Wednesday, March 20, 2013

Wang Anda Dan Keluarga


serenemaklong.blogspot.com




DALAM soal kewangan, keluarga memainkan peranan penting. Tidak cukup jika seorang sahaja yang peka dengan kewangan. Sekiranya suami, isteri atau anak-anak tidak mengambil berat soal menjaga kewangan keluarga, pastinya gagal juga mencapai matlamat kewangan anda.

Sudah berlalu zaman "tak baik cakap pasal duit" dalam isi rumah. Suami dan isteri perlu tahu apa matlamat kewangan masing-masing, dan anak-anak juga patut ambil tahu kepentingan kewangan dalam keluarga.

Ketika anak masih kecil, biasakan si kecil menabung. Tidak semestinya mereka tahu jumlah wang, tetapi memadai apabila anda pulang dari rumah, dan mempunyai beberapa duit syiling dalam poket, berikan kepada anak kecil anda untuk masukkannya ke dalam tabung. Setiap hari, ibu atau ayah pulang dari rumah, anak memasukkan duit syiling ke dalam tabung.

Apabila anak semakin besar, beri peluang kepada anak untuk mula "buat duit" dari rumah. Mungkin bukan dengan cara aktiviti rutin harian seperti membasuh pinggan mangkuk selepas makan malam atau keluar buang sampah dan membersihkan rumah, kerana aktiviti ini sepatutnya menjadi aktiviti keluarga. Tetapi, dengan memberi upah pada kerja-kerja yang mungkin dilakukan seminggu sekali seperti mencuci kereta, mengemas laman dan lain-lain.
Apabila anak semakin membesar dan faham tentang wang, libatkan mereka dalam perbincangan kewangan. Sememangnya tidak perlu memberitahu jumlah atau nilai kewangan secara tepat, tetapi, galakkan mereka berfikir dalam bentuk yang lain. Sebagai contoh, cuti sekolah akan tiba tidak lama lagi, berbincang dengan keluarga perancangan aktiviti yang ingin dilakukan.
Jika melancong ke tempat jauh ada dalam perancangan bajet anda, bincangkan cara hendak meminimumkan kos melancong.

Ataupun pergi ke tempat yang dekat dan dapat berbelanja lebih sedikit ke atas perkara lain. Beri pilihan supaya anak dapat melihat pilihan hidup yang perlu dilakukan dalam soal kewangan.

Ada juga kes di mana isteri amat peka tentang simpanan dan menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi, si suami pula sering menggunakan wang untuk gajet serta kereta.
Tidak kurang juga keadaan di mana suami amat mengambil berat kewangan keluarga tetapi isteri sering berbelanja untuk pakaian dan aksesori. Masalah kewangan adalah isu yang amat menekankan sehingga menjadi antara sebab perceraian.

Oleh itu, matlamat kewangan antara suami dan isteri perlu sejajar. Satu cara untuk melakukan ini adalah untuk memberikan masa setiap minggu untuk memantau kewangan keluarga. Masalah kewangan adalah seperti masalah kesihatan. Perlu dikesan pada tahap awal supaya tidak merebak dengan lebih teruk dalam keluarga.

(Tulisan Irfan Khairi)

No comments:

Post a Comment