Friday, March 22, 2013

Rujuk Label Botol Plastik


serenemaklong.blogspot.com

BOTOL plastik terbahagi kepada dua jenis, iaitu botol plastik yang boleh diguna semula (jenis polikarbonat) dan botol plastik yang tidak boleh diguna semula seperti botol air mineral biasa (jenis polyethylene terephthalate, PET).
Secara umum, air yang terdapat dalam botol dikatakan lebih baik daripada air paip atau air yang dimasak. Ini kerana kandungan air dalam botol tidak dicemari oleh persekitaran selagi penutup botol itu belum dibuka. 
Air juga lebih mudah dibawa dalam botol plastik kerana ia ringan, tahan panas serta tidak mudah pecah, lebih-lebih lagi sewaktu mendaki gunung atau melawat kawasan yang kurang bersih. 
Air dalam botol yang terdapat di pasaran biasanya terdiri daripada air mineral, air osmosis berbalik (RO), air suling, jus, dan minuman berkarbonat.
Walaupun botol plastik ini mempunyai kelebihannya, ia mempunyai potensi untuk memudaratkan alam sekitar dan kesihatan.
Antara kesan botol plastik kepada alam sekitar dan kesihatan ialah: 

Peningkatan jumlah sampah 

Kebanyakan botol plastik dihasilkan untuk digunakan sekali saja terutamanya botol yang mempunyai label nombor 1 tertera di bawah botol tersebut. 

Dalam pada itu, setiap orang dinasihatkan minum lapan gelas air sehari iaitu sekitar 4 botol (500mL) air. 

Cuba bayangkan jumlah sampah yang dihasilkan botol plastik yang akan terkumpul di tapak pelupusan sampah jika semua orang meminum air dalam botol plastik. 

Keadaan ini bertambah buruk memandangkan kadar kitar semula plastik di negara kita masih rendah dan botol plastik pula tidak dapat dibiodegradasikan. 

Pembaziran air 

Proses penulenan yang kompleks dan panjang dan kehilangan akibat penyejatan (evaporation loss) yang berlaku semasa pengilangan air dalam botol memerlukan tiga kali jumlah air mentah untuk menghasilkan satu botol air terproses. 

Di samping itu, agen pencuci yang digunakan sewaktu pemprosesan botol ini boleh mencemarkan sumber air seperti sungai dan tasik. 

Pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui 
Penghasilan botol plastik menggunakan bahan daripada petroleum, iaitu sumber yang tidak boleh diperbaharui. 

Dianggarkan 17 juta tong minyak digunakan setiap tahun di Amerika Syarikat untuk menghasilkan botol air plastik saja. 

Sumber ini akan semakin berkurangan dengan bertambahnya penghasilan botol plastik bagi menampung permintaan pasaran yang terus meningkat. 

Risiko kesihatan 

Menurut kajian pada September 2008 oleh Journal of American Medical Associations dan laporan Program Toksikologi Negara (Jabatan Kesihatan dan Pekhidmatan Manusia Amerika Syarikat), botol plastik yang menggunakan Bisphenol A (BPA) boleh membawakan risiko kesihatan, lebih-lebih lagi kesihatan kanak-kanak. 

Penggunaan yang kasar seperti pendedahan lama kepada persekitaran yang panas, mencuci dengan agen pencuci yang kuat atau mengisi dengan air yang mendidih boleh mengakibatkan dan mempercepatkan bahan kimia ini mencemari air dalam botol. 

BPA memberi kesan yang sama seperti hormon estrogen. Pengumpulannya dalam badan manusia boleh menjejaskan pertumbuhan otak, sistem kesuburan dan fungsi lain dalam badan. 

Kesimpulannya, apa yang boleh kita lakukan ialah menghantar botol plastik yang telah digunakan ke pusat kitar semula. 

Ini dapat mengurangkan kuantiti botol plastik yang dibuang di pusat pelupusan sampah. 

Bagaimanapun, pastikan botol plastik yang digunakan tersebut tidak mengandungi Bisphenol A. 

Botol plastik yang mengandungi BPA selalunya mempunyai nombor 7 tertera di bawah botol itu. Namun, ini tidak bermakna semua botol plastik bernombor 7 mengandungi BPA kerana nombor 7 bermakna 'lain-lain' jenis plastik. 

Pastikan kandungannya dirujuk dengan pembuat botol itu. Sebagai alternatif kepada botol plastik, gunakanlah botol kaca atau botol keluli jenis tahan karat. 

Ia bukan saja mesra alam tetapi boleh digunakan semula. Namun, pastikan anda sentiasa mencuci cawan atau botol ini dengan sabun pencuci serta pastikan ia kering dulu sebelum mengisi semula dengan air. 

Ini kerana botol yang sentiasa mengandungi air adalah lebih terdedah kepada pertumbuhan kuman dan bakteria.
(Sumber: Berita Minggu)

No comments:

Post a Comment