Friday, October 23, 2015

Didiklah Anak Bukan Diternak

Pada masa kini ramai anak-anak bersikap liar, biadap terhadap orang tua dan terlibat dengan segala macam gejala sosial. Jika difikirkan dengan teliti semua ini berlaku kerana ibu bapa sekarang mengambil mudah mengenai soal pendidikan. Selepas dilahirkan, ibu bapa melepaskan tanggungjawab sebagai “GURU PERTAMA” dan mengambil jalan mudah dengan “MENSWASTAKAN” pendidikan anak-anak kepada pembantu rumah dan pengasuh di taska. Lantas, anak-anak membesar dalam suasana yang tidak terkawal. Anak-anak yang tidak dididik dengan sempurna umpama “HAIWAN TERNAKAN” yang digembalakan oleh orang lain. Mendidik anak-anak adalah amanah yang mudah bila kita mempunyai KEPERIBADIAN YANG BAIK. Kebaikan itu akan dilihat oleh anak lalu DITELADANI oleh mereka. Namun, mendidik juga boleh dilihat sebagai amanah yang amat berat. Bukan senang hendak memperbaiki peribadi, akhlak dan amalan soleh sendiri kerana ia memerlukan proses mujahadah (melawan hawa nafsu) yang panjang dan berterusan.
Kebanyakan ibu bapa masih MENGAJAR, dan bukan MENGAJAK anak-anak melakukan KEBAIKAN. Anak-anak disuruh solat sedangkan ibu bapa menonton TV! Selagi CAKAP TIDAK SAMA DENGAN PERBUATAN, jangan mimpi dapat melihat anak-anak menjadi soleh/solehah. Cara terbaik ialah mengajak mereka melakukan kebaikan bersama-sama – bersolat, membaca buku, bersukan, menghadiri majlis ilmu dan sebagainya. Ibu bapa MENGAKU SAYANG pada anak-anak, tetapi GAGAL MENDIDIK anak-anak dengan MEMPAMERKAN TELADAN YANG BAIK - beriman kepada Allah, beramal soleh, mendirikan solat dan mengamalkan akhlak yang baik dalam pergaulan. Kegagalan ini bakal MENGHANCURKAN masa depan mereka di dunia dan menyebabkan mereka DIBAKAR API NERAKA BERPANJANGAN di akhirat. PENDERAAN ini lebih berat berbanding perbuatan segelintir ibu bapa yang mendera anak dengan api puntung rokok. ANAK DERHAKA adalah “PRODUK” daripada IBU BAPA DERHAKA!
Bukan semua orang boleh menjadi ibu bapa. Seseorang itu mungkin berjaya memimpin sebuah korporat tetapi gagal memimpin sebuah keluarga. Tugas ibu bapa adalah tugas profesional yang memerlukan ilmu, kemahiran dan sikap yang selaras dengan AL QURAN dan SUNNAH. Ibu bapa mukmin dan professional berciri lemah lembut, sabar, penyayang, menjauhi sifat marah, bersikap sederhana dan seimbang, mempunyai kemahiran berkomunikasi, tahu mengenalpasti masalah dan menyelesaikannya. Imam Al-Ghazali pernah mengingatkan, “Anak-anak adalah amanah bagi kedua ibu bapanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik. Dengan itu kedua ibu bapa akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan apabila dia dibiasakan berbuat jahat dan dibiarkan begitu sahaja, maka dia akan sengsara dan binasa. Dosanya dipikul oleh ibu bapanya yang bertanggungjawab menguruskannya!”
BAPA sebagai Pemimpin Rumah Tangga mesti menyelamatkan seluruh keluarganya daripada kesengsaraan hidup dunia sekaligus mencapai keredhaan Allah di akhirat. Menyara hidup, mendidik dan memimpin ahli keluarga adalah tanggungjawab asasi dan faktor paling kritikal yang menentukan kejayaan atau kegagalan dalam mengendalikan rumah tangga. IBU sebagai Pengurus Rumah Tangga menjaga dan mentadbir harta serta segala keperluan material dan fizikal keluarga yang diamanahkan oleh suami, mengurus kewangan, kebersihan dan menyediakan suasana yang kondusif untuk membina keluarga bahagia. Ibu/isteri yang setia dan taat bertanggungjawab memahamkan anak-anak mengenai hala tuju yang telah ditentukan oleh bapa/suami dalam sesuatu perkara.
Pemimpin (suami) dan pengurus (isteri) bersatu hati, fikiran dan tenaga mengisi keperluan anak-anak iaitu KEPERLUAN FIZIKAL berupa makan minum, pakaian, pengangkutan, kediaman yang sesuai untuk anak lelaki/perempuan, KEPERLUAN EMOSI bererti membelai mesra, bergurau, mendisiplin dalam suasana tegas tetapi penuh kasih sayang, tiada cemuhan dan kekasaran yang boleh membangkitkan rasa memberontak, KEPERLUAN AKAL ialah menerapkan ilmu agama dan ilmu akademik, KEPERLUAN ROHANI pula memantapkan keimanan dan ketaqwaan berdasarkan al Quran dan sunnah, keyakinan pada diri sendiri dan keperluan untuk didengari atau “need to be heard”. Ibu bapa juga bertindak sebagai KAUNSELOR, MOTIVATOR, dan FASILITITATOR kepada anak-anak sendiri. Bila keperluan emosi dipenuhi, anak-anak akan memiliki kematangan emosi (EQ) dalam pergaulan. Mereka akan bijak mengawal perasaan sendiri dan menjaga perasaan orang lain. Menurut pakar psikologi kematangan emosi (EQ) lebih besar sumbangannya kepada kejayaan seseorang berbanding kecerdasan akalnya (IQ). Pakar-pakar juga menamakan kekuatan rohani ini sebagai kecerdasan spiritual (SQ). Wallahualam.

No comments:

Post a Comment