Friday, March 29, 2013

Telaga Gergasi Kampung Bagan Baru


serenemaklong.blogspot.com

 


KAMPUNG Bagan Baharu yang terletak di Mukim Ijok, Selama, Perak merupakan kampung tradisional yang  kekal dengan keindahan flora dan fauna yang masih terpelihara walaupun mendapat impak pembangunan yang semakin berkembang di Daerah Larut, Matang dan Selama.
 
Ia adalah di antara penempatan yang menjadi pilihan utama di Selama. Ada juga di antara penduduk yang mewarisinya daripada ibu bapa dan generasi terdahulu bertekad untuk terus menetap di kampung ini walaupun bekerja di bandar.

Selama terkenal dengan Program Inap Desa untuk pelancong dari dalam dan luar negara. Selain menawarkan penginapan di rumah kampung, ia turut menyediakan aktiviti dan program berbentuk kemasyarakatan yang menekankan budaya masyarakat Melayu.

Pengunjung yang datang ke sini pasti tidak akan menyesal dengan keindahan kampung yang mendamaikan dan keramahan penduduk.

Menurut Pak Andak yang merupakan Ketua Kampung, nama Bagan Baharu muncul kerana adanya penempatan baru yang diwujudkan di kawasan ini. Dahulu, kebanyakan penduduk tinggal di Kampung Bagan Kenua. Namun mereka telah dipindahkan ke kawasan lebih selamat dan tersusun selepas negara mencapai kemerdekaan. Ia bagi memudahkan urusan pentadbiran dan memberi penempatan yang lebih selesa dan terjamin daripada pelbagai ancaman.

Di pinggir kampung, terdapat sebuah telaga gergasi yang menjadi kebanggaan penduduk dan merupakan salah satu tarikan pelancong. Ia dipercayai telah dibina pada tahun 1936 oleh pihak Inggeris sebagai tempat untuk menyimpan air dan dijadikan sumber pengairan bagi tanaman padi pada ketika itu. Kegigihan pihak Inggeris dalam membina telaga ini banyak memberi manfaat kepada penduduk.

Kawasan telaga yang sungguh besar dan menakjubkan ini pasti akan menggamit pengunjung dari luar untuk bertandang ke kampung ini. Namun, pengunjung perlu berhati-hati ketika berada di kawasan telaga gergasi kerana ia mungkin akan membahayakan nyawa jika terjatuh ke dalamnya.
 
Selain mempunyai telaga yang luas, air yang mengalir di telaga ini juga sungguh deras dan jika bernasib baik, pengunjung boleh melihat panorama indah pelangi muncul pada waktu tengah hari di permukaan air telaga gergasi.


No comments:

Post a Comment