Sunday, October 4, 2015

Saya Tak Perlukan Dunia

Syeikh Ahmad Ibn Hajar adalah seorang ahli fiqih bermadzhab Syafi'i yang hidup dalam kemiskinan. Pernah selama 4 tahun beliau tidak makan daging walaupun beliau sangat menginginkannya. Dikisahkan isterinya teringin sekali pergi ke pemandian (Spa), tetapi Syeikh Ahmad menghiburkan isterinya dengan berkata, "Bersabarlah, sampai saya dapat mengumpulkan wang untuk bayaran masuknya".
Setelah wang terkumpul dan cukup untuk bayaran masuk, isteri Syeikh Ahmad pun segera berangkat menuju ke pemandian. Sesampainya di sana, dia tidak dibenarkan masuk oleh penjaga kerana katanya, "Hari ini aku tidak boleh membuka pemandian kerana isteri Syeikh Alim AlFaqih Muhammad ArRomli telah menyewa pemandian ini. Dia dan kawan-kawan wanitanya akan ke sini sebentar lagi. Awak datanglah esok saja."
Isteri Syeikh Ahmad pulang ke rumah dengan rasa kecewa. "Sebaik-baik ilmu adalah ilmu Syeikh Muhammad ArRomli dan hari ini isterinya telah menyewa pemandian. Tiada seorang pun dizinkan masuk. Tidak seperti ilmu awak yang penuh dengan kemiskinan. Walaupun awak berusaha keras, tetapi tetap tidak dapat apa-apa dari ilmu awak itu. Ambillah balik dirham-dirham awak ni.”
"Saya sama sekali tidak ada urusan dengan dunia, dan saya tak menginginkannya sedikit pun. Saya redha dengan apa yang telah Allah tetapkan buat saya. Tapi jika awak benar-benar inginkan dunia, ikutlah saya ke perigi zamzam," kata Syeikh Ahmad kepada isterinya. Lalu mereka pun pergi ke sana. Bila tiba di situ, Syeikh Ahmad mulai menimba. Ketika timba itu sampai di atas, bukannya air zamzam yang dia dapat tetapi timba itu penuh dengan dinar emas.
"Cukupkah ini untuk awak?" “Belum cukup," jawab si isteri. Beliau pun menimba lagi sampai tiga kali. Setelah itu Syeikh Ahmad pun berkata, "Saya lebih suka kemiskinan dan memilih untuk diri saya apa yang ada di sisi Allah. Dunia tak termasuk di dalamnya. Apa yang ada di sisi Allah kekal, sedangkan Dunia usianya pendek. Cinta Dunia itu hina. Sekarang pilihlah, pulangkan semua dinar itu ke perigi atau awak ambil dan awak saya ceraikan."
Si isteri segera berkata, "Baiklah, kita pulangkan semuanya ke perigi. Sudah bertahun-tahun saya hidup dengan awak. Selepas awak perlihatkan semua ini, jangan fikir saya ingin berpisah dengan awak dan memilih dinar. Saya dah saksikan bagaimana kedudukan awak di sisi Allah. Saya sanggup bersabar dengan kesulitan hidup ini."
Nabi saw pernah bersabda: "Sumber dari segala kesalahan adalah mencintai dunia". Oleh itu sahabat-sahabatku sekalian, carilah dunia dan jadikan ia sebagai jambatan ke akhirat. Tetapi pastikan jangan biarkan sedikit pun dunia masuk ke hati kita. [Dikutip dari tulisan SYEIKH AHMAD IBN HAJAR melalui Alwi Husin]

No comments:

Post a Comment