29 TAHUN yang lalu,
Abdul Latiff Yusoff adalah seorang pembaca pruf dengan Majalah Pemikir. Dia pernah
'mengembara' ketika sedang koma.
Ceritanya bermula pada
suatu malam bila mana dia dikehendaki menunggu sehingga pukul 1.00 pagi untuk
tugasan berita yang belum selesai. Walaupun tugasnya patut berakhir jam 6.00
petang, namun dia akur kerana dia masih bujang dan tiada apa yang hendak dibuat
di rumah.
Setelah selesai tugas,
perutnya mula lapar. Di Kuala Lumpur ini ada banyak gerai dan kedai makan yang
boleh dipilih. Dengan motor kapcai, dia segera menuju ke Jalan Melayu. Fikirnya
selepas makan nanti baru dia pulang ke rumah.
Setiba di hadapan Wisma
Pahlawan, dari jauh dia melihat sebuah teksi yang dipandu dalam keadaan
terhoyong-hayang. Mengambil langkah selamat, dia menyandarkan motor di tepi
tebing untuk memberi laluan kepada pemandu yang mabuk itu.
Namun sangkaannya
meleset. Pemandu mabuk itu hanya berpandukan lampu kenderaan yang ada di
hadapannya. Sebaik nampak lampu motor, pemandu itu terus melanggar motor dan
juga Latiff sekali. Sakit yang ditanggung tidak terkira kerana Latiff terhimpit
di antara rempuhan teksi dan tebing tempat dia bersandar. Menurut pengawal yang
bertugas di Wisma Pahlawan, kakinya hancur. Pengawal itu juga yang menghubungi
ambulan.
Waktu tiba di hospital,
Latiff masih sedar. Rasa sakit yang teramat sangat ketika menunggu rawatan
menyebabkan badannya semakin lemah. Lama kelamaan dia mula tidak sedar.
Tatkala itulah dia
melihat sendiri jasadnya yang masih berada di atas pengusung di bilik
kecemasan. Dia dapat merasakan rohnya semakin jauh dan terus jauh ke atas. Dia
tidak tahu apakah dia naik ke lapisan langit atau apa sebenarnya. Yang pasti
dia terus naik dari satu peringkat ke peringkat yang lain, sekali gus
meninggalkan jasad yang berada di bawah.
Seorang lelaki berjubah
putih yang mengiringi cuba menghulurkan air jernih untuk diminum oleh Latiff.
Seakan berinteraksi, Latiff menolak dan memberitahu dia akan mencari sendiri
air minumnya walaupun ketika itu tekaknya sangat dahaga.
Ketika itu dia
merasakan telah sampai ke lapisan atas. Suasananya sukar digambarkan, amat
berbeza dengan alam di bumi. Di dalamnya ada sebatang sungai. Malang sekali
airnya hitam pekat seolah-olah minyak hitam dan tidak memungkinkan Latiff
mengambilnya untuk diminum.
Sekali lagi lelaki
berjubah putih itu menghulurkan air namun Latiff tetap menolak. Latiff dapat
merasakan dirinya naik ke satu lapisan lagi. Di hadapannya terbentang tiga
batang sungai yang airnya sama hitam pekat. Air yang dihulur oleh Si jubah
putih terus ditolak.
Kali ini Latiff terus
lagi naik ke atas dan menemui lima batang sungai yang berair hitam. Begitu juga
keadaan di lapisan lebih atas di mana ada tujuh batang sungai berair hitam. Si
jubah putih tidak jemu-jemu menghulurkan air jernih walaupun dia tahu Latiff
tetap menolak.
Sebaik saja Latiff
menggelengkan kepala tanda menolak, tiba-tiba dia terlihat cahaya dari atas
yang menerjah ke matanya. Cahaya itu cukup silau. Di situlah Latiff tersedar
dan jasad yang ‘ditinggalkan’ tadi kini berada di bilik pembedahan.
Dua minggu selepas
kemalangan yang hampir meragut nyawa, kaki yang cedera terpaksa dipotong
sehingga ke paras paha. Jika tidak kemudaratan yang lebih besar akan berlaku.
Akhirnya selepas
pembedahan, kaki itu disemadikah di tanah perkuburan di Sabak Bernam, Selangor.
Seminggu selepas kaki ‘dikebumikan’, bekas bahagian kaki yang dipotong terasa
begitu gatal. Latiff tidak boleh menggaru kerana tiada tempat untuk digaru. Dia
dapat merasakan seolah-olah ada ulat yang memakannya. Gatal, perit dan pelbagai
rasa lagi. Mungkinkah kaki yang dikebumikan itu sedang dimamah ulat? Hanya
Allah yang Maha Mengetahui.
Sehingga kini dia masih
menziarahi ‘kubur’ yang menempatkan jasad kakinya. Dan pengalaman kemalangan
serta roh yang dibawa ke atas itu sangat menginsafkan dia. Sungguh, Allah
memberinya peluang kedua.
Wallahualam bisawab.
(Sumber: Al Islam)
No comments:
Post a Comment