Tuesday, October 13, 2015

MH17 - Laporan Siasatan

Laporan rasmi Lembaga Keselamatan Belanda yang dipengerusikan Tjibbe Joustra menyebut pesawat MH17, milik Malaysia Airlines terbang secara normal pada 17 Julai 2014. Namun apabila pesawat itu melintasi ruang udara Donetsk pada jam 13.20 UTC (Waktu Universal Selaras), ia ditembak dengan peledak 9N314M yang dilancarkan menerusi sistem peluru berpandu dari kawasan 320 kilometer persegi di bahagian timur Ukraine. Peluru itu meletup tidak sampai satu meter di sebelah kiri dan atas kokpit. Bahagian hadapan pesawat itu ditembusi oleh beratus-ratus objek berkuasa tinggi daripada bahan peledak tersebut. Berikutan daripada impak dan letupan berikutnya, tiga anak kapal dalam kokpit terbunuh serta-merta dan pesawat itu berkecai di udara. Kepala peletup peluru berpandu itu disahkan datang dari sistem peluru berpandu darat ke udara BUK.
Bagaimanapun, mungkin ada krew lain dan penumpang yang masih hidup dalam tempoh antara 60 hingga 90 saat sebelum pesawat terhempas. Mereka mungkin tidak sedarkan diri dalam sekelip mata disebabkan terdapat perubahan tekanan dalam pesawat yang menjunam, kekurangan oksigen, kesejukan melampau, tiupan angin yang kuat serta terkena objek berterbangan. Seorang penumpang didapati memakai topeng oksigen walaupun tidak dapat dipastikan bagaimana topeng berkenaan diperolehi.. Tidak dapat dipastikan dengan tepat pada detik mana penumpang meninggal dunia, tetapi yang pasti impak di tanah menyebabkan tiada penumpang yang hidup. Serpihan peluru berpandu ditemui dalam tubuh krew kokpit serta kesan cat membolehkan penyiasat mengesahkan peluru berpandu itu ialah BUK yang dibangun dan dikeluarkan Russia. Di sidang media itu, pasukan penyiasat turut memaparkan animasi bagaimana pesawat itu ditembak. Ia menunjukkan muncung pesawat MH17 mengandungi kokpit dan ruang penumpang kelas bisnes yang dicantum kembali menggunakan serpihan pesawat yang ditemui di lokasi nahas. Peluru berpandu ditembak dari satu lokasi dalam kawasan 320 kilometer persegi namun pihak penyiasat enggan menyatakan lokasi yang tepat. Pesawat MH17 ditembak pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan yang dikuasai oleh pemberontak Ukraine berhampiran sempadan Rusia. Bangkai pesawat terbabit bertebaran di pelbagai tempat dalam jarak kawasan 50 kilometer persegi. Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam terkorban. Ia membawa 193 orang warga Belanda, Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Belgium (4), Jerman (4), Filipina (3) dan Kanada serta New Zealand (masing-masing seorang). Data dalam Perakam Suara Kokpit merakam bunyi saat-saat akhir sebelum insiden tersebut.
Ukraine mempunyai alasan mencukupi untuk menutup ruang udara di zon konflik bersenjata di timur Ukraine sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014. Ruang udara di bahagian timur Ukraine itu sentiasa digunakan yang mana antara 14 dan 17 Julai 2014, 61 pengendali dari 32 negara menghalakan penerbangan mereka melintasi ruang udara berkenaan. Malaysia Airlines menyedia dan mengendalikan pesawat MH17 mengikut peraturan dan undang-undang. Laporan Lembaga Keselamatan Belanda turut mendapati sistem tanggungjawab sedia ada berhubung penerbangan di kawasan konflik tidak mencukupi. Ini kerana pengendali penerbangan beranggapan bahawa ruang udara tiada had adalah selamat. Semasa menilai risikonya, pengendali selalunya mengambil kira keselamatan lokasi berlepas dan tiba, tetapi tidak mengenai keselamatan negara yang dilalui. Para pengendali perlu memberi penerangan kepada awam mengenai laluan penerbangan mereka Apabila terbang di kawasan konflik, penilaian risiko tambahan adalah perlu. Adalah penting bagi semua pihak yang terlibat dalam penerbangan termasuk negara, pertubuhan penerbangan seperti ICAO (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) dan IATA (Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa) serta pengendali untuk bertukar lebih banyak maklumat mengenai kawasan konflik dan yang boleh memberi ancaman kepada penerbangan awam. Lebih banyak perhatian perlu diberi kepada pembangunan konflik termasuk sebarang pertambahan aktiviti ketenteraan dan tembak-menembak di darat apabila memproses dan menterjemah maklumat.
Laporan dikeluarkan selepas 15 bulan tragedi berlaku hasil siasatan bersama pihak Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Rusia. Pada 14 Julai lepas, lima negara iaitu Malaysia, Australia, Belgium, Belanda dan Ukraine meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa bagi tujuan pendakwaan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah dengan menembak jatuh MH17. Bagaimanapun, Rusia menggunakan hak veto dalam Majlis Keselamatan PBB bagi menghalang cadangan penubuhan tribunal itu pada 30 Julai lepas.
Tragedi itu merupakan satu lagi insiden yang mengejutkan negara selepas empat bulan kehilangan pesawat MH370, pada 8 Mac 2014. Berikut adalah kronologi MH17: 17 JULAI 2014 jam 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai. Jam 10.15 malam (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT), di kedudukan 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine. Berita antarabangsa melaporkan penemuan bangkai pesawat berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine di wilayah dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia apabila imej menunjukkan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer.
18 JULAI 2014, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan siasatan segera berhubung tragedi itu.Masyarakat antarabangsa menggesa siasatan antarabangsa yang menyeluruh dan telus dibuat serta melaksanakan'gencatan senjata segera' di Ukraine --- 19 JULAI 2014, pasukan siasatan khas Malaysia membabitkan 131 anggota tiba di Kiev, Ukraine. Pasukan siasatan antarabangsa termasuk dari Malaysia tidak dibenar memasuki kawasan nahas ekoran perang saudara yang menyebabkan pertempuran sengit antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine. Sementara itu, MAS mengeluarkan senarai penuh nama penumpang --- 21 JULAI 2014, 12 anggota pasukan perunding Malaysia diketuai Ketua Penolong Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Lt Kol Mohd Sukri Hussain memperoleh kotak hitam MH17 dan jasad mangsa selepas tiga hari berunding dengan ketua pemisah pro-Rusia Alexander Borodai di Donestk, Ukraine. Kotak hitam itu kemudian dihantar ke Netherlands dan kemudian ke Farnborough, barat daya London untuk pemeriksaan data penerbangan. Jasad mangsa diterbangkan ke Eindhoven, Netherlands untuk proses Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) dan siasatan jenayah --- 23 JULAI 2014, Malaysia mengadakan sidang khas Dewan Rakyat dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat pesawat MAS MH17. Najib ketika membentangkan usul tragedi pesawat MH17, menzahirkan kekecewaan dan kemarahan Malaysia terhadap pihak yang tidak menghormati lokasi kemalangan sebagai zon larangan dan kelewatan mengeluarkan mayat. 1 OGOS 2014, Najib tiba di Amsterdam. Malaysia dan Belanda menggesa pertempuran dihentikan di kawasan nahas ---22 OGOS 2014, Hari Perkabungan Negara diadakan di Malaysia yang mengadakan upacara khas bagi memberi penghormatan kepada 20 mangsa tragedi MH17 apabila jenazah mangsa dibawa pulang ke tanah air.
9 SEPTEMBER 2014, laporan siasatan awal nahas dikeluarkan pihak berkuasa Belanda. Ia membuat kesimpulan pesawat dan anak-anak kapal tidak menghantar isyarat kecemasan dan tidak melaporkan sebarang kegagalan teknikal pesawat. Pemerhatian terhadap kerosakan mendapati terdapat kesan objek bertenaga tinggi yang menembusi pesawat dari luar. --- 1 Dis 2014 - Malaysia diterima sebagai anggota penuh Pasukan Siasatan Bersama MH17 yang tertumpu kepada siasatan jenayah susulan penembakan pesawat itu.Sebahagian daripada bangkai MH17 diangkut dengan trak dari Ukraine, penyiasat memulakan penandaan dan pemasangan semula bahagian pesawat ---18 FEBRUARI 2015, Draf resolusi terbaharu Majlis Keselamatan mengenai keadaan di Ukraine mengulangi semula desakannya bagi kebertanggungjawaban pihak yang menembak pesawat Penerbangan MH17.--- 19 MEI 2015, Pasukan penyiasatan antarabangsa Lembaga Keselamatan Belanda kini memberi fokus terhadap analisis berhubung kesahihan fakta yang dibekalkan media berhubung kelengahan dalam penyiasatan nahas pesawat MH17.10 JULAI 2015, Malaysia menerima laporan hasil siasatan terhadap nahas udara pesawat MH17 daripada pihak berkuasa Belanda. Kerajaan memerlukan masa kira-kira 60 hari bagi meneliti laporan itu secara menyeluruh dan terperinci sebelum mengemukakan maklum balas kepada pihak berkuasa Belanda.
11 JULAI 2015, Malaysia mengadakan majlis memperingati ulang tahun pertama tragedi pesawat MH17.--- 14 JULAI 2015, negara-negara yang menjalankan siasatan jenayah bebas terhadap nahas MH17 menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menubuhkan tribunal jenayah bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah itu yang mengorbankan 298 nyawa.Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine berpendapat tribunal jenayah bebas yang ditubuhkan oleh majlis itu, mencerminkan standard antarabangsa tertinggi, akan menjadi medan terbaik bagi memastikan keadilan untuk mangsa dan orang tersayang.---30 Julai, Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghalang cadangan lima negara, yang dirintis Malaysia, untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa bagi membicarakan mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.--- 24 OGOS 2015, Malaysia menyerahkan maklum balas berkaitan laporan nahas pesawat MH17 kepada pasukan penyiasat Belanda.--- 13 SEPTEMBER 2015, Malaysia menerima laporan akhir nahas MH17 yang disediakan jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat tragedi itu. [Sumber dari berbagai akhbar tempatan]

No comments:

Post a Comment