Friday, September 26, 2014

Seluruh Kampung Murtad

Ustaz Ebit Liew menangis mendengar laporan sebuah kampung yang murtad dan sebuah masjid yang mati dari Rosmadi Nawi dan jemaahnya yang kini sedang berdakwah di Sabah. Masjid di Kampung Langkabong, Tongod,Sabah telah 18 tahun dibiarkan usang. Imam Daerah Tongod, Imam Daim melaporkan penduduk kampung itu sudah 100% dimurtadkan. Pada 6hb Julai 2014, Ustaz Ebit Liew bersama kumpulannya telah nekad menziarahi Kampung Langkabong yang terletak kira-kita setengah jam perjalanan dari masjid daerah Tongod. Sesampai di kawasan berdekatan lokasi masjid, mereka terpaksa meredah semak samun dengan dipandu arah oleh seorang peniaga Pakistan.
Mereka terkedu melihat keadaan masjid tersebut. Terdapat serpihan bumbung yang runtuh dan kotoran bertimbun di dalamnya.Mereka bergotong royong membersihkan semua kotoran. Ustaz Badrul Munir melaungkan azan dengan sayu,kemudian mereka solat sunnat 2 rakaat di rumah Allah yang telah hampir 20 tahun kesepian. Setelah itu mereka beredar dengan perasaan sedih.Menurut peniaga Pakistan yang memandu mereka terdapat 2 keluarga yang masih beragama Islam. Lalu kumpulan Ustaz Ebit Liew pun pergi menziarahi mereka.
Pakcik Awang berketurunan Bajau dan memang asal dilahirkan Muslim.Isterinya anak tempatan, keturunan Sungai yang memeluk agama Islam.Bapa dan adik beradik isterinya sudah murtad. Sekitar tahun 1979-82 berlaku pengislaman beramai- ramai lebih kurang 370 orang di Kampung Langkabong. Selepas pengislaman, sebahagian daripada mereka ditarbiyah dan dilatih di Pusat Dakwah di Keningau selama 3 Tahun.Mereka ini termasuklah adik ipar Pakcik Awang yang bernama Abdul. Kembalik dari kursus tersebut, Abdul dilantik sebagai Bilal Masjid Langkabong. Namun selepas itu berlaku pula usaha gigih mubaligh Kristian memurtadkan penduduk, seorang demi seorang, termasuk Bilal masjid sendiri yang masih menggunakan nama Abdul. Kali terakhir Masjid Langkabong digunakan ialah sekitar tahun 1996.Mengikut Imam Daerah Tongod, Ustaz Daim yang kumpulan Ustaz Ebit Liew temui di Masjid Entilibon, kawasan 3T ini adalah sasaran yang terkuat mubaligh Kristian di seluruh Sabah. Ini berlaku apabila umat Islam gagal menjalankan tugas dakwah. Kerana itu agama yang bathil telah bergerak.
Sebenarnya kita patut memberi masa dan menziarahi saudara seIslam, tidak kira di mana juga. Di kejiranan kediaman kita sendiri pun ada orang yang berada di pinggir kemurtadan, jauh dari Allah. Oleh itu kita perlu berdakwah secara istiqamah. Mulakan dengan ahli keluarga kita sendiri, diikuti jiran dan seluruh kawasan kejiranan. Dakwah kawan di pejabat, beri masa dakwah dalam negeri, juga luar negeri. Hargai semua orang berdakwah. Jangan halau orang berdakwah di masjid kita. Kita suka masjid yang hidup dengan ceramah dan kuliah sesama kita. Itu memang baik, tetapi masih ramai lagi orang yang belum pernah solat pun di keliling masjid atau surau kita. Setiap orang yang menjadi Daie Allah secara istiqamah hanya mengharapkan redha-Nya, tidak peduli walaupun dikeji dan tidak dihargai. Ya Allah, bantulah mereka yang sedang berdakwah. Maafkanlah kami kerana cuai dalam berdakwah!!!

No comments:

Post a Comment