Monday, October 5, 2015

Cinta Allah - Jangan Biar Ia Hilang


Kata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah: “Barangsiapa yang mencintai selain dari Allah pasti dia akan terseksa dengannya.” Dalam bercinta kematian menjadi taruhan. Mati kerana putus cinta kepada manusia...kosong, tiada gunanya. Ia bukan sesuatu yang murni untuk dicontohi. Sebaliknya apakah kita sanggup mati menjadi korban cinta Ilahi? Ia satu kebanggaan. 

Lihatlah bagaimana para syuhada’ merindui kematian kerana terlalu cinta kepada Rabbnya. Lihatlah kesan cinta Hanzalah pada Allah sehingga sanggup meninggalkan malam pertamanya yang penuh kenikmatan semata-mata menyahut panggilan jihad lantas gugur syahid di medan Uhud yang penuh kemuliaan. Perhatikan kesungguhan para solihin dalam beribadah dan para ulama dalam mendalami hukum Allah atas nama cinta pada-Nya lantas berjuang melaksanakannya. 

Kerana cinta pasti akan menuntut pemiliknya berkorban. Namun pengorbanannya itu bukan sia-sia. Pengorbanan yang balasannya sehebat Syurga. Jangan biarkan cinta kita pada Tuhan berarus lesu. Awasinya jangan sampai hilang dari hati. Peliharalah juga harmoninya jangan dikhianati atau didusta, kerana Allah tidak pernah mengkhianati cinta-Nya buat hamba. Bercinta dengan-Nya tiada mengundang kecewa. Semarakkan keghairahannya dengan nafsu membara memugar ketaatan dalam perjalanan indah penuh keimanan membuktikan pesona cinta buat al-Rahman!



BUKTIKAN CINTA KEPADA ALLAH dengan sentiasa mengingati Allah dalam setiap masa, keadaan dan situasi.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 : “Orang-orang yang beriman itu sangat kuat cintanya kepada Allah.” 

Kata Imam Ahmad Taqiyuddin : “Hakikat sebuah kecintaan adalah dengan sentiasa bersama ingatannya dengan yang dicintai.” [Tibb al-Qulub m/s 183] 

Cintai dan ikuti Sunnah Rasulullah s.a.w. ia adalah pra syarat utama cinta Allah.Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 31 : “Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah daku (Rasulullah s.a.w) nescaya kamu akan dicintai Allah…”


Sentiasa memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Dalam sebuah Hadith Qudsi Allah s.w.t berfirman : “Sentiasalah hambaku berada dalam keadaan mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunat (nawafil) sehinggalah aku mencintainya.” 

[Hadith Riwayat Bukhari] 

Menjaga solat witir kerana ia merupakan bukti kejujuran cinta kepada Allah.Berkata Fudhail bin Iyadh r.h.m: Allah s.w.t berfirman : “Seorang hamba yang mengaku mencintaiKu tidaklah jujur kalau dia tidur lantas melupakanKu tatkala malam.” Menjaga hubungan dan keredhaan ibu bapa kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah juga terletak pada kemurkaan kedua-duanya.


Bersahabat dengan al-Quran dan sentiasa membacanya dan menghayati ayat-ayatnya. Kerana al-Quran umpama warkah ayat-ayat cinta-Nya buat kita.Sentiasa tertunggu-tunggu panggilan azan dan solat fardhu. Persis menunggu panggilan dari seorang kekasih, sudah tentu panggilan azan akan membuatkan kita seolah-olah ‘ketagihan’ untuk mendengarnya semla kerana ia umpama panggilan Allah buat kita. Doa Cinta Allah sebagaimana diamalkan oleh Rasulullah s.a.w :

 اللهم إنى اسألك حبك وحب من يحبك وحب كل عمل يقربني الي حبك 

“Ya Allah! Aku memohon cintaMu dan cinta mereka yang mencintaiMu serta mencintai segala amalan yang mendekatkan diriku kepada cintaMu”. 

[Ustaz Dr Abu Anas Madani]

No comments:

Post a Comment