Monday, October 19, 2015

Hadapi Islamophobia Dengan Iman

Ramai di antara kita mungkin telah mendengar tentang seorang remaja Islam berusia 14 tahun berketurunan Sudan, Ahmed Mohamed, dari Irving, Texas yang telah disoalsiasat dan ditangkap kerana disyaki membuat "bom" - padahal yang dilakukannya hanyalah membuat sebuah jam untuk projek sekolah. Bila dia dengan rasa bangga menunjukkan jam itu kepada gurunya, guru itu dan pihak sekolah MacArthur High School melaporkannya kepada polis.
Tindakan tidak adil ini diselar oleh warga netizen di seluruh dunia. Dia diperlakukan sedemikian semata-mata kerana pegangan agama dan warna kulitnya. Itu satu tindakan rasis, mempromosi "ISLAMOPHOBIA" yang mana tidak sepatutnya berlaku di bangku sekolah. Pun begitu kebolehan Ahmed mendapat pujian dari Mark Zuckerberg (pencipta Facebook) serta Presiden Obama yang mempelawa dia melawat ke ibu pejabat Facebook dan juga Rumah Putih.
Tindak balas dari bapa Ahmed lebih mengagumkan. Tidak dapat dibayangkan betapa tertekan keluarga itu bila seorang anak yang kreatif dan bermotivasi tinggi ditangkap seperti penjenayah, kemudian dikerumuni pula para wartawan. Kalaulah Rasulullah s.a.w. masih hidup, tentu Baginda akan tersenyum melihat lelaki budiman itu menjamu para tetamunya terdiri daripada golongan media yang berhimpun di hadapan rumahnya. Tidak ada sedikit pun reaksi marah, apa lagi maki hamun yang terhambur dari bibirnya.
Ini mengingatkan kita semua bahawa walau apapun yang mendatang, hadapilah ia dengan IMAN mengikut SUNNAH Rasulullah s.a.w. In sya Allah, kemenangan akan tiba akhirnya.

No comments:

Post a Comment