serenemaklong.blogspot.com
SETIAP warganegara mempunyai kewajipan untuk memilih calon yang berwawasan, amanah serta bertanggungjawab dalam pilihan raya. Kaedah berikut boleh diguna untuk menentukan keputusan pemilihan tersebut.
Pertama, pilih calon dengan niat ikhlas dan kukuh. Dalam kesibukan kerja sering kali orang terlupa untuk memperkuatkan niatnya. Generasi salaf dahulu sentiasa menjaga niat tersebut. Antara mereka pernah menceritakan bahawa semenjak lebih 20 tahun mereka tidak minum air kecuali menyertakan dengan niat. Kalaulah mahu minum air pun mereka berniat, semestinya umat Islam terikat dengan segala perilaku yang sah dalam segala urusan perwakilan, termasuk mengelakkan pembohongan.
Sebarang pembohongan atau natijah daripada pilihannya menerusi pembohongan, dikirakan sebagai perolehan yang haram. Sabda Rasulullah SAW bermaksud : “Bila diserahkan sesuatu urusan (amanah) kepada yang bukan ahlinya, tunggulah saat kegagalan atau kerosakan." (Muttafaq Alaih).
Kedua, pilih berdasarkan kebenaran yang cukup berhati-hati agar tidak menyesal kemudian - kontrak pengupahan bagi menjalankan pelbagai khidmat penyerahan amanah kepada seseorang.
Ketiga, orang dipilih itu hendaklah kuat, berwawasan dan bertanggungjawab. Firman ALLAH SWT bermaksud : “Sesungguhnya orang terbaik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah yang kuat lagi beramanah.” (Al-Qasas: 25).
Keempat, kombinasi antara ilmu dan pengurusan. Firman ALLAH, menceritakan ungkapan Nabi Yusuf as. bermaksud : “Berkata Yusuf, jadikan aku bendaharawan negara Mesir, sesungguhnya aku orang yang pandai menjaga (mengurusi) lagi berpengetahuan.” (Surah Yusuf Ayat 55).
Umat kita sangat memerlukan tokoh yang pandai menjaga segala kepentingan rakyat, memiliki ilmu dan daya usaha tinggi agar mampu mengendalikan segala urusan dan memelihara segala yang sedia ada.
Kelima, tokoh itu berkedudukan tinggi, mendapat kepercayaan orang ramai dengan pengaruh yang cukup. ALLAH berfirman bermaksud : “Sesungguhnya kamu (wahai Yusuf) mulai hari ini, menjadi seorang pemimpin yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai.” (Surah Yusuf Ayat 54).
Merangsang kerjasama dalam membuat kebajikan. Islam menggalakkan prinsip menyokong bantu. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menyediakan perlengkapan bagi seseorang perajurit fisabilillah, bererti dia berperang jihad.” Baginda juga bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menunjukkan ke arah kebaikan untuk dilakukan oleh orang lain, dia akan turut mendapat kebajikannya apabila kebaikan itu dilaksanakan.”
Prinsip sokong bantu ini mempunyai implikasi besar dalam menjayakan banyak perkara. Contohnya Umar Ibnu Khattab ra berjaya menamatkan kes jawatan kekhalifahan Abu Bakar as-Siddiq apabila dia mengatakan kepada Abu Bakar di Dewan Persidangan Bani Saidah: “Hulurkan tangan kananmu wahai Abu Bakar, untuk aku mulakan mubaiyah (sumpah setia) kau.” Seterusnya Umar berucap: “Wahai orang ramai sekalian, sesungguhnya Rasulullah pernah memilihnya untuk agama kita, kenapakah kita tidak patut memilih untuk dunia kita pula?”
Sikap berkecuali dan tidak turut serta dalam memilih calon pilihan raya dan pembinaan ummah masa hadapan merupakan pengabaian tanggungjawab seseorang warganegara, bahkan sebahagian ulama menyatakan ia satu dosa serta celaan yang mengaibkan.
Meluangkan masa untuk memilih pemimpin masyarakat merupakan sebahagian kemajuan dalam membina individu di kalangan masyarakatnya. Ia mengukuhkan segala keputusan sesebuah pertubuhan, inikan pula sebuah negara.
Berikan mandat kepada masyarakat memilih calon dengan beriltizamkan prinsip agama dan kaedah yang tidak bercanggah dengan undang-undang negara. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
(Adaptasi
dari tulisan oleh Ibrahim Abdullah)
No comments:
Post a Comment