Tuesday, March 8, 2011

Santau


Santau adalah satu cabang kejahatan yang sangat dikutuk oleh Allah. Nabi Muhammad  S.A.W sendiri pernah terkena bahananya akibat perbuatan seorang wanita Yahudi. Cuma, ketika itu ia dikatakan sihir beracun, bukan santau. Lagipun “santau” adalah perkataan Bahasa Melayu, mungkin dalam Bahasa Arab namanya lain.  

Santau terbahagi kepada dua iaitu:

Santau hakikat
Ia menggunakan bahan dan kaedah tertentu semata- mata, tanpa melibatkan iblis dan syaitan.

Santau hikmat
Dikenali sebagai santau angin, ia disertakan dengan pemujaan terhadap iblis dan syaitan.

Santau dikenakan kepada mangsa kerana:

Membalas dendam, hasad dengki atau perselisihan faham
Penyantau membinasakan mangsa secara perlahan-lahan, sama ada supaya dia menderita berpanjangan yang berakhir dengan kematian, ataupun menemui ajalnya dalam jangka masa tertentu seperti sebulan atau dua bulan tanpa dapat dikesan puncanya.

Hendak menguji ketahanan batin.
Seorang pendatang baru di satu tempat yang dirasakan mempunyai kedudukan, atau seseorang yang merawat pesakit secara tradisional mungkin akan mengalami dugaan seperti ini untuk menguji ketahanan batinnya. Dalam hubungan ini, permusuhan antara dua pihak sebenarnya tidak ada. Mereka mungkin tidak pernah bertegur sapa atau berkenalan sebelum itu. Mungkin mereka hanya setakat pernah berjumpa sahaja.

Penyantau ingin menguji kekuatan santau sendiri.
Kadang-kadang ini dilakukan oleh mereka yang sama-sama mempunyai ilmu santau.

Membuang santau.
Santau puja atau santau angin perlu dibuang pada masa-masa tertentu. Kalau tidak, santau yang di dalam simpanan seseorang mungkin akan rnemakan tuan atau keluarganya. Santau perlu dibuang tanpa niat mengenakan orang tertentu atau berpunca daripada permusuhan.
Jari-jari yang dicelupkan sedikit dalam santau dan dijentikkan. Ia boleh terkena kepada orang yang sedang makan atau minum di hadapan penyantau sekiranya angin bertiup ke arah mereka.
Begitu juga pembuangan santau yang dilakukan dengan meletakkannya di sapu tangan. Dalam keadaan ini, orang yang tidak berdosa dan tidak bermusuh dengan penyantau mungkin menjadi mangsa, termasuk kanak-kanak.

Santau dimiliki untuk kepentingan diri dan keluarga.
Pada zaman dahulu kekuatan ilmu batin yang dimiliki oleh seseorang menjadikannya ditakuti dan disegani oleh orang lain termasuk musuhnya. Ilmu batin tersebut termasuklah ilmu santau.

Tanda-tanda Terkena Santau

Santau dikenakan kepada seseorang supaya dia menderita berpanjangan tanpa menyedari yang dirinya terkena santau. Kesan santau kebanyakannya tidak berlaku secara mengejut atau mendadak seperti yang terjadi kepada mangsa keracunan. Namun santau yang cukup masak boleh menyebabkan kematian sekiranya mangsa tidak segera dirawat.

Pada awalnya, orang yang terkena santau berasa perit dan gatal  tekak serta batuk. Batuk merupakan tanda yang paling lumrah. Permulaan batuk disertai dengan pening kepala dan demam pagi dan petang. Bukan seperti batuk biasa, ia lebih merupakan batuk kering yang memanjang tanpa mengeluarkan kahak. Batuk mungkin mula menyerang pada pukul dua malam hingga pagi. Pesakit juga akan merasa lesu dan demam.

Ada pendapat mengatakan santau yang dicampur dengan minyak dagu menyebabkan mangsa rasa gelisah dan tidak boleh tidur malam. Bila bangun pula rasa serba salah dan tidak berupaya berfikir seperti biasa.

Tidak ada jarak tertentu antara masa seseorang termakan santau dengan batuk ini. Santau yang kuat boleh menyebabkan mangsa muntah darah sebaik-baik sahaja dia termakan santau atau beberapa jam selepas itu. Ini bergantung kepada bahan campuran yang disediakan. Darah yang keluar adalah akibat luka atau kerosakan mana-mana organ dalam badan akibat terkena bisa santau atau bahan-bahan yang melukakan. Akibat kesan yang terjadi secara mengejut ini menyebabkan ramai orang mengatakan bahawa tidak ada beza antara santau dengan racun.

Apabila batuk sampai ke tahap serius, mangsa santau akan muntah mengeluarkan darah yang kadang-kadang bercampur nanah. Pesakit kadang-kadang berasa seolah-olah ada rasa busuk keluar dari saluran tekaknya. Ini terjadi akibat luka yang telah menanah dari mana-mana organ dalam badan.

Ketika ini pesakit akan berasa lenguh sendi terutama di bahagian lutut. Dia juga mungkin berasa sakit pinggang, yang mungkin berpunca akibat serangan santau pada buah pinggang atau akibat tekanan batuk yang kuat dan berpanjangan. Dalam keadaan demikian pesakit akan berasa tidak selesa dan sering sakit kepala. Apabila kesan santau itu sampai ke tahap ini, selera makan semakin kurang menyebabkan badan begitu kurus dan pucat. Kesan penderitaan yang berlarutan dan kurang selera makan
menyebabkan seseorang mudah pucat, letih dan kurang aktif.

Daya ingatan mangsa santau mungkin menjadi lemah beberapa tahun selepas itu, mungkin setelah lima atau enam tahun dari tarikh mangsa termakan santau. Ini bergantung kepada bahan yang digunakan. Sesetengah santau tidak menyebabkan kurang daya ingatan. Proses ini berlaku sedikit demi sedikit tanpa disedari oleh mangsa, dan juga orang lain.

Kesan santau boleh menyebabkan tabiat asal mangsa berubah. Yang penyabar mungkin menjadi pemarah atau panas baran. Penderitaan yang berpanjangan akan menyebabkan pesakit hilang seri muka. Pesakit juga mungkin akan mengalami sakit tengkuk. Selain tanda perubahan fizikal di atas, dada orang yang sakit teruk dan lama menderita akibat santau akan menjadi sedikit bongkok dan tidak bidang seperti biasa. Manakala kedua-dua bahunya lebih bertaup ke hadapan. Ini terjadi akibat tarikan batuk yang dideritainya.

Menurut kebanyakan perawat yang berpengalaman merawat pesakit santau, bahan santau bergerak sedikit demi sedikit menurut pergerakan darah dan berhenti di sendi-sendi. Kemudian ia bergerak lagi sedikit demi sedikit hingga ke hujung kaki dan tangan. Oleh sebab itu kuku pesakit santau berwarna hitam kebiru-biruan. Ini menunjukkan penyakit yang dideritainya itu telah tiba ke tahap serius. Pesakit selalu berasa kebas di hujung jari tangan dan kaki.

Menurut perawat pesakit santau, bahan santau yang diperbuat daripada bahan gatal, miang dan bisa itu apabila terkena pada organ tertentu boleh menyebabkan bahagian tersebut luka dan berkudis. Kuman yang ada pada kudis  akan menyerang organ lain sedikit demi sedikit. Serangan ini mengakibatkan rasa lelah, sakit pinggang dan yang sebagainya.

Setelah melihat tanda-tanda awal santau, keluarga pesakit harus membawa mangsa untuk dirawat oleh perawat santau bertauliah pada kadar segera. Jika terlewat, mangsa mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.

Selain itu mari kita amalkan pembacaan Ayatul Kursi, Surah Al-Falaq dan Annas serta memohon kepada Allah supaya diri kita dan keluarga dilindungi daripada segala bentuk kejahatan manusia, jin dan syaitan.   

(Artikel ini sumbangan seorang perawat dari Pusat Rawatan Nur Ehsan, Selangor. Untuk maklumat lanjut sila layari http://klinik-muallij.blogspot.com)

No comments:

Post a Comment