “Tidak ada satupun ulama yang mengharamkan bercakap ketika wuduk. Kerana itu, bercakap pada saat wuduk dibolehkan, hanya saja hukumnya makruh, kurang utama.” (Fatwa Syabakah, no. 14793) [Sumber: Hairul Nizam Ijam]

Friday, October 23, 2015

Banyak Buku Tetapi Miskin Ilmu

Fulan A membeli kitab-kitab tebal dipenuhi pelbagai info. Selepas habis dibaca, kitab-kitab itu disimpan dalam almari buku atau di atas rak, tidak dibaca lagi buat beberapa lama. Sekadar menunjuk-nunjuk pada pada orang betapa dia rajin membaca. Tetapi bila ada orang bertanya tentang sesuatu subjek yang pernah dibacanya, Fulan A tidak boleh menjawab. Mengapa? Sebab ilmu yang ada padanya hanya setakat TAHU, tidak sampai ke peringkat FAHAM.
Fulan B juga memiliki banyak kitab. Dia membaca dan memahami semua kandungan kitab-kitab itu. Kerana kefahaman tersebut dia mengajarkannya kepada orang lain. Masalahnya, Fulan B hanya CAKAP TAPI TAK BIKIN. Dia mengajar Al-Quran dan Hadis kepada orang lain sedangkan dia sendiri tidak membaca Al Quran, tidak mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. dan lebih teruk lagi tidak solat. Dia gagal memanfaatkan didikan akhlak yang terkandung dalam kedua-dua sumber utama ilmu Islam itu. Dia memang berilmu tetapi bukan KAYA ILMU.

Didiklah Anak Bukan Diternak

Pada masa kini ramai anak-anak bersikap liar, biadap terhadap orang tua dan terlibat dengan segala macam gejala sosial. Jika difikirkan dengan teliti semua ini berlaku kerana ibu bapa sekarang mengambil mudah mengenai soal pendidikan. Selepas dilahirkan, ibu bapa melepaskan tanggungjawab sebagai “GURU PERTAMA” dan mengambil jalan mudah dengan “MENSWASTAKAN” pendidikan anak-anak kepada pembantu rumah dan pengasuh di taska. Lantas, anak-anak membesar dalam suasana yang tidak terkawal. Anak-anak yang tidak dididik dengan sempurna umpama “HAIWAN TERNAKAN” yang digembalakan oleh orang lain. Mendidik anak-anak adalah amanah yang mudah bila kita mempunyai KEPERIBADIAN YANG BAIK. Kebaikan itu akan dilihat oleh anak lalu DITELADANI oleh mereka. Namun, mendidik juga boleh dilihat sebagai amanah yang amat berat. Bukan senang hendak memperbaiki peribadi, akhlak dan amalan soleh sendiri kerana ia memerlukan proses mujahadah (melawan hawa nafsu) yang panjang dan berterusan.
Kebanyakan ibu bapa masih MENGAJAR, dan bukan MENGAJAK anak-anak melakukan KEBAIKAN. Anak-anak disuruh solat sedangkan ibu bapa menonton TV! Selagi CAKAP TIDAK SAMA DENGAN PERBUATAN, jangan mimpi dapat melihat anak-anak menjadi soleh/solehah. Cara terbaik ialah mengajak mereka melakukan kebaikan bersama-sama – bersolat, membaca buku, bersukan, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Ibu bapa MENGAKU SAYANG pada anak-anak, tetapi GAGAL MENDIDIK anak-anak dengan MEMPAMERKAN TELADAN YANG BAIK - beriman kepada Allah, beramal soleh, mendirikan solat dan mengamalkan akhlak yang baik dalam pergaulan. Kegagalan ini bakal MENGHANCURKAN masa depan mereka di dunia dan menyebabkan mereka DIBAKAR API NERAKA BERPANJANGAN di akhirat. PENDERAAN ini lebih berat berbanding perbuatan segelintir ibu bapa yang mendera anak dengan api puntung rokok. ANAK DERHAKA adalah “PRODUK” daripada IBU BAPA DERHAKA!
Bukan semua orang boleh menjadi ibu bapa. Seseorang itu mungkin berjaya memimpin sebuah korporat tetapi gagal memimpin sebuah keluarga. Tugas ibu bapa adalah tugas profesional yang memerlukan ilmu, kemahiran dan sikap yang selaras dengan AL QURAN dan SUNNAH. Ibu bapa mukmin dan professional berciri lemah lembut, sabar, penyayang, menjauhi sifat marah, bersikap sederhana dan seimbang, mempunyai kemahiran berkomunikasi, tahu mengenalpasti masalah dan menyelesaikannya. Imam Al-Ghazali pernah mengingatkan, “Anak-anak adalah amanah bagi kedua ibu bapanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik. Dengan itu kedua ibu bapa akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan apabila dia dibiasakan berbuat jahat dan dibiarkan begitu sahaja, maka dia akan sengsara dan binasa. Dosanya dipikul oleh ibu bapanya yang bertanggungjawab menguruskannya!”
BAPA sebagai Pemimpin Rumah Tangga mesti menyelamatkan seluruh keluarganya daripada kesengsaraan hidup dunia sekaligus mencapai keredhaan Allah di akhirat. Menyara hidup, mendidik dan memimpin ahli keluarga adalah tanggungjawab asasi dan faktor paling kritikal yang menentukan kejayaan atau kegagalan dalam mengendalikan rumah tangga. IBU sebagai Pengurus Rumah Tangga menjaga dan mentadbir harta serta segala keperluan material dan fizikal keluarga yang diamanahkan oleh suami, mengurus kewangan, kebersihan dan menyediakan suasana yang kondusif untuk membina keluarga bahagia. Ibu/isteri yang setia dan taat bertanggungjawab memahamkan anak-anak mengenai hala tuju yang telah ditentukan oleh bapa/suami dalam sesuatu perkara.
Pemimpin (suami) dan pengurus (isteri) bersatu hati, fikiran dan tenaga mengisi keperluan anak-anak iaitu KEPERLUAN FIZIKAL berupa makan minum, pakaian, pengangkutan, kediaman yang sesuai untuk anak lelaki/perempuan, KEPERLUAN EMOSI bererti membelai mesra, bergurau, mendisiplin dalam suasana tegas tetapi penuh kasih sayang, tiada cemuhan dan kekasaran yang boleh membangkitkan rasa memberontak, KEPERLUAN AKAL ialah menerapkan ilmu agama dan ilmu akademik, KEPERLUAN ROHANI pula memantapkan keimanan dan ketaqwaan berdasarkan al Quran dan sunnah, keyakinan pada diri sendiri dan keperluan untuk didengari atau “need to be heard”. Ibu bapa juga bertindak sebagai KAUNSELOR, MOTIVATOR, dan FASILITITATOR kepada anak-anak sendiri. Bila keperluan emosi dipenuhi, anak-anak akan memiliki kematangan emosi (EQ) dalam pergaulan. Mereka akan bijak mengawal perasaan sendiri dan menjaga perasaan orang lain. Menurut pakar psikologi kematangan emosi (EQ) lebih besar sumbangannya kepada kejayaan seseorang berbanding kecerdasan akalnya (IQ). Pakar-pakar juga menamakan kekuatan rohani ini sebagai kecerdasan spiritual (SQ). Wallahualam.

Wednesday, October 21, 2015

Jari Dan Mata Saksi Keburukan Diri

Kita telah sampai di zaman di mana, bicara suara tanpa perlu suara, melihat tanpa perlu tatap muka, memanggil tanpa perlu teriak. Bicara hanya perlu ketik saja, melihat hanya perlu klik saja, memanggil hanya perlu "ping" saja. Media sosial semakin menjadi budaya, sedangkan Al- Quran dilupa. Dari yang hanya melihat-lihat, sampai mereka yang beradu pendapat. Dari tingkah yang dibuat-buat, sampai yang terang-terangan maksiat. Tidak sedar jemari ini berkhianat, menulis sesuatu yang tiada manfaat. Mata juga berkhianat, melihat yang seharusnya tidak dilihat.
Wahai diri ingatlah!! Mata akan menjadi saksi atas apa yang dilihat. Jemari akan menjadi saksi atas apa yang telah ditulis. Suatu hari, jemari yang menulis akan bersaksi pada penciptanya. Mata yang melihat ini akan bersaksi pada penciptanya. Bolehkah dibantah semua itu? Jangan sampai mereka menjadi musuh dihari perhitungan nanti ... menjadi saksi keburukan diri.[ Maya W. Abubakar]

Ingat Allah Masa Senang

Sayyidina Abu Said Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda, "Berapa ramai orang yang didunia ini yang mengingati Allah S.W.T. di atas tilam yang empuk dan kerana itu Allah S.W.T. mengangkat darjat mereka ke peringkat yang tertinggi di dalam syurga. (Hadis riwayat Tirmizi dan Hakim).
Sayyidina Abu Darda rhu berkata, "Kamu hendaklah mengingati Allah S.W.T. dalam kesenangan dan kelapangan,ini akan memberi manfaat kepada kamu ketika kamu dalam kesusahan dan kesempitan."
Sayyidina Salman Farisi rhu berkata, "Apabila seseorang hamba mengingati Allah S.W.T. semasa dalam kesenangan, kelapangan,kemewahan dan kemudian apabila dia mengalami penderitaan dan kesusahan maka para malaikat berkata 'Suara hamba yang daif itu biasa didengar' lalu mereka memohon bantuan daripada Allah S.W.T. untuknya.Sekiranya seseorang itu lalai dan tidak mengingati Allah S.W.T maka para malaikat berkata, 'Kami tidak biasa mendengar suara itu.'"
Sayyidina Abdullah bin Abbas berkata, "Syurga ada lapan pintu.Salah satu daripada pintu-pintu itu khas untuk orang yang berzikir.SESIAPA YANG BANYAK BERZIKIR MAKA DIA TERSELAMAT DARI SIFAT MUNAFIK."[Sumber: Din Bilal]