Wednesday, October 7, 2015

Kurnia Allah Atas Kehilangan

Kurniaan ALLAH kepada seseorang itu bukan hanya dalam bentuk pemberian, tetapi mungkin juga dalam bentuk menghilangkan sesuatu. Kadangkala kita memiliki sesuatu ataupun seseorang yang kita rasakan satu kebaikan namun ALLAH mengetahui ia tidak baik untuk dunia ataupun akhirat kita, lantas Allah menghilangkannya dari kita. Kita sangka ia satu kehilangan tetapi ia sebenarnya satu kurniaan Allah kepada demi menyelamatkan kita. Kehilangan harta tertentu, kawan dan kekasih bukanlah semestinya satu keburukan, bahkan satu nikmat yang akan dapat difahami apabila kita melihatnya dari jendela hikmah dan rahmat ALLAH.
Nabi Nuh a.s. kehilangan anak dan isteri yang derhaka lagi memusuhi dakwahnya. Demikan juga Nabi Lut kehilangan isteri yang memusuhinya. Kesemua itu kurniaan Allah buat mereka agar mereka berlepas diri dari golongan yang menjadi musuh kepada agenda dakwah mereka, yang memburukkan persepsi dan merosakkan sanubari. Penyakit apabila lama ia bersarang, kita merasa biasa. Demikian juga harta ataupun manusia yang boleh membawa musibah kepada dunia dan akhirat apabila lama kita bersama dan bergaul dengan mereka. Lalu kita mula selesa dengan keburukannya.
Kehilangan harta ataupun manusia tertentu mungkin satu kurniaan TUHAN sepertimana TUHAN menghilangkan penyakit tertentu dari kita. Apabila kita sentiasa beristikharah, berdoa dan bermunajat kepada ALLAH dalam setiap urusan, maka kita tidak akan kecewa atas apa kehilangan sekalipun. Kita tahu ALLAH mempunyai agenda rahmat-NYA untuk kita. Sebaliknya kita akan mensyukuri sesuatu kehilangan, bahkan menikmatinya dengan penuh kemanisan iman dan melihat cinta ALLAH seluas ufuk timur dan barat. Apabila kita meminta dari ALLAH sesuatu, lalu DIA memberinya, kemudian menghilangkannya, maka kita tahu itu ada hikmat-NYA. DIA mungkin mahu kita pelajari sesuatu, ataupun alami sesuatu dan kemudian setelah kita mendapat iktibar maka DIA pun menentukan agenda rahmat-NYA yang seterus. Maka doa yang indah yang diajar dan disuruh oleh Al-Quran dalam Surah al-Isra ayat 80: رب أدخلني مدخل صدق وأخرجني مخرج صدق واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا ---Maksudnya:" Wahai Tuhanku masukkanlah aku kepada tempat masuk yang benar (baik dan mulia) dan keluarkan aku tempat keluar yang benar (baik dan mulia) dan jadikan bagiku dari sisiMU kekuasaan (hujah) yang memenangkan.[Sumber: Dr MAZA]

No comments:

Post a Comment