serenemaklong.blogspot.com
Melancong di dalam atau luar negara memerlukan perancangan teliti. Sama ada berkereta mahupun menaiki pesawat, persiapannya sama sahaja. Sama ada pergi untuk beberapa hari ataupun beberapa minggu, keperluan yang harus disediakan serupa. Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian supaya percutian anda menyeronokkan tanpa sebarang gangguan.
Keselamatan
Mengambil polisi insurans pelancongan dapat mengurangkan risiko perkara tidak diduga seperti kemalangan atau musibah lain. Insurans juga dapat mengatasi masalah seperti kehilangan/kecurian beg, pembatalan/penangguhan penerbangan, kemudahan kesihatan dan kematian.
Ahli Keluarga
Jika membawa anak-anak, sebaiknya bawa bersama gambar mereka kerana sekiranya mereka hilang dalam kesesakan lapangan terbang atau pusat beli-belah, gambar berkenaan boleh diguna untuk mencarinya kalau anda menghadapi masalah komunikasi di tempat anda melancong.
Komunikasi
Sekiranya anda mempunyai masa terluang, cuba pelajari bahasa negara yang dikunjungi. Sentiasa berikan senyuman ketika berkomunikasi dan mereka pasti membantu apabila melihat anda seorang yang peramah dan ceria.
Beg
Apabila melancong, khusus bersama keluarga, anda terpaksa membawa beg yang banyak. Bagi mengelak kejadian kehilangan beg atau tersilap mengambil beg, gantung tag nama, alamat dan nombor telefon pada beg. Buang segala pelekat/tag lama. Ikat reben atau pelekat warna yang cerah pada beg untuk memudahkan anda mengenalinya. Jangan tinggalkan beg di atas karusel manakala anda membuat panggilan telefon atau berjalan-jalan di dalam lapangan terbang,. Ambil beg sebaik anda tiba di destinasi.
Penerbangan
Sebaiknya daftar masuk penerbangan secepat mungkin untuk memastikan anda mempunyai masa yang cukup memasukkan barang ke dalam pesawat. Semak dengan pembantu penerbangan dan pastikan beliau melekatkan tag destinasi yang betul pada beg anda. Sekiranya anda mempunyai jadual penerbangan yang bersambung, maklumkan kepada pembantu penerbangan bahawa anda akan mengambil beg di destinasi terakhir.
Komputer Bimbit
Pancaran sinar-x di kaunter pemeriksaan kastam tidak membahayakan , tetapi ia mengganggug sistem memori seperti cakera keras (hard disk) dan akhirnya memadamkan semua fail pada komputer anda. Pastikan peralatan komputer dan elektronik diperiksa secara manual oleh pegawai bertugas.
Berkereta
Sekiranya melancong dengan kereta, sediakan duit kecil untuk bayaran tol. Selain itu pastikan anda mengisi minyak yang mencukupi untuk keseluruhan perjalanan. Paling penting, servis dahulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Kemungkinan di sepanjang perjalanan sukar menemui tempat untuk membeli makanan, jadi sediakan minuman dan makanan ringan yang secukupnya. Setiap negara mempunyai undang-undang berbeza, patuhi undang-undang berkenaan.
Perancangan
Kebanyakan orang tidak tahu merancang dengan baik apa yang perlu dilakukan sebelum melancong, akhirnya menyebabkan mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah sepeti perbelanjaan yang tidak diduga dan tertinggal barangan penting. Perancangan yang bijak perlu dimulakan berasaskan beberapa perkara, iaitu;
- Tempat percutian – anda ingin mengajak orang lain turut serta dalam percutian? Jika ya, bincang dan senaraikan tempat yang menarik untuk dilawati. Anda boleh mendapatkan maklumat ini daripada majalah pelancongan atau pakej yang ditawarkan menerusi akhbar. Dengan maklumat berkendan, anda dan keluarga dapat menentukan destinasi untuk percutian.
- Tempahan tiket dan penginapan – buat tempahan awal selepas mencapai keputusan muktamad supaya anda tidak kecewa.
- Barangan yang perlu dibawa – pastikan senarai yang dibuat termasuk jumlah pakaian secukupnya untuk kegunaan sepanjang tempoh percutian. Bagaimanapun, khidmat dobi di tempat penginapan boleh mengurangkan jumlah pakaian yang perlu dibawa. Selain itu, bawa kasut yang sesuai dan selesa, misalnya kasut getah atau selipar untuk kegiatan luar; kamera atau kamera video untuk merakam kenangan sepanjang percutian dan dokumen penting seperti pasport, visa, tiket penerbangan, kad kredit serta wang tunai. Jangan lupa juga membawa bersama nombor telefon kecemasan atau orang yang boleh membantu jika berlaku kemalangan.
- Tempat lawatan – kebanyakan masa terbuang kerana tiada perancangan rapi mengenai tempat yang hendak dilawati. Ini juga menimbulkan kebosanan di kalangan ahli keluarga. Oleh itu, rancang dari awal bagi menjimatkan masa. Cuba dapatkan khidmat pemandu pelancong kerana mereka lebih arif mengenai sesuatu tempat itu melainkan anda memang pernah mengunjungi tempat berkenaan sebelum ini.
(Sumber: Anjung Seri)
No comments:
Post a Comment