Monday, September 15, 2014

Ambil Hati

Hati ialah tempat Allah menilik akhlak seseorang hamba. Di situlah letaknya keikhlasan, taubat, tawakkal, taqwa dan harapan ke atas keampunan dari Allah. Setiap manusia mempunyai pandangan yang pelbagai. Demi menjaga keharmonian, sebaik mungkin gunakan bahasa dan gaya komunikasi yang baik agar tidak menyebabkan pihak lain “terasa hati”. Sebagai contoh, apabila hendak membetulkan kesilapan seseorang, jangan dimarahi dan dimaki hamun. Sebaliknya tegurlah dengan cara dan bahasa penuh berhikmah. Usah menegur seolah-olah kita hendak mengajarnya. Nabi SAW suka umatnya saling berinteraksi, bukan duduk menyendiri. Namun ia hendaklah dilakukan dalam ruang lingkup akhlak yang baik. Berinteraksi dengan manusia semata-mata kerana Allah. Elakkan perbalahan atau mengharapkan sebarang balasan. Balasan itu Allah yang memberikannya, kadang-kadang menerusi perantaraan orang lain.
Jangan jadi munafik, cakap lain tetapi buat lain. Contoh, A mengatakan dia tidak memutuskan silaturrahim dengan B, namun A enggan pula bertegur sapa dengan B. Sikap buruk A boleh ditolak oleh B menerusi kebaikannya. In sya Allah, suatu hari nanti sikap A kepada B akan berubah. Bila berinteraksi dengan orang, jangan pula berlebih-lebihan atas alasan kerana hendak mengambil berat. Bukan semua orang suka menceritakan hal peribadi. Oleh itu, bertanya khabar hanya sekadarnya.
Berhubung pergaulan dengan orang belum Islam, jangan sesekali dihina agama dan sembahan mereka. Sebaliknya, tonjolkan akhlak dan kebaikan Islam. In sya Allah ini mungkin boleh menarik hati mereka untuk mendalaminya. Perhubungan sesama manusia pasti jadi baik jika setiap orang berusaha mengambil hati masing-masing: suami mengambil hati isteri, ibu bapa mengambil hati anak-anak, pengurusan masjid mengambil hati anggota kariah, pemimpin mengambil hati orang bawahannya, dan begitulah seterusnya. Elakkan diri kita daripada berasa jauh hati. Nabi SAW selalu digambarkan berakhlak al-Quran. Ertinya, akhlak Baginda adalah berpandukan perintah dari al-Quran. Sebagai umatnya, kita patut mencontohi Baginda. Jaga lisan, jaga tindakan, jaga kebersihan, jaga sikap sesama manusia. Biar kita jadi orang paling awal memberikan salam kepada sesiapa sahaja, sama ada kenal atau tidak. Itulah cara hendak mengambil hati orang ramai. Dengan ini bertambahlah lingkungan sahabat kita.

No comments:

Post a Comment