Monday, March 28, 2011

Trivia Kediaman dan Laman (1)

serenemaklong.blogspot.com




Dinding Tidak Retak Ketika Memaku

Cara yang betul untuk memaku pada dinding lepaan simen adalah dengan menggunakan paku simen. Begitu juga untuk dinding jubin, gunakan paku khas untuk kemasan jubin. Sebelum  memaku, jika terdapat lubang atau rekahan pada dinding, sapu dahulu sejenis plaster dinding yang boleh didapati di kedai barangan logam. Pelekat jenis biasa boleh digunakan untuk menggantung lukisan atau unsur hiasan yang tidak terlalu berat. Selain itu, skru juga boleh digunakan mengikut berat dan ukuran lukisan atau unsur perhiasan yang hendak digantung.

Jika Tidak Mahu Memasang Jeriji Besi

Memasang jeriji besi di tingkap dan pintu menyebabkan sesebuah rumah itu kelihatan keras dan terperangkap. Pilihan lain yang boleh digunakan selain memasang penggera keselamatan adalah dengan memastikan sistem keselamatan tingkap atau pintu itu mempunyai pengunci dari dalam. Selain itu, struktur tingkap atau pintu mestilah daripada kemasan yang kukuh dan kuat seperti besi atau kayu yang mempunyai pengunci khas dari dalam. Cara yang lain pula ialah dengan memasang sistem kamera di luar rumah atau menggunakan kaedah digital code access seperti di kebanyakan rumah di luar negara.
Bentuk tembok di hadapan rumah dengan reka bentuk yang rata dan ringkas boleh menjadi elegan dan menarik dengan membuat reka bentuk garisan melintang border line grooves di atas permukaannnya. Selain itu, kemasan simen juga boleh diguna dan dikemaskan dengan warna yang menarik atau membuat tekstur seperti bunga atau garisan. Cara lain adalah dengan mengunakan kemasan seperti terracotta atau konkrit biasa.

Persediaan Taman Dapur (edible garden)

Sebelum mula menanam ulam-ulaman dan sebagainya, kawasan tanaman perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada rumpai sedia ada. Kemudian tempat berkenaan digemburkan dan dibuat batas mengikut kesesuaian dan keluasan kawasan laman. Batas tanaman ditabur dengan baja organik seperti tahi ayam reput (sudah diproses) atau baja kompos untuk meningkatkan kesuburan tanah berkenaan. Racun rumpai sesuai ialah racun jenis sentuh yang meninggalkan kesan tidak lama di dalam tanah. Contohnya racun rumpai mempunyai bahan aktif ammonium glufosinate.

Lambatkan Proses Pertumbuhan Rumpai

Rumpai merupakan sejenis tumbuh-tumbuhan yang tidak diingini di sesuatu kawasan. Pertumbuhannya memberi masalah kepada peminat seni taman. Agak sukar untuk menghalangnya daripada membiak kerana ia muncul secara sendiri atau dibawa oleh pelbagai vektor (pembawa) tanpa disedari. Sebagai langkah awal, bersihkan rumpai ini terlebih dahulu dengan mencabutnya sehingga ke akar agar ia tidak mudah tumbuh kembali. Setelah dibersihkan masukkan ketulan batuan sungai agar permukaan tanah dilitupi sepenuhnya. Saiz batuan sungai serta warna terserah mengikut cita rasa. Letakkan ia dalam keadaan rapat dan padat bagi menghalang rumpai tumbuh kembali. Teruskan rutin penyiraman dan pembajaan seperti biasa. Bezanya kini, tanaman hiasan bukan sahaja kelihatan menarik malah sekaligus dapat melindungi daripada serangan rumpai.   

   

No comments:

Post a Comment