Monday, October 12, 2015

5 Tahap Iman Manusia

IMAN TAQLID ---Iman ikut-ikutan atau Iman 'pak turut'. Orang yang beriman Taqlid, pegangan Islamnya tidak kuat dan prinsip Islamnya tidak kukuh. Dia tidak ada alasan yang kuat mengapa dia beriman. Dia tidak ada dalil-dalil akal dan Al-Quran/ as-Sunnah untuk membuktikan keyakinannya. Mengikut qaul yang lebih jelas, Iman Taqlid ini tidak sah. Segala amal ibadat orang yang beriman Taqlid adalah tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah Taala.
IMAN ILMU ---Iman berdasarkan Ilmu, iaitu seorang yang telah mempelajari tentang Allah, para Malaikat, para Rasul dan Nabi, tentang Kitab-kitab, hari kiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya. Iman dan keyakinannya berasa dan kuat bertunjang pada akal. Iktikadnya disertai dengan dalil-dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh. Dia tidak mudah goyang atau terpengaruh dengan pegangan lain.Tetapi orang yang beriman Ilmu, tidak takut akan Allah Taala dan mudah berbuat derhaka kepada-Nya. Mereka juga hanya mampu memperkatakan Islam, tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya. Jadi, Iman Ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari neraka Allah.
IMAN 'AYYAN ---Hasil daripada tarbiyah dan mujahadah yang bersungguh-sungguh orang yang beriman Ilmu akan meningkat kepada Iman 'Ayyan. Imannya bertempat di hati, bukan lagi di fikiran. Hati orang-orang yang beriman 'Ayyan sentiasa mengingati Allah, ibadahnya khusyu' dan dia sentiasa merasa kebesaran Allah Taala. Apabila disebut nama Allah, gementar hatinya.Semua perintah Allah Taala dipatuhi dengan penuh rela dan kesungguhan. Ia terlalu sensitif dengan dosa serta sangat berakhlak dengan Allah dan manusia. Setiap ujian dihadapi dengan penuh sabar. Dia juga sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Taala. Orang yang berada di peringkat Iman 'Ayyan tidak lama dihisab di Akhirat dan dia mudah masuk Syurga.
IMAN HAQ ---Seseorang yang mencapai Iman Haq, mata hatinya melihat Allah Taala. Ertinya setiap kali melihat kejadian dan kebesaran Allah Taala, hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah. Terasa takut dan hebat kepada Allah setiap masa. Hatinya tidak lekang mengingati Allah dan sentiasa karam serta khusyu' dalam kesyahduan cinta pada Rabb. Hatinya tidak terpaut dengan dunia dan dia tidak dapat dilalaikan oleh nafsu mahupun Iblis laknatullah. Mereka digelar Muqarrobin oleh Allah Taala, yakni orang yang hampir dengan-Nya.
IMAN HAKIKAT --- peringkat iman yang paling sempurna dan tertinggi yang dimiliki oleh para Rasul, para Nabi, para khulafa' ar-Rasyideen serta wali-wali besar. Mereka akan ditempatkan oleh Allah Taala di dalam Syurga yang paling tinggi. Hidup mereka setiap masa asyik dangan ibadah. Ibadah mereka cukup hebat, solat sunat paling kurang 300 rakaat sehari semalam. Budi serta akhlak adalah yang terbaik dan paling terpuji.Allah Taala akan menurunkan barakah di mana sahaja mereka berada. Mereka digelar golongan 'tertinggi' Akhirat. Hidup dalam Syurga yang maha Indah lagi maha lazat. Allah mengurniakan yang sedemikian itu sebagai membalas cinta dan pengorbanan hakiki yang cukup besar semata-mata kerana Allah!
Di manakah tahap keimanan kita? Sama-samalah kita sentiasa memuhasabah diri serta mempertingkatkan keimanan kita dengan mengerjakan amalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh, iltizam dan istiqomah.Berbahagialah dengan berita gembira dari Allah Taala dalam surah Ali Imran ayat 139 bermaksud: "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."
[Sumber: FB Senyum Sokmo]

No comments:

Post a Comment