Monday, March 18, 2013

Subuh Pencipta Yang Indah

serenemaklong.blogspot.com




SUBUH yang  indah kurniaan Allah terbentang di hadapan mata.

Selepas beristirehat sepanjang malam, makhluk ciptaan Allah keluar bertebaran mencari rezeki di bumiNya.

Setiap makhluk telah ditetapkan rezeki, tiada yang terkecuali, namun pada kadar berbeza. Berjaya, gagal, banyak, sedikit, susah, senang, bergantung kepada kudrat hamba Allah itu sendiri.

Yang berjaya dapat rezeki banyak, hidup dalam kemewahan. Kemewahan adalah ujian Allah SWT. Adakah hamba itu menggunakan rezeki yang dikurniakan kepadanya kepada jalan kebaikan, atau kemaksiatan. 

Yang gagal atau dapat rezeki hanya sedikit pun ujian daripada Allah SWT jua. Belajar menggunakan rezeki itu berdikit-dikit, sambil bertekad untuk meningkatkan usaha. Usah rasa iri pada mereka yang mewah kerana hidup ini memang seperti putaran roda. Ada masa di bawah dan pada masa lain pula di atas. Yang penting berani berhadapan dengan cabaran. 

Setiap orang menjalani kehidupan penuh dengan warna-warna alam – hitam (sedih), putih (naif), merah (marah), biru (damai), hijau (cemburu) …

Kemewahan yang diguna untuk berfoya-foya tidak akan membuahkan cinta, kasih, sayang, persahabatan dan kebahagiaan tulen.

Namun jika ia dikongsi dengan hamba Allah yang kurang bernasib baik, perkongsian itu akan dibalasi  senyuman penuh kesyukuran diiringi dengan doa untuk pihak yang memberi.

Memang beruntung mereka yang disayangi oleh orang sekeliling – keluarga, rakan, jiran dan masyarakat.

Subuh yang dilalui pada pagi tadi, tidak akan kembali lagi kerana subuh esok keadaannya berbeza. Masa memang menghambat hamba Allah. Oleh itu jangan disia-siakannya - gunakan untuk membuat kebaikan yang bakal dijadikan bekalan ketika dijemput ke penginapan abadi.

Bersyukur dan tabah dengan setiap perkara yang mendatang kerana di dalamnya tersimpan seribu rahmat dari Maha Pencipta. 

No comments:

Post a Comment