Sunday, September 21, 2014

Menjadi Golongan Muhsinin

Setiap umat Islam tahu solat, puasa, menjaga aurat, makan dan minum, tidur, belajar, bekerja, bersilaturrahim dengan insan-insan lain adalah perkara-perkara yang termasuk dalam ibadah.Di kalangan hamba Allah ada segolongan insan yang membuat kebaikan dengan sehabis baik, mengikut kadar kemampuan, ketika bersendirian (waktu gelap) mahupun di hadapan khalayak (waktu terang). Mereka benar-benar merasai, menghayati, dan menikmati kehadiran Allah dalam setiap perkara, urusan, dan ibadah. Mereka dinamakan golongan MUHSININ (orang-orang yang berbuat IHSAN).
Ketaqwaan benar-benar teruji ketika waktu gelap, di kala tidak ada orang yang melihat.Ketika itu sering muncul bisikan-bisikan jahat mengajak melakukan perbuatan yang menyimpang dari sifat-sifat yang mulia. Timbul rasa hendak membuat kotor, meninggalkan solat, membuka rahsia orang, mengambil hak orang, mungkir janji dan ikrar, mencuri tulang, pecah amanah, menonton video lucah, berlaku tidak jujur dan tidak ikhlas, mengeji orang itu orang ini, benci belajar , tidak suka tazkirah dan sebagainya. Ia tidak dizahirkan pada riak muka dan tidak pula diluahkan melalui lisan, kerana kononnya menyimpan dalam hati itu lebih terlindung. Darjahnya mungkin berbeza-beza, tetapi hakikatnya ia tetap ada.
Kerana itu RASA IHSAN HARUS DILATIH DAN DIBINA DENGAN SUSAH PAYAH, PERLU MUJAHADAH DAN DISIPLIN SERTA RASA TAKUT PADA ALLAH. Rasa ihsan melindungi hambaNya pada waktu-waktu gelap dengan mengingatkan dia bahawa Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui, lalu, menjadikan dia lebih teliti dan jujur dalam setiap gerak langkah. Golongan MUHSININ indah di segi zahir dan batin sehingga Allah mengisytiharkan cinta kepada mereka. Mahu menjadi seperti mereka? Jom mula berlatih sekarang!!! [JOM]

No comments:

Post a Comment