serenemaklong.blogspot.com
ALLAH SWT berfirman:
“…Sesungguhnya telah datang
kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad saw) dari Allah dan sebuah kitab
(Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya. Dengan itu Allah menunjukkan jalan
keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaannya dan
dengannya Allah keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman)
yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan
mereka ke jalan yang lurus”. (Al Maiddah 15-16)
Ayat ini menjelaskan peranan Al
Quran sebagai pedoman hidup sekalian Muslim untuk memperolehi kehidupan yang
diredhai. Jiwa jadi kosong bila seseorang tidak mengisinya dengan ayat-ayat
indah Al-Quran. Bagi orang-orang yang begini, jiwanya mudah ‘dirasuk’ syaitan
yang memang ternanti-nanti untuk menyusup ke dalam hati dan membalikkan hati kepada mencintai kerosakan
akidah.
Sebaik-baik ubat atau penghalang
penyakit jiwa ialah ayat-ayat Al Quran - wahyu Allah dan peninggalan Rasulullah
saw yang akan kekal memandu manusia ke jalan yang diredhai Allah sehingga
kiamat.
Kitab
agung yang mengandungi 30 juzuk, 604 halaman, 114 surah dan 6236 ayat ini
mencakupi intipati garis panduan hidup di dunia dan balasan di akhirat, kisah
para nabi dan solehin untuk diteladani, hukum-hukum, suruhan, tegahan dan
pelbagai persoalan yang wajib diselami oleh setiap insan Muslim.
Ia
merupakan satu-satunya kitab atau buku di dunia ini yang dihafaz secara
keseluruhan. Imam Badr al-Din Muhammad bin Abdullah a-Zarkasyi di dalam
kitabnya ”al-Bufhan fi al-‘Ulum, al-Quran” menyatakan: “Mempelajari Al-Quran
hukumnya adalah fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya)
maka ia wajib (kifayah) bagi setiap umat.”
Dalam
setiap rumah kaum muslimin patut ada sekurang-kurangnya sebuah kitab tafsir Al
Quran bagi memudahkan pembaca memahami setiap ayat yang diucapkan. Pemahaman
dan penghayatan akan menimbulkan kesan amat mendalam, menundukkan hati yang
tawaduk mematuhi segala perintah yang termaktub dalam kitab suci itu.
Sesungguhnya
Al Quran menghalang hati menyimpang daripada kejahatan dan dapat menikmati lima
cabang hakikat benar:
1.
Benar dalam perkataan
2.
Benar dalam niat dan kehendak
3.
Benar dalam keazaman
4.
Benar dalam menepati janji
5.
Benar dalam amalan.
Kelebihan membaca Al Quran
· Di hari akhirat, Al Quran akan datang membawa pertolongan
dengan melepaskan pembacanya dari kesusahan serta kesengsaraan.
Rasulullah
saw bersabda, “Bacalah Al Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat
sebagai syafaat kepada pembacanya.” – HR Muslim.
· Membaca Al-Quran merupakan amalan yang dituntut kerana
ia adalah sumber peraturan dan hukum yang mengawal tingkah laku manusia.
Othman dan Affan meriwayatkan, ”Sebaik-baik
manusia di antara kamu yang mempelajari Al Quran dan mengajarkannya kepada
orang lain.” – HR Bukhari.
· Pembaca Al Quran diletakkan
bersama para rasul yang mulia.
Rasulullah saw bersabda, “Orang
(Mukmin) yang mahir membaca Al Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani
para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca Al Quran padahal dia gagap
sehingga sulit baginya membaca, maka dia berhak mendapat dua pahala (pahala
kerana membaca dan juga pahala kerana usaha susah payahnya).” - HR Muslim.
· Pembaca Al Quran disifatkan
sebagai buah yang harum dan manis rasanya.
Rasulullah saw bersabda, “
Perumpaan orang Mukmin yang membaca Al Quran adalah seperti bunga utrujjah,
baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak suka membaca Al Quran
adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum tetapi manis rasanya;
orang munafik yang membaca Al Quran ibarat buah Raihanah yang berbau harum
tetapi rasanya pahit; dan orang munafik yang tidak membaca Al Quran, tak ubah
seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali.” – HR Muslim.
· Pembaca Al Quran memperoleh
ketenangan, terhindar daripada gangguan musuh-musuh jiwa seperti syaitan dan
nafsu.
Daripada al-Bara’ bin Azin r.a.,
“Seorang lelaki sedang membaca surah al Kahfi dan bersamanya seekor kuda yang
terikat dengan tali yang panjang. Tiba-tiba kepulan awan datang menutupi kuda
dan berputar di sekitar kudanya, keadaan ini membuatkan kudanya lari. Apabila
tiba waktu pagi lelaki itu datang menemui Rasulullah saw, lalu Baginda
bersabda: Itulah ketenangan yang diturunkan bersama Al Quran.” – HR Muslim.
· Setiap satu huruf bacaan akan
dikurniakan pahala.
Rasulullah saw bersabda, “ Barangsiapa
yang membaca satu huruf dari kitab Allah (Al Quran) maka baginya satu kebaikan
dan satu kebaikan itu dilipatgandakan dengan 10 (pahala). Aku tidak mengatakan
“Alif Laam Mim” adalah satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf
dan Mim satu huruf.” – HR Tirmidzi.
· Memberi cahaya di dalam hati dan
di dalam rumah tempat ia dibaca.
Rasulullah saw bersabda, “
Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumahtanggamu dengan solat dan dengan membaca
Al Quran.” – HR Baihaqi.
Oleh itu ambillah inisiatif untuk
menghafaz Al Quran. Bila Al-Quran ada di dalam dada dan segala perintah yang
terkandung di dalamnya diamalkan, akhlak kita akan terpelihara. Semoga Al Quran dijadikan subjek utama dalam usaha
memiliki ijazah pengisian jiwa. Usah abaikannya.
No comments:
Post a Comment