Tuesday, March 19, 2013

Mengesan Kecurangan Sang Suami


serenemaklong.blogspot.com




LELAKI tidak punya sikap teliti seperti wanita. Kerana itu banyak kes kecurangan dapat dikesan oleh isteri sendiri dengan mudah.
Suami yang tidak setia berusaha menutup hubungan sulitnya tetapi kerana kurang sikap berhati-hati menyebabkan dia meninggalkan beberapa petunjuk yang membolehkan isteri menjejaki aktiviti ‘gelap' itu.
Perhatikan tujuh tanda yang di bawah ini sekiranya anda merasakan lelaki yang anda kasihi sedang bermain cinta dengan wanita lain. Ia mungkin dapat memberi kepastian terhadap perasaan curiga anda itu.
Suami yang anda kenali seorang yang tidak kisah tentang penampilannya. Namun dia mula berubah sikap. Pertama, dia mula tertarik untuk memperbaiki gaya pakaian, rambut  atau kulitnya. Dia mungkin sedang berusaha menarik perhatian wanita lain.
Kata psikologi Stephanie Buehler, pakaian baru, kasut baru, dan aroma minyak wangi mahal yang baru adalah tanda-tanda bahawa seorang lelaki sedang mencuba, atau sudah berlaku curang.
Ada sesetengah isteri berasa lega bila suami tidak mahu melakukan hubungan seks. Tidak perlulah mereka penat melayani nafsu suami di malam hari. Tapi tahukah anda itu salah satu petanda suami curang. Jika suami sudah tidak tertarik lagi untuk melakukan hubungan seks dengan anda, tidak mustahil dia mungkin telah mendapatkan keperluannya dari orang lain.
Menurut psikoterapi Dr. Tina Tessina, petanda lain yang boleh menunjukkan bahawa suami tidak setia adalah keberaniannya mencuba teknik bercinta baru yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Mungkin dia telah mendapatkan latihan ekstra di ranjang yang lain, siapa tahu?
Menurut Danine Manette, penulis buku Ultimate Betrayal, pasangan anda mungkin curang jika dia mula keluar rumah lebih awal untuk ke tempat kerja, menghabiskan waktu lebih lama di luar rumah, atau sering ke luar daerah. Perhatikan juga berapa banyak waktu yang dihabiskan di luar rumah untuk aktiviti bukan urusan pejabat. Berhati-hatilah jika kegiatan tersebut semakin kerap dan berlangsung lebih lama dari biasa.
Selain itu beri perhatian lebih jika pasangan tidak dapat dihubungi ketika dia berada jauh dari anda. Jika dia berkata bahawa dia sedang bekerja lebih masa tetapi tidak mengangkat telefon atau membalas SMS, maka itu petanda buruk.
Berhati-hati jika melihat senarai bil kad kredit suami dihabiskan untuk tujuan, membeli barang yang mahal, penginapan di hotel atau makan malam dengan belanja yang tinggi tetapi bukan bersama anda. Orang bercinta selalunya akan saling berhubungan tidak kira masa. Maka anda boleh saja mengesan telefon suami nombor mana yang kerap dihubungi dan menghubunginya. Mengapa? Sebab hubungan sulit boleh dikesan dengan melihat senarai panggilan.
Begitu juga dengan e-melnya yang dapat memberi petunjuk. Jika dahulu dia dengan mudah memberikan kata kunci e-mel dan membenarkan anda membuka telefon bimbit tetapi sejak kebelakangan ini langsung tidak membenarkan anda menyentuhnya. Cuba lakukan siasatan lanjut.
Jika pasangan anda cuba menutup perbuatannya, dia akan berusaha untuk mengubah nombor pin telefon atau menghapuskan semua senarai panggilan telefon atau SMS yang diterima. Jika itu yang terjadi, mungkin insan tersayang anda sedang berlaku curang.
Jika dulu pasangan anda seorang yang penyayang dan melayani anda dengan baik sekali tetapi kini berubah sikap menjadi mudah marah, mengkritik cara anda bergaya, berbicara, memasak dan sebagainya, itu tanda jelas ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Begitu juga jika anda dan pasangan mudah bertengkar, dan si dia seakan tidak mahu mencari jalan penyelesaian.
Jika itu terjadi, dia mungkin sedang mencari jalan untuk melepaskan diri dari anda dan mengakhiri hubungan yang ada. Atau mungkin juga dia sedang membanding-bandingkan anda dengan teman barunya. Tetapi ada juga yang terjadi sebaliknya, suami bersikap sangat manis dan lembut, berbeza dengan perwatakannya sebelum ini yang cepat marah dan garang. Dia juga mula memberikan anda hadiah kerana merasa bersalah atas perbuatannya yang bermain kayu tiga.
Perhatikan juga situasi kewangannya yang mungkin sudah `sengkek' walaupun masih di awal bulan. Perbelanjaan yang tidak dapat anda kenal pasti boleh menjadi petunjuk sebarang kecurangan. Pastikan bil perbelanjaan suami sesuai dengan alasan-alasannya. Jika dia berkata ke gimnasium pada satu malam tetapi sebulan kemudian anda melihat ada bil makan malam di restoran yang mahal, anda sudah dapat `memerangkap' dirinya.
Dibandingkan semua petanda-petanda di atas, tiada yang lebih meyakinkan lagi daripada perasaan anda sendiri. Anda lebih mengenali pasangan daripada orang lain, jadi anda pasti jadi orang pertama yang dapat mengesan perubahan dalam dirinya seperti pulang lewat, ghairah seks menurun, cara layanan yang lain macam dan pelbagai lagi.
Menurut kajian, ramai wanita mengakui mereka melihat tanda-tanda yang ganjil pada suami, tetapi berusaha menyingkirkannya jauh dari fikiran. Namun jika anda sudah melihat tanda-tanda di atas pada suami anda terpulang pada anda untuk melakukan tindakan selanjutnya sama ada mula berbincang, memperbaiki hubungan atau memutuskan.
Fikirkan jalan sebaiknya dengan fikiran yang tenang meskipun anda sedang terluka.Kerana fakta-fakta yang dikemukakan di atas ini bukanlah alasan bagi anda untuk mengambil jalan singkat juga. Ia tidak seratus peratus tepat. Anggap saja bakal ada hujan bila awan itu berarak mendung. Jadikanlah fakta-fakta tersebut sebagai panduan untuk mencari kebenaran dan bertindaklah dengan bijak. Kerana dia adalah suami anda. Dan ayah kepada anak-anak anda. Selamatkanlah dia dari kesilapannya sendiri.  





No comments:

Post a Comment